Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
31,627
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG

Twinkle twinkle little star,
How I wonder what your are,
Up above the world so high,
Like a diamond in the sky.

Fikirannya terawang-awang. Kosong. Sepi. Bibir mungilnya terkumat-kamit menyanyikan lagu Twinkle, Twinkle, Little Star. Sebuah lullaby yang akan didengari semenjak kecil jika dia mahu terus lena dibuai mimpi.Birlah dia meraih mimpi bagi melenyap rasa sakit yang tidak terperi ini. Dia mahu lupakannya. Dia mahu hapuskannya. Meskipun sejenak cuma.

Cahaya bulan yang suram terlihat bertompok-tompok, mengganggu penglihatannya yang begitu terbatas. Andai saja rembulan itu mampu dicapai,sudah pasti dia akan terus berlari ke sana. Menyembunyikan diri dari kejamnya dunia. Tidak. Kejamnya manusia yang menghuni dunia ini.

Saat dia mahu bangkit, terasa amat sakit dan pedih. Bibir bawah digigit kuat bagi menampung kekuatan pada diri sendiri. Air mata sudah lama kering dek rasa hina dan jijik yang terlalu perit untuk dibendung.

Dia sudah jadi insan hina. Manusia yang paling jijik di mata manusia lain. Bukan salahnya. Apatah lagi pintanya. Namun, takdir yang telah ditetapkan Tuhan ini tidak mampu lagi diubah. Khilafnya mungkin kerana sering melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba tetapi Tuhan gantikan dengan pembalasan yang sudah tentu tidak mampu terhapus oleh waktu. Sampai bila-bila!

Ya, sehingga nafasnya tidak lagi dihembus keluar. Sehingga rohnya berpisah dengan jasad. Selagi itulah rasa ini tak akan pernah terhapus.

“Mana lagi kita nak cari ni?”

Pergerakannya terhenti tatkala telinga menangkap suara yang kedengaran jauh. Getaran ketakutan menyelebungi segenap inci tubuhnya. Tika ini, imaginasinya melakon layar semua kesakitan yang dia rasakan tadi.

Jangan… aku dah tak mampu! Aku tak mahu lagi! Jangan! Jiwanya merintih-rintih ketakutan.

“Sana! Kita cari belah sana pulak!”

“Okey!”

“Aku ke sana!”

Suara mereka semakin ramai dan kian mendekat. Dia yang tadinya mahu berdiri, terjelepok jatuh ke tanah semula. Tubuhnya menggigil katakutan.Hatinya hancur bagai bahagia tidak lagi mampu menyinggah di segenap ruang yang ada. Sakit! Takut! Semuanya menjadi satu!

Tuhan, kenapa kau uji aku sebegini? Kenapa aku? Aku tak mampu! Sungguh aku tak akan mampu memikul dugaan yang amat menyakitkan ini!

“Sini!” Jerit suara garau yang betul-betul berada di hadapannya.Nada lelaki itu seperti amat terkejut bercampur teruja. “Dekat sini! Saya dah jumpa dia!”

Kepalanya tergeleng-geleng. Dia menggesot ke belakang, menghampiri pokok besar yang bersemak samun saat lelaki itu mendekatinya. Dia lebih rela dibaham binatang buas daripada manusia yang bertopengkan binatang!

“Jangan dekat dengan aku, pergi! Pergi!” Bagai disampuk hantu, dia menjerit ketakutan sambil memeluk tubuhnya yang lebam dan kesakitan. Bajunya sudah koyak di sana-sini dek dikerjakan manusia durjana yang langsung tidak berhati perut. Maruah yang dijaga rapi ternoda dek kerakusan yang mana nikmatnya sebentar cuma.

Lelaki itu berhenti seketika. Dia berusaha menenangkan si gadis malang yang terlihat sangat gentar. “Bertenang ya? Saya datang untuk selamatkanawak bukan untuk sakiti awak. Jangan takut.”

Mendengarkan itu, terus sahaja dia meludah ke arah lelaki tersebut. Dia jijik dengan insan bernama lelaki. Tidak kisahlah siapa pun orangnya, mereka semua binatang di matanya!

“Penipu! Kau sama aje seperti dia! Lelaki tak guna!”

Keluhan berat dilepaskan sang lelaki. Hatinya rabak melihat ketakutan dan kesakitan yang tergambar hebat di wajah polos gadis di hadapannyaini. Tangan dihulur mendekati pandangan gadis tersebut. “Tolong saya untuktolong awak. Saya ikhlas.”

Pap!

“Jangan sentuh! Tolonglah… jangan sentuh aku!” Dia menggogoi ketakutan. Nyaring dan begitu menyeksakan dada sesiapa sahaja yang mendengarnya.

 

 

Bunyi rintik hujan yang deras membanjiri bumi di luar biliknya, langsung tidak mengganggu pendengarannya. Bahkan rintik itulah yang dia mahu dengar daripada suara tangisan bayi yang amat menjijikkan deria pendengarannya.

Segenggam penumbuk dikepalkan sekuat mungkin. Menahan rasa amarah yang kian membuak-buak. Dia amat jijik! Dia benci akan suara esakkan yang mahukan perutnya diisi susu. Susu yang membengkak tak akan pernah layak mengalir ke dalam tubuh bayi jijik itu.

Dia langsung tidak sedar, bayi itu tiada walau sekelumit dosa pun. Sungguh suci dari noda dan dosa. Ibarat sehelai kain putih yang tidak ternoda dengan secalit kotoran. Suci dan bersih. Harumannya juga tidak terjangkau wanginya.

Namun bayi yang baru beberapa hari menyandang gelaran anaknya itu, sangat jijik di mata dan hatinya. Kerana biarpun bayi itu keluar dari rahimnya, bayi itu tetap bukan kemahuannya. Bukan benih yang terhasil dari cinta yang suci malah benih insan yang bertopengkan binatang. Anak tak sah taraf. Hasil perbuatan keji perogol yang langsung bukan kehendaknya.

Salahkah jikalau dia membenci? Salahkah andai rasa jijik ini tidak mampu dibuang? Ya! Bukan salahnya. Dia tidak minta ia jadi begini. Sungguh, dia tak pinta!

Tiba-tiba pintu biliknya ditendang kuat dari luar. Bunyinya menambahkan lagi kebisingan suara bayi yang menangis kelaparan. “Kau memang tak pandai jaga anak kau ke hah? Bingit telinga aku ni menadahnya. Bising! Dahlah jijik! Budak macam tu tak layak ada dalam rumah ni. Eh, budak tu tak layak untuk hidup pun lah!”

Turun dan naik dadanya mendengar amarah itu. Matanya yang merah,menjeling si bayi yang masih tidak berhenti menangis. Tiada walau sedetik rasa untuk menyayanginya termasuklah rasa untuk membela nasibnya. Langsung tidak terlintas di hati. Rasa itu tidak pernah wujud kerana wajah suci itu turut membawa memori gelap yang ingin dihapuskan.

“Aku dah suruh kau gugurkan budak jijik tu tapi kau takut! Takut! Takut!” Pintu dibuka dengan kuat. Mata tajam milik perempuan yang menyandang status emak olehnya merenung tajam bayi yang tidak berdosa itu. “Haa sekarang kau tanggunglah azab menjadi ibu kepada anak perogol!”

Bagai dipanah petir yang menyambar, telinganya membahang kepanasan.Terbakar! Jantungnya berdegup amat pantas. Air mata yang ditahan, mengalir seakan bah yang melanda. Jijik! Dia amat jijik memikul gelaran itu! “Saya taknak budak ini. Saya tak nak dia ada dalam rumah ini. Tolonglah buang dia! Bawa dia jauh-jauh dari penglihatan saya!”

Emaknya berdecit penuh amarah dan kebencian. Betapa hancurnya hati seorang ibu yang memiliki satu-satunya anak perempuan yang ditatang bagai minyak yang penuh. Anaknya itu dinoda malah melahirkan zuriat yang langsung tidak layak lahir ke dunia ini.

“Dah tu, kau nak suruh aku bunuh dia sekarang?” Emaknya mendekati dengan riak bengis lalu memegang dagu anak perempuannya itu. Amarahnya tidak mampu ditahan lagi. Ketakutan anaknya dulu membinasakan dirinya sendiri.

Si anak angguk perlahan. Dia takut menjadi pembunuh akan tetapi dia tidak sanggup memegang gelaran ibu kepada anak perogol! Jijik! Status itu terlalu jijik baginya.

Serentak dengan itu, pipinya ditampar kasar. “Jangan jadi bodoh! Dulu kalau kau gugurkan budak ni, kita bukan pembunuh tapi sekarang, dia dah lahir. Dia seorang manusia. Bukannya janin lagi. Kita akan jadi pembunuh jika kita hapuskan dia sekarang!”

“Tapi saya dah menyesal. Saya tak sanggup tengok muka dia. Saya nak dia mati!” Tangannya lantas menggenggam erat tangan emaknya. Air mata tidak henti mengalir. “Saya nak dia berambus daripada hidup saya selamanya!”

Rayuan itu hanya dibalas dengan suara rengusan kasar. Kemudian emaknya merentap tangannya dan melangkah ke luar tanpa sepatah kata balas.

“Tolonglah hapuskan dia. Tolonglah… saya merayu. Saya tak nak dia ada depan mata saya lagi. Saya benci dia. Tolonglah... Tolonglah… saya merayu sangat-sangat!” Bicara kesungguhan itu membuatkan tangisan bayi kedengaran bertambah nyaring. Seolah bayi tersebut faham dirinya amat dibenci dan dipandang hina oleh ibu kandungnya sendiri.

Langkah emaknya terhenti. Dia menjeling bayi yang membingitkan itu. Lalu mengusap kepala anak perempuan yang sedang duduk melutut di kakinya. Hati seorang emak terusik melihat penderitaan sang anak. “Kau diamkan budak tu dulu.Tahulah aku dan bapak kau nak buat apa nanti.”

Ada sinar cahaya menjentik hatinya. Lalu tangis rayu dihentikan serta-merta. Yang tinggal hanya sendu dan rasa lega. “Maksud…”

“Pesalah harus bertanggungjawab. Dia yang pinta diperlakukan sebegitu.” Bibir wanita pertengahan usia itu tersenyum sinis memintas pertanyaan anak perempuannya.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.