Home Novel Cinta Redha TakdirMU
Redha TakdirMU
16/1/2014 11:18:41
7,360
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1


CUACA pada malam itu sejuk sekali. Angin yang bertiup lembut melalui celah kaca jendela menyentuhi tubuh Yanti. Dari jendela kaca yang terbuka, ma-tanya sesekali merenung bulan penuh yang caha-yanya kadangkala menyinari halaman rumah. Sesekali bulan tenggelam kerana dipeluk awan-gemawan yang bergumpal. Halaman rumah pun didakap kegelapan.

Hampir dua jam dia mengadap komputer peribadi di dalam bilik bacaan suaminya. Lenguh juga jejarinya mengetuk papan kekunci. Malam semakin larut. Bunyi cengkerik sesekali mencecah gegendang telinga. Kawasan rumahnya yang terletak dipinggir bandar sering saja menjadi tempat sang cengkerik berpesta dan berlagu. Namun, lagu itu seolah menjadi hiburan walaupun iramanya sumbang.

Selepas menidurkan anak-anaknya kira-kira pukul 10.30 malam tadi, Yanti terus bertekad untuk memulakan karangannya. Sesuatu yang amat lucu baginya. ‘Yanti mengarang’.

‘Bagaimana harus kumulakan cerita ini. Bagaimana aku harus mengarangnya seperti yang diharapkan oleh sahabatku, Lidya. Sungguh aku tidak tahu. Namun, bolehkah aku teruskan sikap tidak tahu itu tanpa mencuba terlebih dahulu.’ Begitulah bisik hati Yanti.

Kotak fikirnya terus berkata sambil jejari tangan memetik papan kekunci selepas isyak tadi.

Perbualannya dengan Lidya siang tadi seakan terngiang di telinga.

LIDYA, teman sekelas dan rakan karibnya sewaktu bersekolah dulu. Tidak tahu apa yang tersembunyi di dalam aturan ALLAH, mereka diketemukan semula selepas berpuluh tahun berpisah.Sebaik sahaja tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri.Walaupun sekampung, masing-masing merantau jauh dan langsung tidak bertemu.

Pertemuan semula itu berlaku di hospital. Secara kebetulan Yanti melawat jiran yang sedang sakit di hospital itu. Tidak sangka pula, jiran sebelah katilnya adalah sahabat lamanya. Lidya. Sejak hari itu dia sering mengunjungi Lidya untuk menghiburkan hatinya, sambil mengenangi nostalgia manis sewaktu persekolahan dulu.

“Yanti! Kau tolonglah aku. Tuliskanlah kisah ini! Tolonglah.”

Begitu rayu Lidya kepada Yanti yang datang melawatnya di hospital. Tangannya menggenggam tangan Yanti dengan erat.

Yanti merenung wajah Lidya yang sayu. Mata yang tidak lagi bercahaya seperti waktu dulu. Lidya yang dikenalinya adalah seorang yang amat periang, kelakar. Dia gemar ketawa tetapi lurus bendul orangnya. Wajahnya selalu berseri kerana keriangan yang ditunjukkannya. Lidya disenangi oleh semua penghuni kelas mereka pada waktu itu. Namun kini, segalanya berubah. Lidya bagaikan sebatang pohon yang tumbuh di tanah yang gersang. Kurang air, tanpa baja. Lalu pohon itu hidup tak sepenuhnya. Kering, layu.

“Lidya... kau ni bergurau yang bukan-bukan pulak! Kan sewaktu sekolah dulu, karangan yang cikgu suruh buat pun, kau yang karangkan untuk aku!” ucap Yanti sambil ketawa dan mengusap-ngusap lengan Lidya yang semakin menampakkan tulangnya. Tulang yang bersembunyi di sebalik kulitnya yang agak kering.

“Aku tidak boleh mengarang lagi Yanti. Puas aku cuba, tetapi karya yang kuhasilkan seolah-olah tidak berjiwa. Hampir setahun aku cuba mengarang kisah ini, tetapi aku tidak mampu. Ilhamku tandus. Jiwaku kering. Semangatku lenyap,” kata Lidya dengan suara yang tersekat-sekat mengatur bicara. Matanya menatap wajah Yanti. Bibirnya tersenyum, cuba memujuk.

“Lidya, yang pergi tu tetap pergi. Dia hanya bawa dirinya, jasadnya, rohnya, amal ibadatnya... seperti apa yang ditentukan oleh TUHAN. Idham tak bawa kau bersamanya. Semangat kau masih ada. Jiwa kau masih milikmu.” Yanti cuba memberi nasihat. Wajah bujur sirih Lidya direnungnya lama-lama. Rambut Lidya yang ikal, terjurai ke paras leher.

“Bukan kerana Idham, tetapi kehilanganku ini sudah lama. Sudah bertahun aku hidup seolah tiada berjiwa, tiada semangat. Aku manusia mati yang masih melata di bumi. Sewaktu Idham masih ada, aku harus menyembunyikan segalanya. Aku harus menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri untuk memberi kebahagiaan kepadanya, walaupun sebenarnya batinku dimamah derita setiap saat.” Lidya mengesat air mata di pipi kirinya dengan lengan baju yang dipakainya iaitu seragam hospital yang berwarna merah jambu.

“Aku tidak mahu mengecewakan Idham di hujung-hujung usianya,” suaranya seakan berbisik. Bisikan itu bagaikan untuk dirinya sendiri.

“Aku korbankan segalanya untuk Idham. Usia mudaku, wang ringgitku, keluargaku, bahkan segala-galanya. Tidak mengapa aku berkorban untuk kebahagiaan orang lain sehingga ke akhir hayat mereka, walaupun mereka tidak pernah untuk memikirkan atau berkorban untuk kegembiraanku walau sesaat,“ suaranya perlahan dan tertahan-tahan. Dia seolahnya telah kecewa dengan kehidupan yang pernah dilaluinya.

Kata-kata yang diungkapkannya begitu menyentuh hati Yanti. Wanita itu tidak dapat menahan sebaknya lalu air mata yang bertakung dipenjuru matanya merembes juga membasahi pipi. “Lidya.” Lalu tubuh Lidya dipeluknya.

Lidya masih cuba menahan tangisannya. Bibirnya bergetar. Pandangan matanya menikam ke dalam mata Yanti, meraih simpati wanita itu. “Berjanjilah, Yanti! Kau akan karangkan untuk aku. Aku mahu dia tahu bahawa aku terlalu menyintainya. Tidak pernah aku membencinya. Aku menyintainya sehingga ke saat ini. Aku tidak pernah melupakannya walaupun sedetik. Apa yang aku lakukan adalah pengorbanan yang telah memakan diriku sendiri untuk kebahagiaan orang lain.”

“Lidya, Idham sudah mati. Bagaimana seorang yang sudah mati boleh membaca manuskrip yang bakalku karang ini, sekiranya ia diterbitkan menjadi sebuah novel?” Buntu fikiran Yanti dengan bicara Lidya. Wanita tinggi lampai dan berwajah bujur itu merenungi Lidya lama-lama. Cuba membaca isi hati sahabatnya itu di sebalik wajahnya yang muram.

“Aku bukan cuba bercerita kepada Idham. Aku akan pergi kepadanya tidak berapa lama lagi.” Lidya menelan air liur. Dia begitu yakin, kematian akan mengunjunginya dalam waktu yang terdekat.

“Habis tu, siapa lagi kalau bukan Idham?” Yanti merenung mata Lidya dengan pandangan lembut. Pada fikirannya, Lidya sedang meracau atau tertekan atau terganggu perasaannya lalu membicarakan yang bukan-bukan.

“Syamil!” Lidya menundukkan wajahnya. Tangannya mengurut-ngurut dadanya yang semakin leper tidak berdaging. Dia terus tunduk untuk beberapa ketika tanpa suara. Bibirnya bergetar seolah ingin menyatakan sesuatu, tetapi tidak ada perkataan yang keluar dari bibir kering itu.

“Syamil? Siapa Syamil, Lidya? Eh! Kau tidak pernah bercerita tentangnya kepada aku sebelum ini.” Separuh berbisik, Yanti mengutarakan pertanyaan kepada Lidya. Dahinya berkerut dan merenung Lidya yang tersandar pada bantal yang disendengkan di kepala katil.

Wajah mendung Lidya semakin gerhana. Yang Yanti tahu, Lidya menikahi Idham 15 tahun yang lalu. Lidya memang sudah mengenali Idham semenjak di sekolah menengah lagi. Mengapa pula harus ada Syamil?

“Yanti, di akhir-akhir waktu ini aku terlalu merinduinya. Rindu yang teramat sangat. Rindu yang terlalu dalam.” Lidya mengesat air mata yang terus mengalir di pipinya. Air mukanya membayangkan penderitaan batin yang ditanggungnya.

Simpati Yanti terhadap Lidya semakin menggunung.Keinginan untuk membantunya bertandang di ruang hati. “Lidya, kau tahu dimana Syamil berada?” Melihat kesedihan yang terukir di wajah sahabat lamanya itu, meronta-ronta hatinya untuk membantu sebanyak yang boleh.

Lidya memandang Yanti dengan pandangan sayu. Tangan kanannya memegang tangan Yanti dan membawa ke dada kirinya. Dibiarkan melekap di atas payudaranya yang semakin tidak berisi. Kedua-dua tangannya menindih tangan Yanti. “Syamil sentiasa berada di sini, Yanti, di hatiku sehingga aku memejamkan mata buat kali terakhir.” Ada sendu di hujung bicaranya. Dia berkata sambil memejamkan matanya. Seolah-olah cuba membayangkan Syamil. Merapatkan Syamil dalam dakapan hatinya.

“Lidya, jangan disebut perkara yang akan melemahkan jiwamu.” Yanti cuba mententeramkan perasaan Lidya. Belakangnya diusap dan dibelai perlahan-lahan.

“Yanti, jiwaku dah tak ada lagi!” Lidya terus merepek.

Yanti memandang ke arah Lidya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja Lidya berubah sikap. ‘Semalam aku ada datang melawatnya. Kelmarin pun aku tidak lupa untuk menjenguknya. Namun hari ini, Lidya kelihatan berbeza benar. Mungkin fikirannya gelisah kerana menyimpan rahsia derita yang maha dalam. Dan hari ini, dia meminta aku mengisahkan sejarah lukanya. Aku serba salah,’ ujarnya di dalam hati.

“Lidya, aku takut karanganku nanti tidak dapat menepati kehendakmu! Karyaku tidak dapat mencapai maksud yang kau ingin sampaikan.” Akhirnya dia cuba menolak kehendak Lidya dengan suara yang amat perlahan. Wajah Lidya kelihatan semakin muram dan sayu, lalu meranumkan rasa simpati Yanti terhadapnya. Serta merta mencairkan rasa keras hati Yanti. “Baiklah, sayang! Demi kegembiraanmu aku akan karangkan, tetapi dengan satu syarat!” Dia memeluk tubuh Lidya sekali lagi.

Lidya tidak membalas pelukan itu.“Apa syaratnya? Kau perlukan upah?” Dia memandang Yanti dengan mata yang sedikit bercahaya. Senyuman hambar terpalit di bibirnya yang kering.

Yanti mengeleng tanda tidak bersetuju untuk menerima sebarang upah.

“Aku karang dan engkau semak!” Yanti mengenggam tangan Lidya.

Lidya mengangguk tanda bersetuju. Tangan Yanti digenggamnya kembali. “Terima kasih, Yanti. Malam ini enkau mula karang, ya? Minggu depan jika ada waktu terluang untuk melawat aku, kau print dan aku akan baca karangan itu.” Senyumannya mula berseri.

“Okey... kalau begitu, sekarang kau kena ceritakan serba sedikit apa yang harus aku karang.Aku hendak mula di mana? Siapa wataknya? Bagaimana jalan ceritanya?” Yanti terus memberi Lidya harapan.

“Baik, aku akan ceritakan. Aku akan ceritakan daripada mula. Bagaimana kaum lelaki telah memakaikan aku dengan pakaian derita. Dan pakaian itu tidak boleh aku tanggal hingga hari ini!” Ungkap Lidya penuh pengertian.

Yanti melihat wajah Lidya sekali lagi. Rasa simpatinya terhadap wanita itu semakin memenuhi seluruh ruang hati.

“Mula-mula aku akan ceritakan tentang Wahid, bekas tunanganku.” Genggaman tangan Lidya semakin erat.

Yanti hanya mengangguk-angguk tanda menyetujui.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.