Home Novel Seram/Misteri NYAWA
NYAWA
Eqbal Mohaydeen
4/8/2016 12:23:49
21,046
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
PROLOG

Kampung Malawari, Tahun 1987

KAMI akan tinggalkan kamu di dalam liang lahad yang sempit dan gelap gelita ini. Setelah tujuh langkah kami meninggalkan kamu maka akan datang dua malaikat yang bernama Mungkar dan Nakir. Maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah hati dan terkejut. Bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba ALLAH sebagaimana kamu juga hamba ALLAH.

Mereka akan bertanya Siapa TUHAN yang kamu sembah dengan sebenar-benarnya? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Ke manakah kiblat kamu? Apakah ikutan kamu? Dan siapakah saudara-saudara kamu?”

Belum sempat bacaan talqin disudahkan, suara raungan milik seorang wanita kedengaran kuat. Kawasan persekitaran kubur itu gempar. Masing-masing meremang bulu roma. Mata terpaku ke arah kubur Suri yang terletak di bahagian paling hujung sekali. Dari kubur itu kedengaran suara raungan dan jeritan wanita. Bahkan tanah yang tertimbus menggelosor seolah-olah kubur itu bakal terbongkar bila-bila masa.

“Bumi pun tak terima mayat manusia yang derhaka dengan TUHAN!” jerit satu suara yang membuatkan penduduk kampung yang berada di situ mula riuh.

Ada di antara mereka yang mula beransur-ansur meninggalkan kawasan perkuburan itu. Tidak betah bertahan dalam suasana seram sedemikian rupa. Angin bertiup kencang menerbangkan dedaunan dan butiran pasir ke udara.

Imam Ishak merapati kubur Suri. Hanya beberapa orang lelaki yang seusianya sahaja yang masih berada di situ. Manakala mereka yang lain menjauhi. Tidak kurang juga yang melarikan diri. Masing-masing diamuk rasa seram dan takut mendengar raungan itu.

Raungan dan jeritan itu masih berterusan. Suara burung hantu galak bersiul. Tanah kubur perlahan-lahan terbongkar. Mayat Suri muncul dari celah-celah tanah itu. Mayat wanita yang siap berkapan itu terdedah bahagian wajahnya. Matanya terbeliak dan mulutnya tidak henti-henti meraung. Cukup menyeramkan sesiapa jua yang melihat. Tambahan pula kulit mukanya yang tertanggal dan hitam kemerahan.

Imam Ishak mengucap panjang. Tidak pernah dalam pengalaman dia mengebumikan mayat mengalami kejadian sedemikian rupa. Hembusan angin kencang masih tiada tanda-tanda untuk berhenti. Butir-butir pasir halus berterbangan memasuki mata sehingga sukar untuk mereka mencelikkan pandangan.

Dalam kekalutan itu, mereka terdengar suara garau menderam kasar. Imam Ishak pantas mengecam suara itu. Kelihatan satu susuk tubuh hitam muncul di satu sudut tanah perkuburan itu. Bercangkung di atas dahan pokok dengan mata yang merah merenung ke arah kuburan Suri. Sesekali dia menyeringai dan menderam. Bunyi nafasnya kedengaran ganas dan penuh amarah!

Previous: SINOPSIS
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.