Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
9,753
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Seorang gadis bersusuk tubuh kecil molek sedang berlenggang-lenggok berjalan di bahu jalan raya yang agak lengang. Di tangan kiri, satu beg plastik kecil berwarna hijau sedang dipegang, dihayun mengikut rentidak hayunan tangan. 

Sambil mengatur langkah, bibir tidak lekang dengan senyuman. Merasa seronok kerana mendapat upah lebih sedikit hari ini. Bertambah lebar senyuman terhias manis di bibir kecil dan mungil kerana kira-kira 200 meter lagi akan sampai ke destinasi. Langkah dihayun semakin laju.

Beginilah rutin hariannya, menolong Mak Cik Melah yang tinggal di hujung kampung. Sudah hampir setahun menjadi ‘tukang goreng’ kuih Mak Cik Melah. Sehari upahnya, RM10. Bolehlah. Dapatlah juga menyimpan untuk keperluan lain. Kerja dilakukan sekadar mencari duit sampingan sahaja. 

PONN!

Terlepas beg plastik sedang dijinjit ke atas rumput. Pantas muka dan mata dihala ke arah manusia yang telah membunyikan hon sebentar tadi. Bibir bawah diketap kuat. Aturan nafas, bertempiaran. Kembang kempis hidung, menyedut dan menghembus udara tidak sesempurna selalu. Dijeling tajam makhluk sedang sengih. 

Dah elok-elok hon berbunyi sesuai dengan motorsikal Honda 125, boleh pula diubah menjadi bunyi seperti hon lori. Inilah manusia. Tidak pernah puas. Selalu mahu mengubah ciptaan sedia ada, mengikut citarasa yang entah apa-apa. Beg plastik terjatuh tadi, dikutip. Mujur tidak terkeluar kuih di dalam plastik. Mujurlah simpulan plastik agak kuat.

“Sorry.” Jelingan tajam si gadis, membuatkan dia menelan air liur. Habislah, mesti kena dengan mak nenek ni.

“Kau terkejut, Safa?” 

Safa Hawani membeliakan mata.  

“Kau, betul-betul terkejutlah ni?” Ahmad Iqbal menelan air liur. 

Safa Hawani merengus.

“Dahlah bunyi hon motor kau tu, kuat. Kalau aku ada penyakit lemah jantung, dah lama pengsan!” Kan. Ahmad Iqbal sudah kena tengking dengannya. 

“Safa, aku...”

“Aku, aku. Kau dah kenapa? Suka-suka hati, tahan orang tengah jalan? Nak kena ni?” Safa Hawani mengacu buku lima.

“Amboi, garangnya mak cik ni.”

“Apa mak cik-mak cik? Kau dengan aku, sebaya okey.”

“Yelah, yelah. Aku minta maaf. Aku tak sengaja, tertekan hon tadi.” 

“Tak sengaja konon. Blahlah!” Safa Hawani menyengetkan mulut.

Senyap.

“Apa kau nak, Iqbal!”

“Ei, kau ni. Boleh tak ubah sikit nada suara kau tu? Garang semacam. Macam nak telan aku pun ada.”

“Telan kau? Tak selera aku.” Safa Hawani menggoyangkan bahu.

“Amboi mulut kau, Safa. Daftar insuran mahal kot?”

“Mestilah.” Safa Hawani menjeling lagi kemudian menyambung, “Lain kali, buat aku terkejut!”

“Sorry.” Ahmad Iqbal buat muka kesian.

“Sorry, naik lorilah!” Safa Hawani merengus halus.

Senyap.

“Apahal cari aku?”

“Tanya macam ni, kan bagus. Lemah-lembut, lemah-gemalai.”

“Ei lekaslah! Nak apa? Melalut pula dia ni!” Oktaf suara Safa Hawani tinggi kembali. 

“Er Safa. Aku, aku...”

“Aku apa!”

“Nak pinjam buku sejarah kau.” Dengan sekali nafas Ahmad Iqbal berkata kemudian menyambung, “Aku tak sempat salin soalan Cikgu Jamilah semalam.” 

“Tu aje?” Safa Hawani menjegil.

“Janganlah buat mata macam tu, Safa. Takutlah.”

Safa Hawani mencebik. Menyampah. Ahmad Iqbal bermuka kacak tapi sayang, suka berlagak lembut. 

“Sikit-sikit takut. Meluat aku. Iqbal oi, perempuan pun tak sepenakut macam kau, tau.” Mulut dijuih. 

‘Perempuan lain mungkin penakut tapi kau, tak Safa.’ Ahmad Iqbal sengih dalam hati. Berani cakap kuat-kuat?

“Tak baik kau kata kat aku, Safa. Dah aku memang macam ni dari kecil, nak buat macam mana? Cepatlah Safa, nak bagi pinjam tak?”

“Kalau aku tak nak bagi?”

“Janganlah macam ni. Kau, tak sayang aku?”

“Bila kau jadi pakwe aku? Nak kena bersayang-sayang pula?”

“Tak nak bagi, sudahlah!” 

“Ei, meluat! Merajuk tak kena tempat. Gelilah!” kata Safa Hawani sambil mengangkat kedua bahu kemudian digoyang lembut, tanda geli.

“Safa, bagilah aku pinjam,” rengek Ahmad Iqbal.

“Tunggulah! Buku tu, ada kat rumah. Kau ingat, aku dah hilang akal? Usung buku sekolah merata-rata?” 

“Manalah tahu kalau kau memang tak betul?” 

“Kaukan, Iqbal.” Safa Hawani mengetap gigi. Malas mahu melayankan kerenah Ahmad Iqbal dia berpaling.

“Safa, naiklah. Biar aku hantar kau balik.” Tangan Ahmad Iqbal menepuk lembut kusyen di bahagian belakang.

Pelawaan Ahmad Iqbal telah mengundang Safa Hawani meluaskan biji mata. Dia berpaling. Secara perlahan-lahan, matanya mengecil sebaik melihat Ahmad Iqbal sengih sambil menjongket kening berkali-kali.

“Apasal tengok aku macam tu, Safa? Naik ajelah.”

“Tak nak!”

“Eh, jual mahal pula dia ni. Lekaslah, Safa. Bukan senang aku ajak orang naik motor ni.” Ditepuk lagi kusyen motor.

“Tak kuasa aku. Lembut-lembut kau tetap lelaki, okey. Kau nak nanti sekampung jaja cerita, aku naik motor dengan kau?”

“Amboi, sejak bila jadi ustazah ni?”

“Sejak bila pula, aku pernah naik motor dengan kau?”

“Hesy kau ni, Safa. Kalau bertekak asyik nak menang aje. Bagilah aku chance sikit, menang kali ni.”

“Boleh blah.” Safa Hawani menjelir. 

Ahmad Iqbal ketawa. Menjadi sahabat Safa Hawani, satu perkara terindah dalam hidupnya. Ada yang mengatakan mereka pasangan sejoli. Mana tidak sejoli, yang ‘lembut’ dia dan yang ‘keras’ adalah Safa Hawani. Safa Hawani, bukanlah perempuan jenis tomboy cuma gaya dan lagak agak kasar. Dia pula bukanlah jenis lelaki lembut. 

“Eh, takkanlah aku nak biarkan kau jalan kaki, Safa. Naiklah.”

“Tak nak!”

“Naik ajelah. Aku tak suruh pun kau pegang aku.” 

“Tak kuasa aku. Tu, kat depan tu aje rumah aku. Dah, jom.”

Safa Hawani melajukan langkah. Walau langit nak runtuh sekalipun, membonceng  motor dengan lelaki tiada pertalian dengannya, jangan harap! Walaupun Ahmad Iqbal rapat dengannya sejak dari sekolah rendah, batasan perlu dijaga. 

Baginya, dia tidak kisah berkawan dengan Ahmad Iqbal, si mat patah. Kalau diikutkan, macam-macam gelaran diberi kepada mereka berdua. Ada dia kisah? Yang penting, Ahmad Iqbal, tidak pernah mengambil kesempatan ke atasnya.

“Yang kau tersengih-sengih macam kerang busuk, kenapa?” Sejak Ahmad Iqbal masuk ke dalam rumah Safa Hawani hingga kini, asyik sengih saja mak nenek ni. Berkerut keningnya.

Safa Hawani terkejut. Asyik mengelamun hingga tidak sedar dia sudah berada di rumah dan kini sedang duduk di ruang tamu.

“Aku? Sengih?” Safa Hawani meletuskan ketawa yang... 

Ahmad Iqbal menggeleng berkali-kali. Patutkah seorang perempuan gelak kuat macam ni? Kalaulah ada rombongan mahu masuk meminang, mahu lari lintang-pukang nanti sebab ingatkan ada pontianak mengilai. 

“Kau ni, tak larat aku nak tegur. Cubalah gelak perlahan sikit. Tak malu? Kita, perempuan...”

“Op..op kejap. Kita, perempuan?” Jari telunjuk Safa Hawani bergerak, antara dia dengan Ahmad Iqbal .

“Tak habis cakap dah potong. Safa, awak tu perempuan. Jaga sikit perangai.”

“Iqbal. Kau tak hilang ingatan, kan?”

Ahmad Iqbal menggeleng kuat. 

“Apasal tanya macam tu pula, Safa? Aku elok aje. Waras lagi.” 

“Macam baru kenal aku pula. Aku, kan dah biasa gelak macam ni. ”

“Sebab dah biasalah aku tegur. Jangan sampai sebati perangai tu dengan kau, Safa. Tak manis tau.”

“Berleterlah pula dia ni.” Safa Hawani mencebik.

Senyap.

“Tengoklah. Kalau aku dah ada boyfriend nanti aku ubahlah gelak aku ni.” Safa Hawani sengih. Nasihat Ahmad Iqbal tidak pernah disemat baik-baik dalam kepala. Masuk telinga kanan akan dipastikan keluar ke telinga kiri pula.

“Hmm, yelah tu. Kalau boyfriend kau tu aku, tak apalah juga. Kalau dengan lelaki lain, tak tahulah aku. Takut diorang fikir, terkawan dengan pontianak pula. Betul tak cakap aku, Safa?” 

Safa Hawani gelak lagi besar hingga mengekek-ngekek sambil menekan perut. Keras urat perut kerana asyik ketawa. Lawak Ahmad Iqbal sangatlah menggeletek hati hingga memaksa dia gelak luar biasa hari ini.

Ahmad Iqbal semakin kuat menggeleng. Berbuih-buih sudah mulut menegur, langsung tidak diendahkan. 

‘Haish, memang tak makan saman betullah ‘mak nenek’ ni. Buang masa bagi nasihat.’ Ahmad Iqbal menghela nafas perlahan.

“Dah puas gelak, Safa?”

“Kau, couple dengan aku?” Safa Hawani gelak sinis kemudian menyambung, “Tak pernah muncul pun dalam mimpi aku perkara tu sepanjang kenal kau, Iqbal.” Safa Hawani mengelap hujung mata yang berair dengan jari telunjuk. 

“Kau jangan perkecilkan aku, Safa. Buatnya masin mulut aku ni, baru kau tahu.”

“Kau tunggu kejap Iqbal.” Sepantas kilat Safa Hawani menghilang ke dapur.

Ahmad Iqbal terpinga-pinga hanya membiarkan sahaja.

Tidak lama kemudian, Safa Hawani ke ruang tamu kembali sedang kedua tangan menatang dulang.

“Buat susah kau, Safa.” Sempat Ahmad Iqbal mengerling dulang. Terdapat secawan air teh dan dua biji kuih donut di dalam sebuah piring.

Safa Hawani sengih.

“Iqbal, nah. Minumlah teh o suam ni.” Cawan dihulur.

Ahmad Iqbal tanpa segan silu pantas mengambil cawan tersebut. Disua ke mulut kemudian kedengaran bunyi dia menghirup. Tidak lama kemudian, terkebil-kebil matanya.

“Ada lori gula terbalik dalam air teh kau, Safa?” 

Safa Hawani lantas gelak.

Ahmad Iqbal mengerut kening.

“Memang aku sengaja lebihkan gula.”

“Kau kan tahu, aku mana minum manis?” Ahmad Iqbal meletak kembali cawan ke meja.

“Taklah. Manalah tahu, masin mulut kau tu boleh dikurangkan.” Acara gelak secara kuat diteruskan kembali oleh Safa Hawani.  

“Kau ni, suka kenakan aku.” Ahmad Iqbal menjeling. Bertuah punya kawan. Ingatkan bolehlah hilangkan dahaga, terkena pula dia.

“Dahlah, malas nak layan kau lagi. Mana buku sejarah tu, Safa? Aku dah lambat ni. Bising mama aku nanti. Janji nak keluar kejap, ni dah dekat setengah jam aku kat rumah kau.”

“Pergh. Berjela-jela alasan kau ya, Iqbal. Tunggu. Aku pergi ambil.”

Ahmad Iqbal menyambar sebiji donut. Menyua ke mulut. Digigit sedikit dan mula mengunyah sambil mimik muka menunjukan bahawa dia sedang menikmati kunyahan. Sesuatu rasa sedang meresap perlahan-lahan ke jiwa. 

‘Sedaplah pula donut Mak Cik Melah ni. Selalunya, takdelah gebu macam ni.’ Dia menggigit dan mengunyah lagi. 

“Nah, Iqbal!”

“Oh sedap!”

Safa Hawani tidak melepaskan peluang lantas gelak semahu-mahunya. Lucu, melihat gelagat Ahmad Iqbal yang terkejut hingga terpelanting donut berbaki setengah ke lantai. 

“Kau ni. Sayanglah donut tu. Dahlah sedap.” Ahmad Iqbal melirik ke arah donut di lantai. Lantas mengutip semula. Sehelai tisu diambil dari dalam kotak di atas meja berdekatan, ditarik lalu dilap sekitar kawasan donut terjatuh. Bimbang akan dihurungi oleh sang semut pula nanti.

“Iqbal, biarkan. Nanti aku laplah.”

“Elok dah habis lap, baru nak cakap.” Ahmad Iqbal mencebik. Dia kembali ke sofa, melabuhkan duduk. Donut dikutip tadi diletakan semula di atas dulang.

“Selalunya, kau merungut tak sedap. Ada aje komen kau pasal donut Mak Cik Melah tu. Keraslah. Tak gebulah. Itulah, inilah.”

“Itu dulu. Tapi hari ni, sedaplah pula. Gebu, lembut. Eh Safa, Mak Cik Melah taruk apa dalam donut tu?”

“Kau nak tahu Mak Cik Melah taruk apa?” Safa Hawani buat-buat memandang keliling. Dia menginjak sedikit tubuh supaya lebih dekat dengan Ahmad Iqbal tetapi masih berjarak besar hingga seekor gajah pun boleh lalu.

“Kalau aku cerita, kau jangan heboh kat orang lain pula. Naya nanti aku kena bebel dengan Mak Cik Melah tu kalau dia tahu aku dah pecah lubang rahsia resepi dia.” Nada suara dan lagak Safa Hawani sudah macam minah kepoh. 

“Janji tau.” Safa Hawani memandang muka Ahmad Iqbal.

“Aku janji.” Ahmad Iqbal mengangkat tangan seperti mahu membaca ikrar. Dia benar-benar berminat mahu tahu isi kandungan resepi kuih donut itu. Mana tidak, tiba-tiba boleh jadi sedap dan gebu.

“Kalau kau nak tahu, dia letak tepung, gula, marjerin, air. Tapi ada satu benda ni, dia mesti taruk. Kira macam pelarislah. Tak ada benda tu, tak jadi donut-donut ni.” Semakin serius mimik muka Safa Hawani.

“Seram pula aku nak makan kuih Mak Cik Melah lepas ni. Tapi, nak tahulah juga apa pelaris tu?” Ahmad Iqbal semakin teruja.

“Pelaris tu... kau betul-betul nak tahu?” 

“Cepatlah cakap apa dia, Safa?” 

“Ish, kau ni. Tak sabar,” Safa Hawani buat-buat pandang sekeliling lagi kemudian menyambung, “Kau tahu, Mak Cik Melah tu letak...”

“Aku cepuk juga kau, Safa. Lekaslah! Jangan bagi aku suspen, boleh tak?” Geram dia melihat ulah Safa Hawani. Main-main pula. 

“Dia taruk... MAURIPAN.” 

Senyap.

“Siapa mauripan?” Ahmad Iqbal terkebil-kebil.

Safa Hawani meletuskan ketawa besar. Perut semakin senak lantas ditekan dengan perlahan.

“Ei, gelaklah pula dia ni. Cakaplah, siapa mauripan tu?” Ahmad Iqbal mengetap gigi. Geramnya.

“IBU ROTILAH, Iqbal. Benda yang orang guna buat roti, donut...” ketawa disambung kembali tetapi kali ini, tidaklah sekuat tadi.

Dengan spontan Ahmad Iqbal memandang Safa Hawani dengan mata terbeliak. Ceh, terkena lagi.

 “Kau ni... ei, geram betullah. Ingatkan bendasing apalah Mak Cik Melah tu taruk. Dahlah. Layankan kau, apa kerja pun tak jadi. Aku nak baliklah.” Dia bangun kemudian melajukan langkah ke arah pintu. Buku sejarah sudah bertukar tangan. 

“Dah nak balik, Iqbal?” Puan Rohaya menegur sebaik melihat anak muda itu berada di muka pintu.

“Ya mak cik. Boleh sakit jiwa sembang lama-lama dengan Safa tu.” Dia menjeling susuk gadis sedang melaju ke dalam rumah.

“Jangan ambil hati dengan anak mak cik tu, Iqbal.”

“Kalau asyik ambil hati dengan dia, hilang dah hati saya ni, mak cik. Alah, saya kenal sangat dengan anak mak cik tu. Mulut aje macam orang tak daftar insuran tapi hati baik.” Ahmad Iqbal gelak kecil apabila melihat emak sahabatnya juga begitu.

“Ni, mak cik ada buat kerabu mangga. Ambillah.” Puan Rohaya menyua kerabu di dalam bungkusan. 

“Terima kasih, mak cik. Buat susah-susah aje.” 

“Jangan lupa bawa buku aku tu esok!” Safa Hawani memekik dari dalam rumah.

“Yelah.” Ahmad Iqbal lantas menyarung selipar kemudian berjalan mendekati motorsikal yang diparkir di bawah pohon mangga di laman rumah Safa Hawani. Sebaik enjin motor dihidupkan, dia berlalu pergi. 

Safa Hawani berdiri di ambang tingkap, melihat Ahmad Iqbal dengan senyuman terukir di bibir. Gelagat dan telatah pemuda patah tidak pernah menjemukan. Tidak pernah merasa kekok berkawan dengan Ahmad Iqbal. Sambil menyandarkan tubuh di bingkai tingkap sedang kedua tangan bersilang memeluk tubuh, senyuman di bibir semakin lebar. 

“Jangan tenung anak bujang orang lama-lama. Jatuh cinta nanti, baru tahu.”

“Mak ni, terkejut Safa. Mana ada tenung. Safa tengok aje.”

“Habis tu, bukan main lebar senyum Safa bila tengok Iqbal naik motor tadi. Mesti ada apa-apa ni?”

“Mana ada? Mak ni, janganlah serkap jarang.”

“Hah, nak ngelat. Mata mak ni rabun aje bukannya buta. Safa, mak ni orang tua. Banyak dah makan garam jadi...”

“Betullah mak, tak ada apa-apa.” Safa Hawani menggigit bibir bawah sebaik melihat emak senyum sinis.

 “Mak ni. Safa tengok aje. Lagipun, dengan mamat patah tu... tak naklah. Apa? Lelaki sejati dalam dunia ni dah pupus, sampai Safa nak kena pilih dia?”

“Manalah tahu termasin mulut mak ni nanti, jadi betul-betul. Lagipun, mak tengok Iqbal tu baik budaknya. Nak kata tak ada rupa, hensem orangnya. Alah setakat patah, boleh luruskan balik. Zaman sekarang, dah canggih.”

“Mak, kami kawan ajelah. Lagipun, berbeza kita dengan keluarga dia tu. Mak ingat, Mak Cik Sabrina tu suka, Safa kawan dengan Iqbal? Selama ni, Safa buat pekak aje bila dia perli Safa. Macamlah Safa hadap sangat dengan anak dia tu.”

“Tak baik Safa cakap macam ni. Dengar kat Iqbal, kecil hati dia nanti. Buruk-buruk pun, mak dia juga. Tak payah ambil hati dengan Mak Cik Sabrina tu. Yang penting, Safa ikhlas kawan dengan Iqbal.”

“Sebab tak ambil hatilah Safa tetap kawan dengan Iqbal.”

“Baguslah kalau macam tu. Dah, jom. Tolong mak hidang makanan. Bising pula ayah tengok apa pun tak siap lagi.”

“Takut juga mak kat ayah.” Safa Hawani senyum sinis.

“Bukan takutlah, hormat.”

Safa Hawani meletuskan gelak tetapi tidak kuat. Dia menuruti emak dari belakang. Waktu begini, dia dan keluarga akan makan bersama. Segala hal berbangkit tadi, ditolak ke tepi.


Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.