Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
31,691
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

Di bumi ini bukan sekadar manusia, haiwan dan tumbuhan sahaja yang wujud dan tinggal disini. Selain daripada mereka semua, wujud juga jin dan syaitan sebagai penghuni yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar manusia. Mereka dikatakan lebih ramai daripada manusia yang tidak pernah menyedari kewujudan mereka yang ada di sekeliling.

Dia pernah dengar, sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Mungkin dia boleh berada dalam kategori sebaik-baik jin kerana dia selalu dinobatkan sebagai sejahat-jahat manusia. Okeylah tu. Sekurang-kurangnya merasa juga dia memegang gelaran baik meskipun untuk kategori jin.

Teruk sangat ke orang yang bernama Syifaa Qaireen ni?

Entah. Jika dirinya digeruni semua orang, agak-agak teruk ke tidak?

“Psiko dah datang. Psiko dah datang.”

“Ya Allah, selamatkanlah aku.”

“Weh, aku takutlah tengok mata dia. Tolonglah jangan pandang aku.Tolonglah…”

“Diamlah. Nanti dia dengar.”

Syifaa Qaireen masuk ke dalam kelas dengan riak selamba. Tanpa memandang kiri dan kanan, dia terus melangkah ke arah meja yang berada ditengah-tengah kelas. Meja itu bukan mejanya. Entah meja siapa pun dia tidak ingat. Setiap hari dia akan duduk di mana sahaja yang dia rasa nak duduk. Sudah tentu dia tidak perlu meminta kebenaran daripada sesiapa. Dan sudah tentu tiada siapa pun yang akan berani memarahinya.

Ya, boleh ibaratkan dia seperti raja yang zalim. Menakluki ketakutan rakyat jelatanya dengan hanya melihat sosok tubuhnya sahaja. Aurany abukan sebarang aura. Aura hitam penuh kezaliman.

Punggung dilabuhkan. Kedua-dua tali beg galas dilucutkan ke atas bangku. Rambutnya yang lurus, nipis dan panjang paras bawah bahu, diikat ekorkuda lalu digulung-gulung menjadi sanggul. Kemudian dia menarik keluar tudung putih kekuning dari dalam poket beg galasnya. Tudung disarung ke kepala. Senget dan berkedut seribu, langsung tidak dipedulikan.

Kekemasan? Zero!

“Fuh… lega! Dia tak ingat pasal semalam kut.”

“Syh… diamlah! Kau ni dah kenapa? Nak sangat dia ingat ke?”

Bibir Syifaa Qaireen tersenyum senget tatkala deria pendengarannya menangkap ayat itu. Lupa? Ini Syifaa Qaireen lah. Perkara seronok seperti itu tidak akan pernah boleh dipadam. Punyalah dia mati-matian mempertahankan benda itu daripada Nek Dian. Nek Dian ingat dia sudah buang tapi hakikat sebenarnya dia tak buang. Tak akan buang!

Beg galas berwarna hijau lumut yang lusuh, diletakkan di atas meja. Zip beg dibuka selamba. Riak wajahnya masih sama. Senyuman senget tetap terukir.

“Zaya, aku rasa dia ingatlah. Kau patut lari, Zaya! Lari!” Bisik Ilham kepada gadis yang duduk di belakangnya. Gadis yang dari mula ketakutan sejak Syifaa Qaireen masuk ke dalam kelas.

Wajah Zaya semakin cemas. Air matanya tertumpuh sedikit. Tangannya seram dan sejuk. Sungguh dia rasa mahu terkencing melihat wajah Syifaa Qaireen kala arahan itu keluar dari bibir Ilham.

“Zaya, lari.”

“Keluar dari kelas ni, Zaya.”

“Cepat!”

Semakin banyak suara halus yang berbisik di sekeliling Syifaa Qaireen. Zaya yang menjadi asbab, berusaha menggagahkan diri untuk berdiri dan segera keluar. Tidak sanggup dia menghadap kegilaan insan bernama Syifaa Qaireen. Manusia yang dipandang jijik disebabkan status dan perangai psikonya yang terlalu menakutkan.

“Zaya Irdini.” Panggilan bersahaja daripada Syifaa Qaireen secara automatik merubah iklim khaltulistiwa di dalam kelas mereka pada iklim sejuk dan beku. Dinginnya umpama berada di atas salju kutub selatan.

Semua mata yang tadinya tertumpu ke arah kegelisahan Zaya, beralih pula ke arahnya. Air liur masing-masing tertelan penuh pahit. Kenapalah wujud manusia sedemikian di dalam kelas mereka? Itu apa yang kebanyakkan pelajar kelas ini persoalkan dengan ekspresi di wajah masing-masing.

Syifaa Qaireen bangkit dari duduk. Tubuhnya berpusing 90 darjah. “Wanna take my present?”

Langkah Zaya termati. Dia berdiri kaku. Air mata semakin deras mengalir. Kepalanya menggeleng ketakutan, menindakkan pertanyaan rakan yang amat digeruni.

Syifaa Qaireen mencemik hampa. “Nak bagi hadiah pun tak nak ke?”

“Syifaa, aku…aku tak sengaja. Sumpah tak sengaja!” Zaya sudah teresak-esak di muka pintu kelas mereka. Tubuhnya jelas menggeletar. Dia tahu inilah akibat dari ketidaksengajaannya semalam. Sumpah dia tak sanggup hadap kegilaan Syifaa Qaireen lagi!

“Tak sengaja?” Syifaa Qaireen mengusap dagunya seketika sebelum kembali menyambung. “Ada aku cakap perlu sengaja ke untuk dapat hadiah istimewa daripada aku?” kali ini dia lontarkan senyuman sinis. Terhibur menonton ketakutan rakan sekelasnya yang tidak sengaja melanggarnya semalam.

Kesalahan Zaya biasa sahaja. Semalam semasa rehat, Zaya tidak sengaja melanggarnya yang sedang duduk di salah satu anak tangga. Waktu itu Zaya tengah seronok bercerita dengan beberapa rakan sekelas mereka yang lain.  Pelanggaran itu sebenarnya tidak mencederakan Syifaa Qaireen waima sedikit pun.

Tapi seisi sekolah tahu siapa Syifaa Qaireen Abdullah. Gadis psiko yang tidak boleh dijentik langsung. Andai ada yang berani, pasti orang tersebut akan menyesal seumur hidup. Tidak kisahlah sama ada sengaja mahupun sebaliknya. Jangan berani jolok sarang tebuan. Akibatnya amat teruk!

Syifaa Qaireen mula membuka langkah mendekati keberadaan Zaya yang kian mengundurkan diri. Di tangannya ada sebalang kecil hadiah istimewa buat mangsanya itu.

“Zaya, lari!” Ilham menjerit kuat kala matanya melihat isi yang berada di dalam balang tersebut.

Mendengarkan itu, Zaya terus membuka langkah. Namun apakan daya, dia tiba-tiba saja terjelepok jatuh di atas simen yang sedikit rendah.

“Aduh!” Rintih Zaya kesakitan.

Syifaa Qaireen berhenti betul-betul di kaki Zaya. Dia mencangkung. Matanya memadang Zaya dengan dingin seraya menghulur balang ke arah rakannya itu. Satu keluhan berat sengaja dilepaskan bagi menambah rasa gerun. “Itulah…lain kali jangan lari. Aku nak bagi hadiah aje pun. Istimewa lagi tu.”

Spontan Zaya menepis hadiah tersebut. Terbuntang luas matanya saat penutup balang terbuka sekali gus mengeluarkan isi yang begitu menggelikan tekak sesiapa sahaja yang melihatnya.

“Bleuwkk!” Terdengar serentak suara semua yang menonton.Termasuklah Zaya yang sedang mengesotkan tubuhnya menjauhi Syifaa Qaireen dan hadiah istimewanya itu.

Syifaa Qaireen memegang salah seekor bangkai cicak yang berlumuran kordial sirap lalu digoyang-goyang di depan mata Zaya. Bibir mengukir semula senyuman penuh sinis. “Cicak ni tak bersalah pun, Zaya. Aku bunuh dia malam jumaat sebagai hadiah istimewa untuk kau. Kau patut terimanya dengan hati terbuka. Kan?”

“Jangan dekat! Buang benda tu Syifaa! Buang!” Zaya menjerit ketakutan dan kegelian.

“Eh setahu aku, hadiah mana boleh dibuang!”

“Aku cakap buang… buanglah!”

“Kalau aku tak nak?” Syifaa Qaireen semakin menghampiri Zaya.

“Kau gila!” Zaya mengesot sehingga badannya bertemu dengan dinding koridor. Bangkai cicak yang cuma beberapa meter dengannya buatkan hatinya tidak keruan. Dia teramat geli dengan cicik! “Tolonglah Syifaa… aku tak sengaja…”

“Syifaa Qaireen!” Tiba-tiba muncul suara garau dari arah hujung koridor aras kelas mereka. Dengan penuh amarah, lelaki itu melangkah laju mendekati dia dan Zaya.

Syifaa Qaireen sekadar memandang lelaki itu sekilas. Matanya menjeling Zaya yang masih ketakutan namun ada terselit riak lega pada wajahnya.Ya, hanya pelajar lelaki itu sahaja yang berani menjentik Syifaa Qaireen di sekolah ini. Tiada yang lain. Dia ibarat kesatria yang melindungi rakyat jelata daripada kezaliman raja yang psiko.

Sampai sahaja di belakang Syifaa Qaireen yang masih mencangkung, jari jemari dengan kasar menunjal belakang kepala gadis psiko itu. Bengang sungguh hatinya saat menerima perkhabaran daripada radio tak rasmi sekolah bahawa budak tak guna ini buat hal gilanya lagi. Kalau ikutkan panas hatinya yang terbakar, mahu saja dia lambung Syifaa Qaireen ke bawah saat ini juga.

“Kau memang psiko, Syifaa! Psiko!”

“Diamlah. Ini bukannya urusan kau pun.” Selamba Syifaa Qaireen membalas dalam keadaan kepalanya masih ditunjal.

“Memang bukan urusan aku.” Lelaki itu berhenti menunjal kepala Syifaa Qaireen tatkala beberapa orang guru terlihat melangkah ke arah mereka. “Hisy! Dahlah status kau tu memalukan keluarga aku. Kalau perangai tu elok okey lagi. Tapi perangai mengalahkan iblis! Jijik aku dengan kau, Syifa. Memalukan!”

“Aku tahu.”

“Kau ni…” Sekali lagi kepala Syifaa Qaireen ditunjal beberapa kali sebelum dihalang oleh pengetua sekolah mereka.

“Sudah Wildan, sudah.” Tangan kekar pengetua sekolah memegang lengan Wildan, lelaki kesatria di sekolah ini. “Biar kami yang uruskan. Kembali ke kelas kamu.”

Wildan mengetap gigi. Tajam saja anak mataya menikam tubuh Syifaa Qaireen yang membelakanginya. Sehingga detik ini, dia tidak tahu apa yang telah mengubah seorang Syifaa Qaireen yang pernah dia kenal dulu.

Dulu Syifaa Qaireen tidak seperti ini. Dulu dia kesatria gadis itu akan tetapi sekarang, dia memusuhinya. Jijik akan kegilaan Syifaa Qaireen yang luar biasa itu. Kadang-kadang kelakuannya langsung tidak dapat dijangkau.

“Siap kau balik nanti! Tahulah aku nak buat apa!” Amuk Wildan.

“Saif Wildan!”

Wildan mendengus kasar. Kaki diatur meninggalkan mereka semua selepas menerima amaran daripada pengetua. Hatinya bertambah-tambah menggelegak melihat senyuman sinis gadis tak berperasaan itu.

Siap kau Syifaa! Kau memang nak kena dengan aku!

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.