Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
102,279
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 7

APABILA langkahnya semakin menghampiri sebuah kafe, Athar sengaja melambatkan langkahnya. Bunga mawar merah yang berada di tangannya digenggam erat. Seerat rasa bersalahnya kerana membuatkan Haura berang. Sudah seminggu kejadian itu berlalu. Athar tidak rela membiarkan gadis itu marah lama-lama. Panggilan dan mesej daripadanya juga Haura tidak jawab. Persoalan demi persoalan sering menujah fikiran Athar mengenai Haura. Adakah gadis itu sihat? Adakah gadis itu masih marah dengan kejadian beberapa hari yang lalu? Adakah Haura berada dalam keadaan yang selamat? Tatkala itu juga Athar sedar suatu hal berkaitan hati dan perasaannya. Tiada lagi kekeliruan dalam diri Athar apabila dia sedar bahawa hatinya sudah dimiliki oleh gadis itu.

              "Boleh tak jangan paksa-paksa? Kalau orang kata tak nak tu maksudnya tak nak!" suara tegas Haura yang menyapa telinga Athar membuatkan langkahnya kembali laju. Takut kalau-kalau sesuatu yang tak diingini berlaku pada gadis itu.

              "Sampai bila awak nak tolak saya? Kenapa? Awak dah ada orang lain ke?" soal Ridhwan sebelum tangannya automatik mencengkam pergelangan tangan Haura sebagai penegasan. Dia benar-benar serius dengan gadis itu.

             "Tak ada peluang untuk awak lagi, Ridhwan! Awak dah beristeri. Saya takkan sakiti wanita lain untuk kepentingan diri saya! Sudahlah! Lepaskan saya boleh tak!" tengking Haura. Dia cuba melepaskan tangannya dari genggaman Ridhwan yang ketat. Mujur sahaja waktu itu kafenya hampir tutup memandangkan jam sudah menginjak ke angka 10 malam. Dia tidak mahu pelanggan menyaksikan kejadian saat ini.

              "Saya..."

             "Kalau dia kata dia tak nak tu buat apa kau nak paksa-paksa? Lepaskan dia!" bidas Athar seraya menarik pergelangan tangan Ridhwan yang sedang mencengkam tangan Haura. Akibat kejutan, tangan Haura terlepas daripada genggaman lelaki berkaca mata itu.

             Buat seketika, Athar dan Ridhwan saling berpandangan. Masing-masing dengan pandangan yang tak puas hati. "Kau siapa?"

           "Suami Haura. Kenapa? Kau ada masalah dengan isteri aku ke?" soalan dibalas dengan soalan. Senyuman sinis terukir di bibir Athar tatkala wajah Ridhwan berubah kaget.

          "Suami? Betul ke apa dia cakapkan itu Haura?"

           Haura tergamam dengan soalan daripada Ridhwan. Sungguh, dia benar-benar kaget dengan kedatangan Athar tanpa diundang. Lebih-lebih lagi apabila Athar tiba-tiba mengatakan bahawa dia merupakan isteri kepada pemuda itu. Apa lagi yang cuba dilakukan oleh Athar kali ini? Namun, tidak dapat dia sangkalkan bahawa kedatangan Athar membantunya melepaskan diri daripada Ridhwan. Si bekas tunang yang seolah-olah gila talak kerana menginginkannya semula.

         "Kenapa awak diam?"

        "Awak nak sibuk hal saya kenapa?!"

          Ridhwan ketawa sinis dengan ketegasan Haura. Wajah Haura dan Athar dipandang silih berganti sebelum dia menendang meja yang sudah disusun oleh pekerja Haura. Terhinggut bahu Haura dengan amukan Ridhwan. Namun, Haura tetap memberanikan dirinya memandang wajah Ridhwan dengan mimik muka yang penuh dengan ketegasan. Kenapalah hidup Haura sering ditemukan dengan lelaki bersikap baran?

         "Kau tunggu apa lagi? Silakan keluar dan jangan berani tunjukkan muka kau depan aku lagi! Kalau aku dapat tahu yang kau kacau Haura lagi, aku tak akan teragak-agak patahkan kaki kau!" tegas Athar. Nada yang penuh dengan autoriti kedengaran begitu jelas.

         "Oh ya? Kita tengok, kau boleh ke bahagia dengan isteri kau itu! Satu benda aku nak kau tahu... Haura tu bekas tunang aku. Jadi aku dah rasa kasih sayang dia terlebih dahulu berbanding kau!" ejek Ridhwan seraya melangkah keluar dari kafe itu. Dia benar-benar rasa tercabar dengan ugutan daripada Athar.

        Haura mengeluh berat tatkala Ridhwan hilang dari pandangannya. Dia mengangkat semula kerusi yang telah dijatuhkan oleh lelaki itu. Namun, tangan Athar yang singgah membantunya membuatkan pergerakannya terbantut. Buat seketika, mereka saling berpandangan. Sejambak bunga mawar merah dihulurkan kepada Haura. Gadis itu hanya buat tak endah seraya mengangkat sebuah lagi kerusi.

        "Kau marah aku lagi?"

         Diam.

         "Aku minta maaf. Aku tak dapat nak kawal kemarahan aku hari tu. Aku cuma tak suka orang hina adik aku. Apa yang orang tu cakap dah keterlaluan bagi aku," kata Athar lagi. Lembut sahaja tutur bicaranya di pelupuk telinga Haura.

         "Haura... kau tak nak berkawan dengan aku lagi ke? Kau tak kesiankan Amin? Dia rindukan kau. Dah lama sangat kita tak jumpa. Bila kami datang ke kafe kau, pekerja kau kata kau tak ada," tambah Athar lagi.

          Tatkala pujukan demi pujukan singgah menyapa halwa telinganya, ketika itu juga hati Haura terpujuk dengan kemarahannya ke atas Athar. Namun, dia masih mahu memberikan pengajaran kepada lelaki itu. Biar Athar tahu bahawa Haura memerlukan seseorang yang bijak mengawal emosi. Tanpa pamit, Haura meluru masuk ke dalam pejabatnya. Melihatkan itu, Athar semakin serba salah. Dia membuntuti Haura dari belakang.

        "Haura..."

        "Saya dah jumpa sekolah yang sesuai untuk Amin. Hari tu awak ada tanya saya kan tentang perkara ini. Ini kad nama institusi khas menempatkan remaja istimewa macam Amin. Awak bawalah Amin ke sana," pintas Haura seraya menghulurkan kad nama sebuah institusi kepada  Athar. Lambat-lambat Athar menyambut kad nama yang dihulurkan oleh gadis itu.

      "Saya dah nak tutup kafe ni. Awak baliklah dulu. Nanti awak pujuk Amin baik-baik supaya dia nak ke sana. Awak jangan risau. Cikgu-cikgu kat sekolah tu semua akan jaga Amin dengan baik. Selain tu Amin akan terima pendidikan secara formal. Dia akan diajar kemahiran..."

       "Kau memang nak buang kami daripada hidup kau ke? Kau faham tak sekarang ni Amin nak jumpa kau. Dia rindukan kau. Kalau kau nak marah aku, silakan. Tapi tolonglah jangan libatkan Amin," pintas Athar. Dia merasakan bahawa Haura tidak mahu berhubungan dengannya lagi. Tidak. Bukan itu yang dia mahukan! Dia mahu Haura sentiasa ada buat dia dan Amin.

         Omongan Athar membuatkan Haura sedikit terkilan. Raut wajah Athar yang kelihatan bersalah ditatap dalam-dalam. Perkataan 'rindu' yang diujarkan oleh Athar terngiang-ngiang di halwa telinganya sehingga menjentik tangkai hatinya dengan rasa sebu. Lemahnya dia. Melihat kehidupan Amin dan Athar benar-benar melemahkan seorang Haura.

        "Awak nak apa sebenarnya daripada saya? Saya dah tolong..."

        "Aku nak kau! Aku nak kau selalu ada untuk Amin. Amin suka berkawan dengan kau. Dia selesa dengan kau berbanding orang lain. Aku cuma nak kau tolong aku tengok-tengokkan Amin dan tolong aku pujuk dia supaya dia terima untuk masuk ke institusi tu. Aku minta maaf. Aku dah kecewakan kau. Tapi aku masih perlukan kau untuk bantu aku sebab aku..."

         Jeda.

        Athar mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Haura. Satu kata ini akan mengubah semuanya barangkali. Ya, kata yang datang dari dinding hatinya. Dia tahu masanya akan berakhir. Dia harus cepat sebelum dia menyesali kalau dia tidak sempat berkata mengenai perkara ini. "Aku sukakan kau, Haura. Aku nak kau selalu ada dalam hidup aku. Aku tahu aku tak layak untuk kau. Tapi aku betul-betul... perlukan kau dalam hidup aku," luah Athar. Ketika itu, jantungnya sudah berdegup kencang. Seolah-olah dia baru habis berlari marathon sahaja.

          Tatkala luahan itu dituturkan, ketika itu juga Haura bungkam. Tiada perkataan yang mampu dikeluarkan daripada mulutnya. Pandangan Athar bersama dengan senyuman nipis lelaki itu membuatkan hatinya jadi libang-libu. Dia keliru tentang perasaannya sendiri. Dia tidak pernah sesekali menyimpan rasa buat Athar. Apa yang Haura tahu, dia hanya mahu memberikan peluang kepada Athar dan dirinya. Dia mahu menyenangkan ayahnya bahawa akan ada seorang lelaki yang bisa melindunginya. Jadi, ayahnya tidak perlu khuatir lagi.

         "Haura. Aku minta maaf..." kata-kata Athar terhenti tatkala dia terasa ada cecair yang sedang mengalir dari rongga hidungnya. Laju saja kura tangannya mengusap cecair itu. Cepat-cepat Athar menyambar sapu tangan di kocek seluarnya untuk mengelap cecair merah yang seolah-olah menderas laju.

         Melihat keadaan Athar membuatkan Haura kaget. Dia menghampiri lelaki itu. Saat mata mereka saling bertatapan saat itu juga Haura mula berasa khuatir melihat air muka Athar yang tiba-tiba berubah. Seolah-olah pemuda itu sedang menanggung sakit.

      "Kenapa dengan awak? Awak tak sihat ke? Saya hantarkan..."

        Athar menggeleng sambil menadah tangannya di hadapan Haura. Perlahan-lahan, dia melabuhkan duduk di kerusi berhampiran. Merehatkan dirinya buat seketika waktu. Haura meluru ke dapur untuk membawakan segelas air buat pemuda itu. Tuala dan ketulan air turut disambar sebelum Haura duduk bersebelahan dengan Athar. Usai membalut ketulan ais dengan tuala, Haura menghulurkan kepada Athar. Lambat-lambat Athar menyambut seraya bersandar ke belakang kerusi.

        "Kau patut maafkan aku. Aku dah nak mati kau tahu tak," kata Athar. Dia ketawa kecil bagi menghiburkan Haura yang kelihatan tegang.

         "Apa awak merepek ni! Kalau awak tak sihat, saya boleh tolong bawakan awak ke hospital. Athar..."
         

         "Kalau kau maafkan aku baru aku sihat," pintas Athar sambil menuam ais ke hidungnya. Pandangannya bersatu lagi dengan Haura.

           Melihatkan Athar yang masih berseloroh membuatkan Haura jadi sebu. Muka pucat Athar ditatapnya dalam-dalam. Entah mengapa hatinya sebak melihat keadaan Athar. Tak semena-mena, setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Bibirnya menggeletar menahan tangis. Lantas, Haura tertunduk sambil menekup mulutnya dengan tangan. Kenapa dia sebak? Aneh!

          "Aku berguraulah. Lah, kau menangis kenapa? Semuanya baik-baik saja. Kau janganlah risau. Mungkin aku penat sangat sebab tu hidung aku berdarah. Dah! Kau menangis aku tambah bersalah sakitkan kau. Aku tak nak sakitkan orang yang aku sayang, faham?" pujuk Athar. Sekali lagi, kata sayang diujarkan kepada Haura. Laju sahaja mulutnya menuturkan kata sayang yang terzahir buat seorang Haura itu.

            "Awak sayangkan saya?" soal Haura. Nada suaranya yang bergetar kedengaran begitu sayu di halwa telinga Athar.

             Athar tersenyum melihat wajah Haura yang tidak mahu memandangnya. Kalau saja dia mati. Dia mahu mati di dalam pangkuan Haura. Dia mahu mati sambil Haura menenangkannya menghadap sakaratul maut. Mungkin ini permintaan yang mementingkan diri sendiri. Namun, setiap tingkah Haura sering menenangkan Athar.

           "Kau maafkan aku?"

           "Awak perlukan saya dalam hidup awak?"

             Athar ketawa dengan soalan daripada Haura. Dia mengangguk sebelum menjatuhkan tangan yang ligat menuam ais ke hidungnya. "Aku perlukan kau untuk tolong aku jaga Amin. Aku perlukan kau untuk jadi penenang aku bila aku baran. Aku minta maaf pasal tempoh hari. Aku sedar yang aku patut kawal baran aku. Aku janji, Haura. Aku janji aku takkan baran lagi supaya kau terima aku dalam hidup kau."

             Saat kata-kata itu diujarkan oleh Athar, saat itu juga segaris senyuman terukir di bibir Haura. Dia tarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Air matanya dikesat lembut. Dia senang hati dengan janji yang ditaburkan oleh Athar. Dia mahu memberikan peluang kedua kepada mereka lagi. Dia yakin, Atharlah lelaki yang layak menjadi pendamping hidupnya. Walau seburuk mana sekalipun sikap Athar, Haura tahu masih ada sisi kebaikan dalam diri lelaki itu. Buktinya sudah ada di depan mata. Athar masih mementingkan Amin dan melindungi adiknya itu walaupun pengakhirannya dia akan ditimpa dengan masalah.

p:s//: terima kasih kerana sudi membaca karya ini ^_^. Nak baca bab selanjutnya dengan lebih cepat... jemputlah datang melawat wattpad saya https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa