Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
101,846
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 11

"KAU marah aku ke sebab aku bawa kau balik tanpa berbincang?"

               "Mak yang suruh saya balik rumah awak. Habis tu takkan saya nak lawan cakap mak pula, kan?"

               Athar memandang wajah tegang Haura yang duduk bersebelahan dengannya sebelum pipi Haura dicubit. Haura mendesis akibat kejutan daripada Athar. Laju sahaja Haura mencubit lengan Athar yang ligat mencubit pipinya sehingga pedih. Athar ketawa melihat air muka Haura yang semakin tegang. Athar terhibur. Dia tahu, Haura protes kerana dibawa balik tanpa mereka berbincang telebih dahulu.

              "Sakitlah!"

              "Kalau aku tak buat macam tu sampai bila-bila kau diam tak nak bercakap," ujar Athar sambil mengusap kepala Haura yang berbalut dengan selendang. Benar kata Puan Suria. Haura boleh saja berbicara kalau dikeluarkan dari rumah orang tuanya. Isterinya itu benar-benar memerlukan suasana dan udara yang baharu.

              Buat seketika, suasana sepi. Haura hanya memandang sebuah rumah teres satu tingkat yang terpampang di hadapan matanya. Jadi, inilah rumah baharunya mulai hari ini. Tiba-tiba sahaja rasa sebu bertandang di lubuk hatinya. Teringat ketika dia dan keluarganya baharu berpindah ke sebuah rumah baru. Dialah yang paling teruja sekali. Namun kini semuanya sudah berubah. Kehilangan seorang ayah membuatkan Haura merasakan duniannya sudah tidak seceria seperti dahulu.

              "Tuan puteri nak makan apa hari ni? Hari ni tuan puteri duduk diam-diam je. Biar patik yang sediakan semuanya untuk tuan puteri," giat Athar untuk menghiburkan suasana.

                Haura memandang wajah Athar yang sedang tersenyum manis kepadaya. "Amin mana? Kenapa kita tak ambil Amin?"

               "Amin tu kalau boleh dia dah tak nak balik rumah ni dah. Kau jangan risaulah pasal Amin. Dia dah boleh selesakan diri dekat sana. Jangan kacau dia. Lagi pun, bolehlah kita berdua beramah mesra dalam rumah ni, betul tak? Inilah kali pertama kita berdua sahaja tanpa sesiapa. Aku dah tak nak buang masa jadi aku nak hargai masa aku dengan kau," ujar Athar seraya keluar dari kereta. Dia membuka bonet kereta mengambil dua buah bagasi.

              Kata-kata Athar serta merta membuatkan wajah Haura membahang panas. Tak semena-mena, jantungnya berdebar kencang. Seolah-olah ada makna sahaja di sebalik kata-kata suaminya itu. Namun, sedikit sebanyak usaha Athar untuk menyelamatkannya dari kesedihan membuatkan Haura senang hati. Meskipun kata-kaa Athar sering kasar namun ketenangannya membuatkan Haura rasa dilindungi. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Haura tidak mahu terus bersedih lagi. Dia perlu memberikan peluang kepada dirinya untuk teruskan hidup.

              "Maaflah kalau rumah aku berhabuk sikit. Dah dua minggu tak balik. Kau duduk dulu aku nak letak barang kat dalam bilik. Lepas tu, kita keluar pergi cari barang dapur. Okay?" ujar Athar sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam rumah.

               Pandangan Haura mula menerawang ke sekeliling rumah teres setingkat itu. Walaupun rumah itu lebih kecil berbanding rumah kedua orang tuanya, namun rumah itu masih tersusun rapi. Seolah-olah dia tidak mempercayai bahawa Athar yang bersikap baran dengan seorang adik istimewa bisa membuat sebuah rumah bersaiz kecil kelihatan kemas. Kemudian, Haura melangkah ke ruangan dapur pula. Lantainya kelihatan begitu licin tanpa sebarang minyak. Dalam diam dia memuji bahawa Athar memang rapi orangnya.

               "Maaflah kalau rumah aku ni kecil untuk kau. Ini saja yang aku mampu sediakan untuk kita. Tapi tak apa. Kalau kau nak rumah lagi besar, aku boleh kerja dengan lebih keras lagi dekat bengkel Hazrul tu supaya kau selesa," ujar Athar. Buat seketika, dia saling berpandangan dengan Haura. Tersimpul senyuman nipis di bibir Haura melihat riak wajah Athar yang kelihatan bersemangat.

              "Siapa kata saya tak selesa?"

               "Yalah. Kau lebih berharta berbanding aku. Aku risau kalau..."

                Athar kematian kata tatkala Haura memaut lengannya melangkah keluar dari rumah. Terkocoh-kocoh Athar mengikut langkah Haura. Segaris senyuman terukir di bibirnya tatkala wajah Haura sudah berubah manis seperti dulu. Athar benar-benar merindukan senyuman isterinya itu. Itulah pemandangan yang terindah bagi seorang Athar.

            "Saya dah lapar! Saya tak nak dengar awak cakap benda-benda merepek. Apa yang penting, saya bahagia dengan awak!" tegas Haura sebelum dia menjongketkan kakinya mengucup lembut pipi Athar. Semuanya secara spontan. Bahkan tindakannya itu mengundang padah tatkala degupan jantungnya sudah semakin kencang. Cepat-cepat Haura meluru masuk ke dalam kereta tatkala Athar jadi kejang. Dia tertawa kecil. Dia suka melihat reaksi Athar yang kaku itu.

CELOTEH Haura menjadi tumpuan utama Athar waktu itu. Melihat Haura kembali berceloteh membuatkan Athar senang hati. Kata-kata ibu mertuanya memang benar belaka. Itulah kuasa seorang ibu. Bisa mengetahui apa yang terbaik buat anaknya. Athar juga tidak menyangka bahawa ibu mertuanya itu merupakan seorang wanita yang kuat. Baru dua minggu kehilangan suami, Puan Suria sanggup berkorban untuk melihat anaknya kembali ceria. Membiarkan anaknya pulang untuk menenangkan jiwanya yang lara.

                "Awak suka makan apa?" soal Haura sebaik sahaja dia meletakkan barangan basah ke dalam troli.

               "Sambal petai."

                "Lagi?"

                "Ayam masak lemak cili api. Boleh dikatakan semua masakan pedas tu kegemaran aku."

                Haura kematian langkah tatkala jawapan Athar tidak memuaskan hatinya. Troli yang ditolak oleh Athar juga berhenti di hadapan Haura. Buat seketika, mereka saling berbalas pandangan. Athar menaikkan kening kirinya. Meminta penjelasan Haura yang tiba-tiba sahaja berhenti di bahagian minuman.

               "Saya tak pandai masak makanan kegemaran awak. Lagipun saya tak makan pedas. Jadi saya tak boleh rasa benda-benda yang pedas," ujar Haura. Dia sedikit kecewa kerana tidak mampu menyediakan makanan kegemaran suaminya itu.

               Tak semena-mena, Athar ketawa melihat wajah cemberut Haura. Kepala Haura yang berbalut dengan selendang diusap lembut seperti anak kecil. "Kau masakan aku apa saja aku akan makan. Jangan risaulah. Aku bukannya orang yang cerewet. Aku dah biasa hidup susah jadi kalau tak dapat tu aku tak kesah pun. Dah! Sekarang ni barang-barang ni dah cukup ke belum untuk kau?"

               "Dah!" jawab Haura seraya melangkah ke kaunter pembayaran. Ada nada tidak puas hati yang singgah menyapa halwa telinga Athar. Baru kali ini dia melihat sikap kebudak-budakan Haura. Melihat keadaan itu juga membuatkan bibir Athar tak lekang dengan senyuman. Meskipun baru sehari dia melihat Haura kembali berbicara, tapi reaksi demi reaksi yang ditunjukkan oleh isterinya itu benar-benar membuatkan Athar terhibur.

              "Tapi sebagai seorang isteri, nak tak nak saya kena jaga makan dan pakai awak dengan baik. Jadi, dah tanggungjawab saya untuk tunaikan permintaan awak. Saya kena belajar dari Fina kut untuk masak semua makanan kegemaran awak tu. Fina suka masak masakan pedas. Awak jangan risau, saya akan belajar untuk masak makanan kegemaran awak," kata Haura setelah dia puas berfikir. Mereka melangkah ke tempat parkir yang terletak di ruangan bawah tanah.

                "Okay. Aku tunggu. Menyengat ke tak masakan pedas kau."

                "Oh, awak cabar saya?" soal Haura sambil mengecilkan anak matanya. Laju saja Athar menjentik dahi Haura apabila Haura kembali membuat reaksi wajah yang mencuit hati.

                "Cabaran..."

                 Athar kematian kata tatkala pandangannya tertumpu ke arah tiga orang lelaki yang tiba-tiba sahaja menghampirinya. Wajah bengis ketiga-tiga lelaki itu dipandanganya satu per satu. Laju saja dia meletakkan barangan ke dalam bonet seraya menarik tangan Haura bersembunyi di belakangnya. Dia kenal tiga orang lelaki yang semakin laju menghampirinya saat itu.

                 "Masuk kereta sekarang," arah Athar seraya menolak lembut tubuh Haura. Lambat-lambat Haura menurut. Namun, langkahnya terbejat tatkala seorang lelaki berambut panjang menghalangnya dari memasuki kereta.

               "Tak sangka kau dah beristeri sekarang ni. Islamik pula tu. Cantik. Tak sangka kau dengan Aria boleh putus di tengah jalan. Lebih memilih ustazah ni berbanding perempuan..."

             "Kau orang berempat nak apa daripada aku?" pintas Athar. Segera dia mencengkam tangan Haura tatkala lelaki berambut panjang itu cuba mendapatkan isterinya.

                Melihat keadaan itu, Haura jadi takut. Seolah-olah bahaya berada di depan mata. Lebih-lebih lagi apabila tangan Athar semakin kuat mencengkam pergelangan tangannya. Siapa pula empat orang lelaki yang tiba-tiba menganggunya dan Athar tika ini? Dan siapa perempuan yang dikatakan oleh lelaki itu? Kenapa Haura sedikit cemburu mengenangkan hubungan percintaan Athar dan perempuan bernama Aria? Sungguh, sekali lagi kekeliruan menujah diri Haura.

               "Kau dah lupa ke kau tu siapa? Sekali kau masuk dunia gelap tu, selamanya kegelapan akan terus menjadi bayang-bayang kau. Ini, ada kiriman buat musuh yang kau dah belasah sampai lumpuh dulu!"

                Serentak dengan kata-kata itu, keempat-empat lelaki itu terus menyerang Athar. Serta merta, Athar terus membalas dengan tendangan demi tendangan. Memandangkan tangannya masih mengenggam tangan Haura, dia tidak mampu menghayunkan tumbukannya. Apabila tendangan tangkasnya menjatuhkan mereka, cepat-cepat Athar menolak lembut tubuh Haura masuk ke dalam kereta.

              "Kau kunci pintu ni dan call polis! Jangan takut. Kau pasang radio ni kuat-kuat. Selagi dia orang tak dapatkan aku selagi tu dia orang tak puas hati. Aku tak nak dia orang kacau hidup kita!" tegas Athar seraya menutup pintu kereta. Haura menurut. Terketar-ketar tangannya mendail nombor kecemasan. Apa lagi dugaannya hari ini? Dia baru sahaja mampu menguntumkan sebuah senyuman. Sekarang, dia didatangkan dengan sebuah ujian baru lagi. Apakah hidup Athar memang sering dalam keadan bahaya?

             Semakin kuat bunyi pukulan dan tempikan, semakin kuat juga rasa takut yang membelenggu diri Haura. Dari cermin sisi dia dapat melihat bahawa Athar masih cuba melawan penyerangnya meskipun sesekali lelaki itu rebah. Empat lawan satu itu tidak adil! Sesekali, bunyi hempasan di belakang bonet membuatkan Haura kaget. Volume radio lantas dikuatkan sebaik sahaja dia menghubungi pihak polis. Entah berapa lama Athar terus diserang pun dia tidak tahu.

               Tiba-tiba, bunyi ketukan di tingkap bertalu-talu kedengaran. Haura mendongak memandang tingkap kereta. Terpampang wajah Athar di depan matanya. Cepat-cepat Haura membuka kunci kereta seraya memeluk erat tubuh Athar. Beberapa orang pegawai polis yang berjaya menangkap penyerang itu Haura tak endahkan. Dia terus-terusan mengogoi dalam pelukan suaminya itu. Sungguh, dia takut. Haura benar-benar tidak mahu kehilangan seseorang lagi dalam hidupnya.


Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa