Home Novel Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Ardeena Safiyya
22/1/2021 09:52:42
9,447
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

SABTU, 1 JULAI 2017
(09:30)

"Awak!" Aina Afifah mengetap bibirnya geram. Habis basah lencun pakaiannya dek kerana lelaki itu. Geram, rasa mahu dicincang-cincang daging lelaki itu sampai menjadi daging cincang. Ha, ambik engkau.

"Sorry. Alah awak ni, takkan tu pun nak marah." Haris Mirza tidak dapat menahan ketawa melihat Aina yang sudah basah lencun dek kerana perbuatannya sendiri.

"Tak romantik pun, tahu tak!"

"Are you sure?" Haris masih lagi dalam ketawa. Itulah, simbah lagi orang dengan tepung. Kan sudah kena.

"Tak apalah. Saya nak tanya, kenapa awak tak sambut birthday dengan kawan ke, family ke? Kenapa sambut dengan saya?" soal Aina sambil menyuapkan sepotong kek lagi ke dalam mulutnya.

"Because, you are my only one sweety honey. Family? Terlalu sibuk sampaikan tak ada masa untuk saya. Member?  Member banyak tikam belakang, adalah. Susah nak cari member sekepala dah sekarang." Kerusi plastik ditarik lalu Haris duduk di atasnya, berhadapan dengan Aina.

"Saya suka tempat ni, sejuk je pagi-pagi ni. Nyaman. Walaupun ramai orang, tapi tak apalah. Tenang juga tengok ombak pagi," ujar Aina bahagia. Tersenyum-senyum hingga ke telinga sahaja dia hari ini. Ingatkan ke manalah lelaki ini ingin 'menculik' dirinya, rupanya bawa ke pantai untuk menyambut hari lahir. Lega dirinya.

"Baguslah awak suka. Jomlah makan, nanti lambat-lambat, tak sedap. Bihun Singapore yang saya beli ni, awak tak usik lagi." Haris segera membuka satu lagi bekas makanan yang berisi bihun. Sedap baunya.

"Iyelah, sekejap lah. Awak pun, tak sabar-sabar." Aina menggeleng kepalanya laju. Hari ini, antara hari yang terbaik dalam hidupnya. Meluangkan masa cuti bersama seorang Haris membuatkan dirinya tenang dan bahagia sahaja, apatah lagi apabila lelaki itu sendiri menyatakan dialah cinta.

Kahwin? Ya, satu hari nanti. Mungkin bukan hari ini, memandangkan Aina masih muda. Berusia 21 tahun, sepatutnya Aina mencari pengalaman dahulu bekerja sebelum melangkah ke destinasi kehidupan yang seterusnya.

Setahun menjadi teman lelaki ini, setahun itulah Aina bahagia. Setakat ini, Haris masih setia dan tidak ada tanda-tanda kecurangan. Alhamdulillah, hanya Aina Afifah satu-satunya cinta hati Haris Mirza.

Kalau ikutkan, siapa sahaja tidak mahu kahwin di dunia ini? Kalau ada pun, mungkin kurang dari 10% sahaja umat manusia di bumi ini tidak mahu berpasangan, mungkin disebabkan penyakit, kerjaya atau trauma masa lalu. Yang pasti, mereka bukanlah Haris dan Aina.

Mereka ingin ke langkah yang seterusnya, tetapi tidak tahu lagi bila. Mungkin usia Aina, masih terlalu muda untuk membina rumahtangga manakala Haris, belum cukup duitnya untuk masuk meminang bakal isteri.

Tidak apa, kalau bukan hari ini, Insya-Allah suatu hari nanti. Mereka akan disatukan, dengan sebuah lafaz akad oleh si bakal suami. Ketika itu, hidup akan berubah 360 darjah, hak milik kita seorang akan terbahagi dua, terpaksa berkongsi bersama pasangan biarpun sekecil-kecil rahsia.

Pinggan kertas yang sudah dibawa siap-siap dicapai Aina lalu dua senduk bihun Singapore dikeluarkan dari bekas makanan besar itu ke pinggannya. Setelah jumlah yang ingin dimakannya dibawa keluar, penutup bekas itu dicapai lalu ditutup semula bekas berisi bihun itu, risau dimasuki pasir pantai.

Dengan berkaki ayam dan dapat merasakan pasir pantai yang lembut di tapak kakinya, Aina menyuapkan bihun ke dalam mulutnya pula. Kenikmatan dan kelazatan makanan itu, usah katalah. Tersenyum-senyum sampai ke telinga dibuatnya, apatah lagi dengan deru angin dan bunyi ombak pantai yang mengindahkan lagi suasana.

Mereka datang bukan untuk mandi, tetapi Aina sudah lencun dengan air laut kerana perbuatan Haris. Ingat mahu memberi kejutan kepada birthday boy, sekali lain pula yang menjadi. Sudah terbalik pula jadinya. Nasib baiklah Aina sudah siap-siap membawa satu pasang lagi  persalinan, kalau tidak perlu balik rumah dengan pakaian lencun inilah. Ish, geram sungguh.

"Dah siap makan?" Haris menegur Aina yang sudah meletakkan pinggan licinnya ke atas meja, menandakan sudah habis hidangan yang dijamahnya. Kenyang.

"Dah, kita nak buat apa sekarang? Nak nyanyi lagu happy birthday to you, dah nyanyi dah tadi. Allah selamatkan kamu?" Soal Aina sambil memandang beberapa orang yang sedang riang mandi-manda di kawasan pantai. Hari ini, kelihatan manusia di sekeliling pun gembira, tidaklah sendu seperti selalu, apatah lagi terpaksa hadap muka kak Aishah setiap hari, geram Aina dibuatnya. Hish!

"Kita ... sembang-sembang? Kenal-kenal, manalah tahu suatu hari nanti, kita akan ...." Malu-malu pula Haris ingin menyebut perkataan yang satu itu. Bibirnya sudah melakar senyum bahagia, pipinya pula kemerahan menahan malu.

"Awak ni ...." Berkongsi perasaan yang sama, Aina juga sedang menahan malu seakan tahu-tahu sahaja perkataan yang ingin disebut Haris. Macamlah orang tidak dapat teka!

"Awak, cuba ceritakan diri awak secara terperinci. Saya kan, kawan awak," pinta Haris. Dagunya ditongkatkan, tanda bersedia mendengar apa sahaja cerita dari mulut Aina. Jauh sekali dia berasa bosan dengan wanita yang bertakhta di hatinya itu. Kalaulah proses berkahwin itu mudah, hari ini juga diajak Aina membina masjid. Cinta yang dipendam bertahun lamanya, akhirnya berbuah jua.

"S... Saya, Aina Afifah binti Affendi. 21 tahun, tak ada kerja tetap, cuma berbisnes dari rumah. Cukuplah untuk menyara hidup ni, kalau pandai berjimat cermat. Awak pula sambung."

"Saya, Haris Mirza bin Rosli, 23 tahun. Kerja ... di restoran je. Tak ada sijil yang tinggi macam orang lain, sebab saya serabut otak nak sambung belajar. Saya, tengah kumpul duit untuk menghalalkan seseorang yang saya sayang," tutur Haris. Nasib baiklah Haris jujur orangnya. Agak-agaknya, siapalah orang yang disayanginya itu ye?

"Siapa ... orang yang awak sayang tu?" Soal Aina dalam suara yang tergagap-gagap, risau sekiranya dia menjadi orang ketiga dalam hubungan ini. Tidak mungkin itu dia, tidak mungkin.

"Nama dia, Aina Afifah binti Affendi. Gadis yang pemalu, pendiam, comel, orang kata natural beauty lah gitu. Sopan, lemah lembut je dengan tudung yang dia pakai setiap hari. Jaga aurat, cuma satu je belum. Tu." Jari telunjuk Haris menunjukkan ke arah kaki Aina yang dibiarkan tanpa stokin. Aurat itu, dibenarkan sesiapa sahaja melihatnya tanpa alas.

"Wa ... wajib pakai ke?" Bergetar suara Aina menahan malu ditegur oleh teman lelaki sendiri. Malu, mana tidak malu. Haris Mirza, seorang yang kuat agama, sedangkan dia hanya manusia biasa yang tidak reti apa-apa.

"Wajib, tapi hari ni, tak apalah. Esok, kena pakai tau." Kata-kata Haris, membuatkan Aina merindukan zaman sekolahnya. Siapa sahaja tidak pernah ditegur sebegitu sewaktu zaman sekolah, kan?

"Y ... yelah ...." Aina mengangguk perlahan. Serta-merta kakinya yang putih dan licin disorokkan ke dalam timbunan pasir.

"Aina, saya nak tanya."

"Ye, tanyalah." Tenang sahaja respon Aina, namun dalam hati berharap agar bukan soalan tentang aurat tadi yang ingin disoal.

"Awak sayangkan saya tak? Dan ... setahap mana awak sayangkan saya?" soal Haris perlahan. Jari jemari dimain-main sementara menunggu riaksi dari Aina Afifah, si gadis molek yang menjadi pujaan hati.

"Saya ... mestilah saya sayangkan awak! Tahap mana? Hmm, mungkin lebih dari seorang kawan." Aina menutup mukanya dengan tangan, malu kali kedua.

"Are you serious, baby bunny?"  soal Haris ingin kepastian. Berdebar-debar, berpeluh-peluh menunggu jawapan ini, usah katalah.

Kalau terfikir Haris mahu melamar Aina, lupakan sahajalah. Dia tidak mempunyai cincin emas permata, atau sebanyak harta untuk melamar seorang insan yang dicintai separuh mati.

"Yes, I'm serious Haris Mirza Roslan. Saya sayangkan awak, awak dah banyak tolong saya dulu. Saya pinjam duit awak, saya minta pertolongan awak. Sampailah, saya jatuh cinta dengan awak. Kalau kita kahwin dapat balas budi awak selama ni, saya rela jadi isteri awak!" Aina memejam kedua-dua kelopak matanya. Akhirnya, dapat juga diluahkan isi hati yang terpendam sekian lama.

"Awak ... biar betul?" Haris masih lagi tidak percaya dengan 'fakta' yang diberikan Aina. Iyalah, sebelum disahkan mesti kena semak dahulu, manalah tahu berita palsu, siapa yang kecewa nanti.

"Awak ni, dah tak percayakan saya?" Aina memuncungkan bibirnya. Seronok pula melihat riaksi Haris yang sedang tidak tenteram disebabkan jawapan itu. Comel!

"P ... Percaya! Cuma, nak doublecheckje, supaya tak tersalah dengar. Maklumlah, saya ni ada masalah pendengaran." Pandai pula Haris mengubah topik, memandangkan Aina dapat menghidu dirinya yang seperti menggelupur semacam. Bahagia benar, rasa sudah masuk syurga.

"Saya tahu awak sayangkan saya. Saya rasa terhutang budi dengan awak, saya rela berkongsi bahagia dan duka saya dengan awak nanti," ujar Aina Afifah sambil merenung anak mata Haris.

"Awak cintakan saya sebab terhutang budi?"

"Tak, semestinya tak! Saya cintakan awak sebab saya ikhlas, bukan seban terhutang budi. Awak, lelaki paling baik yang pernah saya jumpa. Saya, teringat lagi detik pertemuan pertama kita kat restoran tu. Awak yang tolong saya, masa saya tak ada duit nak bayar makanan. Kalaulah awak tahu saya cuma tipu awak masa tu, awak mesti marah kan? Saya pun still malu bila teringat kisah silam tu. Kenapalah saya sanggup makan rezeki haram, sedangkan itulah makanan yang akan jadi darah daging sendiri," jujur Aina, membuka kisah silam dua tahun lalu.

"Dah Ia tu, kenapa perlu ingat lagi kisah yang lama? Itu hal semalam, biarlah. Kita lupakan hal semalam, fikir untuk hari ni dan masa depan." Haris memberi kata semangat.

Kalaulah kisah silam itu mudah untuk dibuang, sudah lama dibuang jauh-jauh ke dalam lautan sana. Namun hakikat sebenar, kisah silam itu amat pahit dan sukar dilepaskan dari fikiran. Kejam sungguh dunia ini.

Mungkin semalam, kau terpaksa menderita, tidak semestinya hari ini akan berlaku perkara yang sama. Jika semalam pahit dan kelam aturannya, mungkin esok akan muncul pelangi yang indah. Percayalah.

Sabarlah sayang, umat manusia ini bukanlah maksum, tidak dapat lari daripada dosa. Yang penting, kita seboleh-bolehnya elak dari melakukan dosa dan terus bertaubat memohon keampunan dari Tuhan yang Maha Esa. Mengapa? Kerana pintu taubat sentiasa dibuka.

"Saya sayang awak, sumpah Haris! Saya tak boleh tipu diri sendiri dah, saya memang sayangkan awak!" jujur Aina.

Isi hati yang terpendam kini diluahkan. Mungkin hati ini lebih tenang apabila memberitahu kebenaran.

"Aina, terima kasih. Satu hari nanti, saya akan halalkan awak, saya janji." Itulah janji Haris. Ingin membahagiakan Aina Afifah adalah matlamatnya. Melihat wanita itu bahagia juga bahagianya.

"Awak ...." Aina hanya tersenyum sendiri. Berlatar belakangkan ombak laut di persisiran pantai, hari ini dia telah meluahkan sebuku isi hatinya kepada Haris. Hari yang akan diingati sampai bila-bila, biarpun sudah hilang dimamah masa.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ardeena Safiyya