Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
81,724
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13

Jarang-jarang sekali Fetri balik ke rumah orang tuanya kerana anak muda itu lebih suka merasa hidup sendiri. Hakikat sebenarnya, dia tidak mahu kalah dengan Iedil. Iedil punya kondo sendiri di Riana Green dan dia mahu kelihatan lebih hebat daripada abangnya itu. Engku Zulaikha sudah berjanji dengannya untuk mendapatkannya sebuah penthouse atas namanya di Ampersand yang terletak di Jalan Kia Peng dalam masa terdekat ini. Antara kondominium mewah yang terdapat di Kuala Lumpur. Jauh lebih hebat dari kondo biasa-biasa kepunyaan Iedil.

Engku Zulaikha menyambut Fetri dengan masakan yang sedap-sedap di meja makan. Puaslah dia menyuruh Mak Mah untuk memasak itu dan ini. Semuanya yang menjadi kegemaran si anak. Fetri tersenyum lebar apabila sampai-sampai saja di rumah, makanan kesukaannya salmon panggang lada hitam tersedia sebagai kepala hidangan. Pinggang Engku Zulaikha dipeluknya kemas lalu wanita itu membawa si anak teruna ke ruang makan sambil mereka dua beranak berbual santai. Tengku Alauddin pula tiada di rumah. Esok hari baru balik dari Jakarta.

“Urusan pemilikan rumah tu apa cerita, mummy?”

“Seminggu dua ni Fet dah boleh masuk pun... He...he...he...”

Really, mummy? Oh my God! Love you, mummy! Love you a lot! Fet nak buat housewarming partylah macam tu? Apa pendapat, mummy?”

“Boleh aje. Lagipun penthouse tu dah jadi hak milik Fet. Tak ada siapa pun boleh larang.”

Fetri serupa anak-anak kecil yang mendapat alat mainan baru apabila mendapat persetujuan Engku Zulaikha. Mummynya itu memang senang diajak berbincang, tidak banyak soal berbanding Tengku Alauddin yang cerewet dalam banyak perkara. Fetri bertambah berselera makannya, diminta lagi tambahan nasi. Engku Zulaikha berasa gembira apabila melihat anak kesayangannya itu gembira. Lagi pula, Fetri satu-satu anaknya yang menumpang rahimnya selama sembilan bulan. Dia akan berusaha apa saja demi melihat segala kehendak si anak tercapai.

Sedang dua beranak itu menikmati makan malam, kedengaran loceng di luar rumah dibunyikan berkali-kali. Engku Zulaikha menyuruh pembantu rumahnya untuk melihat siapa yang datang. Fetri sudah berkira-kira hendak menghentikan suapan. Dia akan putus selera apabila Tengku Alauddin tidak pun Iedil ada di rumah.

“Cik Marsha di luar, puan engku. Katanya nak cari Iedil.” Mak Mah memaklumkan kedatangan Marsha, membuatkan wajah Fetri tidak semena-mena bertukar ceria.

“Eh, suruhlah dia masuk Mak Mah!” Fetri tiba-tiba bersuara. Ada nada teruja di situ. Mak Mah memandang tampang Engku Zulaikha. Wanita itu menganggukkan kepala. Meminta Mak Mah untuk menjemput Marsha masuk ke dalam. Mak Mah bergegas semula ke depan. Meraikan tetamu yang datang secara tiba-tiba itu.

“Jemputlah dinner sekali, Marsha. Aunty dengan Fet pun baru aje makan ni... Come, have a seat. Mak Mah, tolong sediakan pinggan untuk Marsha.” Pelawa Engku Zulaikha bersungguh-sungguh. Hendak tidak hendak, Marsha terpaksa akur. Sebelum duduk di kerusi sebelah wanita itu, Marsha mencium kedua-dua belah pipi Engku Zulaikha sebagai pengganti salam. Yalah, tangan wanita itu masih berulit nasi.

Sorry, aunty... datang tanpa call dulu. Marsha cari Iedil ni. Dari siang tadi, Marsha call handset dia tapi tak ada jawapan. Janji nak lunch sama tengahari tadi pun, tak nampak muka dia. Dia ada balik sini, aunty?” keluh Marsha meluahkan rasa hampa dan kecewa. Engku Zulaikha tidak berapa suka apabila nama anak lelakinya yang satu lagi itu disebut-sebut. Dia lebih suka kalau Marsha, anak kepada Sir Gordon Brown, hartawan Inggeris ini bercinta dengan Fetri.

“Oh, tak pula dia balik ke mari. Hisy, Iedil tu memang suka mungkiri janji. Marsha jangan ambil hati ye? Tak macam Fet ni ha... kalau janji ditepati. Macam slogan tu. He...he...he...” Engku Zulaikha secara halus melobi nama Fetri, anaknya. Dan dalam masa yang sama, cuba membuat jenaka tetapi seperti tidak menjadi pula apabila Marsha menayang muka menyampah. Fetri yang tidak ada perasaan malu barangkali, terasa kembang dadanya. Marsha memandang sekejap ke tampang Fetri yang tersenyum-senyum serupa kerang busuk, meluat sungguh dia melihat. Dia memang tidak menyukai Fetri. Ada sebab dia menyimpan rasa tidak suka terhadap lelaki itu.

“Fetri ni bukan janji ditepati aunty tapi janji dicapati. Tose pun boleh. Ha...ha...ha...” balas Marsha kononnya cuba berlawak juga tetapi tujuan sebenarnya hendak memerli. Engku Zulaikha pun turut ketawa. Wanita itu tidak dapat membaca kata dua lapis Marsha. Fetri sudah memerah mukanya. Menahan malu. Dia tahu Marsha memang suka memandangnya dengan sebelah mata. Tunggulah kau, perempuan! Seranah Fetri dalam hati penuh geram.

Habis makan malam bersama, Marsha menunggu lagi Iedil setengah jam kemudiannya. Tepat pukul 9.30 malam, dia meminta diri. Terpaksalah dia pulang dengan rasa hampa kerana Iedil tidak balik-balik juga. Sebelum Marsha masuk ke dalam kereta, Fetri dengan berani memegang pergelangan tangan perempuan itu. Ketika itu, hanya mereka berdua saja di halaman rumah. Engku Zulaikha berada di ruang tamu, sekadar menghantar bakal menantunya itu di muka pintu dan kemudian masuk ke dalam semula.

“Hey, apa ni?” Marsha menepis kasar tangan Fetri yang mencengkamnya.

“Dengan aku, pegang sikit pun tak boleh. Kalau dengan Iedil, kau sanggup serahkan badan kau kan?” Fetri bercakap perlahan tetapi mampu memarakkan rasa sakit hati dalam diri Marsha.

“Yang kau cemburu, kenapa?” bidas Marsha semula dengan raut sinis di wajah. Dia bakal peguam dan tidak mungkin dia akan tertewas dengan mainan kata-kata seperti itu. Terlampias rasa sakit hati itu berbalik kepada Fetri semula.

“Kenapa kau suka sangat si Iedil tu? Aku ni apa kurangnya?” Fetri betul-betul rasa tercabar. Kalau boleh dia mahu letakkan dirinya lebih hebat dari Iedil dalam semua benda.

“Kau tu akauntan cabuk aje. Tolonglah sedar diri tu sikit. Dahlah, aku malas nak layan kau. Ke tepi, aku nak balik!” Marsha menolak tangan lelaki itu yang cuba menahannya dari membuka pintu kereta. Fetri terdorong tubuhnya ke belakang beberapa langkah. Bertambah-tambah geram lelaki itu dengan layanan Marsha terhadapnya.

Marsha mengunci pintu keretanya dari dalam. Dia tidak mahu Fetri membuat perkara yang tidak masuk akal. Cermin pintu dibukanya separuh, sengaja mahu melemparkan senyuman mengejeknya kepada lelaki itu.

“Kau jangan layan aku macam anjing, Marsha! Pekung busuk kau ada dalam tangan aku. Tahulah kau langit tinggi rendah bila aku sebarkan nanti!” ugut Fetri menyinga. Marsha hanya ketawa di dalam kereta.

“Kau fikir aku takut ke, Fet? Kau kena ingat aku ni bakal peguam dan mama aku, peguam paling berpengaruh dalam negara ni. Sekali aku pusing fakta kau, kau yang ditimpa malu nanti. So, my advice is... don't play with me, 'cause you're playing with fire!” tempelak Marsha semula. Ugutan Fetri baginya seperti serpih daging yang terselit di celah gigi, dengan mudah boleh dikeluarkan.

Marsha menghidupkan enjin kereta Nissan Fairlady berwarna deep maroon miliknya lalu meninggalkan Fetri yang membuak-buak rasa dendam dan geram. Lelaki itu masuk ke dalam rumah semula. Dia tidak menghiraukan panggilan Engku Zulaikha yang mengajaknya untuk menonton televisyen bersama. Fetri sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Dia masuk ke dalam bilik yang sudah lama ditinggalkannya. Dia mahu bersendiri buat sementara waktu.

“Kau memang perlu diajar, Marsha! Kau memang perlu diajar!” Fetri mengepal-ngepal buku limanya. Tindakannya itu tidak lebih dari melahirkan rasa geram yang tersimpan dalam dada. Tidak mungkin dia mahu mencederakan perempuan itu kerana Marsha, gadis yang menjadi pujaannya dalam diam. Matlamatnya sekarang, mahu menundukkan ego perempuan itu dan dalam masa yang sama membuatkan Marsha menjilat ludahnya semula dengan mencintai dirinya. Tetapi bagaimana?

Fetri merebahkan batang tubuhnya di atas tilam. Siling putih dipandangnya polos. Namun, lama-kelamaan ada spektrum warna yang membuatkan siling putih itu tadi menjelmakan kepelbagaian warna kehidupan. Warna kehidupan ketika mana dia dan Marsha masih rapat bersama meski hanya bersahabat. Ah, dia rindukan saat-saat itu. Saat-saat dia masih lagi punya ruang untuk memiliki hati perempuan tersebut. Sebelum kedatangan Iedil yang menghancurkan segala peluangnya.

“Siapa lelaki tu, Fet?” Marsha bertanya penuh minat kepada Fetri. Seorang lelaki yang bertuksedo putih itu cukup memikat hatinya. Apa mungkin lelaki itu punya pertalian dengan keluarga baru Fetri? Marsha tidak lepas memandang ke arah susuk tegap itu membuatkan Fetri mulai bertunas rasa cemburu.

“Dia anak daddy baru aku...” Fetri menjawab acuh tidak acuh. Marsha serta-merta bercahaya-cahaya raut wajahnya. Ini kerana peluangnya untuk mengenali lelaki tampan dan punya karisma itu, lebih terbuka.

Oh really?Maksudnya, dia abang tiri kau? Hey, kenalkan aku dengan dia Fet! Please...please...please...

Fetri menjeling menyampah. Dalam hatinya sudah menyumpah seranah. Rasa menyesal pula dia menjemput Marsha menghadiri majlis resepsi perkahwinan mummynya di hotel lima bintang itu. Mummy pun satu! Sudah tua-tua pun, gatal hendak berlaki lagi! Fetri membebel dalam hati. Sampai mummynya berkahwin pun, dia hendak persalahkan. Yalah, kalau Engku Zulaikha tidak berkahwin dengan Tengku Alauddin, makanya Marsha pasti saja tidak akan mengenali dan terpikat dengan Iedil, abang tirinya itu.

“Hmm...tengoklah nanti,” Fetri malas-malas hendak menjawab. Dia mengajak perempuan itu ke bahagian minuman koktel, sengaja mahu menjauhkan Marsha dan Iedil supaya kedua-duanya tidak bertemu.

“Aku kagumlah dengan mummy kau, Fet. Pandai dia memilih. Tengku Alauddin tu pun bukan tua sangat, nampak handsome lagi. Patutlah anak laki dia tu boleh tahan jugak. Sepadan sangat daddy baru kau tu dengan mummy Zulaikha,” puji Marsha. Fetri tersenyum ala kadar. Dia seperti sudah hilang mood disebabkan perkara tadi. Apatah lagi melihat ekor mata Marsha yang masih lagi tercari-cari kelibat Iedil, nun di penjuru sana.

Fetri mencari akal bagaimana hendak mengalih tumpuan perempuan itu daripada terus melekat pandangannya ke arah Iedil. Fetri tersenyum-senyum penuh muslihat. Dia tahu kelemahan Marsha di mana.

“Kau aku tengok dah makin berisi sekarang? Mesti kau dah lama tak ambil ni kan?” pancing Fetri sekaligus membuatkan perempuan itu beriak resah pada wajahnya.

“Kau biar betul, Fet? Aku baru seminggu kut tak ambil, takkan dah naik kut?” Masha bernada cuak.

“Benda tu kau kena ambil selalu. Kalau kau skip, berat badan kau confirm rebounce balik.” Fetri sengaja memanipulasi fikiran perempuan itu bagi tujuan menakut-nakutkannya. Marsha membelek-belek tubuh sendiri. Ah, memang seleranya menjadi-jadi lewat kebelakangan ini. Fikirnya, dia boleh mengawal sendiri tanpa bantuan benda itu lagi. Aduh, tak boleh jadi!

“Kau ada lagi bekalan?”

Fetri tersengih jahat. Inilah perempuan, kalau sudah terlalu obses untuk kelihatan cantik! Fetri mengutuk dalam hati. Marsha, antara pelanggan tetapnya. Bisnes sampingan yang dijalankannya secara senyap-senyap ini memang menguntungkan. Manakan tidak, hanya dengan segram syabu, dia boleh memperolehi RM1000 dalam sekelip mata. Apatah lagi kalau permintaannya datang dari perempuan-perempuan seperti Marsha yang sanggup membayar lebih semata-mata untuk ramping dan kurus.

No money, no talk...

“Kau fikir aku sengkek? Bagi aku benda tu sekarang! Ada ke tak?” Marsha hilang sabar apabila terasa dirinya dipermain-mainkan. Fetri ketawa mengekeh. Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala. Bahu Marsha dirangkul kemas.

“Jom ikut aku. Benda tu ada dalam kereta aku,” Fetri mengumpan. Pada saat itu, akal licik Fetri merencana satu perancangan. Lenggang lenggok Marsha ketika berjalan dan buaian pinggul perempuan itu benar-benar menggoncang nafsunya.

“Bagi aku semua stok yang kau ada. Aku boleh bayar berapa aje yang kau nak,” tegas Marsha apabila melihat Fetri seperti sengaja melengah-lengahkan masa.

“Aku boleh bagi kau semua benda ni percuma, kalau kau nak. Tapi dengan satu syarat... kau tidur dengan aku malam ni?”

PANG!

Satu tamparan keras hinggap di pipi Fetri tanpa sempat lelaki itu berbuat apa-apa. Mengalir darah merah di tepi bibir lelaki itu. Marsha dengan pantas mengaut lima paket dadah jenis syabu yang menjadi nyawanya itu dari tangan Fetri dan lekas-lekas memasukkannya ke dalam tas tangan.

“Nah, bayaran untuk kau! Lepas ni, jangan harap aku nak berurusniaga dengan kau lagi!” Marsha mencampakkan wang kertas sebanyak lima ribu ringgit ke muka Fetri dan beredar dari situ dengan segera. Fetri terkulat-kulat di dalam kereta. Lelaki itu tidak menyangka sama sekali tamparan Marsha boleh naik ke mukanya. Hatinya membengkak.

Fetri memegang pipinya. Seolah-olah masih terasa akan pijarnya. Siling putih yang dipandangnya itu kembali polos. Peristiwa ‘dianjingkan’ Marsha tidak lama dulu masih sukar untuk dilupakan. Tetap berbekas dalam jiwa.

“Aku akan cari jalan untuk pecahkan tembelang kau yang sebenar, Marsha! Kau tu hamba dadah! Kau tak boleh hidup tanpa benda tu. Bila satu Malaysia tahu, bukan aje kau yang dapat malu tapi firma guaman Datuk Maria, mama kau pun akan terheret sama. Waktu tu, kau dah tak ada siapa-siapa lagi kecuali aku. Ha...ha...ha...”

Fetri ketawa berdekah-dekah. Dia tidak gentar dengan segala macam amaran perempuan itu. Penting baginya, di pengakhiran nanti, Marsha menjadi miliknya. Tawa Fetri terus-terusan bergema.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.