Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,669
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Ketika Hensen masih lena, aku keluar rumah awal pagi menuju Fifth Avenue dengan memandu kereta Audi Hensen yang kupinjam.

Sebelum ke Vamos, aku mencari salon rambut di tengah kota sibuk ini. Selalunya salon rambut  dibuka lebih awal berbanding kedai-kedai lain.

“Yeah!” aku berbisik gembira bila ternampak salon yang terletak di hujung bangunan betul-betul berhampiran dengan Vamos. Lepas parkir di sebelah jalan aku turun dari kereta dan berlari kecil ke arah salon yang terletak di bawah bangunan pejabat. 

“Hello, selamat pagi,” sapa seorang pekerja yang ceria sebaik aku menolak pintu kaca dan masuk.

“Selamat pagi,” sapaku mesra.

“Oh,” wanita berambut merah dengan fesyen keriting itu memandangku macam teruja sungguh dapat pelanggan baru. “Awak… nampak macam kacukan…”

“Korea-Amerika, ibu saya berdarah Korea,” aku selalu memudahkan persoalan orang tentang personalitiku supaya mereka tidak bertanya banyak-banyak. 

“Wah, sebab tu saya perasan lain, saya jarang lihat wajah kacukan, tapi awak nampak sempurna,” katanya lalu ketawa.

Aku ikut ketawa. Mestilah sempurna, aku cukup tangan dan kaki, aku ingat dia nak cakap aku ala-ala Alien tadi. Selalunya begitulah pandangan orang pertama kali melihat aku. Terkejut, teruja, pelik, kadang-kadang ada juga yang menyangka aku kelahiran Rusia.  

“Saya suka bentuk wajah awak, cantik…” dia mengukur wajahnya sendiri dengan ibu jari dan telunjuk. “Kurus, sangat sempurna, awak model ke?”

“Tak…” aku tersenyum.

“Oh, nama saya Harper, Harper Thompson.”

“Halyn Yong Olyphant.” Aku menghulurkan jabat tangan.

“Sedap nama tu. Awak nak cuci rambut?”

“Saya nak potong pendek, lebih kurang paras bahu. ” 

“Ok,” suara Harper ceria betul dan macam tak sabar-sabar nak memotong rambutku. 

Lebih baik begitu, pendek, mudah aku nak jaga nanti, selain ingin menyamar, biar tiada sesiapa mengenaliku lagi. Harper mula menyiapkan peralatan hendak menggunting. 8.15 pagi dua orang lagi pelanggan wanita masuk, macam pekerja pejabat. Ada pekerja lain yang menyambut ramah. Salon yang sunyi tadi mula riuh dengan suara ketawa pelanggan yang baru datang. Rambutku yang panjang mula dipotong, sedikit sedih tetapi aku tidak menyesalinya. Sambil melihat rambutku dipotong dari cermin aku mendengar dua wanita yang agak berusia bercerita dan menyebut nama Hensen.

“Betulkah Hensen dibuang dari drama tu gara-gara dia tumbuk penaja drama?” 

“Betul agaknya, awak tahulah American Gossip, kalau tak betul pun mereka buat macam betul, biasalah untuk promosi drama baru ke… atau pelakon baru.”

“Pasal apa?”

“Dengarnya macam berebut perempuan!”

Rancak betul mereka berdua bercerita sambil pekerja di situ menyampuk ketawa.

“Astagaa… lelaki kacak macam dia sepatutnya tak payah berebut pasal perempuan, dia kacak, saya tak sabar tengok episod baru drama Hensen.”

“Saya pun, harap-harap dia jumpalah Emily cepat.”

“Kan… Hensen tu sudahlah kacak kalau dia buat scene romantik, aduhaiii…. aku betul-betul jatuh cinta.”

“Janganlah dia buat hal lagi nanti susah pula aku nak tengok dia berlakon.”

Emm, aku rasa pasal gosip Hensen itu cuma cerita lama. Tetapi pasal wataknya dihentikan dalam sebuah filem baru-baru ini memang betul. Hensen pun nampaknya bereaksi positif jadi aku taklah bimbang sangat. Dia betul-betul tidak suka kalau encik Aart terlibat dalam filem yang ditawarkan kepadanya lagi. Dan betullah majalah yang aku baca, Hensen banyak peminat dari kalangan wanita. Dari cermin aku melihat semakin banyak rambut kehitaman jatuh di sekeliling pelapik kain. Sesekali aku berbalas senyuman dengan Harper. Selepas selesai dipotong aku meminta Harper menyuci rambutku dalam sepuluh minit kemudian proses pengeringan yang sangat cekap dari tukang gunting profesional yang mengutamakan keselesaan pelanggan. Tentu harganya mahal, aku lupa nak tanya tadi. 

Selepas sejam berlalu. Siap. Rambut hitam lurus nampak pendek tetapi masih melepasi bahu. Ini kali pertama aku menggunting rambut sependek itu. Wajah kurusku nampak lebih ketara ketika aku membelek-belek rambut di cermin.

“Awak nampak segar, macam budak sekolah,” kata Harper.

Aku ketawa girang dan kemudian membuat pembayaran atas khidmat Harper yang kuakui hebat. Betullah orang kata, New York tempat terbaik segala fesyen dari kepala hingga kaki.

“Saya suka,” kataku jujur. 

“Saya pun, fesyen rambut tu sesuai sangat dengan awak.”

Aku membelai rambutku dengan senang hati. “Nanti saya datang lagi, terima kasih Harper.” Harper menepuk bahuku dan membukakan aku pintu selepas kami saling mengucapkan selamat bekerja.

Dari salon aku bergegas ke Vamos, gara-gara asyik mendengar orang bergosip aku terlewat sepuluh minit kelas fotografi. Mujur juga Mr. Lucio sedang sibuk mengajar Jimmy Chan membetulkan kedudukan kamera di hadapan. Aku terus duduk di sebelah Selena Marcelo Agusto, kawan baruku yang berasal dari Madrid tetapi mengikut keluarganya berpindah ke New York sebab ayahnya bekerja sebagai jurutera di sini.

“Aku terlepas apa-apa ke?” tanyaku pada Selena sambil membuka buku nota.

“Tak juga, Mr. Lucio baru masuk,” jawabnya sebelum melihat kepadaku dengan teruja. “Kau potong rambut? Wah cantiknya…” puji Selena tiba-tiba.

“Cantiknya Halyn, rambut awak… nampak segar,” Yang Se Min pula mencelah, seorang lagi rakan baruku yang berasal dari Korea Selatan, datang belajar tentang fesyen. Dia bakal editor majalah di Seoul tetapi mengambil kursus setahun di Vamos sebagai latihan.

“Terima kasih, sedikit selesa rasanya dengan rambut begini.”

Selena dan Se Min mengangguk-angguk setuju.

“Ok, guys…” Mr. Lucio mengejutkan kami bertiga dengan tepukan tangan dan suaranya yang kuat. “Semua orang ke depan dan cuba ambil gambar patung dari sudut apa pun dan hantar pada saya esok hasilnya dalam empat keping, buat satu portfolio dan terangkan dari sudut cahaya, warna fabrik dan mestilah cantik. Ini kerja terakhir kamu sebelum kamu semua buat praktikal. Kalau ada apa-apa masalah berkenaan dengan praktikal kamu sila berjumpa dengan pengurus Vamos sebelum buat pengesahan tempat.”

“Baik, Mr Lucio,” sahut kami beramai-ramai.

Jadi, bergegaslah kami mengeluarkan kamera masing-masing dan bergilir-gilir mengambil gambar patung yang berbaju gaun seksi berwarna merah jambu. Aku dan Se Min sempat ketawa dengan Selena yang teringin mahu memakai baju itu dan menyuruh aku mengambil gambarnya.

“Tentu Mr. Lucio suka,” katanya lagi.

“Yalah tu…” sahutku dan Se Min serentak.

Selepas kelas tamat dalam sejam kami bertiga ke kafetaria. Seperti biasa aku sekadar minum jus saja di sana sambil menemankan Selena dan Se Min makan sambil kami berbincang pasal kerja-kerja portfolio.

“Kamu berdua dah yakin nak ke Barcelona buat praktikal di sana?” tanya Se Min.

Aku mengangguk yakin.

“Aku tak pasti lagi, aku dapat tawaran buat praktikal di DKNY di sini dari puan Rachel, Halyn… kan kau dapat juga tawaran Rachel tu? Tapi aku suka kalau dapat balik ke Barcelona, dah lama aku tak ke sana. Cuma mak aku nak aku dekat-dekat sini saja sepanjang cuti sebulan tu,” cerita Selena yang tiba-tiba bakal mengubah rancangannya. 

Aku ikut terkejut dan risau kerana terpaksa ke sana seorang diri. Ada juga pelajar lain, tetapi aku tak rapat sangat, lagipun yang tiga lagi itu semuanya pelajar lelaki.

“Jadi aku terpaksa pergi seorang…” keluhku kecewa.

Selena turut memandangku sedih dan serba salah.

“Awak yakin ke, awak kena tanggung tambang sendiri untuk ke sana tu?” Se Min terkejut bila aku yakin benar hendak ke sana.

“Aku dah tempah tiket pun dan dah tolak tawaran Rachel, jadi aku pilih tawaran Mr. Lucio… yalah sekadar cari suasana yang berbeza, aku nak tengok juga macam mana cara mereka bekerja,” jelasku dan terus menghabiskan minuman yang terakhir.

“Nanti aku bincang dengan mak aku, kalau dia tak benarkan juga terpaksalah aku buat praktikal di DKNY tu,” Selena bercakap sambil memegang bahuku.

“Aku okay aje, terpulang dari kau, kau selesa buat praktikal di mana…” 

Selena mengangguk-angguk masih berfikir-fikir agaknya macam mana hendak menghabiskan sebulan praktikal di Barcelona nanti. Tidak lama duduk bercerita, kemudian gadis itu meninggalkan aku dan Se Min bila dia dapat telefon dari teman lelakinya. Pantas sahaja dia beredar dengan ketawa gembira dan sempat mengenyit mata.

Aku dan Se Min memerhatikan sahaja Selena keluar dari kafetaria dan menghilang dalam lif. 

“Saya rasa, dia takkan ke Sepanyol, manalah dia sanggup tinggalkan teman lelakinya yang kacak tu, lagi-lagi mereka baru disahkan jadi pasangan,” kata Se Min yang aku percaya betul.

“Tak apa, aku pun suka dapat pergi sendiri. Jadi, kau dah yakin buat praktikal di Seoul?” 

Se Min mengangguk laju. 

“Bagus juga dapat praktikal di tempat kau bakal bekerja, sekurang-kurangnya kau dah biasa dengan suasana tu nanti.”

“Iya betul, lagipun saya terikat dengan kontrak.”

Kami menghabiskan masa berbual selama sejam lagi sebelum beredar pulang. Se Min kembali ke dorm di bangunan Vamos itu juga sementara aku berniat hendak pulang ke rumah. Sebelum beredar aku mencatat nota, lokasi cawangan Adios di Barcelona dan alamat tempat tinggalku di sana nanti. Tetapi baru beberapa minit Se Min tinggalkan aku di kafe tiba-tiba aku di datangi seorang lelaki yang tidak aku kenali. Orangnya berjambang, kurus dan kelihatan tegas. Aku terkejut melihat lelaki asing itu. Setelah sembilan bulan berlalu, aku kembali dikejutkan dengan sesuatu yang aku fikirkan sudah berakhir. 

“Dari Encik Aart.” lelaki itu meletakkan sampul surat besar di meja, betul-betul di hadapan mataku sebelum bergegas keluar dengan wajah garang. 

Bahuku tersentak sesaat ketika pintu kaca kafetaria itu di tarik kuat menyebabkan loceng hiasan krismas di pintu kafetaria bergoncang kuat dengan bunyi bingit. Aku  masih ternganga di bangku… siapakah orang yang diutuskan itu? Sampul berwarna berwarna coklat kurenung dengan rasa pelik. Apakah? Perlahan jari-jariku merangkak menyentuh bucu sampul, ragu-ragu dan tertanya-tanya. Cuba tidak bersangka buruk aku mengambil sampul surat itu dan menarik keluar isi kandungannya.

“Hah!” aku berbisik terkejut. Ada gambar aku dan Kaizil di depan hotel kira-kira enam bulan yang lalu. Sekarang pun sudah penghujung musim panas pada awal Julai. Bagi aku tempoh itu terlalu lama untuk sebuah perpisahan.  Bukankah itu sepatutnya buat encik Aart senang hati tetapi kenapa jantungku berdegup takut, ada nota terselit yang buat nafasku tertahan-tahan. Aku membacanya berkali-kali dalam hati ‘JANGAN JUMPA KAIZIL LAGI! INI AMARAN!’ 

Sederas rasa takut yang menerpa, begitu juga keberanianku muncul. Sampai begitu sekali Encik Aart bertindak. Dia bagai takut dengan hal-hal yang tidak harus dirisaukannya. Aku peduli apa! Datanglah seribu ancaman sekalipun, aku sudah siap berdepan. Dia rasa sebab dia banyak duit ke? Apa dah jadi dengan polis? Aku perlu takutkah dengan amaran begitu, apa lagi salahku? Aku tidak menganggu sesiapa pun setelah beberapa bulan berlalu. Dengan perasaan bengang aku menyimpan gambar dan nota itu ke dalam sampul semula kemudian masukkan dalam slingbag. Kenapa Encik Aart tak simpan saja anak lelakinya dalam almari piala, biar jadi tugu untuk dipandang sahaja.  

Aku meninggalkan Vamos dengan fikiran-fikiran yang lebih menghala ke London. Lebih tepat lagi orang-orang yang tinggal di London. Aku memang mudah terdedah dengan ancaman sebab sikapku yang selalu bimbangkan orang lain lebih dari diriku sendiri. Kaizil dulu pernah berpesan, ‘jangan pedulikan orang lain, sentiasa beritahu dia kalau ada apa-apa’

Dan aku tidak mengikuti semua pesanannya. Bolehlah dikatakan aku lebih mematuhi arahan Encik Aart yang buat aku bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk jika aku melanggar arahannya. Ingatan itu buat aku benci diriku sendiri. Cukuplah, aku mahu melupakan semuanya, membiarkan kepedihan mendominasi hidup hanya menyakitkan hati. Aku mahu hidup normal dan gembira, aku berhak gembira, Tuhan tidak akan membiarkan aku selalu dirundung malang. 


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.