Home Novel Cinta Redha TakdirMU
Redha TakdirMU
16/1/2014 11:18:41
7,913
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

D

ESAHAN angin malam, membawa bersamanya beribu pesanan. Mungkin pesanan rindu dari seorang kekasih kepada kekasihnya. Mungkin pesanan kasih yang tidak dapat di ucap, di luah. Rindu serta kasih yang dipendam, lalu mereka pun menjadi pemburu angin malam, sebagai perantara untuk sampaikan perasaan.

“Jauh termenung, kenapa ni Yanti? Dah ketandusan ilham ke? Atau telah lemas di dalam kedukaan?” Adib yang baru pulang ke rumah, tiba-tiba sahaja mengucup leher isterinya dari belakang.

Sememangnya Yanti sedang mengelamun. Terapung di dalam perasaan yang tidak bersempadan. “Tak tahu nak pastikan yang mana satu. Atau mungkin kedua-duanya sekali. Pandai abang meneka, ya.” Dia menoleh kepada Adib.

“Alah! Biasalah Yanti! Masyarakat kita ni, terutama bangsa kita, Melayu, memang suka dengan kesedihan! Kalau yang luka tu, yang derita, itulah yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayat. Sekiranya boleh, nak diceritakan kepada semua orang. Biar semua orang tahu!” Adib mengomel sambil menanggalkan baju T yang membalut tubuhnya.

“Tengoklah drama-drama di televisyen tu! Selalu sangat endingnya mengundang air mata penonton! Nak-nak penontonnya dari kalangan wanita macam Yanti ni” Adib ketawa. Kemudian dia menghulurkan baju T yang ditangannya kepada Yanti.

“Eleh! Macamlah abang hidup tak pernah mengalami kedukaan! Kesedihan! Lelaki ni kalau bersedih lagi dasyat tau, terus sewel agaknya!” Yanti cuba berseloroh dengan Adib.

“tu semua perkara silam, Yanti! Dah berlalu, kita kena lupakan.Hidup harus diteruskan dengan memandang dan melangkah ke depan dengan lebih hati-hati. Bukannya menoleh ke belakang dan berjalan berundur. Kita akan kecundang berulang kali, Yanti.”

‘Wah! Wah! Pandai pula suami aku ni berfalsafah.’ Begitu bisik hati Yanti sambil menjeling ke arah Adib.

“Oh, ya ke? Saya ingat, selepas selesai mengarang cerita kawan saya tu, saya karangkan cerita silam abang pulak lah.” Yanti mengusik lagi sambil melirik ke arah Adib yang sedang menyalin seluar.

Adib ketawa. “Takkan terkorek cerita silam abang! Macam mana Yanti nak tulis!” Adib bagaikan mencabar.

“Eleh! Kalau hati abang pun saya boleh korek, takkan kisah silam tu saya tak boleh nak selam!” Yanti memeluk lengan Adib dan mencium bahu suaminya itu dengan perasaan kasih sayang.

“Orang lelaki ni, tak serupa dengan wanita. Sama ada dari fizikal atau sikapnya. Hal-hal silam yang remeh tu untuk apa dikisahkan! Biarkan saja berlalu! Tak ada yang istimewanya. Dah basi!” Lagi-lagi Adib bagaikan tidak mahu mengerti dengan keinginan Lidya.

“Ikhlas saya tanya ni, bang! Ada tak kisah-kisah yang abang tak boleh lupakan hingga ke saat ini. Bila dikenang, hati terasa ditusuk sembilu. Ada tak?” Yanti mendakap Adib, sambil cuba mengorek rahsia hatinya.

“Dahlah! Pergi buatkan abang air panas!” Adib melepaskan dakapan Yanti serta mencapai tuala yang tersangkut di dinding berhampiran, lalu menuju ke bilik mandi.

Yanti menuju ke dapur untuk membancuh air. Air yang sudah dibancuh di bawa ke bilik.

Adib sudah terlentang keletihan di atas katil.

“Hmm, bang! Minggu ini, kita pergi melawat kawan saya tu sama-sama, ya?” Yanti bersuara perlahan. Hampir tiga bulan dia berulang ke hospital melawat Lidya, belum sempat mengenalkan Adib kepada Lidya.

“Insya-ALLAH! Tapi abang rasa berat hatilah Yanti! Tak tahu mengapa? Jangan-jangan bila abang pergi melawatnya, kawan Yanti tu terkejut dan terus ucapkan selamat tinggal kepada dunia ni!” ujar Adib dengan suara perlahan dan lemah. Mungkin dia terlalu letih.

“Abang ni, cakap begitu pula! Kalau tak mahu pergi tu, cakap saja tak mahu, mendoakan yang bukan-bukan pula!” Yanti pura-pura merajuk. Kepalanya direbahkan di atas lengan Adib.

“Hmm, dahlah, mengantuk ni! Tidurlah! Ini rumah tangga kita. Katil ni tempat tidur kita. Jangan memikirkan yang lain selain daripada abang sewaktu kita berdua sedang berehat begini!” Adib merapatkan tubuhnya ke tubuh Yanti. Hidungnya hinggap di pipi isterinya itu berulang kali sambil memeluk mesra.

Yanti membalas pelukannya dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

5.30 pagi telefon talian tetap di rumah mereka berdering. Dengan mata separuh terpejam, tangan Yanti mencapai gagang telefon. Suara yang kedengaran di telefon menyampaikan berita yang menyentak hatinya. Berita yang amat menikam. Hancur luluh rasa jiwa dan raganya. Tak ingin mempercayai, tapi takdir itu tetap nyata. “Astaghfirullahil’azimmm...Innalilahil Wainna Ilahirrrojiunn...”

Kembali sahaja gagang telefon ke tempatnya, dia menggoyang-goyangkan tubuh Adib, cuba membangunkannya. Air matanya pun sudah berderai-derai membasahi pipi.

“Kenapa ni sayang? Yanti! Kenapa ni?” Adib terus memeluk Yanti yang terus-terusan meraung.

“IBU! Ibu!” Alia muncul di bilik sebaik sahaja Yanti selesai berpakaian selepas mandi pagi itu.

Yanti baru lepas mandi. Semua penghuni rumah itu bangun lewat pagi ini. Tengah malam semalam mereka baru tiba dari kampung. Hampir sebulan mereka berada di kampung selepas kematian ibu Yanti.“Nak apa sayang?” Dia mendepangkan tangan. Alia dirangkul dengan rasa kasih. Mata Alia merah, digenangi air. Rambutnya yang kerinting itu diusapnya perlahan, dengan kasih sayang.“Anak ibu demam ni!” Dia membelai-belai seluruh tubuh Alia. Panas.

“Anak ayah demam?” Adib tiba-tiba mencelah. Dia baru keluar dari bilik mandi. Dia pula memeluk Alia. “Semalam main panas ya, Alia?” Dia menyoal Alia sambil matanya memandang kepada Yanti. Seolah menyalahkan isterinya itu.

“ Alah! Budak-budak ni bang, degil! Semalam sampai tengah hari mereka tiga beradik asyik bermain di halaman rumah tu!” Yanti menceritakan kepada Adib dengan jujur. Perkara yang sebenarnya.

“Mengapa awak tak halang? Duduk di rumah jagalah budak-budak! Cuaca panas sekarang ni! Kelmarin-kelmarin betullah, kita di kampung tetapi sebelum ini pun abang tengok Yanti dah mula tak endahkan budak-budak ini. Asyik mengadap komputer saja!” Adib bersuara perlahan.

Walaupun tidak dengan nada marah, hati Yanti tercuit. “Maafkan saya, bang! Kita bawa Alia pergi klinik!” Dia memegang lengan Adib dengan pandangan mata memujuk. Pandangan mata mereka bertemu.

Adib mengangguk dengan wajah yang serius.

“Balik dari klinik, baru kita pergi melawat kawan Yanti!.” Yanti teringatkan janjinya kepada Lidya.

Adib tidak menjawab. Alia didukungannya.

“Ibu! Ayah!” Suara Fareez yang terjerit dari biliknya menyebabkan Yanti dan Adib berkejar menerpa.Alia di dukungan Adib.

“Ibu! Mata tak boleh buka! Dah buta! Dah buta!” Fareez, meraung seperti budak berumur dua tahun.

Adib menurunkan Alia dari dukungan lalu duduk di katil di sisi Fareez.“Dah kena sakit mata pula yang sorang ni! Yang sorang tu macam mana?”

Yanti faham, Adib sedang meletakkan kesalahan itu di bahunya. Farhan, masih tidur di katilnya. Dia pergi mendapatkan Farhan dan merasa tubuh anak itu. Suam-suam. Mungkin, Farhan juga demam, sama seperti Alia.

“Yanti! Pergi ambil air suam dan kapas. Nak cuci tahi mata Fareez ni! Lepas tu awak pergi siapkan sarapan. Biar abang mandikan semua budak-budak ni. Kemudiannya kita pergi klinik! Ingatkan hari cuti nak berehat. Pergi jalan-jalan dengan anak isteri, ni semua dah tak sihat. Balik dari klinik, semua kena berehat di rumah!” Adib mula membebel.

Yanti mengikut arahan suaminya itu. Selama perkahwinan mereka, sememangnya Yanti tidak pernah membantah cakap Adib. ‘Alamak! Bagaimana nak melawat Lidya?’ Sambil menyiapkan sarapan, dia diburu perasaan serba salah dan tidak menentu.Dia pasti, Lidya tertunggu-tunggu. Sudah sebulan mereka tidak bertemu.

MUJUR mereka tidak lama di klinik. Pukul 11 pagi mereka telah pulang ke rumah. Yanti hanya membeli makanan di restoran untuk hidangan tengah hari.

“Bila anak-anak tidur, abang hantar Yanti ke hospital! Sementara tu minta Kak Siah tengokkan mereka. Lepas tu abang jaga mereka di rumah!” Adib melirik kepada Yanti. Cuba memujuk isterinya itu. Dia faham, Yanti berkecil hati kerana leterannya pagi tadi.

Yanti yang sedang menyuap Alia makan, terus melagakan pipinya dengan pipi Adib yang berada di sisi kerana benar-benar terkejut dan rasa terharu dengan kata-kata Adib itu. Sememangnya Adib seorang lelaki yang memahami dan penyayang. “Terima kasih, bang!I love you!” bisiknya.

“Yey! Ibu kata I love you!” Fareez yang sedang menyuap nasinya tiba-tiba menyampuk.

Adib dan Yanti tergelak.

“Hah! Ajuk cakap ibu, esok pagi mata tak boleh buka terus!” Yanti mengusik Fareez yang terkebil-kebil memandang mereka suami isteri sambil tersengih.

TENGAH hari itu, sewaktu pergi ke hospital untuk melawat Lidya, Yanti kehampaan. Lidya tiada dikatilnya

“Sebentar puan, Puan Yanti, kan? Tak silap saya Kak Lidya ada tinggalkan sesuatu untuk puan! Tunggu ya!” Norini menuju ke kaunter wad itu dan mengambil sesuatu di dalam kabinet. Satu sampul surat besar yang sudah lusuh. Tidak tahu apa yang terkandung di dalam sampul surat itu.

“Terima kasih,” ujar Yanti. Sampul surat bertukar tangan. Dia terus berjalan meninggalkan wad itu menuju ke medan letak kereta. Mujur Adib masih ada di situ. Belum meninggalkan perkarangan hospital. Dari jauh kelihatan Adib dan anak-anak sedang berlegar-legar di sekitar kereta. Mujur cuaca redup.

“Ibu, aiskrim!” Alia menghampiri Yanti sambil berjalan terkedek-kedek. Sebelah tangannya memegang aiskrim, sebelah tangan lagi memegang tisu. Bibir dan sekitarnya comot dengan aiskrim.

“Patutlah tak mahu tinggal di rumah! Asyik nak ikut ibu! Dapat makan aiskrim, ya” Yanti mendukung Alia. “ Comotnya sayang ibu ni,” ujar Yanti lagi sambil menyental bibir Alia dengan tisu.

“Abang ni, kan budak-budak demam, batuk. Buat apa dibelikan aiskrim?” Yanti memandang Adib yang asyik melayan Farhan dan Fareez makan aiskrim di dalam mangkuk kertas.

“Habis tu, dah merengek! Ayah nak aiskrim! Ayah nak aiskrim! Selagi tak dibelikan, selagi itulah asyik memekak, budak-budak ni. Buat malu kat orang! Nanti orang ingat abang tak mampu nak belikan anak-anak aiskrim!” Adib bersuara perlahan sambil mencebirkan bibirnya.

Yanti tersenyum lebar. “Baru abang tahu! Begitulah nak melayan mereka!” Dia bagaikan memulangkan paku buah keras.

“Jomlah balik! Mata budak-budak ni dah kuyu, mengantuk! Tetapi sengaja dipaksa-paksa mata tu supaya terjegil. Nakal!” Adib mengheret Farhan dan Fareez ke kereta.

Yanti mendukung Alia.

“HMM, susah hati nampak! Sejak dalam kereta tadi, Yanti tak bercakap apa-apa dengan abang. Kenapa ni? Di depan Yanti ni, suami. Yang sedang tidur tergolek di atas katil dalam bilik tu anak-anak kita! Walaupun mereka bukan zuriat kita, tapi kita telah berjanji akan menjaga mereka seperti anak sendiri!.” Adib mengangkat dagu Yanti dengan kasih sayang.

Waktu itu Yanti dan Adib di ruang tamu.Selepas makan tengah hari dan diberi ubat, semua anak-anak mereka mengantuk dan tidur. Barulah mereka berpeluang untuk berduaan dengan tenang.

“Saya risau!” Adu Yanti.

Adib mengangkat keningnya. Memberi isyarat supaya Yanti meneruskan cerita.

“Dia dah discharged!.”Yanti menyembunyikan kesedihan. Matanya merenung ke luar pintu.

“Oh! Patutlah tadi awak sekejap saja! Hairan juga saya. Selalunya duduk bersama dengan kawan awak tu berjam-jam. Entah apa yang diceritakan sehingga awak tak jemu.” Tiga patah perkataan yang keluar daripada bibir Yanti, dijawab oleh Adib dengan tiga puluh patah perkataan.

“Alah! Abang ni, saya sedang sedih ni! Mesti dia kecewa menanti kedatangan saya. Tapi saya tak datang! Dia keluar wad sebelum sempat saya datang seperti yang dijanjikan.” Yanti berkata dengan wajah yang monyok.

“La! Eloklah tu. Keluar dari wad maksudnya dah sembuh! Alhamdulillah... Tak payahlah isteri abang melawatnya setiap minggu. Tak payah lagi mengarang cerita untuknya. Umurnya masih panjang, bolehlah dia mengarang sendiri.Cerita suka ke? Derita ke?”

“Ala! Abang tak pernah kenal dengannya. Itu sebab, abang macam tak suka saja saya berdampingan dengan dia. Kalau abang pernah kenal dengan dia dulu, entah-entah sampai hari ini abang tidak pernah lupa!” Yanti memuncung bibir. Tidak bersetuju dengan percakapan yang di dengarinya tadi.

“Tengok tu, belum lagi dia mati, hantunya dah masuk ke dalam badan awak! Nanti kalau dia mati, abang pun Yanti dah tak kenal lagi agaknya. Tengok abang, nampak macam dia!” Adib bercakap sesuka hatinya. Sengaja untuk menduga Yanti.

“Yanti, abang nak Yanti berjanji dengan abang, manuskrip yang Yanti sedang karang tu adalah yang pertama dan terakhir! Abang tak mau berkongsi kasih dengan komputer tu tau!” Adib terus merungut dengan suara perlahan. Sahlah, dia sedang dilanda perasaan cemburu luar biasa. “Abang rasa, kalau kawan Yanti cepat pergi dari sini pun lagi bagus! Perasaan abang rasa tak selesalah sejak Yanti bertemu dengan dia” Luahan hati Adib yang terlalu berterus terang itu mengejutkan Yanti.

“Abang!” Perasaan Yanti menjengkil mendengar kata-kata Adib. Malas melayani leteran Adib, dia beredar ke bilik dan membuka sampul surat yang dibawanya dari hospital tadi. Di dalamnya terkandung sebuah buku catatan yang dipenuhi oleh tulisan tangan Lidya. Dia tidak sabar untuk membaca catatan yang dinamakan oleh Lidya sebagai ‘Redha TakdirMU)


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.