Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
123,028
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

Hidangan buffet yang menyajikan berbagai-bagai hidangan yang lazat lagi enak, tinggal tunggu masa saja untuk dijamah. Pentas yang dihiasi indah, lengkap dengan sistem audio yang canggih, menanti pengacara majlis saja untuk memberi sepatah dua kata. Para tamu pula yang terdiri daripada anak-anak dato’ dan diplomat, sudah mengambil tempat di meja bulat masing-masing. Majlis hari lahir serba mewah ini hanya menunggu kemunculan Marsha Gordon, bidadari yang akan dirai pada malam itu.

Iedil cukup berpuas hati dengan segala persiapan yang diaturkan meski semuanya dibuat dalam saat-saat terakhir. Reza, pembantunya sudah menjalankan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin. Iedil yang lengkap bertuksedo putih dengan jambangan ros merah, hasil gubahan Heart and Flowers, menambahkan lagi kesegakan dirinya.

Detik yang ditunggu-tunggu pun tiba.

Marsha Gordon dengan sepersalinan gaun seksi berwarna merah cili, menampakkan belahan kaki hingga ke peha, belakang badan dan lurah di bahagian depan, membuatkan masing-masing ternganga. Si pemetik piano yang duduk di sisi pentas utama, yang sepatutnya mengiringi langkah demi langkah perempuan itu ke pentas dengan petikan pianonya, hampir terlupa dengan tugasnya. Kalut si pemetik piano menggerakkan jari-jemarinya apabila Reza yang berdiri berhampiran, menepuk bahunya dari belakang.

Darling, you look divine!” puji Iedil melambung tinggi. Marsha tersenyum menggoda. Hakikatnya, dia sudah lemas dengan segala kata pujian dan pujaan yang sentiasa mengelilinginya. Ada yang benar-benar memaksudkannya dan ada juga yang sekadar mahu mengambil hatinya saja.

And you look handsome, as always.” Marsha dan Iedil saling memuji. Iedil dengan lagak seorang lelaki budiman, membiarkan si kekasih hati memaut pergelangan tangannya sambil kedua-duanya berjalan menuju ke pentas utama. Reza yang bertindak selaku hos pada malam itu, mengalu-alukan kehadiran pasangan kekasih itu untuk memberi ucap selamat sekaligus memulakan majlis pada malam itu.

Iedil and I just wanted to say thank you so much for being part of a very special day for us. We hope you enjoyed the party as much as we did.” Marsha berucap ringkas dan mereka bergerak ke meja bulat di hadapan pentas utama untuk sesi memotong kek. Kek dua tingkat yang ditempah khas itu adalah kek chocolate fudgekegemaran Marsha. Kek yang dihias permukaannya dengan buah-buahan strawberi dan raspberi segar.

Turun saja sepasang kekasih itu dari pentas, sebuah kumpulan koir pula dijemput naik ke pentas untuk menyanyikan lagu selamat hari jadi secara harmoni. Para tamu yang terdiri daripada kawan-kawan Marsha dan Iedil, turut tidak ketinggalan menyanyi bersama-sama. Lilin berbentuk angka dua puluh satu yang terpasang di atas permukaan kek, ditiup bersama oleh Marsha dan Iedil. Gemuruh tepukan hadirin sebaik saja kesemua lilin yang berwarna-warni itu sudah terpadam. Dan tibalah ke acara kemuncak iaitu memotong kek.

Marsha dan Iedil memotong kek itu bersama-sama, lagak mereka tidak ubah seperti sepasang mempelai di majlis persandingan. Apatah lagi, Marsha sempat melayangkan kucupan hangat di bibir Iedil yang membuatkan suasana bertambah gamat dengan sorakan dan siulan nakal. Iedil tertegun. Dia tidak menyangka Marsha berani mempamerkan kemanjaan hubungan mereka di hadapan khalayak ramai. Entah kenapa, nun jauh di sudut hati, Iedil berasa tidak selesa. Tetapi tidaklah dia menunjukkan ketidakselesaan itu di wajah, Iedil tetap mengukir senyuman manis biar terpaksa.

Reza yang berada tidak jauh dari situ, dapat menangkap sekilas raut tidak senang pada tampang Iedil. Berkerut kehairanan dia dibuatnya. Yalah, mana-mana lelaki pun pasti akan melonjak gembira apabila dikucup seorang perempuan secantik dan seanggun Marsha Gordon. Tetapi kenapa pula sahabatnya itu berkelakuan canggung dan tampak seperti tidak menyukai? Apa mungkin Iedil sudah punya perempuan lain yang lebih hebat dan jauh lebih seksi daripada Marsha? Reza berfikir-fikir di benaknya.

Seusai acara memotong kek, Marsha dan Iedil bersama-sama teman-teman yang lain mulai mengambil makanan. Mereka menjamu selera sambil berbual-bual mesra. Sekali-sekala, pancaran cahaya kamera kelihatan di sini sana, membidik kemeriahan majlis hari lahir Marsha Gordon yang gah di pandangan mata. Dua orang jurukamera profesional telah diupah untuk membidik detik-detik indah suasana sepanjang majlis berlangsung, termasuk sekali untuk rakaman video. Mengalahkan sebuah majlis resepsi layaknya.

Beberapa ketika kemudian, Iedil meminggirkan diri daripada keriuhan majlis itu yang kian membingit dengan pilihan muzik rancak berkumandang di udara. Rata-rata yang sudah selesai menjamu selera, ke lantai dansa untuk menari bersama pasangan masing-masing. Kelihatan Marsha begitu gembira sekali mencapai usia kunci kebebasannya dengan langkah tarinya yang kemas lagi menggiurkan. Sementara Iedil memilih untuk bersendiri di satu sudut dan membuang pandang ke arah pemandangan Kuala Lumpur yang bergemerlap cahaya di waktu malam. Reza sambil menatang segelas air, merapati sahabatnya itu.

Hey! I've never seen you looking so gloomy. Kenapa ni, bro?” tegur Reza yang sudah berdiri di sebelah Iedil.

“Aku okey ajelah. Saja nak ambil udara segar...” Iedil beralasan.

“Hmm... yalah tu! I'm sure you're hiding something. Come on, tell me!” gesa Reza memperlihatkan sikap mengambil beratnya. Iedil tidak membalas. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa pada malam ini, jiwanya seperti serba tidak kena. Lagi-lagi selepas menerima kucupan bibir daripada Marsha.

“Entah... aku rasa bosan kut,” jawab Iedil, tidak tahu hendak mentafsir perasaan sendiri.

“Bosan? Wow! It’s new to me! Bosan macam mana agaknya tu?” Reza cuba menduga. Yalah, pelik juga Iedil yang hidupnya dikelilingi dengan perkara-perkara yang menarik lagi mengujakan, tiba-tiba saja berasa bosan.

I'm also not sure how to describe it... It’s just that... macam aku cakap tadi, aku bosan...”

“Jangan-jangan... kau ada buah hati baru tak? Kau jangan main-main, Marsha tahu nanti, kerat lapan belas badan kau dibuatnya. He...he...he...” Reza menyerkap jarang. Memang poin itulah yang berlegar-legar di benaknya sedari tadi. Kalau bukan sebab itu, sebab apa lagi?

“Mengarutlah kau! My heart beats only for her. Buah hati baru apanya?” Iedil memperbetulkan salah tanggap sahabat baiknya itu. Ya, dia akui cintanya hanya untuk Marsha. Mereka sudah kenal lama bahkan kedua-dua belah keluarga pun sudah mengetahui hubungan intim mereka. Tinggal lagi, Marsha yang masih belum bersedia hendak menamatkan zaman bujangnya. Iedil tidak kisah untuk menunggu. Lagipun dia tahu, Marsha masih muda dan dia tidak mahu mendesak kekasihnya itu. Tambahan pula, Marsha sekarang ini sedang mengejar cita-citanya bergelar seorang peguam.

Reza mengangkat kedua-dua belah tangan, tanda dia mengalah dan mengaku salah. Hujungnya, kedua-dua sahabat itu melontar pandang ke bingkai mewah kota metropolitan yang terpampang megah di hadapan. Marsha yang menyedari Iedil tidak menyertainya di lantai dansa, menghampiri lelaki itu senyap-senyap. Tiba-tiba saja perempuan itu memeluk batang tubuh kekasihnya itu dari belakang. Terperanjat Iedil dibuatnya. Reza pula menyengih melihat kemesraan yang ditunjukkan Marsha kepada Iedil.

You, temanlah I menari sekali... I ask DJ to play the slow song, okay?” rengek Marsha dan kemudiannya disambut dengan anggukan setuju Iedil. Marsha mengisyaratkan kepada deejay untuk memainkan rangkaian lagu-lagu romantik pula. Dia tahu Iedil lebih menggemari lagu berentak sentimental berbanding lagu-lagu rancak yang diputarkan tadi. Suasana menjadi tenang semula. Instrumental membelai jiwa yang dipetik dari soundtrack filem Dying Young mencetus nuansa melodrama. Dua pasang kekasih itu menari dalam dunia ciptaan mereka sendiri. Dunia di mana gugus-gugus awan menurunkan kelopak-kelopak bunga segar lalu menghujani mereka.

“Terima kasih Iedil... I tahu you banyak bersusah-payah untuk I... I'm going to be honest, this is the best birthday I have ever had!” bisik lembut Marsha di cuping telinga si kekasih hati. Iedil tersenyum senang. Marsha memang pandai memujuknya dengan kata-kata.

“Sama-sama. For love i'd do anything, for you i'd do even more,” balas Iedil menzahirkan kecintaannya yang mendalam terhadap Marsha. Marsha tersenyum dan ketawa bahagia.

Majlis hari lahir Marsha Gordon menemui penghujungnya pada pukul 11:00 malam. Ada di antara teman-teman Marsha dan Iedil yang terus balik dan ada juga yang menginap untuk satu malam di suite itu, pulang ke bilik masing-masing. Iedil mengiring Marsha ke suite eksekutif perempuan itu sampai ke muka pintu. Hatinya berat apabila Marsha menjemputnya untuk masuk.

You tercegat berdiri ni, kenapa? Tak ada siapa pun, I sorang aje...”

“Sebab you soranglah, I tak mahu masuk...”

Marsha berkerut dahi mendengar jawapan Iedil. Sejak bila pula Iedil meletakkan batas-batas tertentu dalam perhubungan mereka? Marsha ketawa kecil. Dia menyangka Iedil hanya bergurau senda.

“Tak payah nak melawak sangatlah malam-malam ni, sayang. He...he...he...”

Nope, I’m serious. I balik dulu. Have a good rest, my love...”

Melihat pada keseriusan lelaki itu yang mahu balik, membuatkan roman muka Marsha berubah. Dia berangan-angan mahu mengisi baki hari yang menggembirakan itu dengan berdamping-dampingan bersama orang tersayang. Tetapi si kekasih hati pula menolak.

You dah tak sayang I lagi ke?” Marsha sengaja melunakkan nada suara. Manalah tahu Iedil akan berlembut hati.

I love you more than I can say... cuma I tak fikir elok kalau kita berdua-duaan dalam bilik ni. Tak manis orang tengok,” balas Iedil lembut. Marsha terasa hendak marah tiba-tiba. Dia paling tidak suka kalau orang menolak permintaannya lebih-lebih lagi penolakan itu datang daripada kekasihnya sendiri.

“Tak manis? Bukannya ada CCTV dalam ni sayang oi!”

“CCTV Allah on 24 jam, dear...” jawab Iedil lembut. Apa yang terkeluar dari mulutnya itu, ikhlas meluncur begitu saja. Bukan hendak berlagak alim tiba-tiba tetapi hakikatnya, dia takut kalau-kalau jiwa lelakinya tidak boleh tahan kalau sudah melekat macam belangkas begitu. Imannya bukan sekuat mana. Dibuatnya syaitan bertenggek di cuping telinga, membisikkan yang indah-indah, terlarut juga hujungnya.

“Huh! Suka hati you lah!” Marsha menghempas daun pintu. Tergamam Iedil dengan kepala angin yang ditunjukkan Marsha. Dia sudah masak dengan tingkah si buah hati. Kalau sedang marah, janganlah dipujuk-pujuk. Bertambah rumit keadaannya nanti. Iedil turun ke bawah, meninggalkan Lanai Gurney Corporate Suites. Lelaki itu mengatur langkahnya ke tempat parkir kereta.

Masuk saja ke dalam kereta, telefon bimbit Iedil berbunyi. SMS daripada Marsha.

Thanks, you just ruined my day.

Iedil menggeleng-gelengkan kepala. Marsha ini nama saja sudah dua puluh satu tahun tetapi tingkahnya masih seperti remaja usia belasan. Iedil tidak membalas mesej tersebut. Memang payah kalau mahu berhujah dengan perempuan itu. Ada saja usulnya nanti. Sesuailah dengan gelaran yang bakal disandangnya beberapa tahun lagi, seorang peguam.

Sebaik enjin kenderaan dihidupkan, Iedil menghalakan pemanduan pulang ke rumah. Cermin kereta dibuka separuh, membenarkan angin malam mengelus-elus lembut wajahnya. Radio memang sengaja tidak diputarkannya, Iedil tidak suka muzik yang membingit telinga. Bagi Iedil, terkadang di dalam diam itulah sebenarnya lebih indah senandungnya. Menikmati kemerduan alam bersuara, membuatkan jiwanya beroleh tenang lagi tenteram.

Dari Jalan Keramat, Iedil sudah melepasi Jalan Setiawangsa, menghampiri Jalan Wangsa Perdana. Tidak sabar dia mahu merehatkan badannya yang keletihan selepas seharian suntuk membuat persiapan untuk majlis hari lahir Marsha, si kekasih hati. Dia hendak mandi sepuas-puasnya dan kemudian terus merebahkan diri di atas katil. Iedil yang baru beberapa bulan mendiami Riana Green, lebih selesa tinggal bersendirian. Kondo yang lokasinya berhampiran saja dengan pusat membeli-belah Wangsa Walk.

BUK! BUK! BUK!

Bunyi asing yang datang dari kereta yang sedang dipandunya, menangkap pendengaran Iedil. Iedil mula resah semacam. Dia seperti dapat menduga akan apa yang menimpanya pada ketika itu. Kereta Ford Mustang yang baru saja dihantar ke bengkel pagi tadi, meragam semula. Semakin lama semakin perlahan kereta itu bergerak di atas jalan raya dan hujungnya berhenti tiba-tiba.

“Pulak dah! Kenapalah tengah-tengah malam ni, kau boleh buat hal? Tadi kan elok? Haish!” rungut Iedil, membebel sendiri. Dia melihat jam di pergelangan tangan, sudah pukul 11:30 malam. Nasib baiklah, tidak jauh mana kondonya dari situ. Kalau sudah darurat, boleh saja dia tinggalkan kereta itu di tepi jalan raya buat sementara waktu. Tetapi, sayang pula! Bukankah kereta itu terlalu banyak nilai sentimental kepada dirinya? Mana mungkin dia sanggup meninggalkan kereta itu tersadai begitu saja.

Iedil mencapai telefon bimbitnya, mahu meminta bantuan daripada Reza. Lelaki itu serba-serbi tentang kereta, dia tahu. Hendak harapkan dirinya, dia hanya mengetahui tentang perkara yang asas-asas saja. Kalau sudah masuk bab enjin segala, Iedil mengangkat bendera putih.

Damn! Handphone pula habis bateri! Argh!” bentak Iedil geram apabila telefon bimbitnya, memaparkan skrin gelap. Nama saja smartphone, tetapi cepat sangat kehabisan bateri. Iedil sudah mundar-mandir di tepi jalan raya. Dia berkira-kira mahu menahan mana-mana kenderaan yang melalui kawasan itu, untung-untung boleh menolongnya.

Melilau matanya ke kanan dan ke kiri tetapi malang sekali, satu buah kenderaan pun tidak melalui jalan itu. Yalah, sudah hampir tengah malam. Semua orang sudah masuk tidur. Iedil mengeluh. Dia yang hampir-hampir hendak berputus asa, tersenyum lega apabila dari jauh dia mendapati kelibat sebuah motor, sedang bergerak ke arahnya. Sebuah skuter, lebih tepat lagi. Iedil bersemangat melambai-lambaikan tangannya laju-laju.

“Berhenti! Berhenti!” laung Iedil tetapi skuter yang dibawa oleh si penunggang itu, seperti tidak nampak akan dirinya yang terloncat-loncat di tepi jalan. Lebih malang lagi, bungkusan air plastik yang sedang dipegang penunggang skuter itu, selamba saja dibuangnya ke tepi. Bertepek plastik itu melayang tepat ke muka Iedil. Sudahlah dirinya bertuksedo putih, saki-baki air milo dari bungkusan plastik itu menyebabkan pakaiannya habis terpercik dengan air berwarna coklat. Iedil menyumpah seranah!

Sudahlah siang tadi, dia mengalami nasib malang yang hampir lebih kurang serupa. Rupa-rupanya sampai ke malam, kesabarannya terus diuji. Iedil mengetap gigi. Serupa orang gila dia menjerit-jerit di atas jalan raya. Si penunggang skuter yang sudah jauh ke hadapan, tiba-tiba saja memberhentikan skuternya. Tanpa membuka helmet, si penunggang itu berkalih kepalanya memandang ke arah Iedil. Sempat jarinya membuat simbol L dan kemudian memecut laju. Iedil meradang marah. Berlari dia sekuat hati cuba mengejar penunggang skuter itu tetapi tidak berjaya. Hujungnya, dia yang tercungap-cungap keletihan.

“Tak ada tamadun punya orang! Argh!!!” jerit Iedil disambut kekehan si penunggang skuter yang sengaja dikuatkan suara gelak tawanya.

Iedil hampir-hampir saja bertukar hijau tubuhnya menjadi Incredible Hulk!


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.