Home Novel Seram/Misteri QARIN
QARIN
Illya Abdullah
3/1/2015 15:47:47
51,891
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3
FARIS menongkat dagu sambil menyelak helaian akhbar di atas meja itu. Air di dalam gelas sudah tinggal hampir separuh. Bayang Asmida masih tidak kelihatan. Adakah gadis itu sudah tidak sudi bertemu dengan dia? Tidak sudi mendengar keluh-kesahnya lagi? Tidak sudi berkawan dengannya? mungkin juga Asmida sedang sibuk atau tersangkut dengan kesesakan lalu-lintas Faris membuat tafsiran sendiri.

Asmida mungkin kelihatan seorang gadis yang agak pelik tetapi firasatnya mengatakan gadis itu seorang yang boleh dipercayai. Gelagat Asmida yang kelam-kabut itu selalu mencuit hati Faris. Faris tersenyum sendiri. Namun hanya seketika. Faris mengerling lagi jam di pergelangan tangan. Jika 10 minit lagi Asmida tidak tunjuk muka, dia akan meninggalkan restoran mamak itu.

“Assalamualaikum…” Suara lembut yang memberikan salam itu mengembalikan senyuman di bibir Faris. Asmida sudah terpacak berdiri di hadapannya. Asmida menyapu manik-manik peluh di dahi dengan sapu tangan.

Kematu punggungnya di atas skuter tadi. Kemalangan yang berlaku menyebabkan jalan raya mengalami kesesakan. Biasalah orang Malaysia ini, mereka hanya melihat dan mengambil gambar untuk dimuat-naik di laman sosial. Mereka bukannya mahu membantu mangsa kemalangan.

“Waalaikumusalam…” Faris bangun dan menarikkan kerusi untuk Asmida.

“Terima kasih.” Mata Asmida tidak memandang ke arah wajah Faris. Dia seakan memandang sesuatu di belakang Faris. Hatinya menarik nafas lega. Tiada bayang-bayang menyeramkan itu kelihatan di belakang Faris.

Mujur saja tingkahnya itu tidak disedari oleh Faris.

“As orderlah. Saya belanja.”

Asmida melirik senyuman lalu memandang ke arah pinggan Faris yang hanya berbaki sisa makanan.

“Saya order air saja.” Perutnya masih kenyang. Dia jarang makan di luar. Dia lebih senang masak sendiri di rumah. Jimat.

“Tak lapar?”

Asmida laju menggeleng.

“Okaylah kalau begitu.”

Asmida sekadar memesan segelas laici ais. Selama berkenalan dengan gadis itu, Faris tidak pernah bertanya akan pekerjaan Asmida. Asmida seperti berahsia.

“As bekerja di perpustakaan itu ke? Kita selalu bersua pun di sana.” Faris sengaja bertanya.

Asmida menggeleng lagi.

“Saya seorang penulis.” Balas Asmida malu-malu.

“Penulis?”

Asmida mengeluarkan sebuah novel dari beg sandangnya lalu dihulurkan kepada Faris. Sebuah novel seram.

Faris terkesima. Dia tidak menduga sekali yang gadis pelik ini adalah seorang penulis novel. Tidak ramai novelis yang diminati oleh Faris. Faris seorang yang cerewet memilih bahan bacaannya. Dia agak suka juga melayan novel berunsurkan seram dan mistik ini. Cuma dia belum pernah membaca karya-karya yang ditulis oleh Asmida. Penulis biasanya menggunakan nama pena dari nama sendiri.

Matanya terpaku pada nama pena yang tertera di atas novel tersebut.

“Awak Asmiranda Adnan.”

Asmida angguk. Mukanya masih merah. Dia hanya seorang penulis bilis. Namanya tidak segah penulis-penulis popular di Malaysia ini.

“Ya, saya penulis sepenuh masa. Nama pena itu adalah nama kembar saya.” Asmida mengabadikan nama kembarnya itu sebagai nama penanya.

“Awak ada kembar?” Tidak di duga Asmida mempunyai saudara.

Asmida angguk lagi.

“Kami kembar seiras. Tapi kembar saya meninggal dunia ketika kami berusia 12 tahun.” Wajah Asmida sayu bila teringatkan arwah kembarnya itu. Mereka sejak dari kecil agak rapat dan tidak pernag berenggang. Minat mereka juga sama.

“Maaf. Dia sakit apa?” suara Faris sedikit mengundur.

“Tidak mengapa. Dia ada masalah jantung.”

Mereka diam sebentar.

“Awak percaya ada hantu?” Tiba-tiba sahaja Faris lari dari topik perbualan. Itu topik yang sepatutnya dibicarakan dengan Asmida.

“Makhluk halus itu ada. Hantu hanya gelarannya saja.” Golongan Jin sentiasa ada bersama manusia. Hanya mata kita yang berhijab tidak dapat melihat mereka. Mereka ada pelbagai rupa. Malahan mereka juga boleh menyerupai manusia.

“Saya takut awak tidak percaya apa yang saya lalui. Saya sendiri menjadi takut. Saya selalu dengar suara berbisik pada telinga saya.” Faris membuka ceritanya. Dia berharap Asmida akan mempercayai cerita-ceritanya itu.

“Suara?” Tidak berkelip mata Asmida. Ditenung wajah Faris lama. Adakah suara itu ber-

kaitan dengan bayang-bayang hitam yang mengikut lelaki itu?

“Ya, suara. Saya juga mengalami mimpi aneh. Mimpi-mimpi tersebut seperti menjadi realiti. Dan beberapa kali saya bangkit dari tidur pakaian saya berlumuran dengan darah.” Faris takut mimpi ngeri itu akan berterusan mengganggui tidurnya dan mungkin juga akan mempengaurhi emosinya kelak.

Hati Asmida berdebar-debar. Barangkali ada orang yang dengki atau iri hati dengan Faris. Mereka menghantar ‘sesuatu’ untuk mengganggui lelaki itu? Itu hanya andaian Asmida.

“Awak ingat apa yang berlaku dalam mimpi awak?”

Faris menghela nafas kecil. Kepalanya digelengkan.

“Saya tidak ingat apa-apa. Langsung tidak ingat.” Mata Faris bertaut dengan mata Asmida. Lelaki itu tidak menipu.

“Emmm…”Asmida memengang dagu.

“Awak percaya pada cerita-cerita saya?” Faris cuba memancing reaksi Asmida.

“Tiada yang mustahil. Saya sudahkan katakan atas bumi Allah ini bukan hanya dihuni oleh kaum manusia. Makhlus alus itu ada. Faris, awak kena berhati-hati.”

Bola mata Asmida membulat besar melihat bayang di belakang Faris yang sedang menyeringai ke arah dia itu. Tergamam dia seketika. Asmida tahu yang bayang-bayang hitam itu tidak menyenangi dia.

“As… awak seakan berpeluh. Awak tak apa-apa?”

“Oh, cuaca sekarang panas. Air condpula tak kena pada kita.” Asmida berdalih. Dia masih tidak ada keberanian untuk bercerita tentang bayang-bayang hitam itu kepada Faris.

“Faris!”

Nadia muncul secara tiba-tiba. Faris dan Asmida tersentak.

“Nad…”

“Patutlah I callyou tak dapat. You ada date dengan perempuan nerd ni!” Nadia mula melenting. Bukan main mesra lagi Faris bersama Asmida. Api cemburunya terus meledak.

“You jangan salah sangka. Tak baik you membuat tuduhan melulu pada I dan As.” Kedua-dua belah lengan Nadia dipaut. Faris cuba menenangkan Nadia. Pandangan mata mereka bersatu. Asmida diam tidak berkutik.

Nadia tidak makan pujukan. Kalau diterangkan seribu kali pun, dia masih mengikut rasa cemburu buta tidak bertempatnya itu.

“I sudah berikan warning pada you jangan rapat dengan perempuan ni. And you… You tak malu ke nak rampas boyfriend I. Cermin muka you dulu. Kalau you takde cermin di rumah, I boleh pinjamkan cermin I pada you untuk you lihat diri you itu!” Nadia menundingkan jari telunjuk runcingnya pada muka Asmida.

Asmida terkilan dengan cemuhan Nadia.

Stop it, Nad!” Faris sudah makin jelak dengan sikap cemburu buta Nadia tidak habis-habisnya itu. Tiada sekelumit pun perasaan untuk Asmida.

“You tengking I kerana perempuan ni.” Terjegil biji mata Nadia apabila Faris mempertahankan Asmida.

Asmida masih tidak mencelah. Dia hanya membiarkan maki-hamun Nadia dihamburkan kepadanya.

“Nad, jika macam ini sikap you, kita break-up!” Faris hilang sabar. “As… mari saya hantar awak balik.” Faris menarik lengan Asmida. Terkocoh-kocoh Asmida menuruti langkah panjang Faris.

Nadia menghentak kaki tanda protes.


ASMIDA tidak dapat menghabiskan baris-baris ayat pada manuskrip yang sedang ditaip itu. Otaknya sudah habis diperah buat masa ini. Dia bersandar pada kerusinya dengan wajah lesu. Dia agak keletihan sedikit. Asmida bingkas bangun dan menuju ke dapur mengambil segelas jus oren. Sekembalinya semula di ruang tamu, Asmida mencapai majalah di atas meja tamu lalu membeleknya. Gelas jus orennya sudah terletak di dada meja. Televisyen sengaja dibiarkan terpasang tanpa ditonton. Cantik wanita yang menjadi penghias utama depan majalah itu. Seorang model yang sedang meletup dan penuh dengan kontroversi. Kontroversi dengan skandal dengan orang-orang kaya. Terutamanya di kalangan suami orang.

Apa yang hebat sangat bercinta dengan suami orang? Sedangkan lelaki bujang masih bersepah-sepah di luar sana. Dengan tidak semena-mena wajah model di muka majalah itu berlumuran dengan darah. Asmida terkejut lalu dia melemparkan majalah tersebut di atas meja. Entah kenapa bulu romanya meremang. Asmida berasa seolah-olah ada sesuatu di belakangnya. Dia menoleh. Tiada sesiapa. Mungkin mainan perasaannya.

Asmida meloncat dari sofa apabila terasa bahunya disentuh dari belakang. Matanya liar memandang sekeliling. Asmida hampir menjerit melihat perempuan yang sedang merangkak-rangkak di lantai ruang tamunya itu. Perempuan itu mengangkat wajahnya memandang Asmida. Wajah perempuan itu sudah cukup membuatkan jantung Asmida berombak kencang. Asmida memenjamkan matanya saat tangan perempuan itu mencengkam kakinya. Dia kuatkan semangat membaca ayat Kursi. Seketika kemudian, Asmida tidak lagi terasa kakinya dicengkam oleh perempuan itu. Dia membuka matanya. Tiada bayangan perempuan tadi. Asmida terduduk di lantai.

Nafasnya turun naik. Dia mengurut dada. Apa petanda pula kali ini? dia tidak bermimpi. Asmida mencapai semula majalah yang dilemparkan tadi.

“Adakah kau mangsa seterusnya?” bisik hati kecilnya.

Mimpi? Bayang-bayang menyeramkan? Pembunuhan misteri? Gangguan-gangguan pelik ini semuanya menjadi tanda tanya. Asmida tidak dapat menghuraikan misteri di sebaliknya. Adakah semua ini berkaitan dengan seseorang?

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.