Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
190,871
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11
BEG tangan dilempar ke atas katil. Azzahani merebahkan badan menelentang memandang siling bilik. Hatinya betul-betul panas. Geram. Jauh-jauh drive nak jumpa, dia bawak isteri dia pulak, bisik hati Azzahani.

Ingat aku ni apa? Batang kayu? Patung cendana? Tapi isteri Norman memang cantik dan comel dan memang sah, isterinya itu Nurul Syuhadah Yahya, perempuan yang sama-sama belajar di Jerman dengannya dulu. Bukan Azzahani tak kenal sebab dulu Tengku Azri pun macam minat dengan Nurul Syuhadah itu.

Nasib baik aku tak keluar berjumpa dengan mereka, malu jugak dengan Nurul Syuhadah tu nanti. Tak apalah, aku masih ada Tengku Azri. Saja aje tadi tu nak jumpa, manalah tahu boleh masuk jarum, tak payah nak terkejar-kejar Tengku Azri yang berhati batu tu. Tapi nampak gaya memang aku kena tunggu Tengku Azri jugak.

Tengku Azri tak ada ‘Facebook’ kalau nak kacau, nak diajak ber‘chatting’. SMS pun dia tak pernah nak balas. Entah apa masalah dia. Padahal kawan lelaki yang lain sibuk ber‘chatting’ di ‘Facebook’ dan suka sangat berSMS ni. Dia orang cakap kalau call nanti panjang berjela, puas pulak nak membayar bilnya.

Telefon bimbit Azzahani mengeluarkan ring tone lagu Mystery daripada kumpulan Beast, kumpulan dari Korea. Dia menarik beg tangan yang sudah dilempar ke hujung katil.

Norman? Nak apa lagi? Butang hijau ditekan.

“Helo”

“Hei, kata nak jumpa? Dah lama I tunggu kat food court Alamanda ni. Sampai dah nak habis makan. You kat mana?”

“Oh, I’m sorry. Something came up. I could not go. Sorry yeah.”

Bohong. Bukan dia tahu pun. Tadi dah pergi, elok saja parking nampak Norman berjalan berpimpin tangan dengan isterinya yang bertudung litup melintasi keretanya. Nak suruh aku tengok ke? Tak payahlah. Azzahani mencebik dalam hati. Lainlah kalau dia datang dengan Tengku Azri. Boleh sama-sama menunjuk kekasih hati.

“Oh, really? Kenapa tak call awal-awal?”

“I’m really sorry. Some other time, boleh?”

“Okay then. See you some other time.”

Talian dimatikan. Azzahani melempar kembali telefon bimbit ke tepi bantal. Eleh! Mana dia nak hairan aku datang ke tak? Dia kan ke sana tadi dengan isteri dia? Dia nak perkenalkan aku dengan isteri dialah tu. Azzahani kemudian teringatkan Tengku Azri. Petang minggu ni, apa yang dibuat lelaki itu? Telefon bimbit dicapai kembali. Nombor Tengku Azri ditekan.

Caller ring tone Tengku Azri mengeluarkan lagu Nickelback. Memang Tengku Azri peminat nombor satu Kumpulan Nickelback.

“Yes, Azzah. What’s up?”

“You ni tak romantik betullah,” ujar Azzahani memuncungkan bibir.

“I tengah tengok movie ni. Cepatlah cakap.”

“You tengok movie kat mana?” soal Azzahani. Dia tengok wayang seorang-seorang ke?

“Kat rumah aje,” jawab Tengku Azri sambil memeluk erat kusyen kecil di tangan. Sebelah tangan melekapkan telefon bimbit ke telinga. Suara dari TV sudah di ‘mute’kan. “Apa hal?” tanya Tengku Azri.

"Apa kes tengok movie kat rumah. Jom pergi The Curve ke, Sunway ke...”

Belum sempat habis Azzahani menyatakan list tempat-tempat yang boleh mereka pergi untuk menonton wayang, Tengku Azri sudah memotong. “I tengok kat rumah ajelah.”

“Azri, please? I’m bored to death.”

“Pergilah bukak TV tu, tengok movie macam I. Malaslah nak keluar. Nanti nak cari tempat parkir semua tu. Leceh.

“I hate talking to you, Tengku Azri. Tengoklah movie you tu. Bye.” Azzahani mematikan talian.

Tengku Azri berasa lega. Suara dari peti TV tadi dihidupkan kembali. Hah! Kan dah missed apa yang berlaku tadi. Tengku Azri menekan butang ‘rewind’. Ironman yang sedang mencanak naik ke angkasa menjadi perhatiannya pada petang minggu itu.

“Lily, ambilkan abang jus!”

Lily Athira di dapur yang sedang menggulung popia untuk dibuat minum petang menjeling. Dah macam ular sawa aku tengok pak cik seorang ni. Tak sudah-sudah melengkar. Kalau atas meja kopi tu mengalahkan orang berkelah. Tadi Puan Adila dah tegur minta dihantar ke dapur. Tapi itulah, dulu orang tu asyik lepak kat luar, dia marah.


AZZAHANI yang bosan tinggal sendirian di banglo milik keluarganya itu sekejap bergolek ke kiri, sekejap pula bergolek ke kanan. Lelaki yang diminati, tidak sehaluan dengannya. Ada pula lelaki asyik nak berulit dengan emak dekat rumah? Biasanya orang lelaki yang sibuk menggendeng mengajak perempuan keluar.

Azzahani ke ruang tamu. Rumah itu memang hanya dihuni pembantu rumah mereka sahaja bila waktu siang begitu. Ibu Puspawati pun entah ke mana-mana saja bila tahu Datin Sarah dan Datuk Sulaiman keluar negeri.

Kali ini Datin Sarah mengikut Datuk Sulaiman ke Brunei. Ada jemputan kahwin anak saudara Datin Sarah. Bukan Datin Sarah tidak pelawa, cuma Azzahani memang tidak mahu mengikut kerana Datin Sarah dan Datuk Sulaiman akan terus ke Australia untuk majlis konvokesyen adik lelaki Azzahani yang mengambil jurusan Finance di sana.

Azzahani masuk ke ruang dapur. Nampak macam tak ada apa-apa yang tersedia untuk dimakan. Mana Ibu Puspawati ni?

“Bik!” panggil Azzahani nyaring. 

Tiga minit, masih tidak muncul wanita itu. Dia memanggil lagi. 

“Bik Puspa!” 

Tiada jawapan dan tiada tanda-tanda wanita itu akan datang. Azzahani ke bilik belakang. Pintu bilik pembantu rumah itu diketuk sambil memanggil.

“Bik! Bik Puspa!”

Tidak sabar menunggu, Azzahani cuba memulas tombol pintu bilik itu. Kebetulan tidak dikunci. Mak aih! Sedapnya dia tidur? Mommy dan daddy gajikan dia untuk tidur ke? Azzahani mendekati dan ditepuknya punggung wanita itu.

Apa lagi? Melentinglah Ibu Puspawati sambil berdiri tegak gaya askar yang ditangkap kerana tidur pada waktu duty. Tangannya memberi tabik hormat. “Ampun Datin, saya lagi capek.” Spontan ayat itu keluar daripada mulutnya.

“Mentang-mentang mommy tak ada, tidur pulak dia.” Azzahani bersuara. “Ni saya nak makan apa ni bik?” 

“Non kan lagi keluar, makanya saya nggak masak apa-apa non,” jawab Ibu Puspawati sambil menggesel-gesel mata.

“Sekarang saya lapar, buatkan saya burger,” arah Azzahani sambil berlalu dari situ.

“Bisa, non.”

Ibu Puspawati cepat-cepat melilit rambut panjangnya dan disimpul menjadi siput. Azzahani di ruang tamu menekan remote Astro. Lepas satu, satu channel ditukar, namun tiada satu pun yang menarik minatnya untuk menonton.

“Eee... bosannya!” Azzahani merengus. “Nak buat apa aje seorang-seorang ni? Karaoke ajelah,” ujar Azzahani sambil mencari CD karaoke kegemarannya.

Ibu Puspawati yang mendengar suara terpekik terlolong anak majikannya itu hanya tersenyum. Hendak tumpang sekaki tapi tidak tahu biji butir yang dinyanyikan anak gadis itu. Kalau lagu-lagu dari tanah seberang, tidak perlu dipelawa.

Ibu Puspawati pun hairan. Masa baru-baru pulang dari luar negara dulu, asyik keluar sahaja. Tidak lekat di rumah langsung. Sekejap dengan lelaki ini, sekejap dengan lelaki itu. Tetapi sampai sekarang tak ada satu pun yang lekat.

Sejak kebelakangan ini pula, asyik terperap di rumah. Kalau dia kebosanan macam itulah, terlalak-lalak. Tapi tak apalah kut? Bukan dia kacau orang pun. Nak harap adik-beradik lain tak ada. Mommy dan daddynya sibuk dengan urusan sendiri. Yalah, yang ditinggalkan pun budak dah besar. Takkan nak diheret ke hulu ke hilir? Sedangkan masa kecil dulu pun ditinggalkan saja di rumah. Entahlah! Si kaya ni cara berfikirnya begini, manakala si miskin pulak cara berfikirnya begitu. Sambil menyusun salad, timun dan tomato pada roti burger, Ibu Puspawati bermonolog sambil menggeleng-geleng.


MANAKALA Datuk Sulaiman dan Datin Sarah meninggalkan anak perempuan mereka seorang itu dengan senang hati. Apa yang mereka hendak bimbangkan? Anaknya bukan ditinggalkan di rumah sewa jika cukup bulan harus dikirimkan duit sewaannya?

Segala kelengkapan sudah tersedia berserta pembantu rumah. Ibu Puspawati yang sudah lama berkhidmat dengan keluarganya juga memang sudah sangat dipercayai.

Untung Datin Sarah dapat pembantu warga Indonesia yang sudah lama hidup menjanda tanpa seorang anak pun. Untung kerana Ibu Puspawati tidak sibuk hendak mengingat sesiapa yang ditinggalkan di kampung. Lebih sepuluh tahun dia berkhidmat dengan keluarga Datuk Sulaiman dan Datin Sarah. Dia sudah kenal sangat perangai Azzahani, anak perempuan tunggal yang ditinggalkan dengannya kini.

Lagipun, bukankah Nur Azzahani pernah tinggal lama di luar negara dulu? Selama itu mereka tidak pernah mendengar hal yang tidak baik tentang anak perempuan mereka. Perangainya yang sedikit sombong dan memilih menjadikan dirinya lebih selamat kerana tidak mudah termakan pujuk dan rayu.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian