Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,385
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Kakiku seakan-akan lemah ketika menjejak lantai lapangan terbang antarabangsa John F. Kennedy buat kali kedua pada hari yang tidak aku inginkan pada pertengahan November. Matahari sedang terbit pada musim luruh di New York yang turut menambahkan rasa lara. Aku masih dihantui ugutan Encik Aart. Di sebalik sikapnya yang begitu mempertahankan maruah, aku dibuang ke New York tanpa beg pakaian dan handphone. Masih memakai sweater berwarna coklat dan baju dua lapis aku menahan kedinginan yang menyelubungi pagi di ibu kota yang terkenal seluruh dunia itu. Encik Aart beruntung semalam, passport masih berada dalam begku dan memudahkan semua urusannya. Itu memang tidak adil langsung. Lelaki itu terlalu pengecut! Bertindak diam-diam di belakang Kaizil.

Rasa tertekan dan tidak puas hati buat aku mendengus nafas tegang sebaik keluar dari kawasan ketibaan. Penumpang lain kelihatannya semua ada urusan kecuali aku yang terpaksa berhenti melangkah lalu memeriksa beg tanganku. Dalam purse cuma ada 200 pound sterling. Cukuplah untuk mendapatkan teksi. Tetapi aku perlu menukarnya dalam dolar Amerika Syarikat. Pantas aku berjalan mencari di mana kaunter tempat menukar wang dalam Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan menemuinya selepas bertanya kepada pegawai polis.

Setelah berjaya membuat tukaran, aku keliru lagi. Tak ada handphone? Maksudnya tidak ada informasi. Aku tak ingat nombor telefon Hensen ataupun Darren sebab aku tidak pernah berniat menghafal nombor telefon semenjak telefon pintar di cipta. Situasiku sekarang terlalu berserah. Aku tidak dibenarkan menghubungi Kaizil demi keselamatan Julia. Aku benar-benar bersendirian seperti seorang pendatang tanpa izin yang tiada tujuan pasti. Alamat kediaman Hensen pun aku tak ingat.

‘Oh Halyn, kenapalah, kenapalah malang sangat nasibmu’ ejek hatiku kepada tuannya. Macam mana dengan High Style Jr? Macam mana dengan karierku? Macam mana dengan Kaizil? Adakah mereka akan menyedari kenapa aku tiba-tiba menghilang. Tentu Mrs. B menuduh aku pekerja yang paling teruk pernah berkhidmat kepadanya. Tentu Kaizil menuduh aku lupa segala janji kami dan meninggalkannya tanpa sebarang pesan. Aku tidak menolak prasangka kalau Encik Aart mungkin dapat mendominasi fikiran Kaizil dengan mudah… ‘Halyn sudah pergi, lupakan Halyn, dia tak penting dalam hidup kau’ Encik Aart boleh mengatakan apa-apa pun tentang aku termasuk mereka cerita.

Semua fikiran-fikiran penuh prasangka semakin membakar perasaan. Pandanganku kabur kerana airmata yang bergenang, yang beberapa jam tadi cuba kutahan akhirnya jatuh juga. Dalam sebak aku mengelap airmata, nafas bagai tersepit di celah dada, berkali-kali aku menarik nafas untuk melegakan rasa sakit pada dadaku yang datang kembali. Aku memukul-mukul perlahan dada di bahagian kiri cuba melonggarkan rasa terhimpit sambil bersandar di tepi tiang bulat. Seperti ada luka yang telah membocorkan oksigen hingga paru-paruku tidak cukup untuk bernafas. Pedih kelukaan yang aku tak percaya akan sembuh, barangkali menjadi ingatan luka yang paling aku takut. Aku takut aku takkan mampu menghadapinya seorang diri.

“Boleh saya tolong cik? Cik sakit ke?” tanya seorang kakitangan wanita yang tiba-tiba menerpaku.

Aku menggeleng, menolak bantuannya dan memutuskan untuk mengambil udara di luar. Petugas tadi beredar meninggalkan aku. Di luar, berulang-kali aku menarik nafas panjang sehingga terasa sedikit lega. Setelah menyakini, aku kuat, aku berada di negara tanah tumpah darahku. Aku berada dengan abang kandungku tentu itu akan menjadikan aku lebih kuat. Encik Aart takkan berani dengan adanya Hensen di sisiku. Lantas aku berjalan ke arah kawasan teksi parkir mengikut giliran.

Sebaik membuka pintu teksi itu aku ragu-ragu menyebut. “Err… Stewart?” nada serakku jelas kedengaran seperti tidak tahu ke mana aku nak pergi sebenarnya.

“Cik nak ke mana?” tanya pemandu teksi itu pelik.

“Apartmen Stewart, lebih kurang begitu, saya tak ingat alamatnya, bangunannya putih…?”

“70 East...10th street,” Pemandu lelaki yang separuh usia itu menekan huruf-huruf pada telefon pintarnya.

“Ya.” Aku yakin, aku pernah baca alamat yang disebutkan dalam surat bil elektrik rumah Hensen musim panas lalu.” Kalau pemandu teksi itu tidak menyebutnya aku langsung tak ingat. Selepas masuk ke dalam teksi, hatiku berbelah bagi lagi. 

“Pertama kali datang ke New York?” tanya pemandu teksi itu lagi.

“Tak, ini kali kedua.”

“Oh, urusan kerja?”

“Ya.” Aku berbohong dan kembali hanyut dalam fikiran-fikiran yang menyedihkan dan begitu membosankan.

Daun-daun berguguran ketika perjalanan itu melintasi taman-taman riadah mengingatkan aku pada London, pemandangannya juga indah. Berangin dan dingin. Namun, ingatan tentang London hanya membuatkan aku disentap rindu dan derita yang serentak datang menghuni hatiku yang tiba-tiba sebu. Rasa sakit itu bertambah perit bila memikirkan yang Hensen sudah pasti mencurigai kemunculan tiba-tiba aku yang bertentangan dengan rancangan asalnya. Dan lebih teruk lagi, aku perlu merahsiakan apa yang telah Encik Aart lakukan kepadaku. Julia mesti kekal selamat sehingga dia pulih sepenuhnya.

Hampir setengah jam perjalanan, destinasi yang kutujui tepat di depan mata. Aku turun dari teksi selepas membayar lebih lapan puluh dolar caj perkhidmatan.

Kepalaku tertoleh mengekori teksi tadi keluar dari perkarangan apartmen sebelum menghilang di jalan besar. Beberapa saat berlalu aku kembali keliru, jelas tak tahu apa yang telah aku buat. Kenapa aku berada di sini? Kenapa aku terpaku berdiri di hadapan apartmen mewah? Aku bertanya kepada diriku kembali. Benarkah? Tubuhku benar-benar berdiri di sini tetapi tidak jiwaku. Aku betul-betul tidak bermimpi yang aku datang kembali ke apartmen cantik ini. Bangunannya yang putih bersih sama dengan warna rumahku. Bukan. Itu rumah Kaizil! 

Sebaik nama itu muncul lagi di benak emosiku mula terganggu. Aku kembali resah dan terpaksa menghela nafas panjang untuk membekalkan semula oksigen pada paru-paruku yang terlalu bergantung kepada nama lelaki itu. Perlahan-lahan aku cuba memadam ingatan tentangnya dan terus melangkah menuju ke pintu utama apartmen.

‘Doorman’ yang sama kali pertama pernah menyambut aku tiba dulu memberikan senyuman ramahnya. Aku membalasnya dengan senyuman tawar dan terus ke kaunter perkhidmatan  meminta pekerja bertugas menghubungi Hensen. Moga dia masih berada di rumah. Selalunya dia ada. Hensen biasa mula bekerja pada pukul 10 pagi atau lewat jika jadual penggambarannya kurang.

Tidak lama menunggu, Hensen pun berlari keluar dari lif dengan wajah tidak menyangka langsung akan kemunculanku seawal pagi itu. Aku berusaha mengukir senyuman yang cuba menunjukkan tanda-tanda tidak bersedih. 

“Halyn, kenapa dengan kau?” Hensen yang memakai pijama dan jubah panas terus menerpaku dengan soalan yang sudah kujangka. Selepas memeluk aku kuat, Hensen menarik tanganku masuk ke dalam lif. “Apa yang berlaku?” soalnya lagi sambil menekan nombor 8.

Aku berdiam. Apa yang hendak aku ceritakan? 

“Aku tak percaya kau datang nak bercuti tiba-tiba di sini, mana beg pakaian kau?”

Pintu lif terbuka, aku menggaru dahi yang berpeluh kerana terpaksa menyembunyikan pembohongan. Semuanya terasa kosong, jiwaku belum berada di sini, hanya kakiku yang mengekori Hensen sehingga kami berdua masuk ke dalam rumah, duduk di ruang tamunya yang amat menyelesakan yang buat aku rasa ingin tidur untuk beberapa lama. Tetapi Hensen pantas menghulurkan secawan kopi panas dengan asapnya beraroma segar yang sepantas bagai deruan angin kencang lalu mengingatkan aku pada suatu nama yang harus kulupakan. Entah kenapa aku selalu menemui kesamaan semua hal di New York dengan Kaizil di London. Adakah disebabkan hatiku benar-benar bukan milik New York?

Hensen kelihatan tidak sabar hendak mendengar penjelasanku.

“Aku tinggalkan London.” Tiga perkataan yang benar. Airmata yang menitik ke pipi cepat-cepat aku sapu. “Aku berpisah dengan Kaizil.” Empat perkataan yang juga benar. Kami telah terpisah, aku di New York dan Kaizil di London. Tetapi pemahaman Hensen berbeza.

“Dia tinggalkan kau? Kurang ajar!” kata Hensen dengan mengenggam penumbuknya. Kenapa?” dia mendengus geram.

“Tak, aku yang tinggalkan dia.” Itu juga benar. Tetapi Hensen tidak mempercayaiku.

“Macam mana jadi begitu? Kau tiba-tiba muncul tanpa beg pakaian, telefon! Apa yang berlaku di London?” dia memandangku geram kerana masih juga berselindung. “Tentu ada sesuatu…”

Mungkin kerana kami ada pertalian darah dengan mudah Hensen menghidu sesuatu yang buruk telah menimpaku.

“Tak, tak ada. aku cuma nak bertenang. Tolong jangan cari Kaizil, jangan email atau hubungi dia dengan cara apa pun. Kalau dia mesej dalam instagram abang tolong jangan jawab. Itu saja aku minta,” Hensen harus ikut semua arahanku. Demi Julia, biarkan aku lenyap dari pandangan mata, telinga dan hati Kaizil.

Lama Hensen berdiam. Aku tahu dia masih curiga.

“Aku nak mulakan hidup baru di sini, boleh ke?” permintaanku itu sebenarnya mahu mengalih kemarahan Hensen dan berharap dia tidak bertanya apa-apa lagi tentang aku dan Kaizil.

Hensen memandangku dengan kening berkerut. Dia tahu aku sedang mengalami masalah besar cuma dia tidak mahu bertanya lebih-lebih yang mungkin membuat aku berkecil hati atau tambah kecewa jadi dia memutuskan untuk berkata. “Sudah tentu, ini rumah kau Halyn, aku akan jaga kau macam yang ibu minta,” lantas Hensen memelukku. Aku membalas pelukannya erat dan menangis.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.