Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
190,976
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10
TENGKU Azri terbayang-bayang senyuman manis yang dilempar Lily Athira. Comel. Senyumannya manis dan sopan, tidaklah macam Azzahani yang menggelenyar macam kena miang keladi itu.

Terasa macam tengah hari ini hendak balik makan di rumah. Tapi mesti Puan Adila hairan. Dia mengatur rancangan semasa dalam perjalanan ke pejabat pagi itu. Seronok rasa hati setiap pagi ada orang yang mengurus makan pakainya. Tengok tadi, Lily Athira yang mencarikan tali leher untuknya. Pandai pula dia memadankan warna baju dan seluar. Puan Adila pun puji.

Cuba bayangkan kalau aku hidup kat rumah sewa orang bujang? Nak makan, kalau tak ke kedai, kena masak. Kain baju pulak, kalau tak dihantar ke kedai dobi, kena cuci sendiri. Nak ke pejabat, baju kena gosok. Sarapan macam mana?

Mak aih! Memang gila dibuatnya. Nasib aku ni dah dikira sepuluh kali baik. Celik mata, ada makanan. Nak ke pejabat, baju dah tersedia. Mintak aje apa yang nak dimakan. Kalau mama tak buat, Lily ada. Di hati sudah mula ada putik-putik bunga. Cintakah atau sayangkah? Tengku Azri cuba menelah.  

Nampaknya gadis itu sudah pun melepasi tahap bulinya. Apa yang diarah semua dia tahu membuatnya. Apa lagi hendak dilakukan untuk menguji kepandaian dan kecekapan gadis itu? Tengah hari ni nak kena balik makan jugak. Aku tak peduli, tekad Tengku Azri.


“AYIE?” Puan Adila yang membuka pintu rumah waktu tengah hari itu terkejut melihat Tengku Azri pulang. Puan Adila yang berdiri di muka pintu berpaling 180 darjah mencari jam di dinding ruang tamu.
“Tak kerja ke?” tanya Puan Adila.

“Balik makan,” jawab Tengku Azri pendek.

Mak aih? Nak makan sampai kena balik rumah? Bukan ke kat kompleks pejabat TGI Holdings tu ada kafe? Tapi Puan Adila hanya bersuara dalam hati. “Lily, siapkan nasi! Abang Ayie balik nak makan ni!” jerit Puan Adila.

Tengku Azri meletakkan kasut di tepi pintu dan meloloskan diri daripada Puan Adila yang masih tercegat di situ. Dia terus ke dapur untuk mencuci tangan.

Lily Athira masih di singki, mencuci lesung batu selepas membuat air asam untuk dicicah dengan ikan terubuk bakar.

Tengku Azri di singki sebelah mengerling. Menatang apa yang dibuat si anak dara ni? Macam-macam aje makanan yang dipelajarinya sejak pulang dari luar negara. Mama pun tak pernah nampaknya membuat pelbagai jenis makanan macam dibuat si Lily. Tengku Azri menarik kerusi di meja dapur sahaja sambil menunggu.

“Abang nak makan kat sini aje ke?” tanya Lily Athira.

“Haah. Nak cepat. Lepas ni nak balik pejabat semula,” jawab Tengku Azri.

Lily Athira terus menyenduk nasi ke pinggan. Kemudian pinggan berisi nasi itu diletakkan di depan Tengku Azri yang sedang kelaparan.

“Tu ikan terubuk bakar, bang. Hati-hati sikit bila makan, banyak tulang halus. Ni, cicah dengan air asam. Kalau abang tak tahan pedas, Lily ada masak kurma daging,” ujar Lily Athira memberitahu bila nampak Tengku Azri sudah menyelak tudung saji sambil mendekatkan mangkuk kecil berisi air asam tadi.

Lily Athira kemudian ke kaunter dapur untuk mencedok kurma daging dari dalam periuk. Tak sangka anak bujang Puan Adila ni nak balik makan. Nasib baik dah siap masak.

“Ni sayur apa?” tanya Tengku Azri lagi.

“Oh, tu kerabu pucuk paku. Abang tak makan, ke?” tanya Lily Athira.

Dia mendekati Tengku Azri di meja makan dengan semangkuk kurma daging, namun tanpa menjawab pertanyaan Lily Athira tadi, Tengku Azri sudah mencedok kerabu masuk ke pinggannya. Sebelah tangan mengungkai tali leher. Peluh merenek di dahi dan turun ke pelipisnya.

Lily Athira mendekatkan sekotak tisu di atas meja. Nampak tak banyak songeh pun. Sampai lupa mengajak Puan Adila sekali. Lily Athira masih memerhati Tengku Azri mencubit isi ikan. Bimbang pula kalau dia nak cepat, tercekik tulang pula anak Puan Adila ni. Namun Tengku Azri asyik dengan ikan terubuk bakar cicah air asam tanpa mengusik kurma daging di dalam mangkuk sebelahnya.

“Ekeleh! Anak mama makan tak pelawa orang ya? Dah lapar sangat ke? Pak su buli Ayie ke?” tanya Puan Adila bertubi-tubi bila melihat Tengku Azri senyap sejak pulang tadi.

Tengku Azri tidak mengangkat muka langsung. Sebelah tangan sudah memegang gelas. Mungkin kepedasan. 

Lily Athira segera menuang air kosong ke dalam gelas itu. “Nak air kosong ke jus?” tanya Lily Athira, padahal dia sudahpun menuang air kosong ke dalam gelas.

Tengku Azri memandang Lily Athira sedikit menjeling. Baru nak tanya? Tetapi dalam hati memuji, memang gadis ini lulus dalam segala ujian. 

Lily Athira hanya memberi senyuman.

Sejuk rasa hati Tengku Azri dapat melihat senyuman gadis itu. Pagi tadi pun dia dapat melihat senyuman itu. Lama-lama cair juga hati ini mendapat senyuman manis dan layanan mesra sebegini. Kalau isteri yang sama bekerja, macam mana? Bolehkah dia dapat balik makan begini? Tengku Azri menolak kerusi ke belakang. Dia membawa pinggan ke singki. Sambil berpusing mengelap tangan. “Ayie naik atas nak solat, lepas tu Ayie nak balik pejabat ma,” ujar Tengku Azri.

“Okey,” sahut Puan Adila.

Sempat dia menegakkan ibu jari kepada Lily Athira bila mereka sama-sama berpandangan. Lily Athira tersenyum lagi. Aduh! Tengku Azri bagai dipanah asmara melihat senyuman itu. Dia berlari menaiki anak tangga dengan hati girang. Puan Adila sama senang hati memandang anak bujangnya itu.


“DAH makan?” tanya Tengku Izwan yang bersaingan ke pintu lif dengan Tengku Azri. Dia tumpang gembira melihat anak saudara yang satu itu sentiasa ceria.

“Dah,” jawab Tengku Azri pendek.

“Makan kat mana? Pak su tak nampak pun kat kafe bawah tadi?”

“Ayie balik makan kat rumah, pak su,” jawab Tengku Azri jujur.

Tengku Izwan berpaling memandang wajah anak saudaranya. Kenapa sampai kena balik rumah? Hatinya bertanya. Mereka sekarang ada masalah kewangan ke? Memang dia sudah lama tidak menjenguk khabar Puan Adila, kakak iparnya itu. Segan. Nanti apa pula dikata orang? Selalunya mereka berjumpa di rumah Puan Sharifah Rohaya bila Puan Adila datang menjenguk. Tengku Izwan pun tidak bimbang kerana Puan Adila ditemani Mak Esah semasa ketiadaan Tengku Azri dan kini dikatakan ditemani anak angkatnya yang telah menjadi tajuk perbualan Puan Sharifah Rohaya di rumah itu.

“Ikut ke pejabat pak su sekejap. Pak su ada benda nak tanya,” arah Tengku Izwan sambil menekan butang nombor 11 untuk ke tingkatnya.Dia berani berbahasa demikian dengan Tengku Azri kerana hanya mereka berdua sahaja di dalam lif itu.

 Tengku Azri mengangkat muka. Dia berkerut dahi memikir apa yang dia telah lakukan? Dia ada buat silap ke sampai pak su hendak jumpa di pejabat? Mereka kemudian beriringan ke pejabat Tengku Izwan.

“Duduklah dulu,” pelawa Tengku Izwan sambil dia sendiri menarik kerusinya. Wajah anak tunggal arwah abangnya itu direnung.

Tengku Azri serba salah. Walau usia mereka berjarak hanya lapan tahun, namun pangkat yang disandang bapa saudaranya di TGI Holdings membuatkan Tengku Azri resah. Bimbang dia tidak dapat memenuhi kehendak dan memuaskan hati Puan Adila yang hanya ada seorang anak sahaja untuk dibanggakan.

“Ayie dengan mama ada masalah kewangan ke sekarang?” tanya Tengku Izwan lembut.

Tengku Azri berkerut muka mengingat. Kemudian dia menggeleng-geleng. “Mama ada cerita dengan pak su pasal masalah kewangan ke?” tanya Tengku Azri pula kerana seingat dia, Puan Adila belum pernah pula menyebut tentang masalah kewangan dengannya.

“Tak ada pulak, tapi pak su macam pelik sikitlah sebab nak makan tengah hari pun Ayie sampai kena balik ke rumah,” ujar Tengku Izwan musykil.

“Oh, pasal tu ke?” tanya Tengku Azri tersenyum. Macam mana hendak terangkan pada pak su? “Saja Ayie nak teman mama, pak su. Kesian dia makan seorang-seorang aje,” helah Tengku Azri.

Kini Tengku Izwan pula tersenyum. Baik anak abang ngah ni. Tentu dia bahagia di sana, mendapat anak sebaik Tengku Azri.

“Nanti esok pak su ikutlah Ayie balik makan kat rumah, mama tentu suka,” pelawa Tengku Azri mengelak rasa curiga.

“Insya-ALLAH,” jawab Tengku Izwan yang sedikit lega dengan penjelasan anak saudaranya itu.

Hatinya terasa ingin tahu juga. Apa salahnya kalau dia ikut balik makan tengah hari di rumah anak saudaranya itu? Sekurang-kurangnya dia akan dapat melihat sendiri perkembangan yang berlaku dengan kakak iparnya itu dan mencari peluang bertanya sendiri jika kakak iparnya itu sedang mengalami masalah kewangan. Sambil-sambil itu dapat juga dia mengintai-intai anak angkat Puan Adila yang Puan Sharifah Rohaya sibuk promote di rumah setiap hari.

“Cuba kamu pergi lawat Kak Dila tu sambil tengok-tengok anak angkatnya yang dikatakan pandai memasak tu?” Teringat Tengku Izwan akan arahan Puan Sharifah Rohaya.

“Janji tau, esok ajak pak su makan tengah hari kat rumah?” pinta Tengku Izwan bersungguh-sungguh. Dia juga teringin melihat anak angkat Puan Adila seperti cerita Puan Sharifah Rohaya. Mungkin juga kerana itukah Tengku Azri balik makan tengah hari di rumah? Amboi!

“Alright. Ayie no hal,” ujar Tengku Azri kemudian bangun sambil menegakkan jari kelingking.

Dia bangga hendak menunjuk pada Tengku Izwan akan ‘tukang masak’ pilihan Puan Adila yang memang ada gaya seorang chef itu.

Tengku Izwan turut sama bangun. Jari kelingkingnya kemudian dikaitkan dengan jari kelingking Tengku Azri.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian