Home Novel Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Ardeena Safiyya
22/1/2021 09:52:42
9,435
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

1 JANUARI 2021,
(10:30)

Kemarin engkau masih ada di sini

Bersamaku menikmati rasa ini

Berharap semua takkan pernah berakhir

Bersamamu...

Bersamamu...

Kemarin dunia terlihat sangat indah

Dan denganmu merasakan ini semua

Melewati hitam putih hidup ini

Bersamamu...

Bersamamu...

Lagu bertajuk Kemarin yang dimainkan Aina hilang tiba-tiba. Aina yang sedang menutup matanya lantas membuka melihat apa yang terjadi. Tidak mungkin radio itu rosak pula, baru sahaja baiki bulan lepas.

"Akak?" Aina mengerutkan dahinya memandang Aishah di depan mata. Tangan kakaknya masih melekat di butang radio, menandakan memang dia yang menutup radio itu.

"Sampai bila Aina nak sedih? Sampai bila? Cakap kat akak sekarang." Mata redup Aishah memandang adiknya yang masih berendam air mata.

Baru dua puluh hari, iddah pun belum tamat lagi. Aishah pun, sabarlah.

"A... Akak tak faham..." Aina menundukkan pandangannya menghadap lantai. Sakit, rasa ini sakit. Jika berpisah dunia pun sakit, apatah lagi terpaksa berpisah alam.

"Akak bukan tak faham, Aina Afifah. Akak cuma risaukan kau. Kau fikir, bersedih lama-lama ni, besar sangat ke faedahnya? Kalau sayang, kau sepatutnya baca Yasin, niat sedekahkan kat arwah. Tak pun, doakan arwah tenang kat sana. Ini tak, nak bersedih je memanjang," bebel wanita yang usianya lebih tua dua tahun berbanding Aina itu.

Sakit telinga Aina mendengarnya!

Aina hanya tertunduk memandang lantai, terdiam sejenak. Betullah, ada benarnya kata-kata Aishah. Tetapi, tidak perlulah sampai kacau hingga ke bilik. Mereka bukan kanak-kanak tidak matang lagi, semua sudah boleh fikir dengan baik.

"Aina ... rindukan dia sangat kak," balas Aina Afifah, hanya dengan sebaris ayat. Cukup ringkas dan mudah, tetapi membawa seribu maksud di sebaliknya.

Aishah mengambil tempat di birai katil di sebelah Aina. Sekejap rasa kasihan, sekejap risaukan kesihatan si adik pula. Kalaulah si adik tahu niat sebenarnya suatu hari nanti, pasti Aina tidak akan merajuk sebegini.

"Akak ... minta maaf. Aku cuma nak kau tahu, ada orang masih sayangkan kau. Allah ada untuk kau, Aina Afifah. Janganlah bersedih lama-lama, nanti ... kau yang sakit." Kali ini Aishah cuba berlembut pula dengan adiknya yang sudah menunjukkan wajah mendung disebabkan kata-katanya yang mungkin mencalar emosinya yang baru sahaja kehilangan orang yang tersayang. Penggunaan kau dan aku? Ya, sudah biasa untuk pasangan adik beradik Aina dan Aishah ini.

"Ni semua, kifarah atas apa yang aku buat dulu ke?" Mata redup Aina Afifah meliar sekeliling kawasan siling pula. Tidak tahu mana lagi tempat yang sesuai untuk dipandang, puas sudah ditiliknya bilik ini.

"Tak, Aina. Ni semua ujian, untuk tahu berapa mana kau kuat. Allah sayangkan kau sangat, Aina. DIA bukan merampas cinta Aina, cuma DIA ingin menguji kau." Aishah meletakkan tangannya ke atas bahu Aina. Memberi semangat sedikit untuk adiknya meneruskan hidup.

"Aku pernah buat satu dosa, dan aku berbangga dengan dosa tu. Jadi, ini semua kifarah untuk akulah? Tapi, kenapa kena ambil dia? Aku rela tanggung kesakitan tapi jangan ambil dia dari hidup aku." Dalam sebak, Aina meneruskan bicaranya. Bayangan halusinasi masih mengahntui minda ketika ini, lelaki itu masih wujud walaupun dalam bayangan sendiri.

Seram? Siapa kisah?

Aina hanya mahukan lelaki itu kembali ke dunia ini, biarpun hanya dengan bayangan sendiri. Jika semalam dia masih ada, Aina rela menggunakan mesin masa untuk kembali mencari dia yang hilang.

Kejam bukan, dunia ini Aina Afifah?

Tidak, dunia tidak kejam. Ini semua hanyalah satu ujian untuk kita. Mungkin bukan semua orang diuji sebegini, tetapi bukan semua orang kuat untuk melaluinya.

Ujian demi ujian yang hadir, bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keimanan kita terhadap Sang Ilahi. Mungkin juga, apabila kita senang, kita mudah terlupa. Kita terlupa untuk bersyukur biarpun sesuap nasi yang disuapkan ke dalam mulut.

Kita lupa. Kita terleka dengan kesenangan dunia yang tiada kekalnya.

"Aku ... nak pergi kubur."

Ringkas sahaja ayat yang disebutkan Aina, jelas lagikan terang. Aishah hanya memandang adiknya, hendak halang kasihan pula. Lagipun, itu hak dia.

Semalam yang disanjung, kini pergi mengundur diri. Semalam yang indah, kini sudah tiada lagi. Dan hujan turun berpanjangan melewati setiap hari-hari yang ada. Yang tinggal hanya sebuah kegelapan yang seperti tiada penghujungnya.

"Aku ... nak ikut," pinta Aishah perlahan. Kasihan pula dengan si adik, takut dia pitam tiba-tiba apabila sedang memandu ke, siapa mahu tolong. Keadaan emosi wanita berusia 25 tahun itu, bukan boleh jangka.

Mereka berdua bersiap memakai baju kurung serta tudung sarung yang agak labuh untuk ke tanah perkuburan. Tiada secalit alat solekan pun menghiasi wajah mereka, memandangkan tempat yang ingin dikunjungi ialah 'rumah' mereka juga nanti. Di dalam liang lahad itulah, mereka akan dikebumikan setelah penghormatan terakhir diberikan oleh ahli keluarga.


Biar pedih dan luluh, Aina tetap gagahkan diri ke tanah perkuburan untuk melepaskan rindu bersama orang yang dia sayang. Hilangnya dia, ibarat seperti kehilangan nyawa sendiri.


"Setiap yang bernyawa, pasti akan merasai mati"
(Qs Ali Imran: 185)

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ardeena Safiyya