Home Alternatif Fantasi Alamria
Alamria
Iqbal Rafiuddin
12/7/2018 19:59:17
5,418
Kategori: Alternatif
Genre: Fantasi
Bab 1

"Kau tidur selalu, sampai bila-bila kau tak akan maju Akid!" marah Tok Jun, selepas itu terus dia membiarkan aku terus terlantar atas katil. Membiarkan aku dengan sifat malas aku yang sudah bersarang dalam diri seperti sarangnya labah-labah di rumah usang.

Mata yang dipenuhi tahi digosoknya aku. Terkebil-kebil pandang siling. Tok Jun selalu marah aku. Puncanya aku ini pemalas. Aku tak boleh buat apa tentang itu. Untuk budak yang umurnya macam aku, sepatutnya habiskan masa di akademi. Belajar magik. Tapi aku tak punya bakat. Tak seperti orang lain. Aku dilahirkan zero magik. Ini bermakna aku tak ada kebolehan menghasilkan magik sama macam orang lain. Orang kata aku ini kondisi ganjil. Budak lain panggil aku cacat. Yalah, itulah sebabnya aku malas pergi akademi. Sia-sia.

Magik adalah asas penting dalam dunia ni. Magik adalah satu tenaga natural yang mengalir dalam diri kau. Semua orang ada magik. Tapi kalau kau tak punya magik, ini bermaknanya taraf kau berada paling hina. Magik ada bermacam-macam. Paling biasa, magik mengapung. Hampir setiap orang tahu mengapungkan objek. Ada juga magik yang istimewa. Contohnya melibatkan elemental. Kawal api, air dan tanah. Di akademi, mereka selalu mengajar bagaimana nak mempertingkat penggunaan magik dengan lebih berkesan. Supaya berguna dengan kehidupan seharian.

"Akademi itu bukan tempat mahu belajar magik saja. Ada macam-macam lagi subjek yang boleh kamu belajar. Matematik, Sains semua tuh." Terang Tok Jun bila suruh aku masuk akademi.

Ya, betul selain magik, akademi mengajar benda-benda yang tak melibatkan magik. Manusia memang tak boleh bergantung sepenuhnya pada magik. Sebab magik makan stamina. Macam kita berlari, makan, berak. Semuanya perlukan tenaga. Magik pun macam tu. Kalau stamina kau habis, magik kau mungkin akan terganggu. Contoh angkat objek goyang-goyang ke. Tak mampu nak angkat skirt orang ke. hee.

Dengan belajar subjek-subjek dan magik sehingga tahap tertinggi maka kita boleh mencapai status Sang Falsafah. Sang Falsafah adalah status tertinggi untuk mereka yang menguasai ilmu sepenuhnya. Kampung Kodok ni hanya ada satu je Sang Falsafah, si tua bernama Sang Falsafah Aji Samat. Pengasas dan pengetua Akademi Kampung Kodok. Ketua Kampung jugak. Dengarnya magiknya pun power. Tapi tak ada satu anak murid pun pernah tengok magik terkuat dia.

"Ini!" Tok Jun meletakkan atas katil aku dengan sebungkus kain. Mata aku membesar. Bungkusan kain yang besar dan terikat kemas.

"Apa ni tok?" aku membelek bungkusan kain, di dalamnya terdapat pakaian aku. Ah sudah tentu sekali Tok Jun mahu menghalau aku dari rumah ni.

"Disebab kan kau tak ada apa-apa mahu dibuat di kampung ni, aku nak kau pergi mengembara." jawab Tok Jun mudah. Seperti yang aku jangka. Bukan sekali dua dia menyuruh aku keluar daripada kampung. Sudah banyak kali juga. Namun baru kali ini dia begitu rajin membungkus pakaian aku. Nampaknya mungkin dia mahu menunjukkan dia tegas dengan keputusannya.

"Ish, kat mana saya nak pergi ni tok? Saya takut la. Saya budak kecil lagi tok." Aku cuba beri alasan.

Dah mula sudah Tok Jun ni. Aku 15 tahun kot, muda lagi jika mahu di halau keluar dari kampung ni. Lagipun, macam tok tak tahu. Luar sana tu bahaya. Alamria ni di penuhi dengan raksasa yang dasyat-dasyat. Aku pula mana ada magik, berlawan pun tak pandai. Mati katak lah aku. Entah-entah keluar kat depan pintu gerbang Kampung Kodok ni lagi aku dah mati kena gigit. Tok Jun memang gila.

"Aku bukan suruh kau keluar seorang diri. Tapi ikut si Merah tu. Kau tanya dia bila dia nak keluar mengembara. Lepas tu kau minta mahu ikut dia." Ada sahaja cadangan Tok Jun mahu aku keluar daripada kampung ini.

Akak Merah, Perempuan paling kuat dalam Kampung Kodok ni. Jika sesiapa tengok dia pun boleh takut tahu. Aura yang dikeluarkan olehnya cukup terasa. Dia adalah lagenda hidup.

Baju coklat koyak, kain lilitan pada tangan. Rambut ikat belakang. Mafla merah kat leher. Itu memang gaya dia. Ilmu magik wanita ini tak usah cakap la. Bukan satu dua dia ada. Macam-macam. Namun biasanya dia gemar berlawan menggunakan keris besar belakang badannya itu. Lagenda pernah kata juga stamina dia tak akan pernah habis. Aku pasti itu tokok tambah orang untuk menunjukkan dia mempunyai kekuatan setanding raksasa.

"Tapi tok, kak Merah tu suka keluar solo. Lone ranger. Lagi pun kalau dia keluar berbulan-bulan baru balik kampung tok." aku mula cari alasan untuk tidak keluar dari kampung ni.

"Itu la yang bagus. Mana ada orang keluar mengembara sehari dua. Kau ingat camping ke?"

Aku muncungkan mulut. "Tapi to.."

Tok Jun tiba-tiba peluk aku. Erat gengamannya,membuatkan aku rasa tak selesa.

"Tok tak mampu nak bagi terbaik untuk kamu Akid. Tok tak mampu nak tunaikan janji tok pada mak ayah kamu." Tok Jun terus tersedu sedan.

Aiseyh, ni main psikologi la ni.

"Yela-yela. Nanti Akid pergi cari Kak Merah la tanya."

Tok Jun tolak badan aku kebelakang, air muka dia terus berubah. "Haa kalau kamu cari dia, dia selalu lepak kat Pokok Harapan." Ternyata tangisan dia sebentar tadi hanya lakonan untuk mendapat simpati dari aku. Aku syak Tok Jun pernah masuk persembahan lakonan semasa mudanya.

"Ye." Aku jawab dengan nada malas.

Petang tu aku pergi juga ke Pokok Harapan. Ia adalah pokok paling besar dalam Kampung Kodok. Besar sepuluh pemeluk. Tingginya mencecah awan. Kau tak boleh nak lihat puncak pokok dari bawah ini. Daun-daun warna merah, batang warna ungu dan buatkan rasa seram sejuk setiap kali mendekati pokok ni. Pokok ini ada sejarah dia dan ada magiknya juga. Sesiapa yang makan buah dari Pokok Harapan ni akan mendapat kepandaian dalam semua jenis ilmu. Tetapi jika dia berhati jahat, semua ilmunya ditarik. Dia akan jadi bodoh selamanya. Jujurnya sepanjang aku hidup, aku tak pernah dengar pokok ni berbuah. Mungkin tu semua hanya mitos je, supaya nampak pokok ni lebih special atau mungkin buahnya ada kat puncak. Siapa tahu, dan siapa je yang berani panjat?

Sebut pasal panjat, ni ada sejarah lain pasal pokok ni. Dulu ada seorang pendekar terulung. Nama dia Seri Sang Nilam. Kena kejar dengan tentera Diraja Buana Gelap. Pemerintah zaman dulu yang dikatakan sangat kejam pada rakyat. Masa ni Sang Seri Nilam tengah parah, dengan berbekal tenaga yang dia ada, dia lari ke pokok ni dan panjat pokok ni sampai ke puncak. 10 hari dia duduk atas pokok tak turun-turun.

Bila dia rasa tak ada tentera berkampung di sekitar pokok ni, barula dia berani turun. Bila dia turun, alangkah terkejutnya dia, dah terbina perkampungan. Kampung Kodok ni la. Zaman Pemerintah Sang Diraja Buana Gelap pun dah lama berlalu. Walaupun dia rasa sepuluh hari berada atas pokok, tapi sebenarnya dah lebih seratus tahun kat bawah ni. Ajaib kan.

"Tu la dia budak yang tak ada magik."

Aku toleh kepala aku, nampak dua tiga budak sibuk bisik-bisik mengata aku. Sibuk je mereka. Macam aku kacau mereka.

Pap!

Aduh. Sesuatu mengenai kepala aku. Budak-budak itu mengetawakan aku. Sah mereka baling aku sesuatu. Dasar budak jahat! Aku tengok satu dua batu terapung sekitar mereka. Mereka melihat aku sambil tersengih jahat. Oh tidak.

"Woi berhenti la, aku tak kacau kau orang pun." rayu aku.

"Cuba la halang pakai magik kau." kata salah seorang dari mereka. Sengaja mereka menyakitkan hati aku. Tahu la aku tak ada magik. Satu dua batu melayang ke arah aku. Aku tutup mata dan cuba lindung diri dengan guna tangan. Semua batu terkena tangan dan kaki aku. Sakitnya bukan main. Aduh!

"Argh!"

Aku dapat dengar suara budak-budak tersebut mengerang sakit seperti diserang sesuatu. Aku mula buka mata aku dan lihat budak-budak itu sudah lari. Depan aku, kak Merah sedang berdiri gagah. Hujung kain mafla merahnya yang terlilit kemas pada sekitar leher terbang-terbang ditiup angin.

"Lembik." kutuk kak Merah pada aku. Wajahnya seperti tidak berminat untuk melihat muka aku. Aku terasa dipandang rendah.

Cis.

"Kalau aku ada magik, dah lama budak-budak tu aku lawan." marah aku. Pantang betul orang kata aku lembik.

"Oh kau la budak tanpa magik tuh? Patut la." Akak Merah terus tinggalkan aku. Dia berjalan menuju ke arah Pokok Harapan. Aku hairan kenapa akak Merah suka habiskan masanya disini. Setiap kali balik dari mengembara, sini la tempat dia akan lepak.

"Boleh saya tanya tak kak?" aku mengejar Kak Merah dari belakang.

"Kau nak tanya apa?" soalnya kembali tanpa toleh kat arah aku.

"Kenapa akak selalu habiskan masa ke sini eh?"

"Apa kau kisah?"

"Tanya je."

Akak Merah duduk diatas salah satu akar pokok yang timbul. Beg yang disandangnya dari tadi dibawa ke depan. Dia membawa keluar sesuatu. Rupanya janjan. Dibukanya janjan dan makan dengan selamba. Dua tiga suap kemudian baru dia pandang aku.

"Kau nak?"

Aku geleng kepala.

"Habis tu kau nak apa?"

Aku telan air liur. Aku kena cakap apa yang Tok Jun nak aku buat.

"Saya nak ikut akak mengembara."

Kak Merah terdiam, kemudian terburai dekahannya ketawakan aku. "Kau? Ikut aku? Kau tu dah la tak ada magik. Kau tahu tak kat luar sana tuh banyak raksasa yang menakutkan? Even orang ada magik pun tak akan survive lama kalau ikut aku."

Aku senyum.

"Kenapa kau senyum pula?" tanya Kak Merah.

"Tak ada apa la kak, tak jadi lah." aku terus berlari tinggalkan Kak Merah yang mungkin terpinga-pinga tengok reaksi aku. Aku seronok bila Kak Merah bagi jawapan macam tu. Boleh la aku gunakan alasan ni bila berdepan dengan Tok Jun nanti. Tak payah la susah-susah nak keluar dari kampung ni.

Sampai rumah terus aku menjerit nama Tok Jun. Tok Jun termengah-mengah berlari ke arah aku. Aku senyum lebar. Tok Jun tanya sama ada aku dapat keizinan untuk ikut Kak Merah. Aku geleng kepala sebelum aku cakap macam yang Akak Merah cakap. Tok Jun urut janggut. Mungkin dia faham akhirnya apa yang aku cuba sampaikan selama ini adalah betul. Aku terlalu muda dan lemah.

"Tak boleh jadi, esok aku pujuk dia untuk kau."

Duh. Aku mengeluh berat mendengar ayat yang keluar dari mulut si tua ini. Tok Jun ni masih tak faham ke, aku tak nak keluar!

Aku terus lari masuk bilik. Hempas pintu kuat-kuat. Kampung ini walaupun aku tak suka penduduk dia, tapi aku sayang untuk keluar dari sini. Salah satu sebabnya kalau aku keluar, aku tak akan dapat habis membaca buku-buku dalam perpustakaan milik ayah. Aku suka baca buku-buku tu. Kalau aku keluar, aku tak dapat apa. Kemungkinan aku akan mati awal saja.

Aku buka panel pintu kayu di atas lantai. Ada tangga menuruni ke bawah. Aku mengukir senyuman, di sini lah perpustakaan rahsia milik ayah. Lokasi perawat luka aku.

Tok Jun ada cakap ayah selalu melakukan kajian disini sebelum dia hilang bersama mak. Sebelum mereka tinggalkan aku bersama Tok Jun. Tok Jun banyak kali nasihatkan supaya jangan salah kan mak ayah aku kerana tinggalkan aku masa kecil dulu. Sebenarnya aku sendiri tak rasa apa. Sebab aku tak pernah rasa ada kedua mereka. Aku membesar hanya mengetahui Tok Jun yang menjaga aku.

Tapi apapun aku senang dengan peninggalan ayah buat aku. Buku-buku ni buatkan aku rasa aku boleh jadi sesuatu yang berguna. Mungkin aku ni tak ada magik tapi aku ada ilmu. Siapa perlu pergi akademi, sedangkan aku boleh belajar kat sini. Malah mungkin aku lagi bijak dari sesiapa yang ada kat akademi. Aku sebenarnya ada satu cita-cita. Aku nak jadi Sang Falsafah tanpa magik pertama dalam dunia ni. Aku nak orang kampung iktiraf kewujudan aku. Aku mahu semua orang kagum ngan aku.

"Kau tu makhluk sampah jauh lagi hina dari tikus jalan. Aku tak dapat bayang rupanya wujud orang yang tak ada magik."

"Cacat! Hahahaha"

"Lembiknya kau."

"Kau tahu kenapa mak bapak kau tinggalkan masa kecik dulu? Sebab Mereka malu ada anak cacat macam kau."

Aku pejam mata. Teringat kata-kata dari mulut orang kampung buatkan aku rasa sakit hati dan mahu menangis. Aku tahulah aku tak ada magik. Aku tak boleh buat macam orang normal boleh buat. Aku tahu aku hina. Kenapa aku lahir tak ada magik? Kalau aku ada magik, mesti Tok Jun pun tak rasa malu dengan aku. Mungkin betul cakap mereka, mak ayah aku pun tak sanggup terima aku.

Air mata jatuh ke pipi. Nampaknya aku tak dapat nak tahan sedih. Tolong la lenyapkan rasa sedih ni terus dari hati. Mata aku sebak. Aku terus melentokkan kepala ke atas meja. Buku-buku dipeluk kemas dalam dakapan. Hanya buku sahaja lah menjadi teman aku dari kecil sampai besar.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Iqbal Rafiuddin