Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
80,059
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

I rindu you,” luah Dayyan, romantis.

Bagi Nadyne Umairah, Dayyan pandai menuturkan lenggok suara menggoda tetapi dia silap percaturan jika beranggapan yang Nadyne Umairah sama seperti pramugari lain, yang tergila-gilakannya. Dia punya pandangan sendiri dan takkan mudah jatuh hati pada Dayyan semata-mata kerana lelaki itu tunangnya.

Nadyne Umairah senyap sahaja. Dia keletihan, dan selebihnya tiada hati hendak berbual dengan Dayyan. Kadangkala Nadyne Umairah menyesali nasib sendiri, mengapa dia mengikut telunjuk mama sedangkan hatinya tiada buat insan lain selain Muhammad Faeeq. Dia masih ingat lagak Faeeq yang sengal dan menyakitkan hati. Semua itu tersemat rapi di dalam memorinya. Dayyan atau sikap romantis Dayyan masih belum mampu menambat hati Nadyne Umairah! Dan walaupun dia punya pilihan untuk mendekati Faeeq, Dayyan tetap akan menjadi suaminya menjelang sebulan lagi. Oh! Nadyne Umairah mengatup kelopak matanya rapat-rapat.

“Sayang...I belum dengar lagi suara you dari tadi. Kenapa ni?” tanya Dayyan, tak jemu.

Suaranya kedengaran bimbang sekali. Acapkali bertemu mata dengan Nadyne Umairah, begitulah rutin Dayyan, menyeru nama Umairah selembut-lembutnya.

“I mengantuk, Dayyan. Letih dengan perjalanan hari ni,” luah, Nadyne Umairah, masih menjaga tutur katanya.

“It’s only Singapore to Malaysia. Come on, honey!” pujuk Dayyan.

 Sesekali dia mengerling tangan Nadyne Umairahyang putih dan gebu. Tangan, bahkan tubuh wanita itu diidam-idamkannya sekian lama. Namun, Umairah begitu liat dan sukar didekati. Semenjak tali pertunangan diikat,baru dua atau tiga kali mereka bertemu secara dekat begitu. Itupun dengan susah dan payahnya.

Dayyan begitu suka bentuk badan serta wajah Umairah yang cantik, tak ubah seperti supermodel. Jadi, apabila diajukan oleh papa untuk menerima Umairah sebagai calon isteri, dia mengangguk sahaja. Latar belakang dan keperibadian Umairah ditolak ke tepi. Bagi Dayyan, Umairah cocok sekali berdiri di sampingnya, walaupun ada ramai lagi calon pilihan yang sedang menanti.

“Untuk you, Singapore to Malaysia tak penat, tapi untuk I, ia memenatkan. Sebab tu, I lebih suka berehat. Kalau you lupa, malam makin tua, Dayyan.”

“You teman I sekejap, and then, I hantar you balik.” Dayyan terus memujuk. Perlahan-lahan dia memberhentikan kereta di bahu jalan raya.

“You tak hantar pun tak apa, I boleh ambil teksi.”

“You tak payah baliklah. I bawa you ke istana kayangan,” balas Dayyan, dengan senyuman penuh makna.

Umairah berasa tidak sedap hati. Baginya, Dayyan melebihi batasan bergurau. Namun, dia sedaya upaya cuba mengawal gelora perasaan yang tak menentu di sebalik gurauan tunangnya.

“Kenapa I nak ikut you pulak?”

“I nak habiskan masa dengan you.”

“I tak perlu semua tu. Hantar I balik aje,” balas Umairah, terus berusaha mengawal emosinya.

“Tak mahu.” Dayyan tersengih, memandangnya.

 Baginya, sesekali berkeras dengan tunang sendiri, apa salahnya? Lagipun, mereka bakal disatukan dalam tempoh sebulan. Jadi, apa salahnya jika mereka berdua bersatu sebelum bernikah pun? Sama saja!

Melihat rupa Dayyan dengan senyuman begitu, hati Umairah berasa sangsi. Dia berasa tidak sedap hati dengan Dayyan Putra.

“You hantar I balik sekarang. Kalau tak, I batal majlis kita!” tegas suara Umairah seperti mencabar naluri kelelakiannya. Tetapi Dayyan Putra tak peduli. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

“Sayang...I nak berdua-duaan dengan you. Kenapa you marah sangat ni?”

“I marahlah sebab dari tadi I nak balik you sibuk jugak nak jumpa I! Dah jumpa, tak reti pulak nak hantar I balik,”balas Umairah, kepanasan.

Suaranya melantun naik tanpa dapat ditahan. Sesungguhnya dia berasa sangat tidak selesa dengan Dayyan Putra. Terasa seolah-olah Dayyan seorang lelaki asing yang tidak dikenali.

Umairah bulat tekad. Dia meraba telefon bimbit yang terdapat di dalam beg sandang. Nombor telefon mama Afya didail dengan perasaan tak menentu. Belum pun sempat dia menekup telefon bimbit itu ke telinga, Dayyan terlebih dahulu merampas telefon bimbit itu darinya.

“Esok pagi I hantar you balik. Tak payahlah cemas sangat,” pujuk Dayyan sambil meramas tangan tunangnya. Sakit hati dengan sikap Dayyan, Umairah menepis tangan lelaki itu.

“You ingat you siapa?” tanya Umairah,bengang yang teramat.

Suaranya melengking kasar. Anehnya,Dayyan tidak ambil hati di atas sikap tunangnya. Mahu tapi malu. Dia yakin Umairah saja menunjukkan reaksi begitu supaya dia terus memujuk dan memujuk. Janji Nadyne Umairah menemaninya malam ini, bukan susah sangat nak memujuk. Desis Dayyan dengan senyuman tersungging di bibir.

“I suka you, Maira. Rupa you cantik,tubuh you menawan, I teringin nak bermanja dengan you malam ni. Temankan I,ye?” rayu Dayyan lagi.

“Baru I tahu, rupa-rupanya you lelaki tak guna. Baguslah you tunjukkan diri you yang sebenar sekarang. Berhentikan kereta sekarang atau I report you pada polis. Sekali I buat laporan, you tahulah apa nasib you.”

 

UMAIRAH cepat-cepat masuk ke dalam bilik air sebaik tiba di rumah mama. Soalan Puan Afya tentang rupanya yang bagai hendak menelan orangpun langsung tak dijawabnya. Dia hendak membersihkan diri terlebih dahulu. Hal Dayyan Putra akan diputuskan selepas itu. Biar Puan Afya tahu yang bakal menantunya itu manusia yang bertopengkan nafsu. Jijik!

Dia bernasib baik kerana berjaya membuatkan Dayyan menukar fikirannya. Jika tidak, maruah yang dipelihara selama 25 tahun musnah di tangan lelaki hidung belang seperti Dayyan. Tergamak Dayyan memujuk dirinya untuk berlaku sumbang? Umairah mengeluh lagi. Dia bersiap seadanya sebelum kembali ke ruang tamu. Tentu Puan Afya belum melabuhkan tirai malamnya. Dan kalau pun Puan Afya sudah beradu, Umairah pasti akan mengetuk pintu bilik mamanya. Biar hal Dayyan diselesaikan malam itu juga! Tekad Umairah di dalam hati.

“Mama...” panggil Umairah perlahan.

Hampir satu pagi, Puan Afya masih belum berangkat ke kamar tidurnya. Dia tahu Puan Afya belum tidur kerana menanti dirinya yang lewat pulang ke rumah. Perlahan-lahan dia mengalas kepalanya ke atas ribaan Puan Afya. Terasa rambutnya dielus lembut oleh sang mama.

“Maira nak makan?”

“Dah lewat, mama. Esok pagi Maira makan, ye?”

“Orang nak kahwin kena pasang badan,kan? Ikat hati dan mata suami untuk Maira aje.”

“Maira tak mahu kahwin dengan Dayyan,mama,” luah Umairah, tidak sabar.

Kejadian tadi masih segar diingatannya, malah dia tidak akan lupa perangai buruk Dayyan Putra. Justeru,untuk apa dia bersuamikan Dayyan? Jika Dayyan ikhlas mengahwininya, tentu Dayyan takkan tergamak melukakan perasaan Umairah dengan kata-kata dan perbuatan biadapnya.

“Maira ni...ke situ pulak. Mama dah buat persiapan lah, sayang. Kenapa Maira tiba-tiba tak mahu kahwin dengan Dayyan ni?” tanya Puan Afya, berusaha untuk menyembunyikan rasa terkejutnya.

Setahun lepas, dia dan Kapten Ameer berbincang untuk menyatukan anak masing-masing. Baik Dayyan, mahupun Maira,kedua-duanya setuju tanpa banyak keletah. Masing-masing mengangguk apabila ditunjukkan gambar bakal pasangan mereka. Lantas, tali pertunangan diikat enambulan lepas. Sepanjang tempoh itu, tiada pula sebarang rungutan disuarakan oleh anak daranya, mahupun dari pihak Dayyan sendiri. Setelah semua persiapan dibuat, dan tinggal hari berlangsungnya sahaja, Maira berubah hati pula. Ada sesiapakah yang telah mengalih tumpuannya dari Dayyan Putra? Apa mereka tidakserasi bersama?

“Maira...”

“Maira dah buat keputusan, mama.Maira tak mahu bersuamikan seorang lelaki yang berakalkan nafsu. Maira tak mahu! Pendek kata, Maira nak pertunangan Maira dan Dayyan diputuskan esok jugak!”Kata-kata Nadyne Umairah beremosi sekali. Puan Afya berusaha lagi memujukanaknya.

“Jangan ikut perasaan, sayang! Majlis Maira sebulan sahaja lagi. Dalam tempoh berlangsung ni, persiapan semua mama dah buat, termasuklah menjemput tetamu. Maira tentu kasihankan mama, kan?Tolonglah kasihani mama dan keluarga Dayyan. Kalau ada perselisihan sikit-sikit, sayang betulkan dengan Dayyan, ya?” Puan Afya berusaha memujuk.

“Tak mahu, mama! Maira dah bertekad.Kalau mama sayangkan Maira, mama tolonglah Maira. Mama jumpa dengan keluarga Kapten Ameer dan katakan padanya majlis ni takkan jadi.”

“Maira...takkan mama nak buat macam tu!” Puan Afya berdiri spontan.

 Hilang juga bahasa halusnya. Benarlah kata pepatah, jaga anak perempuan seorang lebih susah dari menjaga lembu sekandang.Lihat sahaja telatah Maira yang kebudak-budakan. Bukankah hal yang dimintanya melibatkan maruah keluarga kedua-dua belah pihak? Bagaimana dia hendak menghadap muka Kapten Ameer dan isterinya yang terlalu banyak memberi pertolongan di kalanya dirinya dalam kesusahan. Maira tidak tahu hal itu,bahkan dia sama sekali takkan ambil tahu, sebab itu dia meminta apa sahaja walaupun di luar batasan permintaan.

“Tolonglah Maira, mama. Maira tak mahu bersuamikan lelaki macam Dayyan.” Suaranya lirih memohon simpati.

“Maira selesaikan sendiri perselisihan Maira dengan Dayyan. Mama tak mahu masuk campur dan tak akan sesekali memutuskan pertunangan kalian,” putus Puan Afya sebelum meninggalkan ruang tamu yang malap.

Pada dirinya yang telah melalui gerbang perkahwinan, dan pernah gagal melaluinya, hal remeh-temeh yang disebut oleh Maira tidak perlu diperbesarkan. Cukuplah pisang berbuah sekali, janganlah kegagalan berkomunikasi dengan baik seperti yang dialaminya sewaktu mengahwini ayah Umairah menjangkiti anaknya pula.

Bagi Umairah, dia hanya mampu menghempas badan ke atas sofa panjang. Dalam hati, dia cukup menyesal kerana pernah menyatakan iya pada sebuah janji yang bakal merosakkan hati. Air mata menitis hampa. Tentu bagus jika pasangan di atas pelaminnya nanti Muhammad Faeeq!

 

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.