Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 19


Chinta mengeluh. Kata-kata Puan Hasna masih terngiang di telinganya. Wanita itu memberitahunya yang Adam pernah bertunang. Namun tunangnya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.

Patut lah Adam masih tak boleh lupakan gadis tu.

Chinta mengeluh lagi.

“Tak tidur lagi?” soal Marwah sambil berdiri di sebelah gadis itu.

“Tak dapat tidur,” jawab Chinta dengan nada perlahan.

“Pasal Adam?” soal Marwah separuh meneka.

“Adam pernah bertunang Wa. Tapi tunangnya tu meninggal sebab kemalangan jalan raya,” beritahu Chinta kini memandang wajah gadis itu.

“Oh…,” Marwah hilang kata-kata.

“So, dah terjawab lah persoalan kau selama ni?” tanya Marwah. Chinta mengangguk lambat mendengar soalan gadis itu. Kini sudah jelas yang Adam menolaknya kerana masih mengenangkan arwah tunangnya.

“Apa rancangan kau lepas ni?” soal Marwah kembali. Dia ingin tahu apa yang ada di fikiran gadis itu.

“Entah lah Wa. Cerita aku dan Adam tak sama. Aku berpisah hidup dengan Nazri. Tapi Adam…,” Chinta berhenti sejenak. Dadanya terasa sebak. Dia tidak menyangka lelaki yang sentiasa kelihatan tenang itu rupanya pernah mengalami pengalaman yang memeritkan. Apa yang dilalui oleh lelaki itu lebih sakit daripada apa yang dia lalui. Marwah menepuk lembut bahu gadis itu.

“Mungkin Adam perlukan masa,” katanya separuh memujuk. Melihat saja riak wajah teman baiknya itu, dia tahu gadis itu bimbangkan Adam.

“Mungkin aku tak perlu jumpa Adam dalam masa terdekat ni,” balas Chinta dengan senyuman hambar. Marwah mengangguk tanda setuju dengan rancangan gadis itu.

                                 *****

Adam membuka cermin matanya apabila mendengar telefon bimbitnya berdering. Dia berdebar apabila melihat nama Chinta terpampang pada skrin telefon.

“Awak dah tidur?” soal Chinta.

“Tak tidur lagi,” jawab Adam sambil menutup buku di tangannya. Dia turun dari katil lalu melangkah ke beranda bilik.

“Awak pun tak tidur lagi. Sekarang dah jam sebelas,” tegur Adam sambil memandang jam di tangannya.

“Saya dah biasa tidur lewat,” balas Chinta dengan senyuman hambar.

“Buat kerja ke? Atau baca buku?” soal Adam dengan kening berkerut.

“Buat kerja,” jawab Chinta ringkas.

“Tak baik tidur lewat sangat. Awak boleh jatuh sakit kalau tak cukup rehat,” nasihat Adam. Chinta tersenyum.

“Awak risaukan saya ke?” soalnya separuh mengusik.

“Mesti lah saya risau. Saya tak nak awak selalu lawat hospital,” balas Adam dengan senyuman. Chinta tergelak kecil.

“Adam, kalau hari tu saya tak buat hal mesti kita tak jumpa kan? Saya tak kenal awak. Awak pun mungkin tak kenal saya,” kata Chinta setelah tawanya reda. Adam terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Kalau Nazri tak buat hal, saya mungkin tak akan pernah kenal awak,” ulang Chinta sekali lagi.

“Semuanya ketentuan Allah,” balas Adam dengan nada perlahan. Chinta tersenyum.

“Awak pun tahu. So, tak salah kalau saya nak sedikit ruang dalam hati awak kan?” soalnya separuh meminta.

“Chinta…,”

“Saya tahu awak masih tak dapat lupakan arwah. Tak apa. Saya tak paksa awak untuk lupakan dia. Tu hak awak. Apa yang saya nak cuma sedikit ruang dalam hati awak. Tu aje,” pintas Chinta dengan penuh harapan. Kedengaran Adam mengeluh perlahan.

“Saya tak nak jawapan awak sekarang. Bila awak dah bersedia, saya akan tanya awak semula soalan ni,” sambung Chinta dengan senyuman.

“Bye Adam,” ucapnya sebelum menekan punat merah.

“Ingatkan dah tidur tadi,” tegur Marwah yang sudah berdiri di sebelahnya.

“Aku tak dapat tidur. Nak buat kerja pun payah. Muka Adam ada kat mana-mana,” jawab Chinta sambil tergelak kecil.

“Parah kau ni. Aku sambung tidur dulu,” kata Marwah sebelum melangkah ke arah katilnya semula. Chinta hanya mengangguk perlahan. Adam masih memandang telefonnya. Dia mengeluh lagi.

                                 *****

“Terima kasih Adam. Kalau bukan awak yang dah bersusah payah untuk bantu papa, mungkin papa akan lambat sembuh,” ucap Delisya dengan senyuman manis. Adam mengangguk turut tersenyum.

“Papa awak kuat orangnya,” balasnya.

“Adam, saya dah lama kenal awak. Tak pernah pun awak cerita apa-apa pasal awak,” kata Delisya perlahan dengan perasaan berdebar.

“Pasal saya? Tak ada apa yang istimewa nak cerita,” jawab Adam sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Delisya tersenyum melihat telatah lelaki itu.

“Mama awak tentu dah cerita pasal saya datang rumah awak hari tu. Aunty marahkan awak ke? Saya minta maaf,” ucap Delisya dengan perasaan bersalah. Dia masih ingat riak wajah Puan Hasna yang geram dengannya. Namun dalam masa yang sama dia rasa lega kerana wanita itu masih sudi memaafkan dirinya.

“Awak tak perlu minta maaf Elis. Saya tak pernah salahkan awak. Apa yang berlaku antara kita adalah kehendak saya sendiri. Memang saya ikhlas nak tolong awak,” balas Adam dengan senyuman. Delisya mengangguk sambil menarik nafas lega.

“Berbalik pada soalan saya tadi. Awak tak nak cerita dengan saya ke pasal seseorang yang pernah singgah kat hati awak? Yelah, saya dah berkongsi dengan awak pasal hidup saya sebelum ni. Tak salahkan kalau awak juga kongsikan sedikit pasal awak. Kita kawan Adam. Tapi malangnya saya tak tahu pun apa-apa pasal awak. Makanan kegemaran awak pun saya tak tahu,” katanya separuh merungut. Adam terdiam sejenak mendengar kata-kata gadis itu.

“Macam saya beritahu awak tadi. Tak ada yang istimewanya Elis,” balasnya ingin mengelak. Walaupun sudah agak lama mengenali gadis itu namun dia masih agak segan untuk berkongsi dengannya

“Siapa gadis tu Adam?” soal Delisya kini tidak sabar. Dia hanya ingin tahu siapa insan yang membuat Adam masih berdolak dalik dengannya. Kalau benar tidak ada seseorang di hati lelaki itu mengapa lelaki itu masih bermain tarik tali dengannya?

“Maksud awak?” soal Adam kini agak serius memandang gadis itu.

“Gadis yang buat awak susah nak terima saya. Siapa? Bella? Atau Chinta?” soal Delisya dengan perasaan kecewa. Adam mengeluh perlahan.

“Dia dah tak ada kat dunia ni Elis. Orang yang awak tanya tu dah tak ada dengan kita,” balasnya sebelum bangun perlahan.

“Saya ada temujanji lepas ni. Awak hati-hati pandu kereta,” katanya sebelum berlalu. Terkebil-kebil Delisya memandang langkah lelaki itu.

                                 *****

Bella memandang gadis itu dengan kening berkerut.

“Mama marah sangat ke?” soalnya dengan perasaan berdebar.

“Memang lah aunty marahkan kita. Adam tu anaknya. Kita dah mainkan perasaan Adam,” balas Chinta dengan suara agak keras.

“Mainkan Adam? Aku tak pernah mainkan perasaan Adam. Aku serius sayangkan Adam,” kata Bella tidak mahu mengalah. Gadis itu tiba-tiba mengunjunginya hari itu hanya untuk menyampaikan berita mengenai pertemuannya dengan Puan Hasna.

“Sejak dari awal?” soal Chinta separuh memerli. Bella terdiam sejenak.

“Aku cuma minta…, tolong dengan Adam…,” balasnya dengan suara tersekat-sekat. Perasaan bersalah mula menghantui diri. Chinta tersenyum sinis.

“Aku nak kau hubungi aunty. Aku dan Elis dan minta maaf dengan aunty. Sekarang giliran kau pula. Aku tahu kau memang sayangkan Adam. Sebab tu aku datang hari ni jumpa kau. Aku pun sayangkan Adam. Kalau kita benar-benar sayangkan Adam, kita kena jaga hati aunty,” katanya separuh menasihati. Terkebil-kebil Bella memandang gadis itu.

Aku salah dengar ke?

“Lagi satu, kau tahu ke pasal arwah tunang Adam?” tanya Chinta sambil memandang tepat wajah gadis itu.

“Tahu,” jawab Bella dengan nada perlahan. Dia sebenarnya masih keliru dengan maksud kata-kata gadis itu sebentar tadi.

“Aku rasa kita perlu beri Adam masa. Kita pernah lalui kesakitan yang hampir sama. Aku tahu kau faham maksud aku. So, aku harap kita dapat beri Adam ruang untuk memikirkan semula keputusannya,” kata Chinta separuh meminta.

“Wait, kau suka Adam. Aku suka Adam. Elis pun suka Adam. Kita semua sayangkan Adam. Kau nak bersaing secara sihat ke apa?” soal Bella dengan kening berkerut. Dia agak keliru dengan kata-kata gadis itu sebentar tadi.

“Aku sanggup bermadu daripada kehilangan Adam. Kalau kau setuju, aku memang tak ada masalah. Tapi kalau kau memang nak bersaing dengan aku. Maaf tapi aku akan lakukan apa saja untuk dapatkan Adam,” balas Chinta dengan tenang. Bella terkedu.

Bermadu??!

                                *****

Bulat mata Rasya memandang gadis itu.

“Jadi kau jawab apa? Kau nak bermadu juga? Come on Bella. Kau ada rupa dan mampu menanggung diri sendiri. Aku tak nak kau terlibat dengan hal ni. Kau boleh cari seseorang yang lebih baik dari Khairul dan lebih sempurna daripada Adam. Tapi bermadu? Aku tak setuju!” katanya dengan nada agak keras. Bella meraup wajahnya perlahan.

“Kalau kau betul sayangkan Khai dulu, kenapa masa tu kau tak terfikir nak bermadu dengan Lara pula? Kenapa sekarang baru nak fikir pasal tu?” soal Rasya bertalu. Dia menggelengkan kepalanya.

“Aku ulang sekali lagi. Aku tak setuju!” katanya lagi dengan tegas.

“Aku tak kata pun aku setuju. Tapi kalau dah memang jodoh aku dengan Adam, aku redha,” balas Bella dengan nada perlahan.

“Bella, kau kena fikir masak pasal ni. Aku rasa papa kau memang tak akan setuju,” kata Rasya akhirnya. Dia berlalu ke dapur meninggalkan gadis itu. Dia pula yang sakit hati mendengar keputusan teman baiknya itu. Bella melepaskan keluhan berat.

                                 *****

Adam mengambil tempat di hadapan papanya.

“Kerja macam mana?” soal Tuan Izan sambil memandang tepat wajah anak lelakinya itu.

“Okay pa,” jawab Adam dengan senyuman. Tuan Izan mengangguk perlahan.

“Adam, papa bukannya nak paksa kamu. Cuma papa rasa dah tiba masanya kamu fikirkan tentang masa depan kamu,” nasihatnya lembut. Dia faham perasaan anak lelakinya itu. Namun dalam masa yang sama dia juga mahu lelaki itu mulakan hidup baru. Walaupun dia hanya mendiamkan diri selama ini namun dalam diam dia juga bimbangkan lelaki itu.

“Papa pun nak Adam kahwin ke?” soal Adam sambil bersandar tenang pada kerusinya. Tuan Izan tergelak kecil.

“Kalau kamu dah tahu tak payah papa usulkan lagi. Tapi papa tak paksa Adam. Papa cuma nak sekarang ni Adam cari lah seseorang yang Adam rasa boleh teman Adam sehingga hujung nyawa,” nasihatnya. Adam menarik nafas berat.

“Papa rasa Adam dah susahkan semua orang ke pasal ni?” soalnya perlahan.

“Kami semua sayang Adam,” balas Tuan Izan lembut.

“Adam masih tak bersedia pa. Beri lah Adam sedikit masa lagi. Adam bukannya tak nak fikir pasal ni. Cuma Adam rasa belum tiba masanya lagi,” kata Adam perlahan. Tuan Izan mengangguk faham.

“Kalau papa tanya boleh?” Adam mengangguk mendengar soalan orang tua itu.

“Adam pilih siapa?” soal Tuan Izan lagi. Adam terkedu. Dia faham maksud papanya itu.

“Adam tak ada jawapan untuk soalan tu pa,” jawabnya agak serba salah.

“Atau Adam tak tahu nak pilih siapa?” soal Tuan Izan separuh mengusik. Adam tersenyum hambar. Memang benar dia tidak ada jawapan untuk soalan itu. Baginya mereka yang dimaksudkan oleh papanya itu hanyalah sahabat yang datang tiba-tiba dan mewarnai hari-harinya dengan telatah yang sukar dijangkanya. Dalam diam dia akui agak terhibur dengan kehadiran mereka. Soalan siapa itu tidak pernah terlintas di fikirannya. Dia bukanlah manusia yang sempurna seperti mana yang dikatakan oleh mereka. Tuan Izan menarik nafas perlahan melihat telatah lelaki itu.

“Maaf kalau soalan papa buat Adam serba salah,” ucapnya. Adam hanya tersenyum hambar.

                                   *****

“Bella minta maaf ma,” ucap Bella dengan nada perlahan. Telefonnya digenggam erat. Puan Hasna mengeluh perlahan. Sayu hatinya saat mendengar panggilan gadis itu terhadapnya. Antara mereka bertiga hanya gadis itu yang membahasakannya dengan panggilan tersebut.

“Kalau Bella rasa bersalah kenapa tak datang terus jumpa mama?” soalnya dengan kening berkerut.

“Bella malu,” jawab Bella perlahan. Puan Hasna menggeleng perlahan.

“Bella minta maaf. Memang salah Bella. Adam lelaki yang baik. Bella sayang Adam,” beritahunya tanpa segan silu lagi.

“Sayang? Kalau sayang kenapa nak mainkan perasaan Adam?” soal Puan Hasna mula geram.

“I’m sorry,” ucap Bella lagi. Memang dia bersalah dalam hal ini. Dia tidak akan menafikannya.

“Tak apa lah Bella. Mama pun dah letih nak marah kamu semua. Sekarang ni mama cuma nak kamu minta maaf dengan Adam. Kalau betul kamu sayangkan Adam, buat lah sesuatu yang boleh bahagiakan Adam,” kata Puan Hasna kini dengan nada rendah.

“Mama,” panggil Bella dengan perasaan terharu.

“Datang rumah mama hujung minggu ni. Bawa Chinta dan Elis sekali,” pesan Puan Hasna sebelum menutup telefonnya. Bella mengucap syukur dalam hati.

Mama jangan risau. Bella akan bahagiakan Adam.

Bisiknya dalam hati penuh tekad.

                                 *****

Terkebil-kebil Delisya memandang gadis itu.

“Aku tanya ni, kau sayang Adam tak?” soal Chinta semula. Delisya menganggukkan kepalanya.

“Aku dan Bella pun sayangkan Adam. Kau tak ada masalahkan kalau kita hidup bermadu nanti?” soal Chinta dengan riak wajah yang serius. Delisya terkedu.

“Mak…sud kau?” soalnya dengan suara yang tersekat-sekat.

“Kau ni, kalau kau sayang Adam kau terpaksa bermadu dengan kami. Kau sanggup?” soal Chinta lagi. Tergamam Delisya memandang gadis itu. Chinta menarik nafas dalam.

“Aku faham. Memang tak ada wanita yang sanggup berkongsi kasih dengan wanita lain. Kau ingat aku suka ke? Kalau aku suka, dah lama aku terima Nazri semula. Tapi Adam lain. Aku rasa tak lengkap hidup aku tanpa Adam. Yes, aku sanggup. Demi nak hidup dengan Adam, aku sanggup,” sambung Chinta dengan perasaan berbaur. Memang dia tidak pernah memikirkan rancangan tersebut. Jika dia bersaing secara sihat dengan gadis-gadis itu, kemungkinan besar Adam tak akan memilihnya. Dia akan kehilangan Adam. Perkara itulah yang cuba dielaknya.

“Aku…, sayang Adam. Mana mungkin aku tak sanggup,” balas Delisya dengan nada perlahan. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan dirinya.

“Bagus. Kalau kau tak sanggup, aku lagi suka,” balas Chinta jujur. Delisya tersenyum sinis.

“Kau ingat aku akan lepaskan Adam macam tu aje? Tak mungkin. Aku pun nak hidup bersama dengan Adam,” balas Delisya dengan nada tegas. Dalam diam Chinta mengeluh perlahan.

Yes, aku memang dah gila. Bermadu? Tak ada dalam kamus hidup aku. Tapi jika lelaki itu adalah Adam, aku sanggup langgar prinsip aku!

Bisik hati kecilnya dengan perasaan sebak.

                                *****

Datuk Taufiq memandang gadis itu dengan perasaan kurang percaya.

“Cuba Elis ulang lagi,” pintanya dengan perasaan berdebar.

“Elis akan kahwin dengan Adam. Tapi bermadu dengan perempuan lain,” kata Delisya lagi dengan tenang.

“What?! No! Papa tak setuju. Adam ada perempuan lain ke?” soal Datuk Taufiq dengan riak wajah yang jelas menunjukkan orang tua itu sedang marah.

“Adam bukan kaki perempuan pa. Saya kenal dua orang perempuan tu,” jawab Delisya perlahan.

“Dua orang?! Elis please. Jangan buat papa sakit lagi,” kata Datuk Taufiq sambil menggeleng perlahan.

“Mereka perempuan baik pa. Mereka pun sayangkan Adam seperti mana Elis sayangkan Adam. Kali ni papa kena dengar cakap Elis. Elis nak kahwin dengan Adam. Percaya lah, Elis akan bahagia dengan Adam,” balas Delisya separuh merayu. Datuk Taufiq mengeluh perlahan.

“Kamu dah fikir masak ke Elis? Hidup bermadu ni bukan perkara yang mudah. Tak semua orang akan bahagia. Mungkin luaran nampak bahagia. Tapi dalam tu kita tak tahu. Elis nak macam tu ke?” soalnya dengan nada suara yang lemah. Delisya tersenyum sambil menyentuh lembut jemari orang tua itu.

“Papa kena yakin dengan Elis. Papa sendiri tahu yang Adam tu baik. Dia boleh bahagiakan Elis pa. Elis tak mampu hidup tanpa Adam. Please,” rayu Delisya lagi. Datuk Taufiq menarik nafas dalam. Memang dia percaya dengan Adam. Namun apabila mendengar kata-kata anaknya itu hatinya mula berbelah bagi.

“Asal papa tahu. Dua orang perempuan tu pun sama seperti Elis. Mahukan sedikit kasih sayang daripada Adam. Bukan Adam yang menggatal dengan perempuan tu pa. Papa jangan salah sangka pula pada Adam,” kata Delisya lagi dengan kening berkerut. Dia tidak mahu orang tua itu memikirkan yang bukan-bukan mengenai Adam.

“Kalau tu dah kehendak kamu papa dah tak boleh halang. Tapi ingat, kalau anak papa diperlakukan sama seperti dulu, papa tak akan teragak-agak kerjakan Adam. Elis faham maksud papa?” soal Datuk Taufiq dengan keluhan berat. Delisya pantas mengangguk.

“Terima kasih pa,” ucapnya dengan perasaan gembira yang sukar diungkapkan.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.