Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
74,947
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bab 3

Aku mengoleskan secalit gincu berwarna merah jambu dibibirku sebelum aku keluar dari teksi yang telah pun berhenti di hadapan sebuah bengkel yang terletak Glenmarie, Shah Alam itu. Kereta aku sudah berada di bengkel tempat lelaki bernama Man Kicap itu bekerja kerana pagi tadi ketika aku menghubungi nombor telefon bengkel bernama AutoRed di dalam kad yang lelaki itu berikan kepadaku semalam, salah seorang dari pekerjadi sana menjawab panggilanku itu. Pekerja itu mencadangkan supaya keretaku dibawa ke bengkel terlebih dahulu untuk diperiksa. Malahan mereka turut menyediakan perkhidmatan mengambil kereta di rumah dan tanpa berfikir lama aku terus bersetuju dengan cadangan itu. Tidak sampai setengah jam kemudian, dua orang pekerja dari bengkel AutoRed sampai dan membawa pergi keretaku.

Aku memandang sekilas jam Guess di pergelangan tanganku yang menunjukkan jam 12.15 minit tengah hari sebelum cermin mata hitam dari jenama yang sama yang terletak di batang hidungku aku betul-betulkan sedikit. Rambut panjangku yang sedikit beralun berwarna perang itu aku lurutkan perlahan. Hari ini aku mengenakan sehelai skirt labuh berwarna biru muda dan sehelai kemeja berwarna putih yang aku tuck-in. Kasut tumit tinggi berwarna hitam yang tersarung di kaki melengkapkan lagi penampilanku.

Aku menarik nafas dalam sebelum perlahan-lahan aku lepaskan. “Sekali kau dah melangkah Eryna, kau kena teruskan dan hadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku. Beranikan diri ambil risiko. Ingat kau lakukan ini demi menyelamatkan diri keluar dari penderitaan yang sudah bertahun kau tanggung sendirian dan juga kerana kau nak pergi jauh dari Abang Karim dan ugutan Pak Long tu. Paling penting Eryna...sentiasa ingat yang lelaki ini semua tidak boleh dipercayai. Kau tak akan biarkan diri kau dipukul, dipijak dan dihina lagi. Buat lelaki itu jatuh cinta pada kau, kahwin dan lepas tu berpisah. Senang...habis cerita. Happy ending for me sebab aku tak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki pun.” Aku bercakap pada diri sendiri sebagai penyuntik semangat untuk aku memulakan rancangan memikat lelaki bernama Man Kicap itu.

Aku memulakan langkah menuju ke arah bengkel yang terletak di seberang jalan itu. Menurut pemerhatianku bengkel ini agak berkelas juga kerana selain menyediakan perkhidmatan membaiki kereta, terdapat juga perkhidmatan membekal dan memasang aksesori kereta. Malahan lebih menarik terdapat mini cafe di bahagian kanan bengkel yang luasnya lebih kurang empat buah lot kedai itu. Aku agak kagum melihat bengkel AutoRed ini yang rupa-rupanya bukan calang-calang bengkel. Berkelas, kemas dan nampak sophisticated. Itu pendapatku.

Aku berjalan dengan penuh berkeyakinan sambil tali beg tangan berwarna beige yang aku sandang kemas di bahu kiri aku genggam kemas. Semakin aku menghampiri pintu masuk bengkel itu semakin menjadi-jadi jantungku berdegup pantas daripada biasa. Aku cuba sembunyikan perasaan berdebar  di sebalik sebuah sebuah manis yang aku gariskan di bibir. Tidak lama selepas itu, aku berhenti di hadapan dua orang mekanik yang sedang membaiki enjin sebuah kereta di bahagian hadapan bengkel.

“Assalamualaikum...” Aku memberi salam. Cermin mata hitam di wajah aku buka lalu sebuah senyuman aku hadiahkan kepada mereka berdua.

Dua orang lelaki yang nampak lebih muda daripadaku itu aku lihat bagaikan sedang terpaku merenung wajahku. Aku terkejut apabila spanar di tangan salah seorang daripada mereka jatuh melurut ke lantai. Sekali lagi aku memberi salam apabila sapaanku yang pertama tadi tidak disahut.

“Waalaikumsalam. Cik...bo...boleh kami tolong?” Tanya salah seorang dari mereka yang jelas kelihatan gugup di mataku.

Aku ketawa kecil. “Jangan takut dik...akak tak makan orang. Boleh saya tahu Man Kicap ada tak kat sini?” Tanyaku mesra.

“Saya? Akak cari saya? Saya tak bermimpi kan?” Ujar remaja yang seorang lagi itu sambil dia menampar pipinya berkali-kali. Aku berasa pelik dengan kelakuan budak lelaki itu yang menurut pemerhatianku nampak‘kurang normal.’

“Akak cari Man Kicap. Nama yang ada dalam kad ni.” Kataku lagi lalu kad di tangan aku suakan kepada mereka berdua.

“Saya lah Man Kicap!” Ujar budak itu lagi yang nampak teruja.

“Awak....Man Kicap?” Soalku seakan tidak percaya.

“Saya macam tak percaya ada perempuan cantik macam awak datang sini cari saya. Rasa terharu pulak.” Ujar budak lelaki itu sebelum dia ketawa sambil rambutnya digaru-garu perlahan.

Dahiku sedikit berkerut memandang reaksi remaja itu yang kelihatannya sudah mula jatuh hati denganku. Aku mengundur setapak ke belakang sambil membetul-betulkan rambutku. ‘Kalau budak rambut macam landak ni Man Kicap...habis mamat chinese tu siapa pulak? Atau sebenarnya aku dah kena tipu dengan mamat tu?

Aku melepaskan sebuah dengusan. “Tak guna betul...aku dah kena tipu. Dia bukan mekanik kat sini rupa-rupanya. Semalam dia bagi aku kad bernama Man Kicap ni mesti sebab dia nak kenakan aku. Apa aku nak buat sekarang ni? Takkan aku nak melamar real Mak Kicap depan aku ni pulak?” Aku berbisik perlahan.

Lelaki yang mengakui dirinya Man Kicap itu aku pandang dari atas ke bawah. Dari segi wajah dan ketinggian...berbeza benar dengan lelaki yang bertengkar denganku semalam. Tiba-tiba aku hilang rasa dan semangat untuk meneruskan rancanganku. Rasa geram dan sebal bertambah di dalam diri tatkala mataku terpandang akan cermin hadapan kereta milikku yang telah aku korbankan malam semalam dengan harapan dapat memulakan langkah mendekati lelaki itu.

“Itu kereta akak ke? Nampak teruk...kenapa kak ada orang pecahkan ke?” Tanya salah seorang dari mereka.

Aku mengangguk malas. “Ada orang mengamuk malam tadi.”Balasku ringkas.

Tiba-tiba aku terfikir akan sesuatu lalu perhatianku kembali teralih kepada lelaki bernama Man Kicap itu. “Dik...akak nak tanya sikit, ada ke pekerja kat sini yang muka dia macam orang Cina sikit?” Tanyaku.

“Muka macam Cina?” Ulang Man Kicap dengan dahi sedikit berkerut.

Aku tersenyum. “Macam ni kisahnya...semalam akak ada masalah sikit dengan seorang lelaki ni. Kata dia... akak menyebabkan barang spares part dia jatuh dari atas lori. Lepas tu...” Aku tersentak apabila Man Kicap tiba-tiba memotong percakapanku.

“Oh! Jadi akak lah Evil Queen tu ya?” Man Kicap menuding jari telunjuknya ke arahku.

“Evil Queen? Siapa? Saya?” Soalku bingung.

“Err...maksud saya akak lah orangnya yang bertengkar dengan Abang Fahin semalam. Kes brek mengejut tu?” Jelas Man Kicap lagi yang terus membuatkan wajahku kembali berseri-seri.

“Jadi betul lah lelaki tu memang wujud kat sini?” Aku kembali berperasaan teruja. Aku pasti anak mataku sedang bersinar-sinar ketika itu kerana apa yang aku cari rupa-rupanya ada di sini.

“Siapa nama dia yang awak sebutkan tadi?” Tanyaku lagi.

“Ahmad Fahin. Tapi kami panggil dia Abang Fahin aje. tu...” Ujar Man Kicap yang melangkah menghampiriku.

“Err...dia ada kat mana? Saya nak jumpa dia sekarang.”Aku segera memotong percakapan Man Kicap.

“Azli pergi tengok Abang Fahin ada kat dalam tak? Cakap dengan dia ada Miss Universe nak jumpa.” Man Kicap tersengih-sengih sambil wajahku dipandang bersama satu renungan yang kurang menyenangkan aku.

Tidak sampai dua minit aku menunggu, mekanik yang bernama Azli tadi kembali mendekatiku. “Abang Fahin kata dia tak kenal akak dantak nak jumpa akak. Dia sibuk sikit meeting dengan klien kat dalam.”

“Terima kasih. Tak apa saya boleh masuk sendiri.”Ujarku selamba.

Aku melangkah masuk ke dalam bengkel itu walaupun tadi Azli ada mengatakan lelaki bernama Fahin itu tidak mengenali aku dan dia juga tidak mahu berjumpa dengan aku. Tapi ada aku kisah? Dah jauh-jauh aku datang sini naik teksi dengan cuaca panas terik macam ni, akhirnya tak dapat jumpa mamat tu? Memang tidak mungkinlah.

“Kau panggil aku Evil Queen macam watak dalam cerita Snow White tu kan? Kali ni aku benar-benarakan jalankan watak jahat tu dengan bersungguh-sungguh.” Omelku sendiri.

Baru beberapa langkah aku menapak masuk ke dalam bengkel yang berkelas itu, aku sudah nampak kelibat lelaki chinese look bernama Fahin yang aku harap-harapkan itu. Dia aku lihat sedang serius membincangkan sesuatu dengan dua orang lelaki di sebuah meja yang terletak di mini cafe di sebelah kanan bengkel. Aku sempat mengimbas penampilan lelaki itu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Rambutnya yang hitam lurus itu disisir kemas kebelakang. Wajahnya putih bersih tanpa sehelai misai atau janggut. Bibirnya yang kemerahan dan giginya nampak putih bersinar itu menandakan yang dirinya mungkin bukan seorang perokok. Tubuh badannya pula persis seorang model. Aku mengagak ketinggian lelaki itu mungkin dalam 180cm begitu. Kemudian mataku beralih pula ke arah lengannya yang nampak berotot itu. Lelaki itu nampak semakin menarik di mataku walaupun hanya mengenakan sehelai t-shirt sendat berwarna putih dan mengikat separuh dari jumpsuit yang di pakainya di pinggang.

Aku menggelengkan kepalaku beberapa kali. “Jangan nak renung lama sangat. Fokus niat kau datang sini Eryna.” Aku mengingatkan diri.

Tetapi kenapa lelaki sekacak dia boleh bekerja sebagai mekanik di sini? Wajah seperti itu seharusnya paling tidak pun layak menjadi seorang model, selebriti ataupun pelakon. Pasti menjadi idola jutaan wanita di Malaysia punya. Biarlah...itu tidak penting pun, yang penting sekarang adalah aku kena mulakan langkah untuk mendekati dan berkawan dengannya.

Aku sempat menelan liur sebelum sebuah senyuman paling manis aku hiaskan di wajahku. Mulai saat ini bermulalah rancangan Kontrak Cinta yang aku cipta. Lelaki di hadapanku ini harus aku goda, buat dia jatuh cinta dengan aku dan seterusnya kami akan berkahwin buat tempoh yang tidak lama. Perlahan-lahan aku menghayun langkah mendekatinya. 1...2...3 dia mula mengangkat wajahnya dan matanya terus mendarat di wajahku. Semakin mekar senyumanku tatkala langkahku semakin menghampirinya.

Dia pula aku perasan sudah meletakkan pen dan kertas  di tangannya ke atas meja. Perbincangannya turut terhenti kerana fokusnya kini hanya kepada aku seorang! Aku lihat matanya tidak lepas merenung tepat ke arah wajahku dan bibirnya juga aku terkesan ada tergaris sebuah senyuman walaupun senyuman itu tidak begitu mekar. Mungkin lelaki ini pemalu orangnya. Aku sekadar meneka.

Kini aku betul-betul sudah berdiri di hadapannya.Hanya beberapa inci sahaja yang memisahkan jarak antara kami berdua. Dia juga nampak sedikit gugup ketika itu, mungkin terkejut dengan kehadiranku di sana yang pasti sangat di luar jangkaannya. Kedua-dua belah tangannya pula dimasukkan ke dalam poket seluar jumpsuit.

“Saya pasti awak masih ingat pada saya kan?” Ujarku bersama senyuman yang masih tidak lekang di bibir.

“Err...err kau nak apa datang sini?” Soalnya pula. Jelas nampak gugup.

“Cermin kereta saya pecah. Sebab tu saya datang sini.” Balasku. Mataku masih lagi fokus di wajahnya. Mungkin itu yang membuatkan lelaki itu diterjah rasa gugup agaknya!

“Aku ada klien sekarang ni. Kau duduk dulu. Nanti aku suruh budak-budak tu tengokkan kereta kau.” Selamba lelaki bernama Fahin itu menjawab yang sikit merosakkan mood aku untuk mencuba menggodanya.

Aku berjalan ke arah sebuah sofa yang berada tidak jauh dari tempat lelaki itu duduk berbincang dengan pelanggannya. Mataku terus fokus mengimbas perilaku dan bahasa badan lelaki itu kerana dengan itu aku boleh mengagak sedikit sebanyak karakter lelaki itu. Pertama, dia tidak mudah cair ataupun jatuh cinta dengan perempuan walaupun perempuan cantik sepertiku. Kedua, air mukanya yang nampak lembut itu tidak sepadan langsung dengan karakter dirinya yang bagiku sedikit kasar itu. Ketiga lelaki ini susah untuk dipikat!

Sebuah keluhan berat aku lepaskan lalu aku aku membuang pandangan ke arah luar tingkap. Tanganku mula meraba bahagian perutku yang sudah berbunyi minta diisi. Aku tidak menjamah apa-apa pun tadi sebelum ke sini disebabkan aku terlalu mahu rancanganku ini mula berjalan seperti yang aku rencana. Akan tetapi entah mengapa setelah aku bertemu dengan lelaki yang aku harapkan dapat membantu aku keluar dari ugutan Pak Long dan Abang Karim ini, aku seakan-akan rasa berputus asa pula. Sebenarnya aku tidak sampai hati untuk mempermainkan lelaki itu, tetapi siapakah lagi yang dapat membantu aku keluar dari penjara penderitaan ini? Mataku kemudian beralih pula ke arah lengan kananku. Perlahan-lahan parut panjang di lengan kananku itu aku usap perlahan dengan ibu jari tangan kiriku.

Aku kembali termenung. Kembali mengingati bagaimana deritanya aku hidup terbuang dengan menumpang kasih Pak Long sekeluarga demi sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan. Aku masih ingat Abang Karim membelasahku ketika dia pulang dalam keadaan mabuk kerana kalah berjudi. Dia bertambah marah apabila aku tidak memberinya wang. Apa lah yang dia harapkan dari seorang budak sekolah yang berumur lima belas tahun. Kenapa dia harus meminta wang dariku? Ketika rakan-rakan lain seusiaku sedang berseronok menikmati usia remaja mereka dengan keluar bersama rakan-rakan selepas waktu persekolahan atau pun pada hujung minggu,aku pula hanya menghabiskan masa dengan menjual ikan di pasar.

Kesan parut di tanganku ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan kesan luka di dalam hatiku. Luka di dalam hatiku ini entah bila dapat menemui penawarnya. Luka kerana ditinggalkan oleh ibu kandung sendiri, kebencian dan rasa dendam terhadap Pak Long dan Abang Karim kerana telah membuatkan hidupku penuh dengan derita. Kenangan manis ketika zaman kanak-kanak? Tiada. Tiada satu pun memori manis yang boleh aku ingati sehingga kini selain airmata dan tangisan. Satu keluhan sekali lagi keluar dari mulutku.

“Tak baik mengeluh tahu tak?” Sergahan itu membuatkanaku terus berpaling.

“Hah?” Aku memandang lelaki chinese look yang baru sahaja mengambil tempat duduk betul-betul di hadapanku itu.

“Apa kena kereta kau tu? Semalam aku tengok elok aje. Buat apa hantar sini, kau claim lah insuran.” Ujar lelaki itu selamba sebelum pen dan kertas diletakkan di atas meja.

Aku tiba-tiba terpandang akan jari-jemari lelaki itu yang terdapat kesan-kesan minyak berwarna hitam. Aku jadi teringat pada arwah Abah. Dulu semasa kecil setiap kali Abah pulang ke rumah aku akan membantu membasuh dan membersihkan tangan Abah yang penuh dengan kesan minyak hitam di dalam sebuah besin berisi sabun dan air. Spontan bibirku mengukir senyuman apabila terkenangkan kembali memori manis aku bersama arwah Abah.

“Kau gelakkan aku ke sebab tangan aku kotor berminyak macam ni?” Ujar lelaki itu agak sinis.

Aku menggeleng laju. “Saya tiba-tiba teringat pada arwah Abah saya. Dulu dia mekanik jugak.”

“Oh iya ke? Aku macam tak percaya aje arwah abah kau mekanik sebab kau nampak macam anak orang kaya.” Fahin selamba memberikan pendapatnya.

Aku tersenyum namun hambar. “Saya usaha sendiri untuk hidup lebih baik.” Balasku namun mataku aku kalihkan jauh dari wajahnya.

“Aku tak bermaksud nak perli kau ke apa. Jangan nak terasa pulak.” Mungkin dia dapat mengesan perubahan di wajahku agaknya.

“Tak mengapa. Saya suka tengok tangan yang kotor kena minyak macam tangan awak tu sebabnya masa saya kecil dulu saya selalu tolong basuh dan bersihkan tangan arwah abah saya dalam sebuah besin di depan pintu rumah di kampung setiap hari bila abah balik dari kerja.” Aku kembali terbayangkan wajah arwah abahku yang sedang tersenyum.

Deheman dari lelaki itu mematikan lamunanku. “Aku sibuk banyak kerja ni. Kau nak apa jumpa aku ni?”

“Awak boleh tolong baiki kereta saya tak?” Aku mempamerkan wajah comel di hadapan lelaki yang mungkin berumur awal 30-an itu.

“Tengoklah apa perlu dibaiki dulu. Cermin depan aje kan? Kalau macam tu kau boleh pilih jenis cermin yang kau nak kat sebelah kiri sana tu. Aku minta Man tolong pasang.” Ujarnya selamba tanpa perasaan.

Aku tiba-tiba berasa aneh. Adakah lelaki ini tiada perasaan terhadap perempuan? Atau hanya terhadap aku? Kenapa sejak tadi nada suara dan intonasi suaranya sentiasa kedengaran kasar dan tidak mesra.

“Saya nak awak yang tolong pasang, tak nak orang lain.” Aku mula bersuara manja seperti yang selalu aku lakukan apabila aku memujuk Haris atau bekas teman-teman lelakiku dahulu. Cara ini pasti berkesan di hadapan lelaki ini juga. Aku sangat berkeyakinan.

Lelaki berkulit cerah itu terdiam sebentar sebelum dia ketawa kuat bagaikan baru saja mendengar satu kisah lucu. “Kau ni dah kenapa manja semacam macam budak sekolah rendah. Dah aku hal lain pulak ni. Aku gerak dulu” Ujarnya lalu bangun dari kerusi yang didudukinya.

Aku segera bangun dan menghalangnya dari meninggalkanaku. Aku sedikit mendongak memandang wajahnya. “Awak benci saya ke? Atau awak tak suka semua perempuan?” Soalku selamba.

Wajah lelaki itu nampak bingung dengan soalan yang aku ajukan. “Apa maksud kau kata aku tak suka perempuan?”

“Tak adalah... awak layan saya macam nak tak nak aje sejak tadi. Kalau sebab kes semalam tu saya minta maaf. Saya betul-betul minta maaf atas kesalahan saya brek secara mengejut dan juga kerana kebiadapan saya terhadap awak semalam. Maafkan saya ya?” Aku mempamerkan muka comel sambil menggosok kedua-dua belah tapak tanganku di hadapannya.

“Siapa nama kau?” Soal Fahin serius.

“Eryna...Dea Eryna.” Jawabku.

“Eryna...kau nak kata aku ni suka lelaki ke apa?” Serius wajahnya memandangku.

“Eh tak tak...saya mana ada maksudkan macam tu. Saya cuma rasa yang awak tak sukakan saya, itu aje.” Aku tunduk memandang lantai. Berlakon berpura-pura merajuk.

“Kalau jawapannya ya ku tak suka perempuan...kau nak buat apa?” Ujar Fahin yang membuatkan mataku membulat. Wajahnya sekali lagi aku renung.

“Saya akan cakap awak gila. Dah tak ada perempuan ke dalam dunia ni yang awak boleh jadikan isteri.” Balasku berani.

“Hahahaha...hei kau ni memang berani kan menjawab. Aku baru tipu kau sikit kau terus sound aku. Boleh tahan jugak kau ni.” Fahin ketawa sebelum dia berjalan meninggalkan aku.

“Awak kereta saya macam mana?” Aku mengikutinya dari belakang.

“Lepas lunch ni aku repair kereta kau tu. Sekarang ni aku nak pergi makan.” Ujarnya selamba sambil jumpsuit di tubuhnya dibuka dan digantung di tempat penyangkut di bilik rehat.

“Saya nak ikut awak makan sekali boleh? Kebetulan saya belum makan sejak pagi.” Aku mendekatinya yang sedang membersihkan tangan di singki berhampiran.

Agak lama wajahku direnungnya sebelum satu senyuman sinis terbit di bibirnya. Selesai membersihkan tangan, Fahin mengesat tangannya itu dengan sehelai tuala kecil sambil wajahku dipandangnya.

“Kau suka kat aku ke? Entah kenapa aku dapat rasakan yang kau macam nak pikat aku aje.” Ujarnya selamba yang terus membuatkan aku terdiam menahan malu.

“Mana ada.” Balasku ringkas.

“Aku suka perempuan. Aku tak benci kau. Kalau kau lapar pergi makan sendiri ya sebab aku nak makan bersama anak aku. Kereta tu dah siap nanti aku minta Man call kau.” Fahin mengeluarkan satu kenyataan yang membunuh niat dan semangatku untuk memulakan rancangan memikatnya.

Aku memandang belakang badan lelaki itu sehingga kelibatnya hilang di sebalik deretan kenderaan di seberang jalan. Aku tidak dapat menggambarkan betapa hancur dan punahnya harapan aku ketika itu kerana rancangan yang aku cipta berakhir tanpa membuahkan hasil. Fahin yang aku harapkan dapat membantu aku rupa-rupanya bukanlah lelaki yang sesuai yang dapat membawaku pergi jauh dari kesedihan. Entah mengapa hatiku berasa begitu pedih mendengar lelaki itu berkata sebegitu terhadapku tadi. Kata-kata penolakannya tadi benar-benar melukakan hatiku.

“Tapi walau apa pun aku tak akan sanggup merosakkan rumah tangga orang lain demi kepentingan diri. Dia dah ada anak isteri, Eryna. Lupakan aje dia yang kau harapkan boleh bantu kau tu. Mungkin ada orang lain yang lebih sesuai bantu aku. Atau aku boleh bayar sesiapa untuk menyamar jadi calon suami aku untuk beberapa bulan. Itu jalan yang terbaik untuk aku lepas dari ugutan Pak Long dan Abang Karim.” Aku bercakap kepada diriku sendiri sebelum aku melangkah lemah pergi meninggalkan bengkel itu.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.