Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
29,818
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3-2

Kad sudah dicetak, cuma menunggu siap untuk diedar. Aku juga sudah mencari katering dan hadiah untuk diberikan kepada tetamu. Masih ada beberapa perkara yang tidak dapat aku selesaikan sekarang. Tetapi aku pasti aku sempat lakukannya sebelum majlis perkahwinanku nanti. Furqan tidak banyak campur tangan. Semua urusan dan pemilihan diserahkan kepada aku. Apa saja yang aku pilih, dia bersetuju saja.

“Ikut awaklah.”

Senang betul respon dia.

“Nanti awak tak puas hati pula,” balasku.

“Saya tak kisahlah. Saya tahu awak pandai pilih. Awak mesti akan buat pilihan yang terbaik tak kira apa pun. Saya pun salah satu pilihan awak, kan?”

Dia cakap macam tu pun hatiku berbunga- bunga. Tapi seronok betul menguruskan perkahwinan sendiri. Lebih teruja memikirkan yang tinggal tiga bulan lagi, aku dan Furqan akan sah menjadi suami isteri.

 “Lepas kahwin nanti macam mana? Masih hendak kerja di sini?” tanya Zura, rakan sekerjaku.

“Entahlah. Mungkin masih kerja. Tapi Furqan pernah cakap yang dia mungkin akan ditugaskan ke Sarawak. Tak kan nak berpisah lama- lama. Dia di sana paling kurang lima bulan,” jawabku.

“Zaman sekarang, susah nak cari kerja. Seorang bekerja belum tentu cukup untuk tampung perbelanjaan rumah. Sekarang semua benda dah mahal. Jadi fikirlah masak- masak sebelum berhenti. Lagipun Furqan ke sana bukannya selamanya. Nanti balik kesini juga. Tak rugikah kalau berhenti nanti?” tanya Kak Diba yang nampaknya mendengar perbualan kami.

“Rasa rugi juga kak. Sebab tu lah saya tak buat keputusan lagi. Tengoklah nanti macam mana,” jawabku.

Kalau ikutkan, memang aku tidak berminat untuk bekerja lagi selepas berkahwin. Aku teringin untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku tidak ada impian besar untuk naik pangkat atau mempunyai gaji yang banyak. Tapi aku tidak pernah berbincang dengan Furqan tentang hal ini. Entah apa pendapat dia. Tapi dia tidak mahukah aku menyambutnya pulang setiap hari? Makanan tersedia di meja untuk dijamah. Dia tidak mahukah kehidupan begitu?

Hmm,mungkin aku patut berbincang dengan dia juga nanti.

Tapi macam mana? Furqan benar- benar sibuk akhir- akhir ini. Dia ingin menyelesaikan kerja sebelum bercuti untuk perkahwinan kami. Dalam masa yang sama, perlawanan bowling di Terengganu itu juga hujung bulan ini. Aku sendiri sibuk dengan kerja dan menguruskan persiapan majlis. Kami tidak ada masa untuk berjumpa. Setiap hari cuma berbual di telefon saja.

Rindunya!

Aku ingat hendak minta dia temankan aku selepas kerja nanti. Aku hendak pergi ke butik untuk mencuba gaun pengantin. Reesya, pemilik butik minta aku mencuba sebelum mereka membuat pengubahsuaian. Kemudian aku hendak melihat- lihat sama ada ada barangan yang sesuai untuk aku jadikan hantaran. Tetapi Furqan beritahu dia ada latihan bowling nanti. Mereka perlu bekerja keras sebelum perlawanan tiba.

“Perlawanan kali ini sangat besar dan penting. Hadiah yang mereka tawarkan pun sangat lumayan. Semua orang hendak menang kali ini,” jelas Furqan.

Bersungguh- sungguh betul mereka nampaknya. Kadang- kadang aku rasa aku bagaikan bercinta dengan seorang atlit yang mewakili negara. Semangat dan kesungguhannya terhadap sukan ini sangat kuat.

Habis aku hendak ajak siapa sekarang?

Aku mengeluh, mengetuk- ngetuk telefon bimbit ke dagu dengan perlahan- lahan. Aku bukannya ada teman rapat selain Dyana. Kalau aku ajak Dyana, dia hendak pergikah? Ah, cuba sajalah! Dyana menjawab selepas beberapa deringan.

“Maaf kakak, adik ada latihan bowling malam nanti,” kata Dyana.

“Macam tu,” balasku sedikit kecewa. Tapi aku sendiri sedar yang dia memang seringkali sibuk. Apa boleh buat.

“Sekali lagi adik minta maaf ya, kak. Sepatutnya adik tolong kakak buat persiapan. Tapi adik selalu sibuk.”

“Tak apalah adik. Kakak faham.”

“'Nanti kakak pergi dengan siapa? Abang Furqan pun ada latihan bowling juga nanti,” tanya Dyana.

“Entahlah. Tengoklah macam mana nanti.”

Akhirnya aku pergi seorang diri. Habis apa pilihan yang aku ada?


Berjalan seorang ke sana ke mari kadang- kadang seronok juga. Hmm, yalah tu. Tapi apa boleh buat? Semua orang sibuk sekarang. Banyak yang perlu aku lakukan untuk membuat persiapan.

Tapi,bila difikirkan balik, kadang- kadang terasa bagai cuma aku yang terlalu teruja. Furqan tidak begitu berminat untuk membuat persiapan untuk pernikahan kami. Dia asyik sibuk dengan bowling atau kerja.

Aku menghela nafas. Bukankah selalunya lelaki memang begitu? Mereka tidak gemar untuk peduli hal- hal remeh sebegini. Aku perlu lebih memahami.

Setelah penat merayau- rayau, aku kembali ke kereta dengan beberapa beg plastik.Perutku mula berkeroncong, minta diisi. Aku sudah berjanji untuk makan malam bersama ibu dan abah, jadi lebih baik aku cepat- cepat pulang.

Petang yang menginjak senja membuatkan keadaan agak suram. Jalan yang aku lalui juga agak lengang. Terasa seperti melalui jalan yang berhantu. Biarpun aku kerap melalui jalan ini untuk mengambil jalan pintas, laluan ini masih menakutkan aku. Tambahan pula pelbagai cerita pernah aku dengar tentang kawasan ini. Dari hantu yang tidak berkepala menahan kenderaan yang lalu hinggalah perompak menahan kereta kemudian merompak, merogol dan membunuh.

Hesy, jangan fikir bukan- bukan!

Tetapi tiba- tiba keretaku tersentak- sentak. Kemudian secara perlahan- lahan enjin mati.

Eh,kenapa? Tak kan rosak? Tak kanlah!

“Janganlah macam ni!” teriakku seorang diri.

Aku cuba menghidupkan kembali enjin kereta tetapi gagal. Hendak keluar untuk melihat- lihat enjin, bukannya aku tahu pun apa yang rosak. Aku cuma tahu memandu, bukannya membaiki.

Tanganku terus mencapai telefon. Mungkin aku boleh minta telefon Furqan untuk minta pertolongan dia. Memanglah dia ada latihan bowling malam ini tapi masalahku sekarang lebih besar dari permainan bowling dia.

Bateri habis.

Aku merenung skrin telefon agak lama. Rasa panik mula mencengkam hati. Apa patut aku buat sekarang? Kenapa lepas satu, satu lagi masalah timbul? Tadi aku tengok bateri telefon ini masih tinggal separuh. Kenapa sekarang sudah habis? Powerbank pun tertinggal hari ni. Kenapa jadi macam ni? Bila satu masalah timbul, masalah lain bertimpa- timpa.

Aku melihat- lihat keadaan sekeliling yang kini semakin gelap. Sudahlah begitu,tidak ada sebuah kenderaan pun yang melalui kawasan ini sejak tadi. Air matamula bergenang tetapi aku segera menyeka. Aku sedaya upaya menahan diri dari menangis.

“Kenapa pula kau rosak masa- masa macam ni? Di tempat macam ni pula tu?” kataku, mengomel seorang diri, cuba untuk membuatkan diri merasa lebih bertenang.

Tetapi sekuat mana pun aku cuba bertahan, masa tetap berlalu. Kawasan sekitar kini gelap sepenuhnya. Sesuatu yang tidak berubah ialah aku masih di sini dan enjin kereta masih belum dapat aku hidupkan. Sejak tadi, aku langsung tidak keluar.Aku terlalu takut untuk berbuat begitu.

Tiba- tiba terlihat dua cahaya lampu menuju ke arahku dari belakang. Nampaknya setelah sekian lama, ada sebuah kenderaan yang melalui kawasan ini. Patutkah aku keluar dan minta pertolongan? Tunggu! Macam mana kalau dia orang jahat? Nanti dia apa- apakan aku pula.

Lampu itu semakin mendekat. Rasanya ia adalah kereta atau van. Keluar dari kereta dan minta tolong? Diamkan diri sahaja? Apa- apa sekalipun aku perlu cepat.

Akhirnya aku tidak keluar dari kereta. Aku cuba untuk tidak kelihatan dengan menundukkan badan ke kerusi penumpang. Harapanku agar pemandu itu tidak nampak aku dan pergi begitu sahaja.

Berdebar-debar aku menunggu kereta itu melepasiku. Apabila tidak dengar bunyi enjin lagi, aku menarik nafas lega dan membetulkan kembali duduk. Tetapi ada seorang lelaki berdiri di luar kereta.

Terus aku menjerit!

Terdengar lelaki itu mengetuk- ngetuk cermin tingkap tetapi aku terlalu takut untuk mendengar apa pun yang dia sedang katakan. Kemungkinan besar dia suruh aku buka pintu supaya dia boleh rompak atau rogol aku.

Tiba-tiba aku terdengar lelaki itu melaungkan azan.

Terdiam aku merenung dia, terpinga- pinga dengan tindakkannya. Kenapa pula dia laung azan ni? Dia ingat aku kena rasukkah? Selesai azan dia merenungku, menarik nafas lega.

“Cik okey ke?” tanya lelaki itu.

Perlahan- lahan aku mengangguk.

“Boleh bukakan pintu ni?” tanya lelaki itu lagi.

Kenapa pula hendak buka pintu? Dia nak buat apa? Cepat- cepat aku menggeleng. Lelaki itu menggigit bibir dengan reaksiku. Dia seperti berfikir sesuatu.

“Cik jangan takut, saya nak tolong cik,” kata lelaki itu lagi. “Nama saya Hazriq.”

Habis kenapa? Kalau nama kau Aaron Aziz atau Johnny Depp sekalipun, aku tetap tidak akan buka pintu ni. Sudahlah aku cuma nampak wajah dia secara samar- samar saja sekarang. Jadi aku terus membeku merenung dia, cuba menduga niatnya sebaik mungkin.

Hazriq, lelaki itu merenung keretaku sekilas sebelum berpaling memandang aku. “Kereta rosak?”

Aku mengangguk.

“Dah telefon mekanik?” tanyanya lagi.

Aku menggeleng, menunjuk telefonku.

“Bateri habis…” kataku perlahan tetapi dia tetap dapat menduga jawapanku.

Hazriq mengangguk, mengeluarkan telefonnya. “Biar saya telefonkan.”

Dia tidak menunggu jawapanku. Jarinya pantas menekan- nekan sebelum bercakap ditelefon. Terfikir juga jika dia ada niat jahat. Tetapi apabila difikirkan semula, mungkin aku boleh percayakan dia sedikit. Setakat ini dia nampak dipercayai. Ah, terlalu awal untuk buat kesimpulan. Jadi aku akan terus mengurung diri di dalam kereta.

Selepas seketika, Hazriq kembali semula. “Saya dah telefon mekanik. Mereka akan hantar kereta tunda ke sini.”

Aku langsung tidak memberi tindak balas. Hazriq kembali ke keretanya, kemudian kembali semula dengan sekotak minuman. Dia menghulurkan minuman itu kepadaku.

“Cik nak minum dulu sementara menunggu? Pemandu trak tunda tu cakap mereka mungkin akan ambil masa untuk sampai,” kata Hazriq.

Dia hendak umpan aku dengan minumankah? Tidak semudah itu aku akan percaya! Segera aku menggeleng.

Hazriq mengeluh. Dia akhirnya kembali ke keretanya, bersandar di bonet sambil minum minuman yang tadinya hendak di berikan kepada aku. Tak ikhlas betul! Buruk siku!

Memandangkan aku tidak ada apa untuk dibuat, aku merenung kereta Hazriq, cuba menghafal sebanyak mungkin maklumat. Jika berlaku sesuatu, aku perlu ingat sesuatu, kan?Tapi kalau dia bunuh aku, tak guna juga aku hafal.

Menggigil aku seketika.

Hesy, jangan fikir bukan- bukan!

Kalau betul dia orang jahat, sudah lama dia pecahkan cermin kereta ni dan seret aku keluar. Setakat ini dia tidak buat apa- apa pun. Aku boleh percayakan dia sedikit, kan? Tetapi boleh jadi juga dia tidak ada alat untuk buat macam tu. Sebab tu dia telefon kawan dia datang?

Sekali lagi aku menggigil.

Tiba- tiba lelaki itu tidak lagi bersandar, sebaliknya berjalan ke arahku. Alamak, dia hendak buat apa ni? Apa patut aku buat?

“Betul tak nak apa- apa?” tanya Hazriq apabila berada disebelahku.

Dengan pantas aku menggeleng.

Yang aku mahu ialah berada di rumah sekarang dengan keluarga aku. Bolehkah dia tunaikan permintaan aku ni?

Dua buah lampu tersorot menghala ke arah kami. Hazriq turut merenung lampu itu sehingga ia mendekat. Derdebar- debar aku melihat kereta tunda yang berhenti bersebelahan kereta Hazriq. Pemandunya turun dan berbual dengan Hazriq, sebelum dia kembali ke keretaku.

“Mereka nak tarik kereta awak ke bengkel, senang nak baiki. Awak nak naik dengan saya atau terus nak duduk dalam kereta?” tanya Hazriq.

“Dalam kereta,” balasku dengan serta- merta.

Bibir Hazriq tersenyum herot. Kenapa? Ketawakan akukah? Bukan selalu boleh duduk dalam kereta yang sedang di tunda. Ia akan jadi pengalaman yang akan aku ingat seumur hidup! Bukan semua orang boleh merasa. Paling penting aku tidak akan turun sehingga aku rasa selamat.

Hazriq menerangkan situasiku kepada pemandu trak tunda, yang akhirnya juga ketawa kecil. Mengata akulah tu. Lelaki pun suka bergosip?

Akhirnya aku ke bengkel dengan menaiki kereta yang sedang ditunda. Memang aku tidak akan lupakan hari ini sampai bila- bila. Aku ingatkan Hazriq sudah pergi, tetapi nampaknya dia mengekori dari belakang dengan keretanya. Aku dapat rasakan yang dia sedang ketawakan aku sepanjang perjalanan.

“Ada beberapa alat yang kita kena ganti. You kena tinggal kereta sini. Abang you tu hantar balikkah?” tanya pemilik bengkel selepas memeriksa keretaku.

“AbangI?” soalku hairan.

“Itulah, abang you,” jelas pemilik, menunjuk ke arah Hazriq. Dia masih menunggu dan berbual- bual dengan pemandu trak tunda bagai rakan baik pula.

“Eh,dia bukan abang I!”

Kenal pun tidak!

Pemilik bengkel sedikit keliru. “Oh, sorry! I ingat abang you. Cara dia macam rapat dengan you. Habis macam mana? Mau telefon teksikah?”

“Nanti I telefon tunang I dulu.”

Aku menggunakan telefon pemilik bengkel untuk menelefon Furqan. Dia masih lagi ada di pusat bowling semasa aku menelefon.

“Macam mana boleh rosak?” tanya Furqan.

“Manalah tahu!” bentakku geram.

Kalau aku tahu apa dan bagaimana ia rosak, baik aku baiki sendiri. Buat apa aku duduk menunggu sampai berjam- jam. Dia bagaikan menyalahkan aku pula.

“Awak di mana sekarang?” tanya Furqan.

Aku memberitahu lokasi bengkel dan bagaimana aku ke sini.

“Macam mana awak boleh biarkan sampai telefon awak habis bateri? Cuai betullah awak ni!”

“Saya tak perasanlah. Awak nak datang ke tidak ni?” soalku, meradang dengan sikapnya.

Furqan mengeluh. “Tunggu di situ. Nanti saya sampai.”

Aku keluar memaklumkan pemilik bengkel selepas itu. Aku perasan Hazriq tidak ada lagi di depan.

“Buka nabang you tu dah balik,” kata pemilik bengkel.

“Oh, yakah.”

Pandai pula uncle ni bergurau. Tetapi terkilan juga aku. Kalau bukan kerana dia pasti aku masih tersadai di tengah jalan itu. Tidak sempat aku ucapkan terima kasih. 

Previous: Bab 3-1
Next: Bab 4-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.