“Lakukan apa yang kamu perlu lakukan, dan cuba elakkan apa yang kamu hendak lakukan.” Fakulti Perakaunan, Uitm Dungun, 2000
Ana memandang sekeliling balai berlepas itu. Seketika gadis jelita berwajah Inggeris tinggi lampai itu memusatkan pandangan ke arah pintu masuk balai menunggu itu. Biasalah bila perlu menunggu giliran untuk terbang ke awan biru, itulah yang selalu dilakukan. Terasa seolah-olah ada seseorang yang bakal melewati pintu itu. Debaran yang sejak dulu sering mengusik hati kecilnya. Entah kenapa, Ana tidak pernah mengerti kenapa dia harus berperasaan begitu. Dia membetulkan tudung hitam yang dipakai sopan. Pemakaian tudung Ana selalunya menutupi dagu dan sebahagian pipi. Dilebihkan kepala tudung ke depan. Lebihan kepala tudung itu juga akhirnya mengecilkan pandangan ke arah wajah. Menjadikan wajah Ana agak terlindung dari orang yang berada di sekelilingnya. Apatah lagi, Ana sering menundukkan pandangannya. Namun Ana tetap kelihatan kemas dan ayu dengan gaya sebegitu, penuh misteri.
Bahagian bawah tudung dimasukkan ke dalam kemeja lengan panjang yang sentiasa dibaluti suit juruterbangnya. Ada dua line di bahunya menandakan dia masih seorang penolong juruterbang. Topi juruterbang sentiasa di pakai. Menampakkan dia seorang wanita yang bukan sembarangan. Dia kelihatan begitu elegen, bergaya dan eksklusif.
Kapal terbang yang sedang disiapkan untuk penerbangan jarak jauh Ana kali ini sedang dalam pemeriksaan terakhir. London, bandaraya yang sentiasa dekat di hatinya. Negara Mother Queen itu umpama rumah ke duanya selepas Malaysia.
Mungkin kerana wajahnya atau darahnya berasal dari situ. Namun semuanya masih kabur. Tidak mampu untuk dia jelaskan dengan kata-kata. Hendak dikatakan dia seorang gadis Melayu, mustahil!. Mata ungu jernih, warna kulit serta wajahnya sendiri umpama langit dan bumi jika hendak dibandingkan dengan sosok seorang gadis Melayu tulen mahupun kacukan. Dia sendiri tertanya-tanya, siapa dia yang sebenarnya.
Tahun 2016 ini, umur Ana telah menjangkau 25 tahun. Dia sedar itu, tapi di saat umurnya menggenapi sesuku abad, rasa kosong dan sunyi yang sentiasa mengulit hatinya kian menyesakkan. Persoalan tentang siapa sebenar dirinya semakin menebal di dalam diri.Bila berdiri di hadapan cermin dan melihat rambut sendiri yang keemasan, lagilah dia pasti, dia bukan seorang gadis Melayu. Mustahil seandainya dia dikatakan seorang gadis albino kerana dia sihat-sihat sahaja. Tidak terasa silau malah tidak mudah sakit ketika dia diagah sang mentari sebagai mana sakitnya seorang albino. Tiada langsung tanda-tanda kecacatan genatik seperti itu yang ada padanya. Apapun, negara Mother Queen itu sentiasa dekat di hatinya.
‘London, aku datang lagi, aku tidak mengerti kenapa tapi dapatku rasakan bahawa kau sentiasa dekat denganku.'
Itu luahan biasa Ana setiap kali jadual penerbangannya menghendakkan dia terbang ke negara bekas penjajah terkemuka itu."Ana Adawiyah Abdullah, kusyuknya kau termenung...tengok apa tu, macam dah tak de hari esok, boyfriend Zimbabwe kau nak balik negaro ko?"
Ana berpaling, seperti biasa dia membalas dengan senyuman manis. Wajah asli putih bersihnya cantik sahaja dihiaskan dengan senyuman ke arah sepasang anak mata coklat yang menegurnya.
“Amboi, mulut, kau nak makan kasut ke, negaro ko lah sangat?”Sempat Ana memegang kasutnya seolah-olah mahu bertindak menghempuk mulut si manis yang menegurnya. Saja hendak bergurau.
“Aku guraujelaa babe, itu pun nak bagi kasut. Emolah kau ni.” Suara gadis bermata coklat itu mengendur sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Ana.
Penerbangan kali ini merupakan penerbangan kali ke 5 Ana bersama si mata coklat itu. Sudah hampir 3 tahun dia memegang jawatan sebagai penolong juruterbang di syarikat penerbangan Swan Air International. Salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka di Malaysia dan di dunia.
"Nurul Fatiha Abdullah, kau ni kenapa asyik lambat saja?” Senyum senget Fatiha membalas kata-kata sahabatnya. Ya, sahabat karibnya sejak kecil, menangis bersama, membesar bersama malah susah senang dikongsi bersama. Sementelah mereka memang tinggal bersama di sebuat kondominium berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa itu.
"Sorrylah babe, aku akui aku memang selalu lambat, kau tahulah tudung akuni, asyik berkedut saja." Fatiha merapatkan bagasinya ke sisi. Sempat dia mengambil buku catatan penerbangan yangdi simpan dipoket tepi bagasi itu. Mulutnya tidak habis-habis memberi alasan. Dia tahu Ana sedang panas hati dengan kelewatannya. Bukan sekali dua tetapi banyak kali juga. Biasalah kalau terbang bersama Ana pasti dia sengaja melewatkan diri. Sebabnya, dia tahu sahabatnya itu pasti akan membelanya. Yang peliknya, jika terbang bersama juruterbang lain tidak pula dia lewat. Ana memang maklum dan tahu sangat tentang itu. Selalunya Ana hanya mencebik sahaja, itu pun tidak sempat hendak dimarah lama-lama. Siapa tak sayangkan diakan. Tambah lagi, Ana hanya ada dia sebagai keluarga terdekat selain ibu angkat mereka.
Ana semakin geram. Lama ditunggu sahabat terlebih karibnya itu. Alih-alih dia sentiasa tewas dengan Fatiha. Lantak kaulah Tiha. Ana mencapai sebuah beg kecil dari poket sisi bagasinya. Sebiji gula-gula dikeluarkan lalu pembalutnya dibuka sebelum disuapkan ke mulut. Fatiha menghulurkan tangan.
“Nak ciket!” pinta Fatiha dengan suara manja ala budak-budak.
“Nah!” Gula-gula yang berbaki di tangan dihulurkan kepada Fatiha. Ana kembali memasukkan beg kecil tadi ke dalam bagasinya dan terus fokus kepada keadaan sekeliling. Malas hendak melayan karenah luar alam sahabatnya itu. Fatiha hanya mampu mengeleng. Tahu sangat, sahabatnya itu sudah tidak betah melayan karenahnya.
Seketika, Fatiha memerhati beberapa anak kapal penerbangan yang terdiri daripada pramugara dan pramugari yang bakal bertugas bersama mereka. Semuanya duduk berkelompok di suatu sudut tempat menunggu. Rancak sungguh mereka berbual. Pemandangan di balai menunggu itu memang selalunya begitu. Sambil menunggu, sambil berkenalan dan beramah mesra. Begitulah kehidupan kakitangan udara sebuah syarikat penerbangan, walaupun bekerja di syarikat yang sama, belum tentu mereka mengenali antara satu sama lain kerana lantikan dan jadual bertugas yang berbeza. Jika kali ini si A bertugas bersama si B, belum tentu esoknya, si B akan bertugas dengan si A. Malah belum tentu juga mereka akan bersua semula setelah beberapa bulan. Seorang ke Utara dan seorang ke Selatan, seorang ke Timur, seorang lagi ke Barat.
Ana kembali memandang Fatiha.
"Alasan yang sama, tudunglaa berkedut, sebelum ini baju tak sempat gosoklah, stoking basahlah, lepas ni apa pulak? aku ni stay sekali dengan kau, sekilas ikan di laut, aku dah tahu, jantan atau betinanya, Cik Tiha oii..." Geram dengan Fatiha yang selalu mengambil kesempatan setiap kali terbang bersamanya.
“Aik, tak habis lagi ke isu kelewatan aku tadi? Ingatkan diam tadi dah malas nak layan aku, siap bagi gula-gula lagi tu.” Fatiha mengecilkan matanya konon tidak berpuas hati. Ana buat tidak tahu. Ada aku kisah kau nak terasa atau tidak? Desisnya.Begitulah Ana, kalau bersama Fatiha, dia akan menjadi diri sendiri, ramah dan gila-gila. Namun dengan orang lain dia akan berubah karakter. Lebih suka mendiamkan diri. Dia selesa begitu. Mungkin bagi Ana, hanya Fatiha yang mengenali dan memahami dirinya. Dia hanya ada Fatiha di dalam hidupnya. Siapa lagi yang hendak diharapkan. Ana dan Fatiha, dua jiwa yang serupa namun berfizikal berbeza.
"Aku nak tanya sikit boleh? Awat selalu sangat macamni, asal nak fly ke Londonje, kau pasti feeling-feeling sinetron...ingat kat siapa tu...jangan kata ada B.F. dekat London sudahlah, senyap-senyap pasang boyfriend tak beritahu aku...ada yang hilang kereta nanti...in fact, yang kau jauh sangat mengelamun ni kenapa? sampai aku dah berzaman sampai sebelah kau. Siap berdiri nenek punya cantik dan ayu kebabum punya jelita pun kau sepatah harampun tak tegur aku...kekwat le tiew Minah Salleh ni." bebel Fatiha.
Memang Fatiha suka bercakap. Ada saja yang ingin diluahkan. Tanpa menghiraukan sesiapapun di sekelilingnya. Nakal tapi penuh ceria, karakter itu sedikit sebanyak mempengaruhi Ana yang sejak berusia 5 tahun dikenalinya.
"Haish, ada pulak macamtu, aku biasa sajelah, tak dok bende pong.." Fatihah diam, tahu sangat apabila Ana mula mengeluarkan loghat Terengganunya memberi makna gadis bermata ungu itu tidak mahu berkongsi rasa. Fatiha sudah masak dengan sikap Ana dan loghat Terengganunya. Dari mana gadis itu belajar loghat Terengganu itu, dia sendiri tidak tahu. Minat benar gadis tersebut dengan dialek Bahasa Melayu negeri Pantai Timur itu. Walau bagaimanapun, bagi Fatiha, Ana ialah seorang gadis Mat Salleh sesat yang tercelup jati diri Melayu pada fikiran dan pembawaan diri. Dengan ketinggian 175 cm, mana mungkin seorang gadis yang jelas anak Mat Salleh tiba-tiba lebih Melayu dari orang Melayu itu sendiri. Apa sekalipun, dia amat menyayangi sahabatnya itu. Dengan ketinggian sekadar 169 cm, Fatiha tetap kelihatan serasi ketika bersama Ana. Mungkin kerana keserasian itu membuatkan dia tidak kelihatan canggung ketika berdiri di sebelah Ana. Ana akan menjadi Ana ketika bersamanya. Fatiha akan menjadi Fatiha apabila bersama Ana.
"Ongkes, apa2 nanti kau story morry dekat aku, kita ni bukan kenal semalam, sejak umur 5 tahun kut, kau dan aku....Ana dan Fatihah, penjenayah nombor satu di Rumah Sri Iman kita tu kan." Senget senyuman Ana menyoroti sisi sahabat baiknya itu. Rumah Sri Iman yang merupakan rumah penjagaan dan kebajikan anak-anak yatim dan anak-anak tanpa keluarga yang dimaksudkan Fatiha terletak di Kajang. Rumah kebajikan itu didiami mereka sejak kecil. Tapi itulah Ana Adawiyah, hati dan tindakan sudah masak benar di mata Fatiha. Membesar di Rumah Sri Iman bersama anak-anak yang senasib dengan mereka tanpa ibu dan bapa. Semua itu banyak mematangkan mereka untuk lebih berdikari. Bagi Ana dan Fatiha, mereka saling memerlukan. Walau telah lama meninggalkan rumah itu, Ana dan Fatiha sering ke sana kerana di situlah keluarga mereka. Ibu Fatimah atau mereka panggil Ibu F, pengetua Rumah Seri Iman itu sudah menganggap mereka sebagai anak-anaknya. Lagipun kedua-duanya amat rapat malah sentiasa membantu wanita awal 40 an itu. Dari kecil, kepada ibu F tempat mereka menumpang kasih. Malah kondominium yang didiami kedua-dua gadis itu ialah rumah Ibu F yang diberikan kepada anak-anak angkatnya itu untuk didiami. Tidak sanggup dia berpisah dengan ke dua-dua gadis sunti kesayangannya itu. Maklumlah menjadi peraturan di rumah itu, apabila seseorang penghuni rumah kebajikan tersebut genap berusia 18 tahun, mereka perlu meninggalkan rumah itu untuk berdikari sendiri. Dek kerana itu juga, Ibu F awal-awal telah menyerahkan kondominiumnya untuk didiami oleh anak-anak angkatnya itu. Dia sendiri sering bermalam di rumah itu selain di Rumah Sri Iman. Saat bersama kedua-dua anak gadisnya antara saat yang paling dihargai dan amat membahagiakan jiwa seorang wanita sepertinya.
"Hi, nama I, Lyana Dato’ Mukhtar, apa khabar." secara tiba-tiba tumpuan mereka beralih kepada suara sapaan yang agak kuat dari tempat duduk yang membelakangi mereka.Amboi, boleh tahan suara minah ni, kuatnya. Ana bersuara namun sekadar di dalam hati. Fatihah pula hanya mengangkat kening ke arah Ana. Walau membelakangi suara itu, namun Ana faham maksud kening itu. "Siapa tu?". Dia hanya mengeleng.
"Oh, hi...I Lily." sapaan itu disambut ringkas, dengan intonasi tidak selesa. Lily menyalami Lyana yang kemudian menyuakan tangannya ke arah anak-anak kapal lain yang ada di situ. Salam Lyana disambut mesra.
"I am Naufal." dan sambutan itu bersahutan di kalangan semua pramugari dan pramugara lain penerbangan tersebut.
Ana dan Fatiha hanya diam, mereka kembali memfokuskan perhatian masing-masing kepada buku log penerbangan yang sejak tadi dibelek dan disemak perlahan. Buku log penerbangan tersebut diwajibkan untuk dibawa bersama oleh setiap pegawai dan kakitangan penerbangan ketika bertugas. Kegagalan membawa buku log tersebut boleh mengakibat kakitangan penerbangan tidak dibenarkan bertugas.
Fatihah terus membelek. Ana pula sesekali mencatat sesuatu di beberapa helaian muka surat buku log penerbangan miliknya. Masing-masing malas hendak melayan apa yang berlaku di kalangan anak-anak kapal penerbangan mereka. Selalunya begitulah, pegawai penerbangan yang terdiri dari Juruterbang berpangkat kapten dan pembantunya jarang rapat dengan anak-anak kapal yang terdiri dari pramugara dan pramugari itu. Dua tingkat perkhidmatan berbeza, walau saling memerlukan, namun oleh kerana bidang tugas yang berlainan menjadikan mereka tidak bergitu mesra. Umpama bos dan kakitangan sebuah syarikat. Anak-anak kapal menjadi pembantu menguruskan apa sahaja yang berlaku di dalam kapal terbang. Juruterbang dan pembantu juruterbang pula menguruskan apa yang berada di ruangan kokpit.
Ana dan Fatiha masih fokus meneliti buku log penerbangan mereka. Bagi penerbangan jarak jauh seperti ini, penerbangan akan dikemudikan oleh dua pasangan juruterbang yang terdiri dari juruterbang dan penolong juruterbang mengikut pembahagian masa shift yang telah ditetapkan. Di waktu ini juga setiap penolong juruterbang akan diuji dan dilatih oleh kapten masing-masing. Cabaran yang sentiasa membuatkan para gagak, gelaran yang sering ditujukan kepada penolong juruterbang, panik dan berdebar. Siapa yang tidak seram sejuk apabila ujian kemahiran penerbangan dibuat sepanjang tugas berjalan. Silap gaya, hari penerbangan itulah merupakan hari terakhir dia melihat dunia. Kau rasa?
"Beb, ada orang putih ke dalam flight kita? Nampak macam Gagakje tu?" Laju saja mulut Lyana.
"Oh, itu Cik Ana Adawiyah, dia ialah salah seorang penolong juruterbang kita kali ni, dia bukan baru, I diberitahu, sudah lebih 3 tahun bertugas, cantikkan? ada iras Miranda Kerr, Supermodel Victoria Secrettu?" Beberapa pasang mata yang turut melihat ke arah Ana mengangguk-angguk tanda setuju.
Lyana mencebik.
"Well, cantik simpan buat apa?, lepak dalam kokpit je pun." selamba Lyana menilai. Tidak senang dengan pujian rakan setugasnya terhadap Ana.
"Dia antara kakitangan terhot di Swan Air ni tau, aku rasa paling cantik kut, kalau aku dapat, bertuah badan, tak keluar rumah dah," tetiba Naufal mencelah. Anak-anak kapal lain kembali mengangguk-angguk. Mata Naufal sesekali memfokus kepada lesung pipit yang sesekali muncul di pipi Ana. "Cantiknya ciptaan tuhan!"
"Ada aku kesah? Cantiklah sangat, konon tercantik, kau rabun kut, apapun lantaklah, janji dia tak kacau periuk nasi aku....siapa tak kenal Nur Lyana Dato’ Mukhtar okay...pramugari paling hot di Swan Air International?" Lily hanya menghalakan anak matanya ke atas, malas hendak melayan telatah pramugari yang baru dikenalinya itu. Gedik satu hal, perasan tu kalau itik dengar pun pengsan. Maklumlah, kali pertama disapa oleh gadis yang mendakwa anak Dato’ Mukhtar yang entah siapa itupun sudah membuatkan dia tidak selesa. ‘Kalau sudah tahu anak dato’ takkanlah kerja pramugari lagi. Bapak dah bertitle kut. Suara kalah pembesar suara 100 kuasa kuda. Entah betul entah tidak anak Dato’ bagai. Entah-entah, anak datuk tua yang dah ada 30 cucu. Lantak kaulah perempuan. Kerja pramugarije pun. Nak berlagak sangat pun nak buat apa? Sama-sama mencari rezeki, pramugarike, doktorke mahupun juruterbangke, cukup bulan dapat gaji juga.’ Desis Lily.
Ana dan Fatiha hanya mendengar omelan anak-anak kapal penerbangan mereka. Masing-masing hanya bermain mata. Tiba-tiba suasana menjadi senyap. Fatiha mengangkat kening seolah-olah bertanya kenapa. Seketika mereka berpaling ke arah para anak kapal yang tadinya rancak bercakap tentang hal mereka. Semua mata terarah ke suatu arah.
“Aik, senyap dah…” Fatiha mencuit bahu Ana.
“Diamlaa kau, tu cuba tengok.” Ana menunjukkan ke arah yang dimaksudkan.
“Peerghh beb, handsomenya. Lemak berkrim. Kapten kita ke tu?” kedatangan seorang pemuda tinggi lampai bersama seorang lelaki awal 40 an berpakaian lengkap seragam kapten penerbangan mengubah suasana. Diam seketika umpama ada malaikat lalu.
“Hish kau ni, diamlaa, tutup mulut sikit.” Ana menegur Fatiha yang mula terlepas laku. Malu takut didengari oleh orang lain.
“Tak pelah, serious beb, indahnya ciptaan tuhan, kau kenal ke?” sempat lagi berseloroh bertanya.
“Entah, tak tahu.” balas Ana sambil mengangkat bahu. Malas hendak melayan. Matanya dihalakan ke arah buku log yang masih berada diribaannya. Pen yang sejak tadi dipegangnya dipusingkan atas bawah.
“Kalau kau tak tahu, biar aku beritahu. Itulah Kapten Arif Irham Shah, handsomekan?, wajah ala-ala pelakon kacukan Jepun-Taiwan tu, siapa tu, Takeshi Kuneshiro? Serious kulit dia cerah bersih je. Muka tak de jerawat langsung, licin, tinggi lebih kurang 6 kaki, tinggi supermodel tu, Bertuahnya kalau aku dapat jadi boyfriend dia. seindah Gunung Fuji yang melambai aku yang mendambakan, wah gitu. Serious, kalau dapat jadi isteri dia, akulah wanita solehah yang paling bahagia.” Sempat Fatiha berbisik kepada Ana. Mood tak sedar diri mula melata.
“Miang betul kau ni, gatal merenyam sangat nak berlaki, jaga sikit perilaku tu, kita ni muslimah, buat cara muslimah, jaga maruah. Hormat sikit tudung dekat atas kepala tu.” Ana menegur sikap Fatiha, tidak selesa dengan perilaku sahabatnya itu. Namun sebelum sempat komen Ana di balas, pemberitahuan penerbangan memecah suasana. Dan dari situ, suara Kapten mereka menyapa telinga.
"Okay semua, it is time for our flight." secara tiba-tiba kapten utama penerbangan yang merupakan lelaki awal 40 an tadi membuat pengumuman mengingatkan semua anak-anak kapalnya agar bersedia untuk masuk ke dalam pesawat. Ana dan Fatiha sudah berdiri di belakang kapten masing-masing. Ternyata Ana bakal terbang bersama Kapten berusia 40 an itu. Fatiha memandang sahabatnya dengan wajah ceria. Masin mulut aku nak dekat demgan kapten handsome ni. Desisnya. Ana hanya mampu mengeleng. Sabarjelah dengan perangai tak semengah sahabatnya itu.
Melalui tag penerbangan dan maklumat di dalam jadual yang diperolehi, mereka kenal dengan siapa mereka perlu bertugas pada sesi penerbangan tersebut. Kali ini, penerbangan akan dilakukan dengan menaiki pesawat Airbus A380. Pesawat terbaru syarikat penerbangan Swan Air International yang telah diubahsuai menggunakan teknologi terkini. Jauh lebih canggih dari teknologi ketika pesawat raksasa itu mula-mula diperkenalkan suatu masa dahulu. Dalam hati masing-masing mula berbunga, siapa tidak bangga, pesawat gergasi yang dikagumi dunia itu bakal di kelolakan secara bersama oleh mereka.