Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
9,757
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Langkah dihayun kalau boleh dipanjangkan sejengkal lagi sudah pasti dilakukan. Gopoh-gapah dia hari ini. Langkah ‘kepit’ bagai perempuan sejati beberapa tahun diamalkan, sedikit pincang. Mengapa perlu terlewat bangun di hari yang begitu penting? Sudahlah hari ini, dia akan menjalani sesi temuduga. Boleh pula terlambat bangun. 

“Harap mahal aje jam loceng tu, habuk pun tak guna. Menyesal aku beli. Buat rugi duit aku aje.” Terkumat-kamit mulutnya kerana merungut. Rengusan demi rengusan, sudah banyak kali kedengaran. Bersiap pun, ala kadar saja. Mujurlah baju yang mahu dipakai pagi ini telah digosok semalam. 

“Kak Sal pun satu! Bukan nak kejutkan aku? Payah betullah dengan kakak sepupu aku sorang ni.” Masih lagi meneruskan rungutan dan kali ini mengenai kakak sepupunya pula. Langkah semakin dilajukan. Kasutnya jika beroda, pasti dia sudah berada di tempat temuduga. 

Kedebuk! 

Dia tergamam! Tegak berdiri umpama patung. Bibir bawah sudah diketap kuat saat melihat wanita yang dilanggar sedang merenungnya dengan tajam. 

“Ma..maaf, cik. Saya tak sengaja.” Air liur ditelan bagaikan tersekat di kerongkong apabila melihat wanita di depan memandangnya atas bawah dengan kening kanan dijongketkan. 

“Mata letak kat mana? Buta?”

Safa Hawani terkedu. Matanya sekejap kecil sekejap besar turut memandang wanita berpakaian korporat, atas bawah. Budi bahasa wanita di depan, malas pula mahu ambil pusing. Pakaian kemas belum tentu ianya melambangkan peribadi yang elok.

 “Bisu!” Dia menjeling tajam orang yang melanggarnya.

“Saya betul-betul minta maaf, cik. Nak cepat tadi.” Safa Hawani memohon maaf lagi. Hati mula membahang sebenarnya. Cuba diajak bertenang. Melebih-lebih pula wanita berpakaian korporat yang tidak berapa korporat perangai, memarahinya.

“Ingat saya hadap sangat perkataan maaf awak tu? Lain kali kalau jalan, tengok depan!” 

Senyap.

“Sombongnya! Ingat aku suka-suka nak langgar dia?” Safa Hawani mencebik mulut sambil mata memerhati wanita itu berlalu dengan lengguk yang... fikir sendirilah. Malas mahu melayankan pemikiran negatif, dia mengatur semula langkah dengan lebih laju.

Tercungap-cungap kerana kepenatan. Sebaik melabuhkan duduk, Safa Hawani menarik nafas dan menghembus nafas panjang supaya lebih bertenang. Macam mana tidak tercungap? Melilau dia, ke sana sini mencari di mana letaknya bilik temuduga? Nasib baik jumpa. 

“Safa Hawani binti Ramlan!”

Dia tersentak, pantas memanggungkan kepala. Bingkas bangun menuju ke bilik diarahkan. Debar di hati semakin menambahkan gemuruh dan hampir lututnya menggigil. Tangan kanan mengetuk pintu. Sayup-sayup dari dalam terdengar suara mengatakan, ‘Masuk’. Pintu kayu berwarna putih dengan ukiran menarik, ditolak. 

‘Mesti mahal pintu ni,’ sempat lagi dia berdesis tentang pintu itu. 

“Duduk.” Bergema suara di dalam bilik yang agak luas. 

Safa Hawani duduk dengan penuh santun. Matanya statik ke arah lelaki sedang menunduk, menatap kertas dipegang. Sempat dia membaca tulisan ‘Pengurus Besar’ di papan nama di atas meja itu. 

Sesekali, matanya meliar ke sekeliling bilik. Hiasan di dalam bilik tersebut kelihatan moden dan mewah. Pasti pemilik bilik ini mempunyai citarasa tinggi. Walaupun lelaki, boleh tahan juga citarasa tentang hiasan dalaman. 

‘Orang berduit. Mesti anak pemilik syarikat ni. Dah kaya, semua boleh beli. Orang berkemampuan. Macam mana pun tak apa.’ Safa Hawani menimbal balik kata hatinya.

“Safa Hawani,” dia berhenti sebentar. Memanggung kepala, memandang gadis di depan yang akan menjadi mangsa pertanyaannya nanti. 

“Safa Hawani binti Ramlan?” Sekali lagi dia bertanya.

“Saya, encik.” Walaupun gugup, Safa Hawani cuba bertenang. Sedikit keyakinan berjaya disuntik. Melihat muka orang bakal menemuduganya, membuatkan jantungnya bergetar sedikit. Bergetar? 

‘Ah, tak mungkin! Aku berdebar sebab temuduga ni. Bukan sebab lain,’ bidasnya. Boleh pula teringat ‘kata-kata keramat’ mat patah saat ini.

“Mengikut resume awak, pegalaman awak masih tak cukup. Jawatan yang awak pohon tu perlukan pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun. Saya perlukan calon yang betul-betul layak.”

“Encik, maaf kalau saya mencelah,”

“Teruskan.”

“Ya, memang pengalaman kerja saya tu singkat. Kalau majikan macam encik tak nak beri peluang pada orang baru macam saya, macam mana nak timba pengalaman? Sampai bila orang baru macam saya ni kena tindas? Sampai bila kami akan disalahkan atas alasan tiada pengalaman? Disebabkan diskriminasi beginilah menyebabkan kadar pengangguran tinggi.”

Senyap.

“Ada betul cakap awak tu. Apa jaminan awak akan beri kalau saya bagi jawatan ni?”

‘Boleh tahan minah ni.’ desisnya. Matanya merenung raut muka milik gadis bernama Safa Hawani.

“Saya akan berkerja dengan dedikasi dan akan beri komitmen penuh.”

“Jawapan yang bagus tapi saya selalu dapat pengalaman buruk dengan jawapan macam ni.”

“Maksud, encik?” Safa Hawani mengerutkan kening. 

‘Pengalaman siapa perlu diambil kira ni? Aku atau dia?’ Geram pula Safa Hawani. Sesuka hati meletakan persepsi buruk terhadap lepasan graduan sepertinya.

“Selalunya graduan macam awak ni akan beri jawapan basi tapi akhirnya macam kaduk naik junjung. Tak boleh ditegur oleh orang lama sebab rasa hebat bila dah pegang ijazah.” Dia menyembunyikan senyuman sebaik melihat air muka Safa Hawani berubah.

“Encik nak kata yang encik memusuhi golongan macam saya?” Safa Hawani semakin berani membalas hujah lelaki itu. Berdesing telinga. Mahu saja melenting. Sabar. 

“Saya tak kata pun macam tu cuma kebanyakannya berperangai macam tu. Kebanyakannya, ya.”

“Jadi, encik ni jenis suka menilai orang dari luaranlah? Encik ni tukang ramal? Boleh tahu bagaimana karektor seseorang hanya dengan sekali pandang? Hebat juga encik ni.” 

Kerana geram, terlupa bahawa dia sedang ditemuduga untuk meminta kerja sehingga terlepas cakap. Ada dikisah. Safa Hawani masih cuba berlagak tenang. Dia tidak mahu mudah melatah. Atau adakah lelaki itu sedang mengujinya. 

“Kalau saya boleh meramal, dah tentu dari awal lagi saya dah tolak calon macam awak. Tak payah buang masa, panggil awak jumpa saya.” Dia senyum sinis sebaik melihat muka di depan berubah riak sedikit. 

“Jadi, permohonan saya ditolaklah?” Nada Safa Hawani bercampur baur. Antara tinggi dan rendah oktafnya.

“Kenapa cepat sangat putus asa, Cik Safa?” Soalannya seakan-akan mengejek. Semakin seronok bertikam lidah. 

“Ini bukan soal putus asa, encik. Kalau dah diperli macam-macam, mestilah perkara negatif akan kita fikir.” Safa Hawani masih enggan mengalah. Dia memandang sekilas lelaki sedang senyum sinis. Hati membahang. Sengihan lelaki itu seperti sedang mengejeknya.

“Nampaknya, awak dah dapat jawapan,”

“Tidak apalah encik. Bumi ni luas. Rezeki ada kat mana-mana. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu.” Terus Safa Hawani bangun. Dia berpusing dan mula mengatur satu langkah.

“Ada saya suruh awak pergi?”

Berhenti. Safa Hawani menoleh dengan pantas. Dahinya berlapis-lapis sebaik melihat raut muka lelaki itu dengan sebaris senyuman di hujung bibir. 

‘Apa lagi dia nak?’ Safa Hawani merengus halus.

“Awak nak ke mana? Temuduga kita belum habis lagi..” Dia mahu ketawa melihat riak keliru jelas di muka Safa Hawani. Ada perancangan lain tiba-tiba menjengah ke kotak fikirannya. Safa Hawani... mengingatkannya pada seseorang. 

“Duduk.” Senyuman nakal kemas tersembunyi di hujung bibir, diukir.

“Kenapa tak nak duduk? Saya tak letak jarum kat kerusi tu.” 

Safa Hawani mendecit perlahan. Lambat-lambat dia menghenyakan semula tubuh ke kerusi tadi. Menurut arahan kerana ingin tahu motif lelaki itu. Kalau lelaki itu mahu mempermainkannya, siaplah! 

“Awak berminat kerja kat sini?” 

“Kalau ada rezeki, saya takkan tolak.”

“Jawatan yang awak pohon tu dah ada calonnya. Cuma ada kekosongan di bahagian lain. Itu pun kalau awak nak jawatan tu.” 

“Jawatan apa?” Safa Hawani curi-curi pandang muka serius lelaki itu. 

“Satu saya nak ingatkan, jawatan tu bukan dalam bidang awak. Jauh sekali dengan kelulusan awak.” 

“Saya tak kisah.” Safa Hawani memandang lelaki itu. Beranilah tenung lama-lama sebab lelaki itu sedang menunduk. 

“Encik, boleh tak katakan jawatan apa yang masih kosong tu?”

Senyap.

“Encik,”

“Jadi pembancuh air untuk saya.” 

Safa Hawani membulatkan mata namun hanya seketika. Dia menggigit bibir sambil merengus halus. Ada juga yang kena pelangkung dengannya nanti. Main-main pula lelaki ini. Belajar setengah mati sampai dapat pointer bagus, disuruh jadi pembancuh air. Patutkah? Haish!

“Macam mana? Setuju tak dengan tawaran saya?” Senyum simpul terkandung maksud nakal, diukir kemas. 

Senyap.

“Awak setuju tak?” 

“Kalau itu tawaran terbaik, saya terima.”

‘Tak apa, kita tengok macam mana nanti. Ini, Safa Hawanilah.’ Walaupun geram, dalam masa yang sama berkobar-kobar pula semangatnya. Pantang betul jika dicabar. Dia akan buktikan siapa dirinya. 

“Bagus.” Dia mengusap dagu berjanggut sejemput. Lantas tangannya mencapai ganggang telefon. 

“Wana, masuk sekejap.” 

Senyap.

“Masuk,” arahnya sebaik mendengar pintu diketuk.

Sesusuk tubuh ramping, berpakaian ala-ala korporat berserta kasut tumit tinggi berukuran tiga inci, sudah berdiri di sebelah Safa Hawani. 

‘Penuh gaya setiausaha, macam aku tengok dalam drama,’ desis Safa Hawani. Masih sempat menoleh secara sekilas.

“Wana, saya akan ambil Safa Hawani sebagai kerani am kita yang baru. Minta Kak Aminah buat surat tawaran untuk dia hari ni juga. Nyatakan dalam surat tu tarikh lapor diri, esok.”

“Baik, Encik Wafiq.” Wana menjeling sekilas ke arah Safa Hawani.  

“Safa, saya harap awak akan cepat belajar. Nampaknya, urusan kita dah selesai. Sekarang, awak boleh ikut Wana. Dia akan terangkan semuanya. Selamat berkhidmat dan selamat datang ke Syarikat Hanafi Teguh Sdn. Bhd.”

“Terima kasih encik...”

“Wafiq Zainal.” 

“Terima kasih, Encik Wafiq Zainal.” 

Sebaik Safa Hawani berdiri, membulat matanya ketika memandang wanita bernama Wana. Siapa lagi kalau bukan wanita sombong yang dia langgar semasa di lobi tadi. 


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.