Home Alternatif Fantasi Alamria
Alamria
Iqbal Rafiuddin
12/7/2018 19:59:17
5,416
Kategori: Alternatif
Genre: Fantasi
Bab 5

"Kami tak boleh lama di sini bang Joko, tapi kami janji pertemuan kita kelak, adalah hari kebebasan bang Joko dari sini. Ngaw. Bertahan sikit lagi. ngaw" kata Lica menyedapkan hati Bang Joko. Aku perhati je tubuh bang Joko dalam penjara ni. Kasihan betul. Bayangkan dah berapa tahun dia dalam ni. Dengan keadaan dirantai bagai. Semenjak aku belum lahir lagi dia dah ada kat sini. Lama tuhh. Oh alamak, air mata aku meleleh lagi.

"Hati-hati Lica." nasihat Bang Joko.

"Yaw." Lica sudah bergerak ke arah lubang udara tempat kami turun tadi. Aku ikut dari belakang, sempat menoleh Bang Joko dari jauh. Kesian.

Bila dah sampai ke lubang udara tersebut, Lica dengan selamba dia melompat naik. Tinggi tuh! Ish yang aku ni plak? Dia lupa ke?

"Psst Lica, ohh Lica. Aku ni cam mana? Aku tak pandai lompat macam kau." ujar aku sambil mendongak tengok Lica.

Lica tepuk dahi. "Aku lupa kau tak ada magik. Ngaw. Jap, aku tolak kau dari bawah.Ngewp!" Lica lompat turun. Kemudian kedua telapak tangan dia di tadahkan, suruh aku pijak situ la tu nak tolak aku.

"Kau ni boleh ke?" aku garu kepala tak percaya dengan Lica. Dah ler badan kecik cemolek gitu. Malu la aku aih.

Lica mencebik. "Jangan pandang rendah pada kaum fenix. Kekuatan kami dua kali ganda dari kekuatan manusia.Ngaw."

"Haa ye la yela."

Aku pijak tapak tangan Lica, "Sedia, 1..2...Lompat!" Lica menolak aku, aku terbang naik atas, cepat-cepat aku paut pada lubang udara. Aku pandang Lica sambil tersenyum girang. Bangga dapat naik, tapi kegembiraan aku tak lama, lubang ni licin bukan main, tangan aku terlepas dan aku terjatuh. Entah macam mana sewaktu aku jatuh tuh aku terpegang besi sel penjara.

"Bodoh!" Lica marah aku.

Dari jauh, kami dengar eraman haiwan. Kemudian perlahan-lahan dia memunculkan kepalanya di hujung lorong. Bila dia muncul dengan seluruh tubuh yang hampir mencecah siling, aku hampir menjerit. Besar bukan main. Ini bukan anjing biasa nih. Ni Anjing Neraka. Sejenis beast. Tubuh hitam besar, air liur melejeh-lejeh jatuh dan berasap. Gigi bukan main tajam. Kalau kena kokak ni, Kak Merah, Tok Jun mesti tak kenal muka aku lagi.

"Berundur Akid. Ngee." arah Lica. Dia mengeluarkan dua bilah pisau kecik dari sarung di belakang badan dia. "Eh?" Lica semacam hairan. "Aku tak dapat guna magik! Kita dah tak dapat guna magik dalam ni! Ngaw."  Lica jadi cemas.

"Ya, mungkin saat kita sentuh besi tu, automatik seluruh tempat ni akan mematikan mana-mana magik.Ngaw." jelas Lica. Mendengar penjelasan tu aku cepat-cepat berundur ke dinding paling hujung.

Dah tentulah Kak Merah punya magik pun tak berfungsi kat sini. Jadi, dia takkan tahu aku dalam bahaya. Ini bermakna dia takkan datang! Tok!!!!!

Anjing Neraka terus berlari ke arah kami. Lica bersedia dengan memasang kekuda untuk menyerang balas. Bila anjing neraka itu cuba mencakar. Lica melompat dan mengelar kaki anjing tersebut. Lica melompat lagi dan mengelar lagi, kali ni di perut anjing tu plak. Anjing itu mengaum kesakitan.

Lompat, kelar.

Lompat kelar.

Itu la strategi Lica melawan anjing neraka tersebut. Nampaknya tak terlawan anjing tu. Lica jauh lebih tangkas. Tetapi, anjing neraka ini agak liat untuk tumbang. Dia masih gagah berdiri dengan empat kakinya.

Slash!

Lica tercampak dan terseret ke lantai.

"Lica!!!" aku menjerit.

Lica berdiri kembali. Dia kembali dengan posisi untuk melawan.

Ah! Aku baru teringat sesuatu pasal anjing neraka.

"Tak usah bazir stamina kau, serang je terus mata dia!" jerit aku.

Lica dengan pantas terus menyerang dan menikam kedua biji mata anjing neraka. Anjing neraka menjerit lagi. Kemudian dia melanggar langgar dinding. Dia berpusing dan mencakar angin. Lica terpinga-pinga. Aku senyum.

"Walaupun dia anjing, tapi dia tak macam anjing yang lain. Hidungnya tak boleh hidu bauan lain sebabnya ia tersumbat dengan baunya sendiri. Dia tak boleh bau kita."

"Mana kau tahu pasal ni?" tanya Lica.

"Aku baca buku dekat librari ayah aku." Aku sengih.

"Bagus Akid." Lica terus berlari kearah anjing neraka dengan laju. Terus dia tikam bertubi-tubi badan anjing neraka sehingga ia tak mampu lagi bangun. Aku tepuk tangan, kagum betul dengan Lica. Eloknya lepas ni jangan cari pasal dengan Lica, mampus dikerjakan macam haiwan tu.

Belum sempat kami buat apa-apa, muncul dua guard, mereka ibarat kembar. Muka seiras. Dadanya bidang sekali. Tidak mengenakan apa-apa pakaian besi seperti guard kebiasaan. Mereka hanya pakai pakaian nipis berwarna hitam. Tangan masing-masing bergelang merah. Muka mereka kelihatan bengis melihat kami.

Lica melompat untuk menyerang namun tak semena-mena badan Lica berhenti di tengah udara, terapung-rapung. Lica cuba meronta. Salah satu daripada mereka membuat sesuatu dengan tangannya. Tangan kanannya diangkat dengan gaya mencekik. Kenapa hanya mereka boleh gunakan magik?

"Ngarghh!" Lica menjerit dalam kesakitan.

"Berhenti buat Lica sakit!!" jerit aku.

Guard yang lagi satu lihat aku, sama gaya seperti rakannya, dia mengarahkan tangannya kepada aku. Tubuh aku ditarik kedepan. Arghh! Sekarang aku dan Lica sama-sama terapung di udara. Kami masing-masing meronta. Semacam ada satu tenaga yang sedang mencengkam leher aku. Sakitnya.

"Siapa korang?" tanya mereka.

Aku dan Lica tak berjawab. Mereka tak berpuas hati lalu mereka campak ke kiri dan ke kanan. Akibat daripada itu, akhirnya pandangan aku pun jadi gelap.

<><><><>

Bangun je dari pengsan., aku dapati aku dah di rantai kaki dan tangan. Urgh. Sakitnya masih terasa sampai ke tulang. Mujur tak mati lagi. Lica? Aku toleh ke kiri. Aku lihat Lica masih terbaring. Kasihan dia. Kalaulah tadi aku tak sentuh besi sel ni. Semua takkan jadi macam ni.

"Budak, berani betul kau eh? Nasib kau tak mati dalam tangan pasangan JoJi." kata seseorang dari dalam sel yang sama dengan kami. Lelaki bertopi kulit. Pakai singlet dan seluar pendek. Kulitnya sawo matang dan terdapat freckles pada pipi. Rambut panjang, berjambang macam serabai je. Tangannya dipasung ke belakang.

"Abang ni siapa?" tanya aku.

"Rancho." jawabnya sambil senyum melihat aku. Creepy.

"Abang bukan orang sini kan?"

"Mana tau? Aku takda rupa orang sini eh?"

"Ha'a lagipun nama abang tak macam nama orang-orang sini. Diorang kasi pula abang simpan topi tu?" Topi Rancho ni sebenarnya menarik perhatian aku. Nampak kena ngan gaya dia.

"Cowboy."

"Hah?"

"Kalau kau pergi jauh ke barat. Situ asal aku. Guerreria."

"Kenapa bang Rancho ditangkap? Sampai dipasung bagai. Macam serius je."

"Lain kali kalau kau dan kawan kau hidup lagi, aku cerita." Rancho membaringkan badannya secara mengereng ke tepi. Dia pejam mata.

Aku mencebik. Buat-buat misteri pulak brader nih. Tak lama kemudian, Rancho bersiul melodi yang sedap. Aku tanyakan nama melodinya. Rosa rose jawab Rancho. Ada cerita disebalik lagu ini katanya. Katanya dulu ada seorang lelaki namanya Juan yang memiliki magik yang mampu membinasakan melalui pandangan. Setiap kali dia melihat, pohon-pohon akan mati layu. Tanah menjadi tidak subur. Air menjadi kering. Orang yang bertemu mata dengannya juga akan menjadi debu. Dia sangat bersusah hati dengan tu sebabnya dia nak tengok dunia ni sangat-sangat, tapi tak boleh. Juan tak membutakan matanya, sebab dia harap satu hari nanti dia akan jumpa penawar untuknya. Dia sekadar menutup mata dengan kain.

Satu hari, di satu kampung, dia berkenalan dengan seorang gadis. Rosa Rose namanya. Orang kampung selalu cakap Rosa Rose adalah bidadari yang turun dari langit kerana kecantikannya tiada tandingan. Itu menjadikan Juan teringin nak tengok muka Rosa Rose. Tapi yela kan, dia tak boleh. Dia rasa tertekan. Rosa Rose tahu niat Juan ingin melihat muka dia. Satu malam, Rosa Rose bawa Juan ke satu tempat. Dia buka ikatan mata Juan secara tiba-tiba. Juan dapat lihat Rosa Rose senyum lebar sebelum menjadi debu. Sempat Rosa Rose bercakap pada Juan, biar dia menjadi satu-satu benda cantik yang pernah dilihat Juan sepanjang hayatnya. Juan menangis tetapi bukan kerana sedih, tapi tangisan kegembiraan. Begitula selepas itu lagu Rosa Rose dicipta bagi mengenangkan pengorbanan Rosa Rose untuk Juan.

Juan memang lah tak sedih. Tapi aku pulak yang macam nak nangis sedih ni. Ish-ish. Dah berapa lama aku kat dalam penjara ni agaknya ya? Mesti Kak Merah rasa risau dengan kehilangan aku. Agaknya kalau dah lama sangat aku kat luar ni apa yang dia buat eh? Tak dapat aku nak bayangkan.

"Akid. Kita dah mati belum? Ngew." suara Lica lemah. Nampaknya dia dah mula berjaga.

"Belom. Tu, ada brader lain dalam sel ni. Nama dia Rancho."

Lica terus bangun duduk. "Macam pernah dengar la nama dia. Ngaw."

Rancho sudah berdengkur. Tidur dah tu. Kedengaran tapak kaki masuk ke dalam ruang penjara. Ianya beberapa orang pengawal. Kali ini baru la betul , mereka pakai pakaian besi. Mereka membuka sel, dan secara memaksa menyuruh aku dan Lica ikut mereka. Kami ikut mereka hingga kami melalui bahagian-bahagian dalam istana. Suasana di dalam istana ini tidak lah menyenangkan. Seram sejuk. Tambahan pula, hiasan bunga dan lukisan yang digantung pada dinding semacam tak kena.

Kami terus berjalan sehingga kami masuk ke dalam sebuah bilik yang luas. Seperti tempat bermesyuarat. Didalamnya aku lihat ada pasangan JoJi, seorang lelaki bertopeng separuh, tangannya ada gelang merah yang sama macam JoJi juga dan seorang orang tua perut boroi berpakaian mewah dan meriah sedang duduk diatas kerusi emas yang besar. Dihadapannya terdapat makanan yang terhidang di atas meja untuknya.

"Jadi bagitahu aku, apa korang buat di dalam dungeon tu?" kata lelaki tua perut boroi. Dia memotong daging di atas pinggan dan disuap masuk ke dalam mulut. Sewaktu dia mengunyah, mulutnya berbunyi-bunyi.

Lica mendesir. "Bebaskan Bang Joko!!! Lord Jibin!!! Dia pewaris sah bandar Gaiaw!!" Dia cuba bergerak tapi dia dihalang dengan tombak-tombak pengawal yang menghala kearah dia. Jadi lelaki perut boroi itulah Lord Jibin.

Lord Jibin ketawa berdekah-dekah sambil pegang perut. Habis cebisan makanan dalam mulutnya terkeluar. Buruk betul gayanya.

"Jadi kau ni sebahagian kumpulan penentang la ye? Setahu aku kamu ni kaum fenix kan? Jadi bagitau aku kenapa kau ada dalam kumpulan tu? Kenapa nak sibuk-sibuk urusan tempat kami? Oh ye lupa, kaum kau tu kaum penipu, kaum licik, kaum yang suka amik kesempatan! Kau ada matlamat tersendiri kan. "

Aku pandang Lica. Dia diam sahaja. Wajahnya berpeluh. Aku nampak dia seperti tak senang dan takut. Aku tak tahu apa yang cuba disembunyikan oleh Lica.

"Kau budak!" Lord Jibin memanggil aku pula. "Apa nama kau?"

"Akid."

"Kamu asal mana?"

Aku diam.

Lord Jibin ketawa lagi. "Dua orang luar sibuk-sibuk dengan bandar kami. Kau tahu itu nampak seperti mencurigakan? Kalau aku bunuh korang depan orang ramai lalu cakap kumpulan penentang berkomplot dengan orang luar dan cuba gulingkan pemerintahan aku kerana diorang nak jual bandar Gaia kepada orang luar pasti penduduk Bandar Gaia percaya."

Aku telan air liur membayangkan yang nyawa aku bakal melayang.

"Tak kalau kami berjaya buktikan yang kau sorok Bang Joko." ujar Lica.

Lord Jibin ketawa berdekah-dekah lagi. "Macam mana? Dengan pasukan penentang yang berapa kerat tuh? Mimpi!" Dia tiba-tiba mengetuk meja. "Aku boring. Aku nak kan hiburan. Aku nak korang berdua berlawan dengan dua orang aku. Jo dan Jamim. Bermula dengan kau fenix. Kalau korang menang, aku bagi salah sorang dari korang keluar dari sini dengan selamat."

Lica lihat aku. "Kau jangan risau Akid. Kau akan keluar. Kau kena bagitahu yang lain-lain pasal ni. Ngaw."

Salah seorang daripada pasangan JoJi keluar. Dia la Jo kot. Dia membetul-betulkan badannya. Bersedia untuk berlawan. Dia melompat terus kehadapan Lica. Rantai pada Lica dan aku ditanggalkan.

"Bagi senjata aku balik.Ngaw." pinta Lica.

Lord Jibin melihat dengan menyampah. "Bagilah senjata dia."

Dua bilah pisau dicampak kepadanya. Lica ambil. Saat dia ambil masa tu la dia disepak oleh Jo, tercampak Lica ke dinding. Lica mengerang sakit. Aku pun jadi ngeri. Nanti giliran aku. Ah!

"Main tipu, aku perlukan magik. Ngaaw." ujar Lica.

"Kau jangan mintak lebih-lebih. Aku dah bagi peluang untuk berlawan kira cukup adil lah." kata Lord Jibin. Aku masih lagi pening berfikir macam mana diorang boleh guna magik tapi Lica tak dapat gunakan magiknya.

Lica melompat, macam sebelum ini dia terapung di udara. Arggh. Lica dicampak lagi. Dia terus terbaring, dia tak mampu berdiri. Aku cepat-cepat mendapatkan Lica. Aku jadi sebak lihat keadaan Lica yang teruk dikerjakan macam ini sekali.

Dengan keadaan sakit dan menggeletar Lica cuba paksakan diri untuk bangun.

"Lica, jangan paksa diri. Kau tak boleh lawan dia."kata aku.

"Kalau aku tak kalahkan diorang, kita berdua akan mati. Ngaw." ujarnya.

Aku pandang kearah Lord Jibin dan lain-lain dengan rasa marah yang amat. "Kejam korang ni!! Tunggulah nanti balasan korang akan sampai!!"

Mereka semua ketawakan aku. Aku tumbuk lantai.

"Lawan aku!!" jerit aku.

Lelaki bertopeng separuh berjalan ke arah aku. "Heeee heee. Nampaknya Lord, budak ni tak sabar nak mati. Heeee." Lidahnya keluar menjilat-jilat bibir. Kaki aku sudah menggigil teruk.

Baru sahaja dia angkat tangan. Tiba-tiba ada pengawal masuk ke dalam bilik itu dengan tergesa-gesa dan bersuara cemas. "Lord!! Kumpulan penentang menyerang istana!! Mereka mendapat pertolongan dari seorang perempuan. Kekuatan magiknya luar biasa!!!"


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Iqbal Rafiuddin