Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
74,490
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4

“Akak nak pergi mana tu? Kereta akak boleh siap hari ni jugak.” Man Kicap menghalangku ketika aku melintasinya di bahagian hadapan bengkel.

“Tak apalah...akak balik dulu. Kereta tu dah siap nanti awak telefon akak ya.” Balasku ringkas.

Aku hilang mood untuk berbual-bual disebabkan oleh kedinginan yang ditunjukkan lelaki bernama Fahin itu tadi. Lelaki yang berlagak, sombong dan bermulut laser itu benar-benar membuatkan aku rasa geram. Mahu sahaja aku tampar-tampar mulut celuparnya itu.

“Abang Fahin keluar sekejap aje tu. Dia makan dengan anak buah dia kat kedai makan belakang sana tu. Akak tunggu lah kejap ya.” Ujar Man Kicap yang membuatkan aku kembali berminat untuk berbual dengannya.

“Siapa tadi? Err...anak buah? Maksud akak...Fahin keluar dengan anak buah dia? Bukan anak?” Tanyaku ketika aku menghampiri Man Kicap yang sedang membetulkan sesuatu di bahagian enjin.

“Bila pulak Abang Fahin tu ada anak. Anak buah ada, anak kakak dia. Dia tu bujang lagi.” Ujar Man Kicap.

Aku kembali tersenyum. Nampaknya lelaki itu memang sengaja mencari alasan agar dia dapat menjauhiku. Adakah kerana dia malu denganaku? Atau memang dia tak suka perempuan? Oh tidak....aku harap bukan begitulah. Kalau tidak rancangan aku untuk memikatnya pasti tidak mungkin akan berhasil.

Aku masuk semula kedalam bengkel dan mencapai majalah yang berkisar tentang dunia permotoran di rak berdekatan sebelum aku kembali duduk di atas sofa yang berdekatan dengan mini cafe. Lebih kurang sepuluh minit menunggu aku mula berasa bosan. Aku menutup mulutku yang sudah entah ke berapa kali menguap itu, tanda mataku meminta untuk dipejam sebentar. Tidak lama selepas itu aku sendiri tidak sedar entah sejak bila mataku perlahan-lahan mula terpejam rapat dan aku terus zzzzzz.....tertidur.

Knock! Knock! Knock!

“Siapa pula yang ketuk-ketuk meja dah macam lagu Elizebeth Tan ni? Kacau betul lah...” Aku bercakap sendiri apabila lenaku diganggu oleh bunyi ketukan yang tidak menyenangkan itu.

“Princess beauty...get up please!” Aku terdengar suara seseorang di dalam mimpiku memanggil aku puteri tetapi wajahnya tidak aku lihat dengan jelas.

“Aku bukan princess tapi Thumbelina. Kan dah banyak kali aku cakap Thumbelina tu bukan puteri tapi dia lahir dari bunga.” Balasku dengan mata yang masih terpejam.

“Habis kalau bukan tuan puteri, kau ni apa pulak? Ulat bulu ke?” Kali ini aku terdengar suara itu ketawa pula.

Aku mula merasa pelik dengan mimpi yang sedang aku alami. Suara lelaki yang sedang ketawa itu kedengaran begitu asing ditelingaku. Perlahan-lahan aku membuka mataku dan alangkah terkejutnya aku apabila aku mula menyedari lelaki yang bernama Fahin itu betul-betul berada di hadapan mataku!

“Apalah kau ni...dekat sini pun kau jadi membuta. Apasal kau tak balik lagi ni?” Soal lelaki itu sinis yang seperti tadi menyakitkan hati aku.

Aku melemparkan sebuah senyuman walaupun aku pasti ianya bukan ikhlas datang dari hatiku. Aku sanggup menebalkan muka aku demi rancangan untuk menjadikan lelaki di hadapan aku ini sebagai suami yang dapat membuatkan Abang Karim menjauhiku. Tetapi entah mengapa aku merasakan karakter lelaki di hadapanku ini tidak sama dengan lelaki yang aku temui semalam. Maksud aku...sifat lembut yang ditunjukkan Fahin semalam itu seakan-akan tiada pada lelaki yang sedang mengunyah sebatang aiskrim Malaysia di hadapanku ini.

“Saya tunggu awak. Saya tunggu awak repair cermin kereta saya.” Jawabku.

Krokk...Krokk...Krokk....

Tanganku pantas menekan perutku yang mengeluarkan bunyi yang tidak disangkakan itu. Fahin memandang ke arah perutku sebelum matanya itu beralih ke arah wajahku pula. Sebuah keluhan dilepaskannya.

“Kau belum makan lagi ke?” Soalnya sebelum jam di pergelangan tangannya dikilas sebentar.

Aku menggeleng perlahan.

“Kau nak makan apa?” Tanya lelaki itu selamba sambil telefon bimbit di dalam seluarnya dikeluarkan.

Aku terpingga-pingga sebentar. Tidak memahami apa yang dimaksudkan lelaki itu. “Er...saya tak tahu nak makan kat mana. Ini kali pertama saya ke kawasan ni...saya datang tadi pun naik teksi.” Balasku. Anak mata hitam milik lelaki itu aku tatap berani.

Cis cair beb! Aku segera memalingkan wajahku ke arah lain. Tak mahu lama-lama memandang wajah chinese look  itu. Oh hati...kenapa dengan kau hari ni? Selalu tak macam ni pun. Desisku sendiri.

“Nasi goreng kampung okay tak?” Tanya Fahin lagi.

Aku mengangguk.

Saat itu juga lelaki itu mendail nombor seseorang di telefon bimbitnya. “Kedai makan kat belakang aku pergi tadi tu ada delivery service. Kejap lagi makanan kau sampai.”

“Terima kasih.” Ucapku gugup.

Sebenarnya jujur aku mengakui yang aku berasa kekok di hadapan lelaki ini. Tidak sama seperti lelaki-lelaki yang aku kenali dulu di mana mereka semua itu mudah mesra dan melayaniku dengan baik walaupun dengan hanya aku melemparkan senyuman. Fahin ternyata bukanlah seorang lelaki yang mudah untuk dipikat. Tambahan pula entah mengapa jantungku terasa berdegup pantas berbanding biasa apabila setiap kali mata lelaki itu mendarat di wajahku. Ini buat permata kalinya aku berasa malu berhadapan dengan lelaki!

“Aku tengok kereta kau kejap. Rasanya petang ni jugak dah boleh siap. Kau tunggu sini.” Ujarnya yang seakan langsung tidak berminat terhadap diriku walaupun aku sudah berdandan cantik semata-mata hanya untuk memikatnya!

Beberapa minit kemudian setelah bosan menunggu tanpa berbuat apa-apa, aku bangun dan berjalan menuju ke arahnya yang sedang memilih cermin yang sesuai buat keretaku.

“Err...dah berapa lama awak kerja kat sini?” Tanyaku ketika aku menghampirinya.

“Eh kau ni terkejut aku! Kan aku suruh kau tunggu kat sana aje.” Mulut laser itu bersuara lagi.

Otakku ligat mencari alasan agar aku dapat memulakan langkah mendekatinya. Bagiku memulakan perbualan kosong adalah salah satu cara untuk mendekati dan mengenali diri seseorang.

“Saya bosan lah duduk kat sana sorang-sorang. Kat sini saya boleh borak dengan awak...” Aku bersuara manja. Namun kata-kataku terhenti apabila mata lelaki itu mengerling ke arahku tajam.

“Apa kau nak dari aku sebenarnya ni?” Soal Fahin sinis yang terasa mengguris hatiku.

Aku berdehem untuk menghilangkan rasa malu yang mula menjalar di dalam diri. Aku malu kerana hanya aku sahaja yang nampak begitu beria-iya mengejarnya sedangkan lelaki itu langsung tidak memberikan sebarang respon positif terhadapku.

“Saya bukan nak apa-apa pun dari awak. Saya hanya nak borak-borak aje. Salah ke?” Gugup aku memberi alasan.

Aku perasan bibir lelaki itu menggaris sebuah senyuman. Tetapi senyuman sinis! Lelaki itu mengalihkan sepenuh perhatiannya ke arah diriku sebelum dia memeluk dirinya dengan kedua-dua belah tangannya.“Penipu...aku boleh baca dari mata kau. Ada benda lain kau nak kan?” Dia memandangku penuh curiga.

Aku berasa gugup. Panik apabila lelaki itu mencurigai niat aku mendekatinya. “Mana ada...err saya datang sini sebab cermin kereta saya rosak. Kebetulan semalam awak ada bagi saya kad bengkel ni...sebab tu saya bawak kereta ke sini. Awak jangan nak tuduh saya macam-macam pulak.” Aku berpura-pura menarik muka merajuk.

“Berterus terang ajelah. Kau bukan perempuan pertama yang datang dekat-dekat dengan aku macam ni. Kau suka kat aku ya?” Fahin nampak begitu yakin dengan kata-katanya.

Alamak! Lelaki ini bukan calang-calang orang. Dia bagaikan ada kuasa membaca minda orang lain.

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum aku membuat keputusan untuk berterus-terang dengannya. Aku malas untuk menunggu lebih lama lagi. Aku berdoa moga-moga lelaki itu akan mempertimbangkan permintaanku terhadapnya walaupun permintaanku itu kedengaran tidak masuk akal langsung.

“Awak jadi suami saya boleh?” Teriakku agak kuat sambil kedua-dua mata aku pejam rapat.

Diam. Tiada respon langsung dari lelaki itu. Beberapa saat selepas itu, perlahan-lahan aku membuka mataku. Fahin masih ada di sebelahku. Matanya tidak lepas dari terus merenung wajahku. Matanya itu bagaikan dipaku.

“Awak?” Panggilku apabila aku melihat tiada reaksi langsung dari lelaki itu.

Fahin tersentak tatkala aku memanggilnya.“Hahahaha....kau sudi ke ada suami yang hanya kerja sebagai mekanik? Kau yang rapi ni sudi ke nak aku ni yang tangan selalu berminyak hitam ni? Busuk karang baju mahal kau tu.”

“Saya tak cakap apa-apa pun.” Aku menunduk malu.

“Kau tak perlu cakap apa-apa pun dah terang-terang aku dapat jawapannya. Tak logik bagi orang yang berduit dan berkereta mahal macam kau melamar aku yang biasa-biasa ni. Pasti ada agenda lain yang tersembunyi...kau jangan cuba-cuba nak permainkan aku.” Mata lelaki itu menikam wajahku tajam.

“Err...mana ada agenda. Saya suka kat awak. Itu aje sebabnya saya cari awak kat sini.” Balasku.

Lelaki itu sekadar mencebik. “Suka hati kau lah. Walau apa pun aku tak berminat dengan perempuan macam kau yang make-up tebal macam diva. Pakaian tak tutup aurat. Sombong tapi berpura-pura baik. Tak kena langsung dengan jiwa aku.” Ujarnya yang benar-benar menyakitkan hatiku.

Kali ini aku sudah tidak boleh bersabar lagi dengan perangai lelaki ini yang begitu menyebalkan. Aku tarik semula pujianku terhadapnya semalam. Ternyata dia bukanlah lelaki yang memiliki kelembutan di dalam diri. Fahin sama sahaja seperti Pak Long dan Abang Karim.

Aku melepaskan sebuah dengusan. “Awak ni memang suka prejudis terhadap perempuan ya? Ataupun hanya kepada saya saja? Saya ada buat salah apa kat awak ya sampai awak layan saya dingin dan kasar macam ni?” Aku memandang tepat ke arah anak matanya.

Lelaki itu nampak sedikit serba salah namun wajah dinginnya tetap sama seperti tadi. “Aku tak suka perempuan nak bermanja-manja dengan aku. Lebih-lebih lagi yang aku tak kenal. Aku tak suka cara kau mendekati aku tadi.” Tajam kata-katanya bagaikan menusuk terus ke jantungku.

Aku berasakan wajahku mula berbahang. “Awak ingat awak tu siapa ya yang boleh cakap macam tu dengan saya? Awak ingat awak pelakon terkenal ataupun anak tauke paling kaya kat Malaysia ni yang buat awak rasa harga diri awak terlalu tinggi untuk berdiri sebelah dengan saya.” Aku mula meninggi suara terhadapnya yang bagiku biadap itu.

“Sebab harga diri aku yang tinggi ni lah aku tak suka pada kau yang nampak murah.” Balasnya selamba.

“Murah?” Nafasku mula turun naik.

Fahin mengangguk. “Kau nampak murah bila terhegeh-hegeh mengejar aku. Bercakap guna suara manja sedangkan kita tak kenal satu sama lain pun. Ataupun ini cara kau bercakap dengan lelaki-lelaki lain kat luar sana. Kau tak ada maruah ke? Tak ada rasa malu ke? Jadi perempuan tu biar harga diri mahal sikit.”

Airmataku mula merembes keluar. Entah mengapa kata-katanya itu benar-benar mengguris hatiku. Aku rasa benar-benar terhina. Tidak tahukah dia yang aku hanya menunjukkan ‘nilai murah’ semata-mata hanya kerana dirinya? Tidak perlulah dia terlalu berterus terang sebegitu denganku. Aku sedar yang aku ini tidak sebaik mana...ah salah aku juga kerana mengheret diri sendiri ke sini semata-mata untuk memikat lelaki itu. Padanlah lelaki itu melabelkan diri aku murah kerana aku nampak begitu terdesak untuk mendapatkan dirinya.

‘Sudahlah Eryna...baliklah. Lelaki ini bukan untukkau. Niat kau pada mulanya sudah salah...inilah kesudahan yang kau dapat bila ada rancangan untuk mempermainkan hidup orang lain.’ Hatiku berbisik sendirian.

Aku mengeka airmata yang mengalir di pipiku. “Saya tarik balik kata-kata saya minta awak jadi suami saya. Terima kasih.” Ucapku perlahan sebelum aku melangkah pergi meninggalkan bengkel itu.

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.