Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
9,749
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG

Di satu kawasan perkuburan, sesusuk tubuh sedang duduk bersimpuh dengan berlapikan sehelai tikar mengkuang kecil berdekatan sebuah pusara. Membaca Surah Yaasin dipegang di tangan kanan disulami tangisan halus. Sesekali, tangan kiri menggenggam beberapa helai tisu bergumpal-gumpal, diguna untuk mengelap lelehan air daripada mata dan hidung.

Selesai mengaji, Surah Yaasin dimasukan kembali ke dalam beg tangan di sisi kanan. Tangan mula bertindak, membuang sisa rumput kering di sekitar pusara. Setelah berpuas hati, plastik berisi kelopak daripada pelbagai jenis bunga dan warna dibuka lantas ditabur di atas pusara. Usai, dia melihat batu nisan. 

“Abang.” Meleleh air mata tatkala membaca nama diukir di situ.

Nafas ditarik dan dihela panjang sambil menahan sedu. Dia masih memegang batu nisan putih. Air mata meleleh lagi tapi tidaklah sederas tadi. Hati, diselimuti hiba dan pilu. Hampir dua tahun mendirikan rumahtangga, tidak dapat dilanjutkan hingga ke anak cucu. Pusara suami, dipandang sayu. 

 “Safa, rindukan abang.” Memejam rapat matanya.

Dia mengusap lembut tanah merah di atas pusara. Di sinilah, bersemadinya tubuh suami kesayangan sejak setahun lalu. Dia kerap ke mari, menziarahi pusara suami tanpa rasa jemu. Jika boleh didirikan sebuah rumah di sini, pasti sudah dia lakukan.

Dia menghela nafas panjang lagi. Tatkala rasa sayang terhadap suami mula hadir, Tuhan mengujinya dengan ujian amat besar. Dia kehilangan kekuatan dan semangat. Hampir-hampir tewas. Nyaris-nyaris hilang pedoman hidup. Tercari-cari rentak untuk meneruskan hidup. Kekuatan dan ketabahan suami menjadi pengubat.

Walaupun suaminya diuji dengan penyakit kanser, tidak membuatkan lelaki itu lemah. Kata-kata nasihat dan perangsang daripada suami membuatkan dia kuat. Menjadikan semangat suaminya melawan penyakit dihidapi, dia nekad. Hati, dikentalkan sebaik mungkin walaupun kadangkala hampir tersungkur. Dia tetap bangkit demi suami tercinta. 

Setelah agak lama melayan kesedihan, dia menyeluk ke dalam beg tangan. Satu sampul surat dikeluarkan. Sehelai kertas putih di dalam sampul, ditarik keluar. Ditumpu pandangan ke arah tulisan di atas kertas putih itu. Bait-bait tulisan tertera di permukaan kertas dibaca dalam hati walaupun telah beratus-ratus kali dibaca.

Sayangku Safa.

Hadirnya surat ini abang harap dapatlah mengubati sedikit duka di hatimu. Maafkan abang kerana tak dapat hidup bersama Safa untuk tempoh yang panjang. Abang terus berjuang demimu sayang namun hanya setakat ini abang dapat bertahan. 

Safa Hawani isteriku...

Tiada bahagia tak disulami derita dan begitulah sebaliknya. Adanya sayang di sisi, abang rasa bahagia hingga terlupa sejenak segala kesakitan kian hari kian ganas mengasak diri ini. Abang rasa sangat bersalah terhadap sayang. Abang seorang suami, hanya tahu membebankan sayang yang sanggup menjaga abang. 

Bersengkang mata siang dan malam demi keselesaan abang. Sayang tak pernah mengeluh, tetap saja abang dilayan umpama seorang raja yang bersemayam dengan gah di atas takhta. Pada hakikatnya, abang sedang menghitung hari. Menanti Malaikat Izrail, datang menjemput. 

Bertabahlah sayangku. Penderitaan sayang pasti akan berakhir tak lama lagi. Jika sayang melihat diri abang merasa sebak, abang lagilah sebak menatapmu wahai isteriku. Peluang abang walaupun hanya singkat hidup bersama Safa akan abang abadikan sehingga bercerai roh daripada jasad. 

Safalah isteri abang, dunia dan akhirat. Maaf kerana tak mampu melayari bahtera kehidupan bersama sayang. Segugus memori indah tercipta antara kita, hanya itu mampu abang berikan untuk diabadikan dalam lipatan kenangan sayang. Relakan pemergian abang. 

Buat terakhir kali ingin abang lafazkan, ‘Abang Cintakan Safa Hawani binti Ramlan.’


Sebaik memejam mata, manik-manik jernih mulai jatuh. Kertas putih di tangan, ditatap lagi tetapi tidak lama. Dengan cermat melipat dan memasukan kembali ke dalam sampul. Muka diangkat, pusara dipandang. 

“Abang, damailah kat sana.”


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.