Home Novel Cinta AJARKAN AKU CINTA
AJARKAN AKU CINTA
Dea Zoraya
21/6/2019 15:16:27
5,152
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

“Aku rasa kau kena mandi bunga. Kalau tak...sampai bila-bilalah kau akan membujang. Kau tu umur dah lah lagi tua daripada aku. Cepat-cepatlah settle down. Aku nak tanyalah, kau ni sebenarnya suka perempuan yang macam mana?” tanyaku yang gayanya seperti mahu Ikmal mengupahku sebagai jurulatih cintanya pula.

Aku menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutnya dengan setia. Tetapi Ikmal yang suka berfikir lama itu selalu membuatkan aku berasa bosan. 

“Aku nak wanita macam kau,” jawapannya itu membuatkan keningku naik sebelah. 

Aku keliru sama ada aku tersalah dengar atau mungkin Ikmal yang tersalah cakap.

“Kau cakap apa ini?” tanyaku bersama senyuman yang semakin hilang di bibir. 

“Aku rasa kau tak ada masalah pendengaran lagi. Kau dengar apa yang aku katakan tadi bukan,” balas Ikmal yang membuatkan aku terfikir yang ini kali pertama lelaki itu meluahkan perasaannya terhadapku.

Ingatanku jadi jatuh pada gurauan Kak Zaliha yang selalu mengusikku. Dia mengatakan bahawa Ikmal menolak semua wanita yang mahu mendampinginya kerana aku. Kini aku seakan tidak boleh berfikir untuk berkata apa. Pengakuan Ikmal itu bagaikan telah membina satu tembok di antara aku dan dia. Aku mula rasa resah dan kekok dengannya.

“Ikmal...jangan bergurau dengan benda-benda macam ni boleh? Kau tahu kan aku tak berapa selesa.” Aku berterus terang dengannya.

Ikmal melepaskan satu keluhan. “Aku tak akan paksa kau. Kau ambillah berapa banyak masa pun untuk berfikir tentangnya. Aku nak kau tahu aku dah lama menyukai kau sejak kau mula bekerja di sini. Aku minta maaf kerana dah tak boleh simpan perasaan aku lagi. Aku lega kerana akhirnya aku berani meluahkan apa yang aku rasa pada kau.”

Ikmal menghadiahkan aku sebuah senyuman sebelum dia berlalu meninggalkan aku yang sedang termangu-mangu dek kerana luahannya sebentar tadi.

“Ikmal memang dah gila,” gumamku sendiri.

Aku bangun dari bangku tatkala telingaku menangkap bunyi seseorang menolak daun pintu masuk kafe.

“Selamat datang!” ucapku riang.

Namun senyumanku semakin menguncup tatkala mataku mendarat ke wajah pelanggan yang sedang melangkah masuk itu. Baru sebentar tadi aku terfikir dan terbayang tentang dirinya, kini dia muncul di hadapan mata tanpa aku sangka. 

Aydin yang nampak segak melangkah menghampiriku. Ketika itu aku berasakan waktu sedang berlalu dengan perlahan. Mata dan tumpuanku hanya kepada lelaki yang sedang menggariskan senyuman itu. Kini aku yakin bahawa perasaan yang sedang aku rasakan kepada Aydin sebenarnya adalah perasaan yang bernama rindu.

“Rania setuju untuk keluar dinner dengan aku!” ujar Aydin tanpa memberi salam.

Ternyata sebaris ayat itu terus membunuh rasa indah yang sedang menjalar di dalam diriku. Aku berasakan kedua-dua belah telingaku berdesing dan aku langsung tidak mendengar suara Aydin. Nama Rania yang meniti di bibir lelaki itu rasanya telah memusnahkan rasa yang baru lahir di dalam diri. Aku cuba menahan airmata daripada gugur dengan mempamerkan senyuman yang paling manis.

“Tahniah Aydin! Baguslah macam tu. Lagipun kau dan dia nampak secocok,” kataku yang sedang menahan perasaan.

“So what should I do?” soalnya yang jelas kelihatan teruja. Aku tidak pernah nampak Aydin segembira ini.

“Just go with the flow...nanti keserasian akan wujud,” kataku yang sesekali mengerling ke arah Ikmal yang memerhati.

“Boleh kau bagi aku dialog yang perlu aku katakan masa dinner tu nanti? Aku takut aku akan tersalah cakap,” pinta Aydin.

“Aku tengah kerja ni Aydin. Err...nanti lepas waktu kerja kita berbual boleh. Aku habis kerja pukul enam,” ujarku yang tidak mahu Ikmal menyangka yang aku sedang berbual-bual lama dengan rakan di dalam waktu bekerja pula.

Aydin duduk di sebuah bangku. “Aku tunggu kau. Sementara tu aku nak order minum petang,” balasnya lalu buku menu di atas meja diselaknya.

Aku mengambil pesanannya dan terus menuju ke bahagian dapur untuk memaklumkan pesanan kepada Abang Naim. Kemudian aku masuk ke tandas untuk membasuh wajah bagi mengembalikan kesegaran tubuh badan yang entah mengapa terasa lemau tiba-tiba.

Keluar sahaja dari tandas aku terdengar seperti ada kekecohan yang sedang berlaku di bahagian hadapan kafe. Aku mempercepatkan kaki melangkah ke hadapan bagi melihat kejadian itu dan alangkah terkejutnya aku apabila melihat lintah darat bernama Kong bersama konco-konconya sedang menerbalikkan meja dan kerusi. Pandanganku jatuh ke arah Ikmal yang sedang menghalang mereka daripada terus-terusan membuat kerosakan.

“Hah... akhirnya orang yang dinanti telah muncul,” ujar Kong sebaik terlihat kelibatku.

Aku menelan liur. Aku ketakutan. Aku tidak menyangka lintah darat itu mengotakan janjinya untuk datang membuat kekacauan di tempat ini. Kini semua mata tertumpu ke arahku termasuklah Ikmal dan Aydin.

“Atilea....aduhai ini perempuan sudah bikin masalah. Kau tak bayar...jadi inilah akibatnya,” teriak Kong lagi.

Airmataku mula mengalir. Aku sempat memandang ke arah wajah terkejut Ikmal yang jelas terpamer seribu persoalan itu.

Aku menelan liur. “Aku...aku ada duit nanti aku bayarlah. Kenapa kau datang sini buat kecoh?” 

Aku tersentak apabila Kong mencampakkan sebiji bangku yang hampir mengenaiku.

“Hoi! Apasal sampai nak baling kerusi pada perempuan pulak?” marah Ikmal.

Kong menoleh ke arah Ikmal. “Kau siapa mahu bela dia? Ini perempuan berhutang sama aku dan tak bayar sudah dua bulan. Apa bikin? Kau mahu bayar untuk dia?”

“Kong tolong keluar dari sini. Aku janji akan bayar segera,” suruhku yang tidak mahu memanjangkan kekecohan ini.

Kong mengajukan sebatang kayu ke arahku. “Bayar sekarang baru aku akan pergi! Kalau tak seluruh tempat ini aku hancurkan.”

Airmataku semakin lebat menitis. “Apa kau nak sebenarnya? Aku dah habis bayar semua kan? Kau nak apa lagi? Aku dah tak ada apa-apa untuk diberikan pada kau? Kau pergi cari Hairi bukannya aku!” Aku memberanikan diri meninggi suara.

Kong ketawa. “Mana Hairi? Itu orang sudah lama cabut tapi kau masih ada. Aku tak kisah siapa yang hutang, yang penting kau yang kena bayar hutang itu termasuk bunganya.”

Aku menahan malu apabila menjadi tumpuan semua orang di dalam kafe itu. Aku pandang wajah Ikmal bersama rasa bersalah. Aku adalah punca kepada kekecohan yang sedang berlaku. Mataku kemudian menyorot ke arah ruang lantai yang bersepah-sepah dengan meja, kerusi, pinggan, cawan dan kelengkapan lain yang telah pecah. Aku sedar yang aku telah mendatangkan masalah yang besar kepada Ikmal.

“Kenapa kau diam? Sudah mati akal ke?” sindir Kong.

“Aku akan lapor pada polis. Kau telah merosakkan tempat ini,” ugutku berani.

Namun belum sempat aku mengeluarkan telefon untuk membuat demikian, Kong lebih pantas menyentap telefon itu dari tanganku. Pang! Kong menampar pipi kiriku. Aku tersungkur ke lantai bersama rasa perit yang terasa menjalar di seluruh wajah. 

“Lelaki tak guna!” teriak Ikmal yang sempat menolak bahu Kong sebelum konco lelaki itu menolak jauh Ikmal.

“Kau dah gila ke?” Aku berteriak memarahi Kong.

Kong nampaknya telah hilang sabar. “Aku jual kau. Masalah selesai!” seraya itu tanganku direntapnya dan aku diheret untuk mengekorinya.

“Lepaskan dia! Lelaki tak guna,” jerit Ikmal yang sedang dihalang oleh dua orang lelaki.

Aku cuba melepaskan diri dari Kong. Aku menggigit tangan lelaki itu sekuat hati sehingga terlerai cengkaman tangannya dari memegangku.

Kong mengaduh kesakitan. “Perempuan tak guna! Kau memang mencabar kesabaran aku ya.” 

Aku yang sedang terduduk di lantai tergamam apabila Kong mengeluarkan sebilah pisau dari poket seluarnya yang bila-bila masa sahaja akan menikam tubuhku. Aku kaku dan tidak dapat berfikir untuk melarikan diri. Namun sesaat selepas itu Aydin muncul di hadapanku. Aydin cuba menghalang Kong dengan bergelut untuk merebut pisau lipat itu. Aku menjerit ketakukan kerana aku khuatir Aydin akan tercedera di dalam pergelutan itu. 

Kong menolak Aydin ke tepi dan lelaki kejam itu segera melangkah mendekatiku. Pisau lipat ditangan dihayunkan kepadaku. Namun sesaat selepas itu sekali lagi Aydin tiba-tiba muncul di hadapanku dan tidak semena-mena mata pisau yang tajam itu mengenai bahagian lengannya. 

“Aydin!” teriakku.

Mungkin Kong tersedar yang dia telah mencederakan orang awam, dia dan konconya segera berlari meninggalkan kafe itu.

Aydin mengaduh kesakitan sambil memegang bahagian lengan bajunya. Darah merah sedang mengalir daripada lukanya itu membuatkan aku menggigil ketakutan.

“Darah...Aydin...aku minta maaf.” Aku menangis teresak-esak kerana telah menjadi punca kepada kejadian ini.

Ikmal segera menghampiri bersama sehelai kain ditangan lalu dibalut ke lengan Aydin. “Kita ke hospital dulu,” ujar Ikmal lalu memimpin Aydin untuk ke kereta.

Aku berdiri kaku di tempat yang sama.

“Ati, kau ikut sekali,” arah Ikmal.

“Kafe ni macam mana? Aku minta maaf Ikmal. Aku yang bersalah di dalam kejadian ini.” Aku merintih. 

Ikmal melepaskan sebuah keluhan. “Abang Naim tolong tutup kafe ini dan yang lain-lain tolong bantu kemaskan semua ni. Lepas ke hospital saya akan ke sini semula,” pesan Ikmal.

Aku rasa teramat malu dengan apa yang baru berlaku. Pandangan mata kawan-kawanku tadi bagaikan menghantar satu mesej bahawa aku adalah pembawa masalah yang berhutang dengan along. Sekali lagi hatiku menangis.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.