“KAK
LONG!”
Bella Amira memeluk erat susuk
ramping Diana, kakak sulung Rizqi yang menyambutnya di pintu. Manakala Riza dan
Belina pula sudah berlari masuk ke dalam rumah sebaik sahaja kelibat
sepupu-sepupu mereka, Haziq dan Natasya kelihatan menggamit di belakang ibu
mereka.
Rizqi dibiarkan sendirian
mengeluarkan beg-beg milik Bella dan anak-anak. Perang dingin yang entah ke
berapa kali telah tercetus tadi dan masih lagi berlanjutan sehingga mereka
sampai di rumah ibu Rizqi. Sungguh Rizqi akui, Bella bukan wanita yang mudah
untuk dimanjakan!
“Belle! Alhamdulillah dah selamat
sampai. Kak Long risau Belle dan anak-anak naik kapal terbang. Dari tadi asyik
tengok televisyen je pasal nahas kapal terbang kat Surabaya tu. Lain kali,
jangan naik flight dah tau!” pesan
Diana panjang lebar. Sambil-sambil itu matanya menjeling pada Rizqi yang sibuk
mengangkat beg masuk ke dalam rumah.
Bella yang perasaan akan pandangan
Diana hanya tersenyum sinis. “Biarkan dia. Orang nak kahwin ni kena rajin
sikit,” kata Bella selamba.
“Rizqi dah beritahu tak?” tanya
Diana tiba-tiba. Bella ditarik ke tangga dan terus naik ke kamar miliknya.
Pintu kamar ditutup rapat.
Bella kebingungan. “Beritahu apa?”
“Perempuan tu!” jawab Diana dengan
matanya yang terbuntang luas. Mereka berdua membuka sesi gosip ahli mesyuarat
tingkap seperti biasa.
“Kay? Kan Belle memang dah tahu dia
nak kahwin. Malam ni dia nak kenalkan dengan kita semua,” balas Bella sambil
menjungkitkan keningnya. Dia tidak faham dengan apa yang cuba Diana tuturkan
kepadanya.
“Taklah! Dia tak beritahu ke yang
dia nak kahwin Sabtu ni?”
Mata Bella pula yang hampir
tersembul keluar. Dia nak kahwin dalam masa tiga hari lagi? Amboi!
“Tak pun.” Bella menjawab dengan nada biasa-biasa.
Tidak dipertontonkan perasaan terkejutnya yang luar biasa tadi.
“You have got
to see her! Dia memang cantik, lemah lembut… macam perempuan Melayu
terakhir kecuali pada wajahnya. Dia ada chinese
mix sikit.” Diana cuba menguji hati wanita Bella. Masih cemburu? Ataupun
Bella sudah lama tinggalkan sisa kenangannya bersama Rizqi?
“Really?”
Bella tersenyum sinis. “Baguslah. Memang sesuai dengan Rizqi, kan?”
“Belle… memang tak jealouslangsung?” tanya Diana bagai tak
percaya.
“Buat apa nak jealous?” Bella mula rasa tersesak dengan pertanyaan Diana. Dia
bangun ke kamar mandi sambil mencapai tuala di pencangkuk. “Pinjam baju you,
Diana. Baju I dalam beg tu semua kotor!”
“Belle! Rizqi, ex-husband Belle nak kahwin tau! Belle tak jealouslangsung?” Diana masih dengan pertanyaannya. Dia tidak
mengendahkan pertanyaan Bella sebentar tadi.
“Come on
Diana! Buat apalah I nak jealous.
Kan I dengan Rizqi dah tak ada apa-apa. Hubungan kami cuma kawan dan sebagai
ayah dan ibu kepada Riza dan Belina. Itu aje! Biarlah dia nak kahwin dengan
siapapun. As long as perempuan tu
baik dan tak akan dera anak-anak I. Titik!” jelas Bella Amira dengan penuh
keyakinan. Bicaranya melebih kapasiti diri yang sebenarnya tak seberapa. Bukan
mudah dia nak menangkis dilema dan perasaan. Tapi dia kini harus berpijak pada
bumi yang nyata. Antara dia dan Rizqi, mereka tiada apa-apa.
“I pinjamkan you baju I yang paling
cantik,” jawab Diana setelah berjeda dua saat. Bibirnya diketap kuat sambil
matanya kuyu memandang lantai. Memang susah dia nak menerima hakikat bahawa
Bella bukan lagi isteri Rizqi. Kini dia bakal menerima adik ipar baru pula.
“Thanks!”
balas Bella sambil melangkah masuk ke dalam kamar mandi.
***
MOTIF
floral pada kemeja putih yang dipakai Bella Amira menaikkan seri keremajaannya
seperti umur 20-an dulu. Bak kata Diana sebelum dia keluar dari kamar tadi,
Bella adalah ‘hot mama’ yang
setanding dengan Erra Fazira dan Rita Rudaini yang masih lagi jelita. Punya
karier dan anak-anak comel yang sedang meningkat besar, status janda yang
dipegangnya bukanlah suatu masalah.
Sebaik sahaja Bella melintasi ruang makan,
matanya tertancap pada susuk tubuh yang sedang sibuk menyusun pinggan dan
kutleri di meja makan. Gadis itu dari arah belakang kelihatan lemah lembut dan
begitu teliti dalam melakukan kerjanya. Tangan halus mulusnya mengelap pinggan
satu persatu dengan perlahan dan berhati-hati. Saat tubuh gadis itu hendak
berpaling ke arah hadapan, Bella bingkas bergerak ke dapur.
“Assalamualaikum Puan Fauziah!”
Bella memeluk tubuh bekas ibu mertuanya erat. Wanita tua yang berusia 60-an itu
hampir-hampir terlepas senduk kayu yang dipegangnya.
“Waalaikumussalam Belle! Ya ALLAH,
terkejut mak!” jawab Fauziah sambil menghela nafas panjang. Api dapur dimatikan
dan tubuh Bella didakapnya kuat.
“Mak masak apa?” Bella meleraikan
pelukan. Dijenguk ke periuk yang masih bertenggek di atas dapur. Asam pedas!
“Adalah sikit-sikit menu kegemaran
Belle, Rizqi, budak-budak ni, Diana dan….” Fauziah tersenyum nipis. “Kay,”
jawabnya perlahan seperti berbisik.
Bella mengangguk-angguk. Memang
semua orang kena berjaga-jaga dalam menyebut nama ‘Kay’ di hadapannya, ya?
“Belle dah jumpa Kay?” Fauziah
memberi penekanan halus pada nama ‘Kay’. Takut-takut Bella tidak senang dengan
perkahwinan kedua anaknya, Rizqi.
“Belum. Yang dekat ruang makan tu…
rambut panjang ikat satu tu dia, kan?” Bella memberi gambaran figuratif kepada
Kay yang belum dia terlihat wajahnya.
“Iya… Kaylah tu! Marilah mak
kenalkan dia dengan Belle. Boleh buat kawan, kan?”
Bella tersentak mendengar bicara bekas ibu
mertuanya. Buat kawan? Like seriously,
mak? Hatinya mengejek.
Tangan Bella ditarik laju. Ruang
makan yang tadi kosong sudah penuh dengan tawa riang anak-anaknya dan anak-anak
Kak Long, Rizqi, Kak Long dan juga perempuan itu, Kay. Bella hanya tercegat di
hadapan muka ruang makan sebaik sahaja matanya terpandang akan Kay. Perempuan
muda yang berambut lurus. Pipinya mulus dan bibirnya nipis memerah secara
natural tanpa mekap. Senyumannya manis namun ada sedikit kekasaran pada hujung
pandangan matanya yang Bella sangka sebagai sikap defensive yang dimiliki Kay.
“Belle, marilah….” Fauziah terus
menarik tangan Bella lagi dan membawanya duduk di kerusi bertentangan dengan
Kay dan bersebelahan dengan Rizqi yang duduk di hulu meja.
Bella masih terdiam tanpa bicara.
Senyuman dibuat-buat untuk mempamerkan rasa hormatnya pada Kay. Tak baik pula
nak bermasam muka dengan orang yang memang tiada salah dengan kita. Dia ada
hak, Bella. Rizqi ada hak nak berkahwin dengan siapa-siapa. Manakala Kay, dia
tidak bersalah dalam permasalahan hati yang dimiliki Bella kini.
“Emm, Belina, Riza…. Papa nak
kenalkan… ini Mak Cik Kay. Bakal ibu tiri Riza dan Belina,” kata Rizqi
tersekat-sekat. Dia gementar dengan pandangan anak-anaknya terhadap Kay.
Takut-takut mereka membenci calon isterinya.
Riza dan Belina saling menatap wajah
Bella dengan mata berkedip-kedip. Tidak faham apa maksud ayah mereka mengenai
ibu tiri. Mereka mahukan penjelasan dari Bella.
“Riza dan Belina dah salam Mak Cik
Kay?” tanya Bella. Perasaannya kini jadi tak keruan. Nak jelaskan apa dengan
budak-budak ni? Ah sudah!
Kedua-dua anaknya menggeleng.
“Pergi cepat!” arah Bella lembut
tapi tegas.
Belina dan Riza terkocoh-kocoh
berlari ke arah Kay yang masih tersenyum manis. Mereka berdua menyalami Kay
dengan santun dan Kay nampak tenang apabila berhadapan dengan kanak-kanak
tersebut. Dia tidak melihatkan ciri-ciri wanita yang membenci kanak-kanak.
Malah dia bertindak mesra dengan menguis rambut Riza lembut dan mencium pipi
Belina manja. Kelakuan Kay membuatkan hati Bella Amira sedikit tersentuh.
“Mak Cik Kay nanti akan tinggal
dengan papa lepas papa kahwin nanti. Belina dengan Riza berkawanlah tau dengan
mak cik,” sambung Rizqi lagi setelah anak-anaknya pulang ke tempat duduk
mereka. Hatinya lega sedikit. Kini ada lagi satu masalah.
“And…
Kay, yang ini Bella Amira. Kami semua panggil dia Belle, bekas isteri saya,”
ujar Rizqi dengan berhati-hati dalam menyebut perkataan ‘bekas isteri’.
“Oh Bella?” Kay bersuara manja.
“Rizqi banyak cerita pasal awak dekat saya. You
are such a good mother. Saya Kaylina. Boleh panggil Kay,” sambung Kay lagi.
Tangannya dihulurkan panjang untuk menyalami Bella.
‘Banyak cerita pasal awak? Cerita
apa?’ desis hati Bella curiga. Tangannya perlahan-lahan diangkat untuk membalas
salaman Kay. Sambil itu matanya tertancap pada pergelangan tangan Kay yang
mempunyai parut coklat bergaris panjang.
Sebaik sahaja tangan kedua-duanya
melekat, Bella Amira terasa gegaran aneh sedang mengalir dari tangan Kay ke
tangannya dan kemudian naik terus ke atas kepalanya. Mata Bella bertukar menjadi
putih serta merta.
Imbasan hitam putih mula menerjah ke
minda Bella. Senyuman seorang wanita berbibir nipis dan kemudian pandangannya
bergerak ke arah tangan wanita itu. Kelihatan sebilah pisau tajam bergerigi.
Pisau itu berlumuran darah!
Telinga Bella pula dihantui bunyi
jeritan kanak-kanak bersahutan-sahutan. Ia seakan-akan suara Belina dan Riza.
Kemudian suara garau menerjah kuat ke telinganya lagi. Kali ini memanggilnya
kembali ke alam nyata.
“Bella Amira!” sergah Rizqi.
Kerusi Bella tertolak ke belakang
dengan sendirinya sehinggakan kepalanya terhentak ke kabinet kayu yang
bersandar pada dinding. Bella jatuh pengsan dari kerusi yang diduduki.