Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
29,826
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4-2

“Jadi macam mana?” tanyaku.

Furqan terdiam, berfikir panjang. Aku sudah menerangkan tentang pertemuan aku dan Hazriq secara panjang lebar, serta mengapa aku ingin membelanja Hazriq makan. Furqan mendengar sejak tadi tanpa sebarang komen.

Dia akhirnya menghela nafas. “Bila?”

“Entahlah. Saya tunggu dia telefon dulu. Boleh aturkan nanti.”

“InsyaAllah, tengoklah nanti macam mana.”

“Awak nak temankan saya tak?”

“Kalau tak ada hal, saya pergilah.”

“Jadi…sudah sampaikah?” tanyaku, mengubah topik.

“Petang tadi, dekat waktu maghrib. Sekarang kami di hotel.”

“Dyana?”

“Ada dalam bilik dia agaknya. Lepas makan tadi, semua buat hal masing- masing. Rasanya dia dan Imani balik ke bilik.”

“Siapa pula Imani?”

“Yang datang dengan kami. Dia sebilik dengan Dyana.”

“Macam tu.”

“Ok, nanti kita cakap lagi. Saya nak berehat dulu. Esok nak bangun awal. Esok saya telefon awak, ok?”

“Ok,selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Jadi tak ada masalah oleh Furqan. Bagus juga kalau dia dapat temankan, tak lah aku makan berdua dengan Hazriq. Segan pula nanti.

Bila agaknya dia hendak telefon aku? Mungkin dia pun kena minta persetujuan teman wanita dia. Teman wanita dia tak benarkan dia makan dengan aku agaknya. Buat apa nak takut, aku dah ada Furqanlah!

Hmmp,yang aku pula tertunggu- tunggu dia telefon ni kenapa pula?

 

 

Furqan tidak menelefon sepanjang hari. Sibuk dengan perlawanan agaknya. Panggilan aku pun tidak diangkat. Agaknya dia sibuk atau perlawanan belum lagi tamat.

Tapi aku tidak habis- habis mengerling telefon, mengharapkan ia berdering. Dia lupakah? Ah, tak kanlah. Mesti sebab dia sibuk. Pasti!

“Nanti meletup telefon tu kena jeling dengan kamu,” kata Zura, kemudian tergelak- gelak dengan Kak Diba.

Aku menjeling mereka sebelum kembali cuba memberi tumpuan kepada kerja. Reaksiku itu membuatkan gelak tawa mereka semakin kuat.

“Bergaduhkah?” tanya Zura.

“Dah nak kenduri ni, berbaik- baiklah. Jangan bergaduh,” tegur Kak Diba.

“Kami tak bergaduhlah kak,” keluhku.

“Habis tu kenapa?” tanya Kak Diba.

“Tengah tunggu dia telefon, tapi dia tak telefon- telefon lagi,” jawabku, sekali lagi mengerling telefon.

Jawapanku itu membuatkan Zura tergelak. “Ingatkan ada masalah besar sangat tadi. Dah dia tak telefon, kau telefonlah dia.”

“Dah telefon, tak angkat.”

“Sibuk kut. Janganlah di fikirkan sangat, nanti dia telefonlah kamu tu,” nasihat Kak Diba.

Aku mengangguk, cuba kembali fokus dengan kerja. Nanti dia telefonlah juga. Tetapi sepanjang hari menunggu, Furqan langsung tiada khabar berita.

 

 

Malam itu, akhirnya Furqan menelefonku. Belum sempat aku bercakap apa- apa, dia mula mengadu nasibnya. Rupanya mereka masih belum sampai ke ibu kota.

“Kereta saya rosak. Sekarang saya tengah tunggu tow truck. Sudah dua jam kami tersadai di sini.”

“Awak di mana?” soalku.

“Atas lebuhraya Karak. Kami sudah sampai separuh jalan sebelum kereta saya buat hal,” rungut Furqan.

“Sabarlah, sekejap lagi sampailah tu. Dyana macam mana?”

“Dia ada di dalam kereta.”

“Bukankah kamu berdua bekerja esok?” tanyaku.

Dia mengeluh. “Nak buat macam mana, cutilah lagi. Bukan sengaja tak nak pergi kerja. Pukul berapa sampai balik pun tak pasti lagi, macam mana nak tercongok di pejabat satu hari esok.”

“Apa- apa telefon saya lagi nanti. Risau juga saya.”

“Tahulah.”

Aku memutuskan talian dengan hati yang tidak tenang. Entah kenapa, ada sesuatu yang mengganggu benakku. Ya Allah, tenangkanlah hatiku.

 

 

Lewat malam kemudian, Furqan menghantar pesanan WhatsApp yang keretanya kini dibengkel. Tetapi dia dan Dyana tidak dapat pulang dan perlu bermalam di sana kerana keretanya cuma akan dibaiki esok. Furqan langsung tidak menghantar khabar berita hinggalah hampir tengah hari esoknya.

 

Kereta siap dibaiki. Kami dalam perjalanan balik.

 

Alhamdulillah. Walaupun masih ada secebis perasaan tidak senang hati, aku cuba lupakan dan mengingatkan diriku untuk mempercayai mereka berdua. Aku dan Furqan bakal menempuh perjalanan yang aku harap akan berkekalan hingga ke Jannah. Aku tidak patut membiarkan bisikan syaitan meracuni pemikiranku.

Previous: Bab 4-1
Next: Bab 5-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.