Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
102,202
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 1

SESEKALI, Haura memandang wajah si pemandu yang kelihatan tegang. Beg yang berada dalam pelukannya dipeluk erat. Kelajuan kenderaan yang seolah-olah tidak dapat dikawal itu membuatkan dia gerun.Tiba di sebuah lampu isyarat, Haura tersentak ke hadapan apabila si pemandu memijak brek secara mengejut. Debaran kuat semakin mengetuk dinding hatinya.Bahkan, dia dihurung dengan seribu persoalan mengenai keadaan dingin yang sedang berlaku kepadanya ketika ini. Ada apa dengan mereka? Apa yang telah dia lakukan sehingga mencetuskan sebuah ketegangan? Bagaimana dengan nasib hubungan mereka seterusnya? Semakin banyak persoalan yang bermain di benak fikiran Haura, dia semakin pusing.

            “Kau tunggu apa lagi?!”

            Haura kembali tersedar apabila suara si pemandu menerjah ke dalam telinganya. Dia mengalihkan pandangan ke wajah si pemandu yang sedang membuka pintu kereta buatnya. Wanita itu terpinga-pinga melihat persekitaran yang tak asing lagi dalam hidupnya. Mengapa dia tiba-tiba dihantar pulang ke rumah kedua orang tuanya? Belum sempat Haura menjawab, tangannya terus ditarik kasar oleh si pemandu sebelum tubuhnya ditolak kasar ke dinding halaman sebuah rumah teres. Haura tercengang dengan perilaku kasar lelaki berwajah bengis di hadapannya saat itu.

            “Apa masalah…”

            Sekali lagi, belum sempat Haura menghabiskan ayatnya, sebuah beg berisi pakaian dilempar ke wajahnya. Buat seketika, Haura dan Athar saling beradu pandangan. Masing-masing dengan emosi yang berselirat di sebalik anak mata mereka. Sungguh, Haura tiba-tiba sebak melihat pandangan Athar yang penuh dengan kemarahan. Apa kesalahan yang dia lakukan sehingga Athar berubah juga dia tidak tahu.

            “Mulai hari ni… kita tak payah hidup sebumbung lagi. Aku tak nak tengok muka kau dalam hidup aku lagi. Aku akan failkan cerai ke atas kau. Jadi, kau tak payah susahkan diri kau untuk hadap baran aku lagi. Mulai hari ni, kau dengan hidup kau dan aku dengan hidup aku! Jangan masuk campur urusan aku lagi. Faham?” tegas Athar.

            Tak semena-mena, kata-kata Athar itu seolah-olah halilintar yang menyambar tubuh Haura. Dia kejang. Bibirnya menggeletar ingin mengatakan sesuatu. Namun semuanya kaku. Kata-kata Athar benar-benar meluluhkan sekeping hati wanita Haura. Setelah apa yang mereka bina selama ini akhirnya hancur hanya dalam satu malam sahaja. Dalam keadaan dia tidak tahu kesalahan apa yang telah dialakukan, Haura tidak rela!

            “Dengar sini baik-baik… Haura Ilyana binti Mahmud… aku…”

            “Athar!”

            Laungan suara yang kuat mematikan kata-kata keramat Athar. Dia segera memandang seorang wanita separuh umur yang sedang meluru ke arahnya dan Haura. Jelas, wajah wanita itu tampak tegang. Seolah-olah menyimpan kemarahan yang tersimpul selama ini. Pengakhirannya, kemarahan itu dilepaskan kepada Athar apabila pemuda itu mendapat satu tamparan kuat daripada ibunya Haura.

            “Apa yang kamu cuba buat pada anak mak? Apa salah dia?! Anak mak ni bukan sampah yang sesuka hati kamu saja nak buang dia!” jerkah Puan Suria sekuat hati. Melepaskan beban melihat air muka anak perempuannya yang kelihatan sayu.

            “Maaf mak. Athar tak buang dia. Athar cuma nak pulangkan dia pada mak secara baik. Athar dah tak nak anak mak ni lagi. Athar…”

            “Apa salah saya?”

            Haura tiba-tiba bersuara. Jelas, nada suaranya kedengaran bergetar di pelupuk telinga Athar dan Puan Suria. Buat seketika, pasangan itu saling berpandangan. Melihat tubir mata Haura yang mula bergenang dengan air mata membuatkan Athar tersentak. Bersalah. Ya, dia bersalah menyakiti sekeping hati wanita yang sudah menjadi suri dalam hidupnya. Bukan ini yang Athar pinta. Berpisah dengan pujaan hatinya. Namun, pilihan apalah yang dia ada saat masanya hampir tamat?

            “Kenapa awak diam? Jawablah apa salah saya sampai awak buat saya macam ni? Saya masak tak sedap ke? Saya tak layan awak baik-baik ke? Saya dah tak cantik lagi? Saya degil sangat ke?” bertalu-talu soalan yang dilemparkan oleh Haura kepada suaminya. Ketika ini, air matanya sudah tak dapat ditahan lagi. Air mata yang mengalir ke pipinya semakin deras. Seolah-olah melepaskan semua yang dipendam selama dia menerima layanan dingin Athar.

            “Kau tak ada salah. Tapi kita tak berjodohan lagi…”

            “Senangnya awak cakap lepas awak berjanji dengan saya. Awak berjanji dengan arwah abah yang awak akan jaga saya sampai nafas awak yang terakhir! Sekarang apa? Awak nak mungkiri janji? Apa salah saya Athar?!” bidas Haura. Dadanya semakin terasa sesak melihat wajah Athar yang seakan-akan tidak terkesan dengan kesedihannya tika ini. Apakah dia harus kehilangan seseorang yang disayangi lagi? Sungguh, Haura lelah. Belum lagi reda dengan sebuah kehilangan kini dia kehilangan lelaki yang sering menjadi pelindungnya pula.

            “Maafkan aku. Maafkan Athar, mak. Athar bukan yang terbaik untuk anak mak. Athar pulangkan isteri Athar semula. Hubungan ni… Athar tak mampu pertahankannya lagi. Anak mak dah cukup sempurna untuk Athar. Cuma Athar tak mampu nak tipu hidup kami lagi, mak. Maafkan Athar,” ujar Athar sebelum pamit. Tangisan Haura seolah-olah runut bunyi sedih di gegendang telinga Athar. Ingin sekali dia memberikan kehangatan namun dia nekad dengan keputusan yang sudah dibuatnya. Mereka harus berpisah.

            Tanpa berlengah, Haura meluru ke arah Athar seraya berdiri membelakangi pintu kereta. Menahan lelaki itu dari pergi. Kepalanya digeleng-geleng menghalang Athar dari meninggalkannya. Dia tidak tega untuk berpisah. Buat seketika, mereka saling beradu pandangan. Esakan Haura yang semakin kuat membuatkan hati Athar jadi sebu. Keluhan berat dilepaskan sebelum dia menolak lembut tubuh Haura. Namun, isterinya sengaja mengeraskan tubuh. Menghalangnya dari pergi.

            “Jangan tinggalkan saya. Saya merayu… tolong jangan tinggalkan saya.”

            “Haura…”

            “Tolonglah Athar. Saya janji saya akan jadi isteri yang baik untuk awak. Saya perlukan awak dalam hidup saya. Tolonglah saya merayu jangan…”

            “Aku dah tak cintakan kau lagi. Buat apa kita nak terus bersama kalau aku dah tak cintakan kau lagi, kan? Jangan paksa aku untuk teruskan hubungan ni lagi. Aku minta maaf. Aku dah tak mampu nak menipu lagi,” ujar Athar sambil mengusap lembut kepala Haura. Suaranya yang sudah kedengaran lembut membuatkan Haura tersentak. Tubuhnya benar-benar terasa lembik dengan setiap bait kata daripada Athar. Anak mata Athar yang redup juga kelihatan kosong. Tiada lagi pandangan yang penuh dengan rasa cinta seperti dulu.

            “Athar…Athar… awak dah lupa ke apa yang kita pernah janjikan dulu? Athar... saya cintakan awak...” dan sepeninggalan Athar, bibir Haura tak putus-putus menyebut nama lelaki itu sambil menghantar pemergian Athar dengan pandangan yang semakin kabur dengan air mata. Ketika itu, Haura merasakan dunianya semakin gelap.Terimbas di ingatan setiap kenangan di antara dia dan suaminya. Kepalanya masih tergelang-geleng menidakkan perkara yang sudah berlaku di antara dia dan Athar. Bukan ini yang dia mahu!

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa