Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
31,612
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

“Tinggal sini?”Haqqi tertinggikan nada suaranya tanpa sengaja.

Oh my papa! Jangan sampai aku diserang sakit jantung dengan keputusan drastik ini! Tak akanlah sampai perlu tinggal di dalam Istana Mahligai Nan Indah ini? Aduh! Adakah papa lupa bahawasanya enggang dengan pipit tidak akan boleh terbang seiringan?

“Untuk sementara waktu aje sampai nenda okey sikit.” Al-Firasi menekan sabun pencuci tangan berdekatan singki. Dia tahu benar apa yang terkandung di dalam hati dan fikiran satu-satunya anak lelakinya itu. Pasti Haqqi sangat terkejut, tidak selesa dan kekok.

Keluarga Tengku Maria bukan keluarga berdarah diraja yang setakat bau-bau bacang sahaja akan tetapi Tengku Mahfuz itu sepupu kepada salah seorang sultan di Malaysia. Susur galur keluarga ini masih sangat dekat. Makanya adat, tatasusila, cara hidup dan kesucian darah dirajanya sangat disanjung tinggi.

“Tapi papa…” Kepala Haqqi laju sahaja menggeleng. Kakinya sudah tidak boleh duduk diam. Dia tidak dapat bayangkan hidupnya di sini. Selama hayatnya, dia sudah terbiasa hidup bebas di luar sana melakukan apa sahaja tanpa perlu memikirkan soal maruah keluarga diraja atau sebarang perkara yang berkait dengan kedaulatan raja. Dia orang biasa. Ya, dia cuma rakyat marhaen sama seperti Al-Firasi. Tidak mampu dia bayangkan jika dia terpaksa hadap pelbagai pantang larang.

“Okey… Haqqi faham dan okey bila papa cakap kita balik Malaysia for good untuk mama jalankan tugasnya berbakti kepada kedua ibu bapanya yang semakin uzur. Tapi papa sendiri janji yang kita tak akan tinggal sini, kan?Kenapa hari ini tiba-tiba kita kena tinggal sini pula?” Saat seperti inilah telinga Haqqi sibuk memainkan semula perbualan dia dan Eiyad suatu ketika dahulu.

“Dalam istana mahligai tu, tak boleh buat semua benda yang kita tengah buat sekarang ni.”

What? Tak akanlah main game pun tak boleh?” Haqqi buat muka tak percaya.

“Yup! Nanti kau kena tadah telinga berbakul-bakul dengar bebelan penghuninya. Itu paling okeylah. Silap hari bulan, semua game ni masuk bakul sampah.”

“Gilalah! Sumpah aku tak akan hidup macam kau, Eid.”

“Haqqi nampakkan keadaan nenda sekarang? Dia dah uzur. Dah tak larat nak buat apa. Dia rindukan mama. Jadi, kita kenalah beri mama peluang berkhidmat kepada mak dan ayahnya sebelum mereka menutup mata.” Suara Eiyad terbang tinggi sebaik sahaja Al-Firasi bersuara semula. Cuba memberi gambaran situasi Tengku Maria sekarang. “Papa tahu Haqqi tak selesa tapi cubalah selesakan diri buat sementara waktu ni. Papa dan yang lain boleh cuba, tak akan Haqqi yang dah besar panjang ni pulak tak boleh?”

Terkatuk rapat bibir Haqqi menadahnya. Cuba? Ya, mungkin dia kena mencuba lagi dan lagi. Hidupnya masih tidak berhenti masuk ke dalam dunia baru. Silih berganti tanpa henti.

“Bolehkan Haqqi?” Bahu Haqqi dijamah Al-Firasi.

“Rumah kita yang papa cakap tu kat mana?” Haqqi masih mencari peluang lain. Dia mahu mencuba tapi sebenarnya dia sudah penat. “Haqqi rasa biar Haqqi duduk situlah. Papa dan yang lain duduklah sini sementara waktu.”

“Di Ipoh. Dekat dengan rumah ayah papa. Tapi papa tak izinkan Haqqi tinggal sorang-sorang di sana. Haqqi tu baru aje kembali ke Malaysia.”

“Haqqi ni dah besar panjang papa. Jejaka idaman lagi. Tak akanlah tinggal seorang diri pun bahaya? Lagipun papa cakap sekejap ajekan tinggal sini?” Dia sengih sambil mengharapkan Al-Firasi menimbang kekekokan yang bakal dia rasakan sepanjang tinggal di sini nanti. Membayangkan saja sudah buat dia pening dan tidak senang duduk.

“Tak kisahlah kamu tu jejaka idaman sedunia ke apa, kamu tetap anak kecil bagi papa.” Al-Firasi menggeleng. Kadang-kadang Haqqi Syauqi boleh jadi seperti budak kecil. Perangai pun boleh tahan. Sedegil Ulfa.

“Tapi pa…”

“Tak ada tapi-tapi. Keputusan papa muktamad. Ikut kami tinggal sini buat sementara waktu.”

Kemudian Al-Firasi terus membuka langkah meninggalkan anak bujangnya itu. Dia tetap dengan pendiriannya. Biarpun Ipoh merupakan negeri kelahirannya, tempat dia membesar tetapi dia tidak mahu Haqqi tinggal seorang diri di tempat asing yang sudah lama tidak dijejaki.

Mendengarkan kalam penutup daripada papanya, Haqqi hanya mampu termenung jauh. Al-Firasi bukan seorang ayah yang tegas dan buat keputusan ikut suka hati dia sahaja. Namun ada sesetengah perkara dia akan mempamerkan ketegasan sifat seorang ayah.

Haqqi tahu, semuanya bersebab. Dan dia tahu apa penyebab utama papanya tegas untuk tidak mengizinkan dirinya tinggal berasingan dari keluarga. Memikirkan itu, automatik satu keluhan berat terlepas keluar. Pasti papa masih dihantui kisah lalu.

“Aku tak sangka pula kau macam ni, Haqqi Syauqi.”

Sekonyong-konyong suara garau datang menyapa pendengaran Haqqi menyebabkan matanya spontan meliar mencari tuan empunya suara.

“Tak sangka hidup jejaka idaman sedunia sedang huru-hara disebabkan tak nak tinggal di istana mahligai milik keluarga Tengku Maria.” Tambahnya lagi. Sengaja menaikkan ketidakpuasan yang sedia ada dalam hati Haqqi kala ini.

Haqqi lemparkan jelingan tidak puas hati. Boleh pula tingkah keanakkannya terkantoi. “Kau nak apa?”

Eiyad jungkitkan kedua bahunya. Bersahaja. “Saja. Syok juga tengok drama kau pujuk papa kau tak nak tinggal sini. Macam budak kecik! Ala…bukanya kekal pun. Sementara waktu aje.”

“Diamlah.”

“Eh Haqqi, umur kau berapa ya? Kau lelaki ke perempuan?”

Haqqi kepal penumbuknya. “Dah lama sangat ke kau tak merasa penumbuk aku, Tengku Eiyad Dini? Rindu?”

Hinggar telinga Haqqi menadah tawa gelakkan Eiyad yang maha kuat itu. Nyata dia benar-benar terhibur dengan telatah sepupunya itu.

“Relaks! Jangan risau! Orang dalam Istana Mahligai Nan Indah yang kau tak suka sangat ni tak makan orang. Semua makan nasi termasuklah aku, ayahaku dan adik aku.” Seloroh Eiyad yang mula melangkah mendekati Haqqi yang dari tadi sekadar bersandar pada singki. Bahu Haqqi dirangkul erat.

Mereka berdua mula rapat ketika Eiyad menyambung pelajaran di  Amsterdam. Eiyad jadikan rumah keluarga Haqqi seperti kampungnya setiap kali hujung minggu. Disebabkan itu, daripada langsung tidak kenal, mereka boleh jadi sepupu yang rapat. Tambah pula Haqqi satu-satunya sepupu lelaki yang dia miliki.

Tengku Mahfuz dan Tengku Ruhi dikurniakan sepasang zuriat iaitu Tengku Mikael dan Tengku Maria. Tengku Mikael tidak seperti adiknya yang sanggup meninggalkan kemewahan hidup demi insan yang dicintai. Makanya dia setuju berkahwin dengan sepupunya sendiri, Tengku Aliya atas pilihan keluarga. Mereka dikurniakan dua orang zuriat, Tengku Eiyad Dini dan Tengku Emily Yana. Tengku Aliya mangkat sebaik sahaja melahirkan adik Eiyad.

“Itulah masalahnya. Keluarga kau dah ada tinggal dalam ni. Aku rasa tak perlu pun keluarga aku duduk sini.” Omel Haqqi.

Eiyad lepaskan rangkulan di bahu Haqqi. “Masalahnya sekarang ini bukan terletak pada keluarga aku tinggal atau tidak di sini, tapi nenda. Bukan nak membangga dirilah. Aku ni boleh dikatakan cucu yang paling banyak menghadap dia. Jadi telinga aku dah cukup penuh dengan pengharapan nenda. ‘Maria, maafkan bonda. Pulanglah. Bonda amat merindui anakanda.’ Setiap hari nenda akan mengigau macam tu. Kau tak rasa kesian ke?”

“Kesian tu memanglah kesian. Tapi bagi aku tetap tak ada kaitan langsung dengan aku. Nenda Tengku Ruhi rindukan mama. Bukannya aku. Makanya aku rasa tak salah kut untuk aku beredar dari Istana Mahligai Nan Indah milik keluarga kau ni.”

Pap!

“Aduh!” Adu Haqqi terkejut. Lantas laju saja tangannya menyekeh tengkuk Eiyad yang sesuka hati sahaja menumbuk dadanya tadi. “Kau memang dah lama tak rasa tumbukan aku, kan?”

“Okey, okey, sorry! Aku tak sanggup merasa penumbuk jitu kau lagi.” Terkapai-kapai kedua tangan Eiyad cuba berusaha melepaskan diri. Cukuplah sekali dia pernah merasa tumbukan Haqqi tiga tahun lepas. Itupun disebabkan mulutnya yang celupar tak bertempat. Ketika itu niatnya cuma ingin bergurau.

“Along!” Serentak Ulfa dan Urwa datang sambil berlari. Bibir yang tersenyum girang bertukar masam tatkala melihat situasi along dan sepupu mereka.

“Hey, what you guys doing?” Tajam mata Ulfa melihat perilaku Haqqi dan Eiyad.

“You…” Jari telunjuk Urwa menghala ke arah Eiyad. “Don’t bully our along!”

Haqqi dan Eiyad berpandangan. Haqqi tersenyum mengejek manakala Eiyad menjulingkan mata seraya melepaskan rengusan. Penumbuk Haqqi memang menakutkannya lamun percayalah, dia lebih takut akan serangan dua orang adik kembar kesayangan Haqqi Syauqi ini.

“They always pamper you and make me look evil.” Bebel Eiyad setelah Haqqi melepaskan tangannya.

“Cause I’m their knight angel and you just a stranger, Eiyad Dini.” Haqqi tergelak. Eiyad sekadar mencebik.  “What can I help my little girls?” Persoalan itu dituju khas untuk dua orang adik kembarnya itu.

Ulfa dan Urwa tersengih serentak. “Help us to help you. Pleases….”

Ketawa Eiyad terus pecah. Terbahak-bahak. Dia tahu benar ayat itu membawa maksud apa. “Nak sangat jadi knight angel, kan? Silakan!”

Haqqi menjeling orang sebelah. Penumbuk diangkat. Perangai menjengkelkan Eiyad tidak pernah hilang. Mana nak hilangnya kalau perangai itu sudah teramat sebati dengan si empunya badan. Huh!

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.