Home Novel Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Ardeena Safiyya
22/1/2021 09:52:42
9,460
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

"Kalau awak nak, saya boleh je belikan."

SUARA lelaki itu masih terngiang-ngiang di telinga Aina, membuatkannya langsung tidak boleh fokus akan kerja yang sedang dilakukannya. Entah mengapa, memang hatinya mahu sangat menerima 'tawaran' lelaki itu, tetapi tidak sampai hati pula.

Bukankah dirinya, sudah msnyusahkan orang lain? Haris, bekerja setiap hari demi mengumpul wang untuk mereka berkahwin, sedangkan Aina hanya tahu membazirkan duitnya dengan perkara yang sepatutnya tidak perlu.

"Aku nak terima ke, tak nak?"

Aina memegang kepalanya yang agak pening. Kerja-kerja yang menggunung dibiarkan dahulu. Sebiji ubat paracetamol disumbat ke dalam mulutnya, lalu seteguk air kosong diminum laju.

Pening sangat hari ini, hendak buat kerja pun tidak boleh.

"Terima apa tu?"

Suara wanita mula kedengaran di seluruh ruang pejabat. Aina menoleh badannya, memandang gerangan itu. Siapa lagi, kalau bukan Kak Izzah yang ibarat polis yang menjaga kawasan. Ada sahaja yang tak kena dengan wanita itu.

"Tak ... tak ada apa-apa lah," jawab Aina acuh tidak acuh. Eh, menyibuk sahaja si Izzah datang mengganggu.

"Apa-apa jelah. Aku dengar, kau dating kat luar tadi. Dating je kerja, bila nak rasa nasi minyak nya?" soalnya sinis. Matanya menjeling tajam ke arah Aina.

Cemburu lah tu, sudah hampir masuk baya 30-an pun masih single. Bukan seperti Aina, baru sahaja berumur 21 tahun sudah ada calon suami.

"Nasi minyak eh kak?" Pipi Aina mula kemerahan. Memang benar, ingin sangat hatinya untuk berkahwin dengan Haris, tetapi tidak perlulah tergesa-gesa, bakal encik suami pun masih dalam proses mencari duit lagi.

"Dik, kau tu sepatutnya sambung belajar. Bukan bercinta cintun dengan penganggur macam boyfriend kau tu. Dia sambung belajar, kau? Ada? Kalau kau sambung belajar, kau masih ada banyak peluang untuk berjaya. Kerja government, gaji berkepok-kepok setiap bulan. Tak nak?" bebel wanita itu panjang. Ish, ingin sahaja Aina menutup telinganya daripada mendengar bebelan sepanjang infiniti itu.

Tahulah, Aina gadis yang tidak berpelajaran seperti orang lain. Bukan kerana masalah keluarga atau wang, tetapi dirinya sendiri yang menolak. Cukuplah belajar sehingga SPM yang dia mampu.

Namun, itu bukan bermakna budak SPM tidak boleh berjaya. Aina bertekad untuk membuktikan kepada keluarganya, bahawa orang yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat tinggi pun boleh berjaya.

Kini, Aina Afifah mula menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Dengan menjadi dropship atau pemungut jualan, dapatlah sedikit wang untuk menyara hidupnya dan memberi sedikit kepada keluarga. Pada mulanya, memang sedikit sahaja keuntungan yang diperolehi, tetapi siapa sangka pada tahun kedua dapat menjana empat angka dalam sebulan.

Empat angka pun, sudah cukup banyak buatnya. Cukuplah untuk membuat belanja diri, keluarga dan semestinya mengumpul duit untuk berkahwin.

"Aku tak nak sambung belajar. Aku ni, slow learner. Kalau kat sekolah pun aku susah nak hadam apa cikgu ajar, apatah lagi dekat kolej. Aku fikir, nak terus kerja untuk sara family je," jawab Aina dengan yakin dan tenang. Tiada hati yang terguris, mudah. Sudah dikebalkan hatinya untuk menjawab soalan 'cepu emas' tersebut. Biasalah, bukan semua orang akan faham akan masalah yang kita hadapi.

"Suka hati lah. Tapi kau rugi sangat, Aina. Kau terlalu taksub dengan cinta."

Aina terdiam sendiri. Salahkah dirinya, untuk mencintai seseorang dengan sepenuh hatinya? Bukankah jodoh dan pertemuan itu langaung tidak mengira usia, jadi salahkah untuk anak muda sepertinya bercinta?

Atau, berkahwin muda?

Kalau sudah jodoh, siapa tahu?

"Akak," Aina menggigit bibirnya. Tiada mood untuk menyambung bicara wanita yang lebih tua dan berpengalaman dari dirinya itu. Bukan kerana sakit kepala yang datang menyengat, tetapi kerana sifat majikannya sendiri yang terlalu menyibuk tentang hal peribadinya.


HARIS duduk di atas motosikalnya sambil matanya tidak lekang dari menatap skrin telefon pintar yang dibawa bersama. Beg makanan yang dibawanya di belakang, tidak dihiraukan lagi. Kini, dia hanya menumpukan pandangan ke skrin itu bertujuan untuk menyemak jika ada lagi tempahan yang masuk.

"Alhamdulillah, ada rezeki masuk," ucapnya perlahan sambil tersenyum. Lantas sahaja enjin kenderaan dihidupkan, lalu ia memecut laju di atas jalan raya. Misinya, hanya untuk menghantar makanan sampai tepat ke rumah membelinya. Tujuannya hanya satu, demi mencari rezeki yang halal untuk dirinya, keluarga dan bakal isteri nanti.

Pekerjaan yang biasa dilakukan sebagai pekerjaan sampingan ini, bukan lagi 'sampingan' buat Haris. Sepenuh masa dirinya sanggup bekerja dengan pekerjaan ini. Meskipun terlihat hina oleh orang lain, apa yang Haris perlu kisah?

Motosikalnya berhenti di sebuah rumah. Perlahan-lahan Haris turun dari kenderaan yang ditunggangnya lalu mengambil sebungkus makanan untuk dihantar.

Loceng rumah dibunyikan.

"Assalamualaikum..."

Daripada bahagian dalam rumah, kelihatan seorang gadis yang usianya baya-baya Aina Afifah membuka pintu lalu keluar dari rumah tersebut. Plastik yang mengandungi makanan dirampas, sedikit pun wanita itu tidak mengucapkan terima kasih kepada Haris yang telah berpenat lelah menghantar hingga ke hadapan pintu rumah.

"Lambat!"

Beberapa keping wang ringgit dicampakkan tepat ke muka Haris Mirza. Lelaki itu terkedu, serta-merta dikutipnya semua not kertas yang dicampak oleh gadis itu. Dua belas ringgit jumlahnya diberi dengan dua belas keping wang kertas seringgit.

Gadis berusia awal 20-an itu tersenyum sinis lalu menutup pintu kasar. Benci!

"Ya Allah, kenapa susah sangat aku nak cari duit ni?"

Haris menghembuskan nafasnya sambil gigih mengutip wang kertas yang masih bertaburan. Dipastikan jumlahnya cukup seperti yang diminta, supaya tidak ada kes fitnah curi wang nanti.

Dengan terpaksa menempuh jalan raya yang agak sesak dan panas terik yang mampu membakar tubuh manusia yang berjemur di atasnya, bukan mudah bagi seorang penghantar makanan untuk menghantar betul-betul di hadapan pintu rumah.

Begitulah sikap manusia yang tidak reti bersyukur. Hanya duduk di rumah, bermain handphone dan pesan makanan. Tidak pernah mahu berfikir kesusahan orang lain di dalam dunia yang luas ini.

Setelah dikira jumlah duit yang dikutip, segera semua wang tersebut dimasukkan ke dalam beg pinggangnya. Enjin motosikal dihidupkan, lantas sahaja lelaki itu meninggalkan rumah si sombong ini.

Kalaulah Aina tahu pekerjaan sebenar dirinya, sudikah wanita itu sanggup menggelarkan dirinya isteri kepada seorang Haris Mirza? Lelaki yang tidak mempunyai sebarang harta mahupun wang ringgit yang banyak, tidak mampu untuk mengadakan majlis seperti artis tanah air.

Dari rumah ke rumah, lelaki itu pergi satu demi satu, menyiapkan tugas yang diberi. Panas terik? Jalan sesak? Semua itu sudah lali dilakukannya.

Daripada menjadi seorang 'Penganggur Terhormat', lebih baik kerja sebagai penghantar makanan, bukan? Janji dapat rezeki halal.


BEBERAPA botol minyak wangi dari dalam sebuah kotak dikeluarkan lalu disusun berbaris. Haruman minyak wangi tersebut, tipulah kalau tidak tersebar di satu ruangan pejabat. Wangi sungguh!

"Kak, kena pack ke semua ni?" soal Aina Afifah, seperti orang bodoh. Sengaja mahu menarik perhatian si majikan, supaya kerja yang mudah ini dapat dilakukan bersama. Boleh tahan bosan juga bekerja dengan Kak Izzah ini, boleh berbulu dibuatnya. Patutlah pekerja terdahulu asyik masuk dan keluar sahaja.

"Kau rasa?"

"Yelah, yelah." Aina mencapai sebotol minyak wangi, kad bisnes dan bubble wrap lalu membungkus semua barangan tersebut. Semenjak dua tiga hari ini, jualan meningkat sedikit jadi mereka agak sibuk. Itu pun, masih ada orang yang mencuri tulang seperti Aina.

"Kau jaga office, boleh? Akak nak pergi beli makanan jap. Kau tu senang lah, ada boyfriend bawa makanan hari-hari. Jimat duit kau." Kunci kereta dicapai lalu Izzah berjalan keluar dari premis tersebut.

"Kak, apa susah? Order jela online. Handphone ada kat tangan tu, takkan nak buat replika je," ujar Aina sambil fokus membungkus barangan untuk dipos petang nanti. Zaman sudah maju, pelbagai barangan boleh dipesan melalui telefon pintar, hanya manusia yang tidak mahu memanfaatkannya.

"Online? Kadang-kadang, kau ni bijak juga. Yelah, jimat sikit minyak kereta aku nak ke hulur ke hilir cari makanan." Serta-merta telefon pintar diusik, mencari makanan kegemaran di kaca skrin.

Ralit diperhati setiap menu yang dihidangkan di dalam skrin tersebut. Hanya tinggal tekan dan tunggu ia dihantar ke depan pintu pejabat. Mudah, bukan? Berpuluh jenis makanan ada terjual.

"Kak, belanja tealivesatu. Akak kaya kan?" Aina menunjukkan wajah bayinya kepada Izzah. Kononnya comel lah tu!

Mata yang bersinar, pipi yang mulus, hidung yang mancung dan bibir yang menggoda benar-benar membuatkan Izzah terpesona dengan pujuk rayu si anak buahnya itu.

"Kau ingat comel sangat ke?" Izzah menggelengkan kepalanya laju. Jiwanya sedang bergolak menahan nafsu daripada membelanja si anak buah lagi, atau bahasa mudahnya merugikan diri lagi.

"Comel lah .... Meowww!" Tangan serta jari Aina menunjukkan seperti ingin mencakar si Izzah, tidak ubah seperti kucing yang sedang menarik perhatian tuannya. Bezanya, Aina bukanlah kucing, cuma pekerja bersama yang ingin memujuk majikannya untuk dibelanja.

"Kau mengiau ke, mengaum ke depan aku, jangan mimpi aku nak belanja kau." Izzah ketawa jahat, tanpa memikirkan si anak buah yang terus menerus merayu tanpa henti. Pelbagai jenis muka comel dilakukan. Niatnya hanya satu, untuk mendapatkan air teh ais boba secara percuma.

"Akak belanja, akak dapat pahala. Takkan tak nak?" Kali ini, Aina cuba memujuk dengan menggunakan istilah agama pula. Hey, dasar penunggang agama betul si Aina cengeng ini.

"Hah, yelah. Tapi, yang 7 ringgit je tau. Atas dari tu, kau bayar sendiri." Izzah menggeleng kepala lagi. Entah bagaimana, dirinya seolah dipukau oleh Aina untuk minta dibelanja. Orang zaman sekarang kata, dipayung lah kononnya.

"Terima kasih!" Aina bersorak gembira. Kali ini, misinya berjaya. Dapatlah dirinya minum air viral secara percuma, ikhlas pula tu. Untung, untung.

Untunglah kau, Aina. Dapat majikan yang garang tapi baik seperti Izzah ini. Bukan semua majikan, terima akan pujuk rayu si pekerja.

"Lagi 30 minit sampai lah tu. Sambung pack perfume tu. Kau nak duit, kena rajin."


SEORANG lelaki berusia 23 tahun menjinjit beg plastik berisi nasi campur yang sudah dipesan oleh pelanggan, tinggal mahu menghantar kepada tuannya sahaja.

"Eh, tempat kerja Aina? Siapa yang order, Aina ke orang lain?"

Haris menggaru kepalanya yang tidak gatal. Di manalah dirinya mahu menyorokkan muka ini kalau Aina yang datang menerima makanan?

Haruskah dirinya jujur sahaja kepada Aina tentang pekerjaannya, atau cukuplah ia menjadi rahsia yang nyata sehingga pada satu hari nanti?

Tuk tuk tuk.

Pintu kaca itu diketuk sederhana kuat. Risau pula jika diketuk kuat, pecah pula pintu kaca ini siapa mahu ganti?

"Eh .... A ... Awak?"

Mata Haris dan Aina bertentangan. Jelas sekali, Haris yang berpakaian seragam sebagai seorang penghantar makanan yang dilihat sendiri oleh Aina. Kantoi sudah rahsia besarnya selama ini, hanya disebabkan penghantaran makanan yang tidak disengajakan ini.

"Aina, saya boleh explain, please..." rayu Haris. Wajah sang cinta ditenung lama, mengharapkan Aina tidak memarahinya.

"Explain apa, saya tak faham." Aina mengerutkan dahinya keliru. Tiba-tiba sahaja lelaki ini mahu menerangkan sesuatu, sesuatu yang bagaimana pun tidak tahu.

"Pasal, kerja saya." Haris cuba untuk berlagak tenang sedangkan hatinya sudah berombak kuat. Fikirannya resah gelisah, memikirkan apakah riaksi dari Aina.

"Jadi, ni kerja awak?" Plastik berisi makanan bertukar tangan.

"Y... Ye. Awak tak malu dengan saya?" soal Haris dengan pengharapan. Tipulah andai dirinya, seorang lelaki tidak malu dengan lelaki lain yang berjaya dan mampu memberikan harta kepada orang yang menjadi cinta di hati.

"Malu? Malu untuk apa? Awak cari rezeki halal pun, saya dah bangga." Aina memandang wajah itu lama. Haris Mirza, si teman lelaki sejak tahun lalu. Disangka kerja di pejabat berpenyaman udara, berkemeja serta bertali leher dan kemas setiap hari ke pejabat, rupanya seorang penghantar makanan yang bekerja sepenuh masa.

Namun, buat apa dirinya perlu malu akan semua itu? Penghantar makanan pun, ada yang mampu membuat lima angka sepanjang bekerja sepenuh masa. Hanya bergantung kepada kerajinan dan keazaman sahaja sebenarnya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ardeena Safiyya