Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,352
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

7

IRIS Suhayla berdiri di tepi pintu masuk Prasekolah Adik Bijak. Dia menelan air liur melihat keadaan kelas yang sangat uzur. Bangunan itu sudah uzur dan tunggu masa untuk runtuh sahaja. Jika dilihat dari persekitaran fizikalnya, bangunan itu seakan tidak selamat untuk dijadikan pusat pembelajaran bagi kanak-kanak prasekolah nanti.

Pelbagai prasangka bermain di mindanya namun dia tidak mahu cepat melatah. Barangkali dia boleh merencana beberapa perkara untuk menceriakan bangunan itu. Kalau Afiqah tahu yang kelasnya begitu, pasti dia bakal dihentam teruk. Sebelum ia sampai ke pengetahuan rakan-rakannya, lebih baik dia bertindak segera. Oh, tidak!

"Pembantu Iris sedang bercuti. Dia balik ke Sabah. Katanya, dua hari sebelum buka sekolah, dia akan kembali bertugas,"

Terang GPK Pentadbiran, Encik Osman. Iris Suhayla mengangguk tanda mengerti. Barangkali dia boleh meminta pendapat Cikgu Osman mengenai prasekolah itu.

"Cikgu Osman, maaf bertanya, sebenarnya sudah berapa lama usia bangunan prasekolah ni?"

"Oh, nampak menakutkan ya bangunan ni?"

Iris Suhayla ketawa menjawab pertanyaan itu. Bimbang hendak memberi pendapat yang jujur mengenangkan usia perkhidmatannya yang baru beberapa jam sahaja.

"Bangunan ni adalah bangunan yang paling tua di sekolah ini. Bila prasekolah mula diperkenalkan, bangunan ini diubahsuai untuk dijadikan kelas prasekolah. Saya faham perasaan cikgu tentang keadaan kelas ni tapi buat sementara, hanya bangunan ini yang boleh kita guna. Kita kekurangan kawasan lapang untuk mendirikan bangunan baru,"

Jelas Encik Osman dengan panjang lebar. Iris Suhayla diam sahaja. Segala persoalan yang bermain di dalam mindanya dibiarkan dahulu. Biarkan dahulu. Pasti ada penyelesaian di sebalik semua masalah ini.

"Saya sedih tengok keadaan kelas ni sebenarnya tapi saya harap kesedihan saya terubat dengan adanya Cikgu Iris Suhayla di sini."

"Tolonglah ceriakan kelas ini seperti mana yang sepatutnya."

Tambah Guru Penolong Kanan Pentadbiran itu lagi. Iris Suhayla mengerti. Jika bukan disebabkan permintaan Encik Osman pun, itulah niatnya yang pertama setelah melihat wajah kelas prasekolah itu, menceriakan kelas seperti yang sepatutnya.

"Memang itu hajat saya pun, Cikgu Osman. Tapi cikgu janganlah pulak mengharapkan perubahan seratus peratus. Apa yang termampu saya buat, yang pasti saya akan buat sikit demi sikit,"

"Baguslah begitu. Kalau Cikgu Iris perlukan apa-apa bahan, boleh tanya pada bahagian pentadbiran tentang urusannya,"


USAI Mesyuarat Kurikulum, dia bergegas ke kelas prasekolah. Kata kerani, cat sekolah ada di simpan di stor sebelah tandas murid lelaki. Dia boleh menggunakan mana-mana warna yang dikehendaki namun dia perlu menyediakan kertas kerja tentang keceriaan kelas sebagai gantinya. Ketika dia mengusung tin cat kuning, pekerja sekolah menawarkan diri untuk membantu. Kata mereka, Encik Osman ada berpesan supaya membantu Iris Suhayla di kelas prasekolah sementara belum sibuk dengan kebersihan sekolah.

"Alhamdulillah, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Memang saya perlukan tenaga tambahan untuk mengecat dinding kelas. Lebih ramai yang membantu, lebih mudah urusan diselesaikan."

Balas Iris Suhayla dengan rasa gembira.

"Tahun sebelumnya, kelas ni dijaga guru lelaki. Tapi cikgu faham sahajalah, cikgu lelaki kurang berminat dengan keceriaan kelas. Dah beberapa kali guru besar menasihatkan supaya guru itu meningkatkan keceriaan kelas tapi arahan hanya tinggal arahan. Akhirnya, beginilah rupa kelas yang diambil alih oleh cikgu,"

Cerita pekerja sekolah yang bernama kak Ita. Iris Suhayla senyum sahaja. Berita seperti itu tersebar juga di kalangan kaki tangan sekolah. Itulah yang perlu dijauhkan sebenarnya. Jika dia tidak mahu dicop, tutup mulut dan buat sahaja kerja yang diarahkan. Sekurang-kurangnya kesalahan yang nampak di mata orang lain boleh dikurangkan.

"Oh, tak apalah! Saya anggap ini sebagai pengalaman baru yang perlu saya belajar. Lambat laun, saya akan berdepan juga dengan masalah begini."

"Saya suka semangat cikgu. Barangkali semangat cikgu baru!"

"Semangat cikgu baru? Maksud Kak Ida?"

"Iyalah. Selalu beginilah rupa cikgu baru. semangat luar biasa. Itu ini semua nak dibuatnya tapi bila dah masuk tahun ketiga, keempat, kelima, barangkali dah jemu agaknya menghadap rutin yang sama, menghadap perangai manusia yang macam-macam, semangat tu hilang sikit-sikit."

Jelas Kak Ida. Tersentak juga Iris Suhayla bila dikata begitu namun dia tidak mahu terlalu memikirkan perihal itu. Barangkali itu pengalaman mereka bertahun-tahun di sekolah. Buat dirinya, dia cuma mahukan yang terbaik untuk anak bangsa. Apa yang akan dilakukan pada tahun-tahun akan datang, ceritanya akan berlaku apabila masa berlalu. Jika dia merancang sekalipun, belum tentu dia mendapat apa yang diinginkan.

"Mungkin agaknya, Kak Ida. Barangkali niat yang menentukan kedudukan semangat kita. Kerana duit, kerana pangkat atau Lillahitaa'la."

"Dinding sebelah depan ni siap dicat cikgu, yang bertentang dengannya nak dicat dengan warna yang sama ke?"

Tanya Pak Hassan yang begitu tekun melunaskan kerja mengecat. Iris Suhayla meninggalkan kak Ita dan Kak Ida yang sedang mengecat di bahagian hujung kelas. Dia berjalan ke arah Pak Hassan dengan perasaan yang gembira. Gembira kerana sedikit demi sedikit, rupa kelas itu berjaya diubah dari yang asalnya.


"BUSYsangat ke orang Labuan tu? Semenjak sampai sana, langsung tak hantar khabar berita,"

Terjah Riyad ketika Iris Suhayla baru meletakkan telefon bimbit di telinganya. Tidak segera membalas, Iris Suhayla ketawa sahaja.

"Mestilah busy, orang dah bekerja, kan?"

"Hai, cuti sekolah pun belum habis lagi, busy tang mananya?"

Soal Riyad kembali. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi adiknya.

"Itulah angah, selalu mengata cikgu tak sibuk, tak banyak kerja. Tengok adik angah ni, kerja bertambun walaupun murid tengah bercuti. Ingat senang ke jadi cikgu?"

"Senang bin kacang goreng, kan? Alah, tinggallah dulu kerja tu. Jalan-jalan pusing Labuan dulu. Kata ada orang teman Su kat sana?"

Usik Riyad, menimbulkan persoalan baru buat Iris Suhayla. Pasti Riyad berkait rapat dengan kehadiran Izzul Haq di Labuan tempoh hari. Kemunculannya secara tiba-tiba dan mengejutkan. Kalau tidak kerana Riyad, takkan setepat itu Izzul Haq berada di sisinya.

"Kata? Siapa kata? Ni mesti kerja angah lagi, kan? Angah yang suruh Izzul datang sini, ya?"

"Angah? Angah jugak yang kena! Izzul sendirilah yang mintak kebenaran dengan mak dan ayah nak hantar Su ke sana. Katanya, dia nak uruskan sendiri tempat tinggal Su. Mak pun apa lagi, orang nak tolong, kan? Mestilah mak bagi!"

Jelas Riyad, mempertahankan diri. Maklumat itu sampai padanya sehari sebelum Iris Suhayla bertolak ke Labuan namun kata emak, biar Su kenal sendiri tunangnya. Justeru dia mendiamkan diri sahaja, selain memang ingin mendengar reaksi Iris Suhayla tentangnya.

"Eeee, mak ni, kan? Entah apa yang dia suka sangat pada Izzul tu,"

"Jangan macam tu, Su. Pilihan mak tu berkat,"

"Angah tak kena, bolehlah angah cakap macam tu!"

"Kalau angah di tempat Su, angah terima dengan redha. Angah pun nak bakal isteri angah direstui keluarga."

Beritahu angah, menyatakan pendiriannya. Sebenarnya dia cuba hendak membantu Iris Suhayla, membuang segala prasangka adiknya terhadap emak. Apa yang dilakukan oleh emak, pasti yang terbaik dikirakan untuk anak-anaknya. Sempat beberapa kali dia berbual dengan Izzul Haq, ternyata lelaki itu punya karisma untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

"Ala, angah cakap sebab nak sedapkan hati Su, kan?"

"Itulah Su, kalau angah nasihat, Su asyik nak menang. Payah betul nak terima nasihat orang,"

"ASSALAMMUALAIKUM. Kami pelawat dari PPD."

Ucap seseorang di luar. Iris Suhayla kaget. Sudah ada pelawatkah di musim cuti sekolah ini? Dia memanjangkan leher, menjenguk ke luar namun gelak tawa Siti Hajar menghilangkan debaran di dada.

"Kurang asam punya kawan!Nak tercicir rasa jantung ni dibuatnya. Masa tengah sibuk, masa ni pulak orang nak datang melawat,"

"Eh, tak boleh melawat ke? Kalau macam tu pelawat baliklah!"

Balas Siti Hajar sambil memusingkan badannya, berpura-pura hendak meninggalkan kelas prasekolah itu.

"Eh, kata pelawat! Belum melawat lagi dah nak balik. Tak nak masuk dalam dulu ke? Hajat tadi, nak juga hidang air untuk tetamu."

"Ada air ke? Emm, tak jadi baliklah!"

Jawab Siti Hajar lantas menanggalkan kasutnya di hadapan pintu. Tidak menunggu pelawaan, dia duduk di atas karpet lusuh.

"Wah, berubah sungguh rupa kelas ni semenjak Cikgu Iris Suhayla ada di sini. Bertuah Sekolah Seri Layang dapat cikgu macam Iris!"

Puji Siti Hajar sambil matanya melilau ke segenap ruang kelas. Iris Suhayla ketawa kecil. Padanya pujian itu cuma hendak menguji semangatnya sahaja. Iris Suhayla tidak menjawab. Hanya derap kakinya sahaja kedengaran meninggalkan ruang kelas. Dia meletakkan hidangan ringan di hadapan Siti Hajar. Tersenyum rakan yang baru dikenali itu sambil menggosok-gosok perutnya tanda lapar.

"Sempat pulak Iris goreng pisang, ya?"

"Sempat? Ingat Su serajin tukang masak ke? Makan tengah hari dengan malam pun beli aje, inikan pulak nak menggoreng pisang,"

"Ahaha...Tahu dah! Sebenarnya saja je puji tu. Kalau tak puji karang, tuan punya goreng pisang tak jemput pulak kita makan,"

"Mengada sungguh! Boleh pulak berlakon semata-mata nak makan!"

Balas Iris Suhayla sambil menepuk paha Siti Hajar. Siti Hajar sekadar ketawa sambil menggosok-gosok pahanya. Kemudian, dia menyua sekeping pisang goreng, sedikit demi sedikit ke dalam mulutnya.

"Hari tu tak sempat kita nak bersembang panjang, kan?"

"Iris kat Labuan ni, tinggal di mana?"

"Kat apartment Layang Sari. Taklah jauh sangat dari sekolah!"

Beritahu Iris Suhayla, mengundang kejutan Siti Hajar.

"Eh, kita berjiranlah! Siti pun duduk di situ jugak. Tapi sekarang ni dalam proses nak mencari bilik kosong. Apartment Siti tu, macam dah jadi asrama pulak. Ramai sangat orang di rumah tu."

"Iya ke? Kalau macam tu, marilah duduk dengan Su. Lagipun Su seorang diri aje kat situ,"

Pelawa Iris Suhayla, tidak berfikir panjang. Dari dia bersendirian di rumah itu, menghadap dinding kosong siang malam, lebih baik jika dia mencari teman. Sekurang-kurangnya ada teman pengubat sepi.

"Betul ke Iris? Iris ke Su ni? Siti panggil Iris, Iris bahasakan Su."

"Su lah, ya! Betullah, apa tak betul pulak! Kalau Siti nak, hari jugak boleh pindah ke rumah Su!"

"Wah, bestnya! Tak sabar nak balik rumah, nak berkemas. Kalau macam tu, Siti nak balik dululah, nak berkemas. Bak sini nombor telefon Su! Nanti bila nak pindah, Siti call,"

Minta Siti Hajar seraya menadah tangan. Sempat pula sebelah tangan lagi menyua minuman ke dalam mulutnya. Iris Suhayla menggeleng tapi dalam pada itu, dia bangun juga mendapatkan kertas, menulis nombor telefon di atasnya sebelum menyerahkan kertas itu ke tangan Siti Hajar.

"Blok C, C3-11 nombor rumahnya!"

"Thanks, Su! Ni yang jatuh sayang pada Su ni. Muah!!"


HAMPIR jam sepuluh malam, loceng rumahnya ditekan beberapa kali. Iris Suhayla yang sedang berbaring menonton televisyen, bangun juga dengan rasa malas. Dia seperti dapat mengagak kehadiran tetamu merangkap rakan serumahnya yang baru.

"Su, terima kasih bagi Siti tinggal dengan Su!"

"Sama-sama, jomlah masuk!"

Ajak Iris Suhayla sambil membantu Siti Hajar mengangkat barang yang dirasakan boleh dibawa seorang diri. Rakan serumah Siti Hajar barangkali, ada bersama membantu mengangkat beberapa kotak barang peribadi bakal bekas teman serumah mereka. Barangkali, itu bantuan terakhir mereka sementelah Siti Hajar bertekad hendak mencari rumah baru.

"Jemput masuk semua,"

Ajaknya ketika melihat dua orang rakan Siti Hajar seolah keberatan hendak masuk ke dalam rumah. Terlupa akan peranan sebagai tuan rumah, dia mengalukan kehadiran tetamunya dengan rasa hormat.

"Dua bilik ni saja yang kosong. Siti nak guna bilik mana, guna sajalah!"

"Bilik tengah ni lah, dekat sikit dengan Su!"

Balasnya sambil menolak pintu bilik. Alangkah terkejutnya bila didapati bilik itu telah lengkap dengan segala kelengkapan, lantas, di mana harus dicampakkan peralatannya pula?

"Tinggal masuk pakaian aje dalam almari."

Beritahu Iris Suhayla seolah-olah dapat menghidu soalan yang bermain di dalam minda Siti Hajar.

"Habis barang yang lain?"

"Simpan aje dalam bilik sebelah. Habis cerita!"

"Alah, esoklah kita kemas sama-sama. Dah malam ni, Siti rehat dulu. "

"Okay, Siti! Kami nak balik dulu. Nanti ada masa, jangan lupa singgah jenguk kami kat Blok A!"

Beritahu salah seorang rakan Siti yang memakai baju kelawar berwarna hijau. Mereka memeluk Siti Hajar bergilir-gilir. Dari wajah Siti Hajar, terkesan juga dek mata kasarnya kesedihan berpisah dengan rakan-rakan. Barangkali keputusan itu yang terbaik buat Siti Hajar. Jika tidak, masakan dia mahu berpindah juga sedangkan perasaannya bertentangan.

"Terima kasih, kawan-kawan! Sampaikan salam aku pada Nadia and Shida, ya?"

"Okay, kami balik dulu, ya?"

"Iris Suhayla! Terima kasih. Tak sempat nak buat minuman. Lain kali jemput datang lagi, ya?"

"Tak apa. Lain kali saja. Saya Alia, ini Nurul. Jumpa lagi. Assalammualaikum!"

Ujar Alia, memperkenalkan dirinya dan Nurul. Mereka bersalaman dengan Iris Suhayla sebelum keluar dari rumah itu. Selepas menutup pintu, Siti Hajar dan Iris Suhayla saling berpandangan.

"So, dah boleh panggil, aku-kau lah ni?"

Tanya Siti Hajar kepadanya. Iris Suhayla ketawa kecil sebelum teringat untuk bertanya sesuatu.

"Sebelum tu, berapa umur Siti?"

"Alah, apa tanya pasal umur pulak? Malulah! Kita baru umur 28."

"Ahahaha...Oh, ada hati nak berkau-aku, orang panggil Kak Siti tak mahu. Ingatkan sebaya ke? Rupanya tua dia tiga tahun dari kita. Suka hati kaulah, Siti!"

Usik Iris Suhayla sebelum duduk di atas sofa hitam. Siti Hajar ketawa sebelum duduk di sebelahnya, tidak lagi dipelawa. Barangkali Siti Hajar sedang menyesuaikan diri di tempat baru.

"Rumah ni memang fully furnished ya, masa kau masuk?"

"Ha ah."

"Untunglah, tak payah sakit kepala nak memikir pasal perabot."


"MAMA Jiya rasa tarikh ni sesuai untuk majlis Iz nanti!"

Kata Mama Jiya sambil menunjukkan kalendar bulan enam dengan nombor empat belas dibulatkan kepadanya. Izzul Haq mengambil kalendar itu lalu memikirkan tarikh yang disebutkan Mama Jiya, ibu tirinya yang banyak berjasa menguruskan keperluannya semenjak papa membawanya pulang dari kampung.

"14.06.14. Cantik kan, nombornya?"

Tanya mama Jiya lagi. Izzul Haq tidak segera menjawab. Bukan nombor yang menjadi keutamaan namun kelapangan jadual kerjanya. Kadang-kadang kerja datang tanpa mengira hari. Itu yang paling dikhuatirkannya.

"Iz bimbangkan masa, Mama Jiya!"

"Kita yang aturkan masa, bukan masa yang atur kita. Jangan ghairah sangat dengan kerja. Nanti jadi macam papa. Nak ke Mekah pun, sempat lagi fikir hal dunia,"

"Iz yang perlu kawal jadual Iz. Kalau nak mudah, kosongkan terus kalendar Iz untuk bulan enam nanti. Terus ambil cuti rehat sebulan."

Kata Mama Jiya lagi, memberi pendapat bila dilihat anak tirinya seakan-akan buntu dengan tarikh tersebut.

"Nak kahwin ke tidak ni?"

Tanya Mama Jiya lagi, memancing reaksinya. Izzul Haq ketawa cuma. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Dengan gadis pilihan hati pula? Oh, mahu! Mahu! Mahu!

"Mestilah nak kahwin, Mama Jiya oi!"

"Habis tu, nak risau pasal kerja lagi. Iz kan bos!"

"Bos pun, kenalah tunjuk contoh tauladan baik pada anak buah, kan?"

Tanya Izzul pula, kurang bersetuju dengan pandangan Mama Jiya. Namun akhirnya, dia mencapai tangan Mama Jiya, mengucup tangan itu dengan perasaan berterima kasih. Jika tidak kerana susah payah Mama Jiya menguruskan keperluannya, entah bagaimana agaknya kehidupannya kini sedang papa tidak punya waktu untuk hal itu. Dia bersyukur kerana masih diberi peluang menumpang kasih Mama Jiya selepas kembalinya arwah mama ke Rahmatullah. Kata orang, ibu tiri garang dan tidak sayangkan anak-anak tiri mereka namun dia bertemu dengan Mama Jiya yang pengasih.

"Terima kasih, Mama Jiya. Mama Jiya prihatin lagi pada Iz walaupun Iz dah besar panjang,"

"Iz kan anak Mama Jiya jugak!"

Jawab Mama Jiya, perlahan. Lantas, rambut anak muda itu dielus dengan penuh kasih sayang.

"Bila Iz nak bawak Su jumpa Mama Jiya. Baru sekali jumpa, itu pun tak sempat nak berbual,"

Tanya Najihah lagi. Dia terkenangkan aksi nakal bakal menantunya sebelum sesi menyarung cincin kelak. Melihat wataknya yang bersahaja, Najihah tahu gadis itu orang yang ceria.

"Dia di Labuan Mama Jiya, posting di sana. Kalau boleh Iz malaslah nak usung sangat anak dara orang ke sana ke sini. Sampai masa nanti, InsyaAllah dia akan jadi sebahagian keluarga kita,"

"Baguslah kalau itu prinsip Iz. Lagipun bulan enam dah tak berapa lama. Kerap sangat berjumpa pun tak elok mata orang memandang, nanti keluar lagi cerita dalam media,"

Pesan Najihah, menyatakan kebimbangannya. Baru-baru ini sempat juga dia membaca berita tentang Izzul Haq yang dikhabarkan sudah bertunang. Entah dari mana akhbar itu memperoleh sumber. Bersyukur, tidak ada gambar keluarga yang disisipkan sebagai bukti. Jika tidak pasti sukar juga hendak menjawab soalan-soalan orang di sekeliling. Tambahan pula, teman-temannya sangat mengenali Izzul Haq. Tak elok rasanya berita itu diketahui oleh mereka dari media sedangkan dia sendiri tidak membuka cerita. Namun prinsip Izzul Haq harus dijaga juga. Anak muda itu tidak mahu menjadi bahan bualan kerana kisah peribadinya.

"Mama Jiya tahu ke pasal cerita tu?"

"Sempatlah jugak Mama Jiya simpan keratan akhbar tu. Mana tahu boleh ditunjuk pada anak cucu Iz satu masa nanti,"

Usik Najihah lagi, mengundang tawa Izzul Haq. Najihah ikut suka kemudiannya.

"Hairan jugak Iz. Mana mereka dapat sumber pasal cerita tunang tu,"

"Adalah tu, Iz! Cuma Mama Jiya nak pesan supaya Iz hati-hati. Kalau keluar cerita yang baik tak apa, takut cerita yang diada-adakan, yang tak elok."

"InsyaAllah, Iz akan hati-hati pasal ni. Lagipun belum sampai masa untuk mewar-warkan berita ni,"

Jawab Izzul Haq pula. Perkara itu memang sudah lama dikajinya. Hakimi juga pernah berpesan dan mengingatkannya. Namun terselit juga sedikit perasaan bimbang jika kedudukan Iris Suhayla dapat dikesan. Iris Suhayla langsung tidak bersalah untuk menjadi perhatian masyarakat secara tiba-tiba.

"Baguslah, Iz! Mama Jiya pun tak pernah berhenti berdoa, moga Iz sentiasa dilindungi dari bahaya,"

"Terima kasih Mama Jiya! Untung Iz, ada Mama Jiya yang sayang pada Iz."

Ucapnya, lalu meraih tangan Mama Jiya dan membawanya ke bibir. Tangan tua itu dikucup sekali.Dia mengucap syukur di dalam hati, masih dianugerahkan insan yang prihatin terhadap dirinya di kala ayah sendiri tidak mengendahkannya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.