Home Novel Thriller/Aksi CATUR
CATUR
#mystrill
21/11/2019 21:23:18
34,086
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
GINCU merah dioles tipis di bibirnya yang mugil. Bedak compact turut ditepek di kedua-dua belah pipi setelah menyapu bedak asas. Itu sudah cukup memadai buat menutup segala cela di wajahnya.

    “Dah siap.” Syafiqa tersenyum senang. Selendang hitam di kepala dibetulkan sedikit.

    “Woi, apa lama sangat ni?” tegur Syafiyya sambil bercekak pinggang ala-ala model di depan pintu. Matanya tajam merenung gadis itu dari atas ke bawah.

    “Patutlah lama. Bersolek pun dah macam gaya mak datin. Pakai baju pula macam nak pergi dinner. Hei, kitakan nak pergi melawat orang meninggal. Kenapa nak pakai lawa sangat ni. Ayah marah nanti baru tahu.”

    Syafiqa mencebik. Sikit-sikit sebut nama ayah. Kalau mereka tengah gaduh pun nama ayah mesti disebut Syafiyya! Syafiyya ingat dia takut ke, ha! Padahal, dirinya memang takut pun… Baru dengar perkataan‘ayah’ aje, terus kaki Syafiqa menggeletar habis!

    Wajahnya dipaling ke kiri. Syafiqa tersenyum sinis. Mana boleh dia kalah!

    “Emmm… Haruslah pakai lawa-lawa. Lagi-lagi depan abang Hadi. Kenapa kau angin sangat ni? Cemburulah tu. Yalah, abang Hadikan lebih sayangkan aku. So, kau terasa hati lah ni, kan?”

    Syafiyya menjeling tajam.

“Hadi? Buat apa dia datang, Cik Iqa oi. Hadi bukannya ada pertalian darah dengan Tok Mah. Kenal pun tak.”

“Hish, kau ni, Sya. Takkan tak faham lagi kut. Nenek Iqa, nenek abang Hadi juga. Nenek abang Hadi, nenek Iqa juga. Mestilah dia datang.” Gadis itu tersenyum girang.

    “Whatever! Cepatlah turun, ayah dah bising tu.” Sekelip mata, Syafiyya sudah menghilang dari sebalik pintu.

    Dia tersenyum puas. Yep! Jarang sekali Syafiyya pergi tanpa membalas kata-katanya. Mungkin juga kerana gadis itu sedang bersedih. Tok Mah kesayangan mereka telah menghembuskan nafas yang terakhir tepat jam 6.00 pagi tadi. Bukan Syafiqa tidak terasa akan kehilangan tersebut. Tetapi, itulah yang terbaik buat arwah Tok Mah. Ada pelbagai versi cerita yang dia dengar daripada saudara-maranya mengenai kematian misteri Tok Mah.

    Dengar-dengarnya, Tok Mah meninggal bukan sebab sakit tua. Tetapi, mati dibunuh akibat perbuatan sihir. Ada yang mengatakan Tok Mah terkena serangan jantung. Entahlah, Syafiqa sendiri malas mahu ambil pusing. Apa yang di tahu, Tok Mah meninggal sebab sakit tua. Titik!

    “Iqa!”

    “Ya, ya.” Kelam-kabut Syafiqa mencapai handphone di atas meja solek, lalu dia berpaling ke belakang.

    “Eh, ayah mana?” Kepalanya tertoleh-toleh mencari kelibat Encik Mohd. Takkanlah secepat itu Encik Mohd menghilang. Syafiqa mula kebingungan.

    “Hei, kau tengah cari apa, ha!” sergah Syafiyya dengan wajah mencuka. Macam orang tengah sembelit. Garang semacam.

    “Errr… Cari kasut aku. Ada apa kau datang bilik aku ni?” soal Syafiqa cuba berdalih.

    Mata Syafiyya mula membuntang besar. Kasut? Cari kasut dalam bilik?

“Ada apa kau cakap? Ayah suruh aku sampaikan pesanan. Kali ini kau tak turun juga, ayah sendiri yang akan pergi jemput kau dekat atas!”

JENAZAH arwah Tok Mah masih berada di hospital. Terpaksalah Encik Mohd bergegas ke sana bagi menyelesaikan beberapa urusan. Sebagai anak tunggal lelaki, memang itulah yang sepatutnya dia lakukan. Hendak mengharapkan adik-beradiknya yang lain. Rasa-rasanya mereka lebih risaukan harta arwah. Hal seperti ini pun tidak diberitahu lebih awal. Nasib baik dia sekeluarga belum bertolak dari rumah lagi.

    Tok Mah juga telah lama berpindah dari rumah asalnya di Selangor. Tidak ada sesiapa pun dari anak-anaknya yang tahu mengenai perpindahan tersebut. Segala-galanya terbongkar setelah kematian Tok Mah. Namun, majlis pengebumian arwah tetap dijalankan di rumah lamanya. Lebih senang dan menjimatkan masa. Tidak ada di antara anak-anak Tok Mah yang tahu di mana terletaknya Vila Sakura. Iaitu penempatan baru Tok Mah semasa hayatnya.

    “Tengok, ada hikmahnya aku terlambat tadi,”seloroh Syafiqa sambil mulutnya sibuk mengunyah keropok lekor. Rasa heaven sangat tatkala Encik Mohd tiada di rumah. Selalunya Encik Mohd akan bising-bising kalau ternampak dia tengah bermalas-malasan di atas sofa. Yalah, pagi-pagi beginikan biasanya orang tengah sibuk buat apa yang patut. Kemas rumah ke. Atau siram pokok bunga yang Puan Aina tanam dekat luar rumah. Bukannya bermalas-malasan di rumah sambil membesarkan badan!

    Bantal berbentuk empat segi dibaling tepat mengenai wajah comel Syafiqa.

    “Ada cakap macam tu pula!” Syafiyya menjeling tajam. Muka dahlah macam orang tak ada perasaan. Ada hati lagi nak mengunyah! Setahu dia, agi tadi minah sekor ni baru aje menjamah dua bungkus nasi lemak. Masih ada selera nak makan lagi. Besar mana perut dia ni, ya. Semua benda nak disumbat masuk dalam perut dia. Teruk betul!

    “Assalamualaikum.” Kedengaran suara garau sayup-sayup memberi salam dari luar.

    “Berhentilah mengunyah. Awal dah sampai tu.”

    “Yalah.” Aaliyah mengalah. Keropok lekor yang hampir masuk ke dalam mulutnya diletakkan kembali ke dalam pinggan.

    Tiba-tiba Syafiyya mematikan langkahnya sebelum berpusing ke kanan.

    “Eh, sekejap. Nanti tolong panggilkan mama sekali. Dia ada dekat dapur sekarang ni. Mama kalau tengah leka buat kerja, mana nak dengar orang bagi salam kat depan,” arah Syafiyya.

    “Kau ajelah yang panggil,” balas Syafiqa acuh tak acuh. Suka-suka hati aje si Safiyya ni mengarahnya itu ini! Bagi penumbuk sebiji, baru tau.

    Malang sekali, Syafiyya berpura-pura tak dengar dan terus melangkah ke pintu utama.

    “Ceh, tak guna punya kakak,” gumam Syafiqa. Tidak ada pilihan lain, terpaksalah dia menuruti titah-perintah Cik Syafiyya!

    “Mama,” panggil Syafiqa separuh menjerit. Anehnya, Puan Ana langsung tidak kelihatan di mana-mana. Mana mungkin dalam rumah sendiri wanita itu boleh hilang.
    Syafiqa menjenguk ke luar melalui pintu dapur belakang yang sedia terbuka. Dia yakin benar yang sekarang ini Puan Ana berada di luar.

    “Ma… Mama.” Suara Syafiqa mula kendur.

    Tidak jauh darinya berdiri, kelihatan Puan Ana sedang mencangkung di bawah ampaian sambil memegang parang. Bahu wanita itu turut tersengguk-sengguk seolah-olah sedang menangis. Masalahnya, Puan Ana sedang ketawa! Bukan ketawa biasa-biasa. Tetapi, ketawa macam orang hilang akal!

    Pak! Pak! Bunyi parang berlaga dengan papan pemotong sayur semakin kuat kedengaran.

    Dia sedikit teragak-agak untuk  mendekati Puan Ana.

    “Ma, anak saudara lelaki kesayangan mama yang bernama Awal tu dah sampai. Dia tengah tunggu kita kat luar rumah…. Dalam kereta…,” maklum Syafiqa dengan intonasi suara ala-ala perempuan melayu terakhir.

Pada mulanya, Puan Ana tidak menunjukkan sebarang reaksi. Mungkin juga dia tidak mendengar suara Syafiqa. Dengan berat hati, terpaksalah Syafiqa mengulang semula kata-katanya itu. Kali ini, intonasi suaranya kedengaran lebih keras dan kuat. Tak dengar juga tak tahulah dia nak kata apa!

Belum sempat Syafiqa bersuara, Puan Ana terlebih dahulu menoleh ke belakang. Ada percikan darah yang kelihatan di segenap wajahnya.

    “Mama tengah buat apa tu?” Berkerut-kerut dahi Syafiqa melihat keadaan Puan Ana.

    Puan Ana tersenyum senget.

    “Mama tengah potong ayam, Iqa. Awal dah sampai ke? Tunggu ekejap, ya. Mama nak cuci tangan dulu!” Puan Ana bangun lalu menggeliat.

    “Okay,” jawab Syafiqa. Ketika Puan Ana lalu di sebelahnya, dia sempat menjeling ke dalam bekas putih yang berada di tangan Puan Ana. Ada hati, limpa dan kepala ayam… Jeng, jeng, jeng… Tapi, hati ayam dan limpa tu nampak lain macam sikit. Besarnya tak macam ayam biasa. Nampak luar biasa bagi seekor ayam bandar. Mungkin hati lembu kut. Mana tahu mama tersalah cakap tadi! Nak cakap tengah potong daging lembu tapi tersalah cakap potong daging ayam.

    Serta-merta bulu roma Syafiqa meremang tanpa sebab-musabab yang jelas.



Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.