Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
29,816
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5-1

Hari ini aku betul- betul sibuk. Banyak yang perlu aku siapkan untuk dibentangkan di mesyuarat esok. Semasa aku sibuk beginilah telefonku tidak habis- habis berdering. Mula- mula butik pengantin yang menelefon.

“Furqan belum datang untuk cuba baju pengantin,” kata Resya, pemilik butik.

“Yakah? Saya dah banyak kali beritahu dia untuk pergi. Nanti saya cakap sekali lagi.”

Pelik juga aku dengan tingkah laku Furqan. Selepas perlawanan bowling di Terengganu tempoh hari, tiba- tiba dia tidak lagi berminat untuk menyertai aktiviti kelabnya itu. Apabila aku tanya, dia cakap dia hendak fokus pada kerja dan majlis perkahwinan kami yang tinggal dua bulan saja lagi.

Tapi setiap kali berjumpa, aku dapat lihat dia bagaikan banyak berfikir tentang sesuatu. Furqan lebih banyak mendiamkan diri dan termenung. Entah apa yang mengganggu fikirkan dia, risau aku dibuatnya. Mungkinkah dia sebenarnya berasa tertekan dengan majlis perkahwinan kami?

Jika Furqan tidak lagi berminat dengan aktiviti kelab bowlingnya, Dyana pula telah memaklumkan yang dia telah berhenti terus dari kelab itu. Eh, kenapa? Bukankah dia sangat berminat dengan sukan itu? Bukankah dia juga sangat berbakat dan merupakan pemain harapan mereka?

“Sibuk,kerja banyak sangat akhir- akhir ni.”

Itulah jawapan ringkas Dyana. Dia tidak menjawab apabila aku terus mendesak. Tambahan lagi, dia sudah lama tidak pulang ke rumah. Jadi kami juga sudah lama tidak berjumpa.

Pelik aku dengan perangai mereka berdua. Tetapi kalau bertanya pun, masing- masing tidak menjawab. Jadi tidak ada kesudahannya juga nanti.

Selang beberapa ketika, telefon itu berdering lagi. Kali ini Aunty Sofea pula. Kenapa pula ibu Furqan menelefon aku?

“Aunty dah minta dia balik untuk ambil kad undangan. Manalah tahu ada sesiapa yang dia nak jemput ke majlis nanti. Tapi sampai hari ni tak balik- balik. Aunty telefon pun dia tak angkat. Sibuk sangatkah? Kamu telefon dia jawab tak?” leter Aunty Sofea.

“Jawab aunty. Kalau saya tak dapat hubungi dia, saya akan hantar pesanan WhatsApp atau sms. Nanti dia akan telefon saya balik,” jawabku.

Aunty Sofea menghela nafas. “Ya kah? Aunty ingat dia ada masalah. Macam ni lah, nanti kamu beritahu dia yang aunty nak dia balik. Macam- macam betul perangai dia. Majlis dah dekat tapi buat hal pula.”

“Baik, aunty.”

Apa kena dengan Furqan ni? Kalau ibu dia pun kena telefon aku, sudah parah kes ni.Tak pernah pula dia buat perangai macam ni.

Aku mendail nombornya tetapi langsung tidak diangkat. Setelah beberapa kali mencuba, aku akhirnya menghantar pesanan WhatsApp.

 

Assalamualaikum. Saya nak jumpa awak. Sibuk tak?

 

Mesti dia akan membantah nanti kerana dia memang sibuk akhir- akhir ini. Aku berfikir apa yang akan aku katakan jika dia membantah nanti. Selang beberapa minit, dia membalas.

 

Baiklah. Saya ada berdekatan pejabat awak, ada urusan sikit di sini. Dah dekat masa lunch ni. Kita lunch sama- sama?

 

Terkelu aku seketika. Ingatkan dia hendak menolak tadi. Eh, rezeki jangan ditolak! Buru- buru aku mengemas meja dan mencapai tas tangan. Siapa yang tidak teruja kalau pujaan hati ingin berjumpa.

 

 

“Ada apa awak nak jumpa saya?” tanya Furqan.

Kami berjalan beriringan menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke kafe kegemaran aku.

“Pasal baju pengantin. Butik dah telefon tadi, mereka nak ingatkan awak untuk pergi cuba. Kalau lambat nanti tak sempat nak ubahsuai,” jawabku.

“Nantilah saya pergi,” kata Furqan.

“Ibu awak pun telefon. Dia minta awak balik ambil kad kahwin kita.”

“Kenapa pula dia telefon awak?” tanya Furqan.

“Sebab dia tak dapat telefon awak,” jawabku.

Furqan diam tidak menjawab.

“Awak matikan telefonkah?” tanyaku.

“Mesti saya tak dengar masa dia telefon,” jawab Furqan.

Selepas itu dia kembali membisu. Pelik aku tengok perangai dia. Aku ingin terus bertanya tetapi aku ternampak kelibat seorang lelaki melintas di depan kami.

“Hazriq!” kataku.

Hazriq berhenti, memandang kami berdua sebelum mengukir senyuman.

“Eh,awak pun ada di sini!” kata Hazriq.

“Pejabat saya dekat dengan kawasan ni. Awak pun selalu ada juga. Dah dua kali saya jumpa awak di sini,” balasku.

“Saya ada urusan, sebab tu saya datang,” kata Hazriq. “Tunang awak?”

“Ya, ini tunang saya, Furqan.” Aku memandang Furqan. “Awak, ini Hazriq. Dialah yang tolong saya masa kereta saya rosak hari tu.”

“Oh,terima kasih untuk hari tu,” kata Furqan, menghulurkan tangannya kepada Hazriq.

“Sama- sama. Hal kecil saja tu,” balas Hazriq, menyambut huluran tangannya.

“Awak baru datang atau awak dah nak balik?” tanyaku.

“Dah selesai kerja pun, jadi nak baliklah ni,” kata Hazriq.

“Kalau macam tu, awak boleh sertai kami makan. Rania pernah cakap nak belanja makan sebagai tanda terima kasih, kan? Jomlah!” ajak Furqan.

“Eh, tak apalah! Saya ikhlas tolong dia hari tu.” Sekali lagi Hazriq cuba menolak.

“Awak ni, kecil hati saya. Saya pun ikhlas nak belanja. Besar jasa awak pada saya hari tu,” kataku.

Hazriq akhirnya akur. “Baiklah kalau macam tu.”

Previous: Bab 4-2
Next: Bab 5-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.