Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 32


Lara memandang sekeliling seperti mencari sesuatu. Rasya hanya tersenyum sinis memandang telatah wanita itu.

“Cari siapa? Bella?” soalnya dengan riak wajah yang serius. Dia tidak menyangka awal pagi sudah menerima kunjungan daripada Lara.

“Bella tak datang?” soal Lara semula tanpa menjawab.

“Kau dah lihat sendiri dia tak ada kat sini,” perli Rasya. Lara mengeluh perlahan.

“Kau masih marahkTaku?” soalnya dengan perasaan sebak.

“Aku tak tahu lah nak cakap apa. Tapi sekarang ni aku memang tak boleh pandang muka kau. Mungkin Bella dah maafkan kau. Tapi aku masih belajar nak maafkan kau,” balas Rasya jujur tanpa memandang wajah Lara. Jauh di sudut hatinya dia memang telah memaafkan wanita itu. Namun dia sengaja mahu mengajar Lara. Biar wanita itu tahu menghargai persahabatan mereka.

“Aku faham. Kau boleh marah aku seberapa lama pun. Aku terima. Cuma sekarang ni aku perlukan kau,” kata Lara separuh merayu. Terangkat kening Rasya mendengar kata-kata wanita itu.

“Khai masih sayangkan Bella. Dia sendiri yang mengaku dengan aku. Apa yang perlu aku lakukan, Ras? Aku sayangkan dia. Kira juga tak boleh kehilangan papanya,” sambung Lara kini tunduk memandang jari jemarinya.

“What? Lelaki tu dah gila ke? Buat apa dia nak kejar isteri orang? Dulu dia sendiri yang tinggalkan Bella,” balas Rasya yang tidak puas hati. Lara mengeluh perlahan. Lidahnya kelu untuk menjawab. Rasya mendengus geram.

“Dengar sini Lara, sekarang Bella tu dah ada suami. Aku tak nak kau buruk sangka kat dia. Masalah ni timbul sebab Khairul yang tak tahu malu. Kau kena jaga suami kau tu. Kalau dah rasa tak bahagia, buat apa kau nak fikir panjang. Kau fikirkan Kira? Hubungan mereka tak akan pernah putus biarpun kau dan lelaki tu berpisah,” katanya sebelum berlalu pergi meninggalkan wanita itu. Lara meraup wajahnya. Tanpa sedar air matanya menitis perlahan. Dia tidak tahu apa yang menyakitkan hatinya. Adakah perbuatan Khairul ataupun kata-kata Rasya sebentar tadi.

                                *****

“Mama sihat?” soal Delisya dengan senyuman. Puan Hasna mengangguk tersenyum.

“Mama sihat aje. Mama cuma risaukan Elis. Sibuk sangat sampai lupa nak datang rumah mama,” balasnya separuh merajuk. Dia bukannya tidak faham dengan kesibukan menantunya itu. Cuma dia agak terkilan kerana sentiasa tertunggu-tunggu kunjungan para menantunya itu. Delisya menggenggam erat jemari wanita itu.

“Elis minta maaf. Elis memang sibuk sejak kebelakangan ni,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Tanpa sedar dia mengeluh perlahan. Berkerut kening Puan Hasna memandang wanita itu. Dia mula rasa tidak sedap hati.

“Ada masalah ke?” soalnya. Delisya yang sedar akan perubahan riak wajah Puan Hasna pantas menggeleng.

“Tak ada ma. Elis penat agaknya,” dalihnya. Nampaknya ibu mentuanya itu belum tahu mengenai masalah yang sedang melanda Adam dan Chinta.

“Jangan paksa diri tu untuk kerja. Mama bukannya tak suka menantu mama ada kerjaya sendiri. Adam tu lebih dari mampu nak tanggung Elis dan yang lain. Tapi mama faham minat dan cita-cita menantu mama. Mama cuma minta Elis dan yang lain jaga kesihatan. Ambil lah cuti kalau penat. Nanti Elis sendiri yang tak cukup rehat. Lepas tu rasa tertekan. Semua tu tak baik untuk kesihatan,” nasihat Puan Hasna panjang lebar. Delisya tersenyum mengangguk.

“Terima kasih, mama. Hilang penat Elis bila dah jumpa mama,” katanya. Puan Hasna hanya tergelak kecil.

                                *****

“Apa dah jadi?” soal Bella dengan kening berkerut memandang wanita itu. Chinta diam tidak membalas. Bella menyentuh dahi Chinta.

“Kau okay? Dah makan? Kenapa pucat sangat ni?” soal Bella bertalu. Dia agak risau melihat keadaan wanita itu yang kelihatan tidak bermaya.

“Aku tak ada selera,” balas Chinta dalam nada perlahan. Bella mengeluh. Apabila mendengar perkhabaran daripada Delisya mengenai apa yang berlaku antara Adam dan Chinta, dia bergegas menemui wanita itu selepas balik sahaja dari Pahang.

“Macam mana abang boleh salah faham lagi?” soalnya dengan kening berkerut.

“Semuanya salah aku,” balas Chinta tanpa memandang wajah Bella. Sudah hampir seminggu dia tidak menemui Adam. Panggilannya juga tidak pernah bersambut.

“Sebelum tu aku nak tahu kenapa kau jumpa Naz?” soal Bella lagi tidak berpuas hati. Chinta diam tidak menjawab.

“Kau dah tahu abang tu tak suka dengan Naz. Kenapa kau jumpa dia lagi?” soal Bella sambil menggeleng perlahan.

“Kau datang sini sebab nak marah aku?” soal Chinta kini membalas pandangan Bella.

“Aku tak ada hak nak marah kau. Ni urusan kau dan abang. Sepatutnya aku dan Elis tak terlibat. Tapi sekarang ni abang pun dah tak ada semangat sejak kau buat hal,” balas Bella.

“Aku nak buat apa lagi? Aku dah minta maaf. Tapi abang tak layan aku,” soal Chinta dengan perasaan sebak. Bella menarik nafas berat.

“Kau cuba lah semula ambil hati abang. Jelaskan sekali lagi apa yang dah berlaku,” nasihatnya. Dia sebenarnya buntu untuk membantu wanita itu. Dalam masa yang sama dia juga keliru mengapa sejak mereka berkahwin, Adam sering merajuk dengan Chinta. Tidak pula Adam buat perangai jika dengan dirinya mahupun Delisya. Bella mengeluh lagi. Chinta tunduk memandang jemarinya. Dia turut melepaskan keluhan berat.

                                 *****

Marwah memandang wanita itu yang hanya membisu sedari tadi.

“Kau okay? Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau macam ada masalah aje,” tegurnya. Chinta hanya tersenyum hambar. Dia membuka buku latihan di hadapannya sambil tangan kanannya mencapai pen merah yang berada di dalam kotak alat tulisnya. Berkerut kening Marwah memandang telatah Chinta.

“Chinta, aku tanya ni,” tegurnya lagi.

“Aku dengar. Aku okay aje,” balas Chinta tanpa memandang wajah sahabatnya itu. Marwah menggelengkan kepalanya.

“Aku bukan nak masuk campur. Tapi kalau kau perlukan seseorang, aku ada aje kat sini. Jangan pura-pura tak nampak aku,” katanya separuh bergurau. Chinta membuka cermin matanya.

“Aku mengandung,” beritahunya perlahan. Marwah terkedu.

“Kenapa kau tak beritahu aku? Ya Allah, syukur,” balasnya masih kurang percaya. Senyumannya mula menghilang apabila melihat wajah keruh Chinta.

“Kenapa? Kau tak bersedia lagi?” soalnya separuh meneka. Risau juga dia jika itu penyebab Chinta kurang bersemangat sejak akhir-akhir ini. Chinta menoleh membalas pandangan Marwah.

“Adam tak tahu lagi. Sebenarnya aku nak buat kejutan. Tapi nampaknya tak menjadi. Adam dah salah faham dengan aku dan Naz,” beritahunya.

“Lagi? Apa pula kali ni?” soal Marwah dengan riak wajah tidak puas hati.

“Aku jumpa Naz untuk cek. Tak sangka pula aku boleh terserempak dengan Adam,” jawab Chinta sambil mengeluh perlahan.

“Kau dah tahu Nazri tu kerja di tempat yang sama dengan Adam. Buat apa nak cek dengan dia? Kau memang sengaja nak cari masalah,” kata Marwah dengan perasaan geram. Chinta cuma diam tidak membalas. Dia akui memang kesilapannya. Namun sekurang-kurangnya Adam perlu mendengar penjelasannya terlebih dahulu. Bukannya mengelak daripadanya.

“Aku pening,” sambung Marwah sambil bersandar pada kerusinya.

“Sekarang kau nak buat apa?” soalnya. Chinta memandang foto perkahwinannya yang terletak di atas meja.

“Aku akan pujuk dia sampai dia maafkan aku,” balasnya dalam nada yang perlahan hampir tidak kedengaran. Marwah menganggukkan kepalanya.

“Adam tu cuma merajuk dengan kau. Aku yakin dia dah lama maafkan kau,” katanya cuba memberi semangat pada sahabatnya itu. Chinta hanya tersenyum hambar.

                                 *****

Chinta melangkah perlahan keluar ke beranda biliknya. Angin malam yang bertiup terasa sejuk menyapa wajahnya. Dia memandang telefon bimbitnya. Perlahan jarinya menekan nombor Adam. Dua kali mencuba panggilannya langsung tidak bersambut. Chinta mengeluh perlahan. Sikap lelaki itu benar-benar membuatnya rasa putus asa. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Berkerut keningnya memandang nama yang terpampang pada skrin telefon.

“Nazri?” getus hatinya.

“Awak kat rumah?” soal Nazri apabila panggilannya bersambut.

“Rumah,” balas Chinta yang kecewa pemanggilnya bukan Adam. Nazri tersenyum mendengar jawapan wanita itu.

“Adam dah dua hari tidur kat hospital,” beritahunya. Dia simpati dengan wanita itu. Namun dia juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana jika dia terlibat sekali lagi pasti Adam akan semakin salah faham. Chinta terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dia sebenarnya sudah tahu. Ekram juga ada menghubunginya.

“Chin, saya rasa awak perlu beritahu Adam dengan cepat. Saya tak nak dia salah faham,” sambung Nazri separuh menasihati.

“Saya memang nak beritahu dia. Tapi biar lah dia tenang dulu. Maaf saya dah bawa awak dalam masalah ni,” ucap Chinta. Dia rasa bersalah kerana tanpa sengaja sudah melibatkan Nazri.

“Tak apa, saya faham. Jaga diri. Semoga masalah awak dan Adam selesai dengan cepat. Nanti tak ada orang pula nak jaga awak kat rumah,” balas Nazri ikhlas.

“Terima kasih,” ucap Chinta sebelum menutup telefon. Perlahan tangannya bergerak menyentuh perutnya.

“Papa merajuk lagi. Mama perlu buat apa untuk pujuk papa semula?”

                                  *****

“Wa, tak sangka jumpa awak kat sini,” tegur Nazri. Marwah yang sedang melihat menu mengangkat wajah memandang gerangan yang menegurnya. Dia mendengus perlahan. Matanya beralih semula memandang menu yang ada di tangannya. Nazri menarik kerusi di hadapan gadis itu.

“Apa khabar?” soalnya masih dengan senyuman.

“Kau buat apa kat sini?” soalnya yang jelas menyampah dengan kehadiran lelaki itu.

“Saya datang memang nak makan,” balas Nazri separuh bergurau.

“Kalau nak makan, pergi makan. Tak payah nak menyibuk kat sini,” balas Marwah separuh menghalau. Dia menutup semula menu di tangannya.

“Sya, aku balik dulu. Jumpa lagi,” katanya pada Rasya yang berdiri di bahagian kaunter sedari tadi memerhatikan mereka.

“Hati-hati,” balas Rasya dengan senyuman. Marwah mengangguk sebelum berlalu tanpa sepatah kata. Nazri yang masih duduk di kerusinya hanya mengeluh perlahan.

“Nak makan apa?” soal Rasya sambil tepat memandang wajah lelaki itu. Dia kenal siapa lelaki itu. Setelah mengenal Chinta, dia juga secara tidak langsung mengenali Marwah yang merupakan teman baik Chinta. Marwah ada juga bercerita pasal Nazri.

“Tak apa. Petang nanti saya balik lagi,” balas Nazri sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu. Rasya hanya memandang langkah lelaki itu tanpa berkata apa-apa.

                                  *****

“Abang tak balik rumah Chinta lagi?” soal Delisya dengan riak wajah yang jelas terkejut. Adam hanya tersenyum hambar membalas pandangan isterinya itu.

“Abang,” panggil Delisya sambil menyentuh lembut lengan lelaki itu. Adam menoleh memandang wanita itu semula.

“Dua minggu dah berlalu. Abang tak rindu Chinta?” soal Delisya separuh memujuk. Adam diam tidak menjawab. Delisya mengeluh perlahan.

“Elis tak sangka abang ni degil juga rupanya,” katanya perlahan dengan riak wajah yang kecewa. Tangan Adam terhenti membetulkan tali lehernya.

“Petang ni abang akan jumpa dia,” balasnya dengan nada perlahan. Delisya tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu.

“Elis harap abang dapat selesaikan masalah ni dengan secepat mungkin. Elis tak tenang tengok abang macam ni,” katanya sambil tangannya bergerak membetulkan tali leher lelaki itu. Adam hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa.

“Abang kena beri peluang pada dia untuk jelaskan apa yang dah berlaku,” sambung Delisya separuh menasihati. Adam mengucup dahi wanita itu sebelum berlalu. Tanpa sedar Delisya melepaskan keluhan berat.

                                   *****

“Kau mesti hati-hati dengan Khairul. Hari tu Lara ada jumpa aku. Dia beritahu Khai masih tergila-gilakan kau,” beritahu Rasya separuh mengingatkan. Bella terkejut mendengar kata-kata gadis itu.

“Bila? Lara datang sini ke?” soalnya. Rasya mengangguk.

“Sehari sebelum kita ke Pahang. Aku lupa nak beritahu kau,” balasnya. Bella terdiam sejenak. Dia teringat memang sejak akhir-akhir ini Khairul sering menghubunginya. Terutama pada waktu malam. Namun dia tidak pernah melayannya.

“Lelaki tu dah gila agaknya,” katanya perlahan.

“Dia gilakan isteri orang. Padan muka. Bila dah terlepas baru nak menyesal,” balas Rasya dengan senyuman sinis.

“Aku nak jumpa lelaki tu,” putus Bella. Bulat mata Rasya memandang Bella.

“Kau gila? Nak Adam tahu?” soalnya kurang setuju dengan keputusan wanita itu.

“Aku akan ajak Adam. Tapi mungkin selepas masalah Adam dan Chinta selesai,” jawab Bella. Dia agak bimbang apabila mengingat semula masalah Adam dan Chinta. Dia takut juga apa yang dilalui oleh Chinta saat ini akan dilaluinya suatu hari nanti.

“Aku setuju kalau Adam ikut sama. Kalau kau seorang aku tak akan setuju. Lelaki tu dah gila. Aku takut dia buat tak patut pula dengan kau,” balas Rasya agak risau.

“Aku tak gila lagi lah nak jumpa dia seorang diri. Kalau pun Adam tak ikut. Aku akan bawa kau,” kata Bella sambil tergelak kecil.

“Aku okay aje. Memang tangan aku ni rasa nak tampar muka Khai. Sekali pun cukup lah,” balas Rasya dengan riak wajah yang serius. Bella sudah tergelak besar.

“Aku nak buat kerja lah. Kau ni asyik melepak kat sini. Pergi lah melepak kat hospital kalau nak tunggu Adam,” halau Rasya separuh bergurau.

“Beraninya nak halau bos,” gurau Bella. Giliran Rasya pula yang tergelak besar. Bella hanya tersenyum melihat telatah rakannya itu. Dalam diam dia masih memikirkan kelakuan Khairul sejak akhir-akhir ini.

“Mungkin lelaki tu benar-benar sudah gila,” getus hatinya yang mula tidak tenang.

                                  *****

Chinta agak berdebar melihat kereta Adam yang ada di halaman rumah. Dia menarik nafas dalam sebelum keluar dari kereta.

“Lewat balik,” tegur Adam yang sedang duduk di kerusi yang berada di halaman rumah mereka. Chinta berjalan perlahan menghampiri lelaki itu.

“Maaf, saya tak tahu abang balik malam ni,” ucap Chinta agak rasa kecewa apabila Adam langsung tidak memandangnya. Dia sibuk membelek surat khabar yang ada di tangannya.

“Chinta masuk dulu nak mandi,” sambung Chinta apabila lelaki itu tidak membalas kata-katanya. Dia berlalu masuk ke dalam rumah meninggalkan Adam. Adam meletakkan semula surat khabar yang dipeganngnya ke atas meja. Keluhan berat dilepaskan.

                                  ***

Berkerut kening Chinta memandang Adam yang sedari tadi leka membaca. Sejak sampai lelaki itu hanya mendiamkan diri tanpa menyentuh apa-apa mengenai apa yang telah berlaku.

“Abang masih marahkan saya?” soalnya mula hilang sabar. Adam masih diam tidak membalas.

“Saya mengandung,” beritahu Chinta tanpa memandang wajah suaminya itu. Adam terkedu. Hampir terlepas buku di tangannya. Dia memandang Chinta yang sedang duduk di atas katil. Chinta mengeluh perlahan.

“Hari tu saya jumpa Naz sebab nak kepastian. Saya cadang nak buat kejutan untuk abang. Memang saya silap sebab jumpa Naz. Sepatutnya saya pergi hospital lain. Tapi abang pun tak beri peluang untuk saya jelaskan. Saya tahu abang marah sangat ni sebab sayangkan saya. Abang tak boleh macam ni. Saya terseksa. Elis dan Bella pun akan ikut terluka,” sambung Chinta dengan kening berkerut memandang suaminya itu. Adam mengucap perlahan.

“Ya Allah, apa aku dah buat,” getus hatinya dengan perasaan bersalah.

Adam bangun dari sofa lalu melangkah menghampiri wanita itu. Dia mengambil tempat di sisi Chinta.

“Maafkan abang,” ucapnya dengan perasaan sebak. Kerana terlalu ikutkan kata hati, tanpa sedar dia sudah melukakan hati isterinya itu. Adam menggenggam erat jemari wanita itu. Chinta tersenyum hambar.

“Saya pun minta maaf. Saya dah lukakan hati abang,” balasnya. Adam menggeleng lantas menarik wanita itu dalam pelukannya.

“Terima kasih sayang. Tak lama lagi abang akan jadi papa,” ucapnya dengan perasaan gembira yang tidak terungkap. Chinta tersenyum mengangguk. Dia menarik nafas lega. Walau hatinya masih sedikit terkesan dengan apa yang berlaku, namun dia lega kerana Adam sudah memaafkan dirinya.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.