Home Novel Cinta HER COFFEE
HER COFFEE
Hannaz
31/1/2021 23:28:18
17,874
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

PERBINCANGAN di dalam pejabat Izz tamat setelah hampir dua jam berlalu dan sebuah perjanjian persetujuan ditandatangani. Nasib tak bergusti selepas komen biadab Izz tadi. Dan, Izz pula dengan sukarela menawarkan diri untuk menghantar mereka turun semula ke tingkat bawah.

Kerajinan yamg sangat tak wajar bagi Amaya tapi dia tak menghalang. Apatah lagi bila Fatihah sudah tersengih-sengih seronok. Mata pun tak lepas dari memandang Izz. Entah salin atau tidak minit mesyuarat mereka tadi. Kalau tak, siaplah dia kerjakan nanti!

Masuk ke dalam lif, mereka hanya bertiga tanpa penumpang yang lain. Sunyi sepi. Tiada yang bersuara. Sehinggalah Amaya tersentak apabila Izz tiba-tiba beranjak setapak ke arahnya. Dekat, tapi tak terlalu rapat.

Apabila kepala diangkat, wajah Izz hanya selamba. Macam tak buat apa-apa. Amaya hanya diam. Biarkan sahaja asalkan Izz tak mengganggu keamanan sejagat dia.

Dan, apabila Izz beranjak setapak lagi, kedudukan mereka kini betul-betul saling bersebelahan. Hampir bahu bertemu bahu, membuatkan Amaya tak selesa. Nak-nak pula dia yang berdiri di sebelah dinding. Lagilah rasa terhimpit.

Tapi, apa yang buat dia lebih tak selesa ialah bau perfume yang mula menusuk hidung. Tajam. Bau lelaki. Siapa lagi kalau bukan bau Izz Ishraq?

Isy, busuklah!

"Paco Rabanne Invictus."

Huh? Amaya angkat kepala. Apa dia sebut tadi?

"Perfume yang saya pakai. Paco Rabanne Invictus. Quite expensive. Wangi, kan? Tak semua perfume lelaki itu busuk." Bersuara perlahan, bahkan hampir berbisik.

Dan-dan buat wajah Amaya bertukar. Mata terus memandang Izz yang jauh lebih tinggi darinya sehingga dia terpaksa mendongak. Bukan terkejut dengan nama yang disebut tapi ayat yang keluar setelah itu.

Dia dengar? Dia ada dalam lif tadi?!

Izz senyum. "Jadi, macam mana?"

Entah kenapa, otak tak boleh nak hadam soalan itu. Macam mana apa? Macam mana bau perfume dia ke?

"Bau biasa aje." Amaya rapatkan diri dengan dinding di sebelah. Tak tahu kenapa, tiba-tiba rasa cuak sebab Izz dah dengar ayatnya dengan Fatihah tadi. Tapi rasanya tadi, dia bercakap secara berbisik aje dengan Fatihah. Isy!

Izz senyum. "Saya tak tanya pasal perfume saya."

Kening berkerut. "Habis itu?"

"Saya tanya, macam mana rasanya jumpa pengarah kacak macam saya? Saya tak pondan, tapi senang nak handle, kan?"

Dan kali ini, jantung Amaya rasa hampir gugur ke lantai. Ya Allah, berapa banyak dia dah dengar ini? Ini semua Fatihah punya pasal!

Izz ketawa perlahan. Bukan niat hendak mencuri dengar pun tadi, tapi tak sengaja terdengar Fatihah menyebut perkataan 'pengarah kacak' itu. Siapa lagi pengarah yang dimaksudkan kalau bukan dia? Dan, dia jugalah yang memberi isyarat agar pekerja-pekerja di dalam lif tadi beranjak menjauh sedikit.

Ingatkan nak berhenti mendengar sampai di situ sahaja. Tapi, makin tertarik pula apabila mendengar ayat sambungan Amaya.

"Nak pondan. Senang nak handle."

Hampir-hampir dia meloncat kerana terkejut sebelum dia menahan gelak apabila menyedari nada selamba itu hanyalah gurauan. Fuh, gurau kasar sungguh.

Ting!

Amaya spontan menghela nafas lega apabila pintu sudah terbuka luas. Terus tubuhnya ditegakkan sebelum dia melangkah keluar dari lif. Namun, segalanya tertahan apabila Izz halakan salah satu kakinya ke hadapan, menghalangnya dari terus melangkah.

Dan-dan itu juga Aysara rapatkan tubuh ke dinding. Ya Allah, apa benda pula nak main himpit-himpit ini?

Bau perfume kembali menusuk. Hilang segala bekalan oksigen dalam dada.

"Not every man is a turn off. Terutamanya saya." Suara itu berbisik perlahan sebelum Izz menjarakkan diri. Jauh sejauhnya bersama tangan dihulur ke luar lif. Mempersilakan Amaya berlalu keluar. Bibir kekal dengan senyuman manis dan lebar.

Dan, apabila Amaya terus meluru keluar dari lif, terus tawa Izz pecah di bibir. Kepala tergeleng sedikit.

Rasa lucu dengan diri sendiri. Sejak bila kau suka usik anak dara orang ini, Izz?



WAJAH Azim yang terbaring di atas katil dipandang sebelum matanya naik mencari wajah Azrul dan Yana semula. Hampir mencerun memandang sepasang suami isteri itu.

"Anak seorang pun, tak boleh nak jaga ke?!" bentak Amaya dengan suara tertahan. Bengang.

Mana tak marah apabila dia tiba-tiba dihubungi pada jam 3 pagi, dan berita yang menujah telinga ialah Azim diserang sawan. Demam panas. Tak cukup tanah Amaya bersiap dan memandu ke hospital untuk melawat anak saudaranya.

Nasib baik tindakan Azrul dan Yana adalah cepat. Azim didapati baik-baik sahaja. Hanya nyenyak tertidur selepas serangan sawannya.

"Dah tahu anak demam, tak reti nak cari ubat? Kau orang laki bini ini Tuhan ke? Boleh sembuhkan macam itu aje tanpa usaha?" Tajam suara Amaya bersuara lagi.

Sayangnya, Yana dan Azrul hanya diam di sofa panjang. Duduk bersandar pada dinding. Wajah kusam. Sekarang, memanglah nampak macam risau dan menyesal. Tapi tunggulah dua tiga hari lagi, mesti buat perangai balik.

"Tak ada duit nak beli ubat."

Amaya mengetap bibir. "Alasan! Lima ratus yang Aya bagi hari itu, mana?"

Azrul raup rambutnya yang serabai. "Buat modal Food Panda akulah."

"Tak payah nak kelentong. Berapa banyak sangatlah modal Food Panda? Setakat duit minyak motor dan belanja harian, kan? Aya bagi RM500 itu minggu lepas. Takkan dah habis? Ubat kat Klinik Kesihatan murah. Takkan tak boleh nak beli?"

Azrul merengus kasar. Berjumpa dengan adiknya ini, tak pernah tak bertekak.

"Masalahnya, budak itu sakit lepas aku dah habis guna duit itu. Kalau aku tahu dia nak demam, aku simpanlah." Suara Azrul juga bagaikan menahan berang. Marah apabila terus ditekan sebegitu.

"Dah tujuh tahun kahwin, simpanan kecemasan tak ada? Duit kertas itu semua buat cuci bontot lepas berak ke apa?" sindir Amaya geram. Tangan masih tetap mengusap lembut wajah Azim. Bukan selalu bahasanya bertukar biadab, tapi ada masanya, dengan abangnya ini, hanya ayat sebegitu yang boleh masuk dalam kepalanya.

"Kau tak payah nak biadab dengan akulah!" bentak Azrul.

Yana di sebelah hanya mampu tunduk. Tangan naik memicit dahi. Penatnya hidup macam ini.

"Lain kali, kalau tak reti jaga anak, jangan buat anak! Umur setahun jagung, dah sibuk nak bergomol atas katil," bentak Amaya lagi dan kali ini, wajah Yana terangkat ke atas.

Amaya masih tajam memandang. Kalau nak ditanya soal marah, rasanya dah lebih dari marah. Marah pada kedua-duanya. Di usia masing-masing yang baru berusia 22 tahun, kedua-duanya dah terlanjur sampai ke katil. Di luar nikah.

Dan apabila ada bayi yang sudah membesar dalam perut Yana, barulah mereka berdua setuju untuk berkahwin. Dua-dua menganggur, tak bekerja tetapi dah berkahwin. Akhirnya, Amaya yang baru habis belajar jugalah yang terpaksa bekerja demi menyara keluarga kecil itu.

"Mak su..."

Panggilan itu membuat kepala Amaya spontan teralih kepada Azim. Anak kecil itu sudah membuka mata yang masih terpisat-pisat. Mungkin terganggu dengan suaranya tadi.

Pantas Amaya tundukkan kepala kepada Azim. Bibir tersenyum lembut. "Mak su ada ini. Azim tidurlah. Mak su tepuk."

Azim geleng perlahan. Wajah kelam, seperti hendak menangis. Muka merah membahang. Panas dalam, gaya orang demam.

"Azim lapar," rengek Azim perlahan.

Spontan, tangan Amaya yang memegang besi katil pesakit itu terus mencengkam erat.

Lapar. Satu perkataan yang boleh buat telinganya berdesing kuat. Bagaikan dia turut sama terasa laparnya. Budak seusia Azim, apa sangatlah yang dia tahu soal kekurangan duit? Dia juga seperti anak-anak yang lain. Mencari makanan bila lapar.

Nafas ditarik dalam sebelum dihembus perlahan-lahan.

"Mak su belikan makanan. Azim nak makan apa?"

Dalam pucat wajah itu, dapat dilihat mata Azim yang bersinar. Ya, Azim masih seperti kanak-kanak yang lain. Gembira apabila mendapat makanan.

"Azim nak KFC. Ke mahal sangat, mak su?"

Amaya gelengkan kepala. "Mana ada mahal. Tiga ketul cukup?" Amaya angkat tiga jarinya ke udara sebelum Azim mengangguk bersama senyuman dalam susah payah.

Akhirnya, Amaya bangkit dari birai katil Azim. "Mak su pergi belikan KFC. Tapi, Azim kena tidur. Kalau tak, mak su habiskan semua ayam KFC itu."

Amaya angkat jari manisnya dan disangkutkan dengan jemari Azim. Namun, dia tersentak apabila Azim bergerak menggenggam tangannya. Walaupun kecil, namun genggamannya kuat. Seperti takut Amaya akan meninggalkannya.

"Mak su datang semula, tahu? Azim lapar sangat."

Suara itu separuh berbisik membuatkan air mata Amaya hampir jatuh ke pipi. Tak dapat nak dibayangkan sudah berapa lama Azim berlapar di tangan Azrul dan Yana.

"Mak su akan datang balik. Mak su kan sayang Azim." Amaya tundukkan kepala dan bibirnya berlabuh di dahi Azim. Lama. Kemudian, barulah dia tegakkan semula tubuhnya semula untuk berlalu. Dan, apabila matanya berlaga dengan Azrul dan Yana, pandangannya kembali berubah. Tajam dan dingin.

Apabila tubuhnya melintasi pasangan itu untuk berlalu keluar, sempat Amaya berhenti seketika. Mata mengerling sinis.

"Jaga anak itu masa aku tak ada. Jangan kau bunuh pula. Yalah, sebab dalam kepala kau orang ini, hanya Allah aje yang tahu." Sinis Amaya bersuara sebelum terus berlalu keluar dari wad itu. Itu pun cepat-cepat dia melangkah. Takut lain pula yang dibuatnya dek sebab kesabaran yang semakin menipis.

PULANG sahaja dari hospital, Amaya terus mencari katil tanpa mencabut tudung di kepala. Lengan naik menutup dahi sebelum mata dipejam rapat.

Teringat semula bagaimana rakusnya Azim menikmati KFC yang dibelinya tadi. Bukan hanya ayam, tapi termasuk juga cheesy wedges, coleslaw, kentang, dan zinger. Tengok selera Azim tadi, memang tak ada gaya orang demam langsung.

Lebih tujuh tahun dia menyara dan menyayangi Azim seperti anak sendiri. Memberi duit belanja kepada Azrul dan Yana bukanlah perkara yang asing untuknya. Sebaliknya, dah macam rutin bulanan. Atau mungkin mingguan.

Dia dan Azrul hanya dua beradik. Beza jarak antara mereka hanya dua tahun. Dan mereka bukannya datang dari keluarga senang. Berkasih sayang? Tak. Keluarganya juga bukan keluarga penuh kasih sayang.

Arwah umi dahulu seorang tukang jahit kampung. Ada sijil degree yang cukup tinggi, tapi arwah abah tak izinkan bekerja. Cemburu buta. Mahu isteri kekal di rumah. Juga, berpegang teguh pada gender role yang tugas isteri itu hanya di rumah dan di dapur.

Masalahnya, arwah ayah pun bukannya boleh diharap dulu. Kerja tak menentu. Kadangkala berniaga di kedai runcit, terkadang di kedai makan dan kadangkala ambil MLM.

Tapi, walaupun miskin harta, Amaya serba cukup dengan kasih sayang arwah umi.

Sayangnya, semua itu hanya sementara. Setelah arwah umi meninggal ketika dia berusia tujuh tahun, arwah abah mula berubah. Kebajikannya dan Azrul terabai. Bertukar ganti membawa perempuan balik rumah seperti suami isteri biasa.

Dan, Azrul pula berubah liar. Terlalu liar sampai termengandungkan anak orang. Ya, Kak Yana.

Dan apabila arwah ayah meninggal semasa dia berusia 15 tahun, segalanya makin berubah. Azrul yang sudah habis sekolah semakin lari dari tanggungjawab. Menganggur. Macam biawak hidup. Mereka hanya mengharapkan bantuan sekeliling.

Sehinggalah Amaya menamatkan zaman persekolahannya, dan dialah yang mula bekerja dan mencari duit. Demi menyara Azrul yang sepatutnya berperanan sebagai abang.

Amaya hela nafas panjang. Wajah diraup kasar. Mengingatkan soal masa lalunya, memang tak ada yang manis langsung untuk dikenang.

Akhirnya, Amaya bangkit dari katil bersama tangan mula menanggalkan pin tudung di kepala. Apabila matanya terpandangkan bingkai gambar dirinya dengan Azim yang terletak di atas meja di sudut bilik, spontan tangan bergerak untuk mencapai gambar tersebut.

Ada foto dia dan Azim yang sedang tersenyum lebar. Memori dua tahun lepas, saat dia membawa Azim melawat KLCC untuk pertama kalinya. Bukan main seronok Azim dibuatnya.

Dan, itu jugalah kali terakhir dia membawa Azim bercuti. Bukan tak nak bawa lagi, tapi Azrul dan Yana bukannya suka sangat dia datang berjumpa Azim. Pernah dia tawarkan diri untuk menjaga Azim, tapi mereka tak izinkan.

Dan, Amaya tahu sangat apa sebabnya. Bukan sebab sayang, tapi sebab kalau Azim dijaga sepenuhnya oleh dia, tak ada sebablah dia nak bagi duit lagi pada pasangan suami isteri itu, kan?

Nafas panjang kembali dihela. Teringin nak bawa Azim bercuti lagi, tapi tak tahu bila masa yang sesuai. Nak-nak pula dengan projek cruise tak lama lagi itu. Memang makin sibuklah dia dibuatnya.

Amaya mengeluh perlahan. Baru tangan hendak meletak semula bingkai gambar ke atas meja, pergerakannya kaku seketika.

Cruise.

Perkataan itu umpama menimbulkan satu lampu mentol dalam kepala. Satu idea yang spontan muncul secara tiba-tiba. Pantas tangannya menarik keluar iPhone lalu sebaris nama dicari.

Izz Ishraq.

Bibir Amaya laju mengoyak senyuman.

Second trip, here we come! 

*

*

*

𝐈'𝐦 𝐧𝐨𝐭 𝐠𝐨𝐧𝐧𝐚 𝐟𝐢𝐠𝐡𝐭 𝐛𝐚𝐜𝐤 𝐰𝐡𝐚𝐭 𝐈'𝐯𝐞 𝐛𝐞𝐜𝐨𝐦𝐞 

𝐘𝐞𝐚𝐡, 𝐈 𝐠𝐨𝐭 𝐛𝐫𝐮𝐢𝐬𝐞𝐬 𝐰𝐡𝐞𝐫𝐞 𝐈 𝐜𝐚𝐦𝐞 𝐟𝐫𝐨𝐦 

𝐁𝐮𝐭 𝐈 𝐰𝐨𝐮𝐥𝐝𝐧'𝐭 𝐜𝐡𝐚𝐧𝐠𝐞 𝐢𝐟 𝐈 𝐜𝐨𝐮𝐥𝐝 𝐫𝐞𝐬𝐭𝐚𝐫𝐭



---------------------

Sneak peek cup 4 : 

"Baju Encik..." Amaya bersuara dalam serba salah.

Izz tunduk merenung lengan bajunya. Ya, baru perasan ada kesan tompok di situ.

"Tak apa. Nanti saya hantar ke dobi."

"Ya Allah, saya minta maaf sangat, Encik Izz. Saya betul-betul tak sengaja." Masih dalam kalut, Amaya bersuara. Hilang segala imej tenang dan self-composed yang biasa ditayangkannya kepada orang luar.

Izz senyum segaris. Kenapa nampak comel pula dia dalam kalut-kalut macam ini?

"Saya okey, Cik Amaya. Nothing to worry. Baju aje." Dalam senyum, Izz berkata. Ditepuk-tepuk sedikit lengan baju yang agak comot itu. Bukannya dia tak ada baju spare dalam pejabat ini.

Amaya menggigit bibir. Takkan nak biar aje? Kenalah bertanggungjawab, Amaya.

"Boleh tak Encik buka baju Encik itu?" 


Terima kasih baca. Maaf atas kekurangan. 

31/01/2021

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hannaz