Home Novel Keluarga Cinta Sambal Belacan
Cinta Sambal Belacan
Junie Octovian
23/11/2012 16:50:41
190,862
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 17
KRING! Kring! Kring! 

Telefon di ruang tamu menjerit nyaring pada waktu pagi ketika suasana senyap sunyi. Lily Athira memang tidak lena tidur semalam kerana memikir dan mempertimbang kehendak Puan Adila untuk dijadikan isteri kepada anak tunggalnya itu. Selesai Solat Subuh, dia terus ke dapur memetik ekor taugeh untuk dibuat bahan mihun goreng. 

Telefon yang berbunyi seawal pagi itu membuatkan dia cepat bangun mengangkat, bimbang ada berita yang kurang menyenangkan untuk isi rumah itu. 

“Helo.” 

“Tolong panggilkan Azri.” 

“Excuse me? May I know, who’s on the line, please?” Lily Athira mengeluarkan accent Aussienya bila kena orang yang memanggil tidak tahu berbahasa. Kalau orang Melayu, bagilah salam dulu. 

“Oh, sorry. Auntie ke tu? Ini Azzah, kawan Azri. I want to talk to him.” Baru dia nak tergagap-gagap beritahu namanya. Memang Azzahani bukan tahu di rumah tu ada orang lain selain Tengku Azri dan mamanya? 

Oh, budak Melayu aje. Kenapa macam kurang ajar bunyinya, sergah rumah orang pagi-pagi tak bagi salam? “Why don’t you try his mobile?”

“I did. Several times but he did not answer. Please auntie, I need his help. My car broke down. I need him to pick me up,” rayu Azzahani. 

Eee... tak malu, mintak tolong dengan orang lelaki. Teksi tak ada ke? “Okay, I’ll tell him.” Kena goreng, aku bukan mama dialah! 

“Thanks, auntie. Bye.” 

Lily Athira menyambung kerja kembali. Masakan dia mahu mengetuk bilik Tengku Azri pagi-pagi hari hanya untuk memberitahu pesanan daripada kawan perempuannya itu? Fikiran Lily Athira tiba-tiba segar dengan kisah semalam. Entah mengapa matanya tidak berasa mengantuk walaupun tidurnya sangat kurang malam tadi. Azan Subuh yang berkumandang pagi itu membangunkannya dengan begitu mudah. 

Azzahani, Lily Athira mengingat nama perempuan yang menelefon tadi. Teman wanita Tengku Azri barangkali. Biarlah Tengku Azri cepat memperkenalkan gadis itu kepada mamanya agar dia dapat meloloskan diri dengan alasan mahu menyambung pelajaran. Mungkin istikharah yang dilakukan malam tadi telah memberi tanda kepadanya. 


PUAN Adila turun pagi itu dengan pakaian yang bersiap untuk ke pejabat. Semalam dia ada beritahu, kena menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah untuk membincangkan tentang share syarikat arwah suaminya yang kini dikendalikan Tengku Izwan, adik bongsu arwah suaminya. Tuan muda masih belum nampak. 

“Lily!” jerit Tengku Azru dari atas. 

Panjang umur dia, baru nak cakap suaranya dah terjerit dari tingkat atas. Mesti ada benda yang dia tidak jumpa.

“Mana abang punya tie yang warna dark blue tu?” 

Hisy dia ni, benda tu pun tak jumpa ke? “Kan ada kat dalam laci?” 

“Pergilah tengokkan,” arah Puan Adila yang baru menarik kerusi. Tidak suka betul dia mendengar orang terjerit-jerit pagi-pagi hari. Macam dekat pasar borong. 

Lily Athira berlari-lari anak menaiki anak tangga. Manalah aku ni nak berisi sikit, pagi-pagi dah buat senaman berlari satu rumah. Pintu bilik Tengku Azri yang sudah terbuka menyenangkan Lily Athira supaya tidak payah mengetuk. Namun dia memberi salam juga. 

“Assalamualaikum.” 

“Waalaikumussalam,” jawab Tengku Azri kasar. 

“Eee... dosa tau jawab salam macam tu,” tegur Lily Athira. 

“Abang dah lambat ni. Hari ni kena ikut mama pergi meeting. Tie abang yang warna dark blue tu mana?” soal Tengku Azri, baru nak membutang baju kemeja. 

“Dah tahu ada meeting kenapa tak set alarm siap-siap?” 

Anak dara Mak Esah terlupa akan dirinya. Berani dia meleterkan anak teruna orang. Namun tangannya segera menarik laci di bahagian tengah yang menempatkan segala warna tie. Diselak-selak dan... 

“Nilah, bang. Punyalah senang Lily simpan, boleh tak jumpa pulak.” 

“Cepat! Pakaikan,” arah Tengku Azri kerana dia tahu Lily Athira pandai menyimpul tali leher dan dia sendiri masih sibuk membetulkan kemeja. 

“Eh! Apahal Lily pulak yang kena pakaikan?” 

“Tak nampak ni? Abang tak siap lagi. Tali pinggang pun belum pakai.” 

“Abang pakailah sendiri.” 

Lily Athira menghulur tali leher kepada Tengku Azri setelah siap diikatkan bersimpul. Tak nak aku menghadap mukanya pagi-pagi ni. Mahu tak tertelan air liur karang. 

“Lily ambilkan tali pinggang,” beritahu Lily Athira untuk mengelak arahan. 

Kalau dah kahwin kan senang. Ada isteri yang melayan. Ada ke aku merangkap menjaga dia yang dah besar panjang ni? Ingat aku ni khadam dia ke? Getus Lily Athira dalam hati. Tali pinggang pula dihulurkan. Lily Athira kemudian bersuara bila teringat panggilan telefon tadi. 

“Abang, tadi ada perempuan call. Dia suruh abang jemput dia kat rumah. Kereta dia rosak, katanya.” 

“Siapa?” soal Tengku Azri sedikit menengking. 

“Apa ke dia namanya tadi...” Lily Athira cuba mengingat. Namanya lebih kurang Tengku Azri. “Hah! Azzahani.” 

“Call dia, cakap abang tak senang. Abang pergi satu kereta dengan mama pagi ni.” 

“Aik! Mana Lily tahu nombor telefon dia? Abanglah beritahu sendiri,” marah Lily Athira pula. 

Dia memang petah bercakap sebenarnya. Apatah lagi kalau dapat yang mahu melawan berdebat dengannya. Tetapi masakan dia nak tunjuk lagak tinggal menumpang di dalam rumah ini? Namun perangai si tuan muda memang membuatkan suhu badannya naik tahap didih kadang-kadang. 

Ini kalau masing-masing ada super power, mahu tembus siling dan dinding bilik Tengku Azri. Macam watak dalam filem Hancock, lakonan Will Smith. Pasangan yang punya super power bergaduh sekali gus merosakkan harta benda. 

“Hisy, kacaulah perempuan ni.” 

Tengku Azri mengenakan butang di pergelangan kemeja. Dia menyikat rambut. Minyak wangi jenama BOSS disembur ala kadar. “Bawakkan beg abang tu.”

Amboi, banyak cantik muka dia. Ingat aku ni bini dia agaknya, bebel Lily Athira dalam hati. Geram, suka betul mengarah orang. Kalau dia ada kuasa Spiderman, sudah tentu dia hanya perlu menghulur tangan untuk mengeluarkan jaringan labah-labah, mengangkat bukan hanya beg, tetapi dengan Tengku Azri sekali akan dilempar terus ke ruang meja makan dari tingkat atas itu. Lily Athira cepat-cepat mencapai beg dan mengekor Tengku Azri dari belakang. Dia tersenyum mengingat apa yang dia bayangkan itu.  

Jam di ruang tamu berdenting lapan kali. 

“Ayie! Tak siap lagi ke?” jerit Puan Adila sudah memanggil. 

Tengku Azri yang sudah sampai di tengah tangga menjawab. “Dah!” 

Puan Adila memusing ke arah suara itu. Wah! Segaknya anak bujang aku. Kalau macam ni selalu kan bagus? Itulah, suruh ambil Lily jadi bini tak nak, desis Puan Adila. Lily Athira mengekor dari belakang sambil menjinjit beg laptop. Sebiji macam pasangan suami isteri. 

“Handsome anak mama. Barulah ada gaya eksekutif.” Tengku Azri menarik kerusi. 

“Meeting pukul 10.00 kan? Ni...” Tengku Azri membelek jam di lengan. “Baru pukul 8.00.” 

“Hisy! Takkan nak pergi pukul 10.00 jugak? Kalau datang awal, boleh baca agenda mesyuarat. Lagi pun taklah tercungap-cungap.” 

Lily Athira segera menyenduk mihun goreng ke dalam pinggan. “Abang nak air apa?” Kena tanya. Anak bujang Puan Adila ni banyak songeh. Kadang-kadang nak kopi, kadang-kadang nak jus. Kadang-kadang pulak minta nescafe.

Tengku Azri mendongak memandang wajah yang bertanya di sebelah. “Bagi nescafelah. Tarik sikit tau?” 

Hah, kan dah cakap. Dia buat aku ni macam tukang bancuh air kat kedai mamak. Sayup-sayup kedengaran bunyi ringtone lagu ‘Last Man Standing’ daripada Nickelback. Hah! Itu bunyi telefon bimbit Tengku Azri. Tapi pasal apa jauh sangat bunyinya? 

“Aiseymen!” Tengku Azri meraba-raba poket seluar. Mana pergi telefon bimbit aku ni? “Lily! Tolong ambil telefon bimbit abang kat atas meja belajar dalam bilik.” Segera dikeluarkan perintah bila benda yang dicari tidak ketemu. Mulutnya masih mengunyah mihun kegemarannya. 

Lily Athira yang sedang menarik nescafe di singki dapur segera meletakkan mug yang berbuih di depan ‘pengarah’. Dia menapak lagi mendaki anak tangga. Sah! Aku memang akan kurus kering kena dera dengan anak bujang Puan Adila ni. Namun sampai sahaja di depan pintu bilik itu, bunyi lagu tadi sudah berhenti. Lily Athira mencapai telefon bimbit di atas meja belajar yang sudah hampir hendak jatuh ke lantai bilik akibat menari riang tadi. 

Dia kemudian berlari menuruni anak tangga. Super powernya terasa bertambah apabila sedang marah. Macam masuk dalam cerita Incredible Hulk pula, cuma wajahnya tidak bertukar hijau, malah bertambah merah. 

“Nah!”Lily Athira meletakkan telefon bimbit itu di atas meja makan.  

Tengku Azri membelek-belek, mencari siapakah gerangan pemanggil tadi. “Hmm...” Dia menutup kembali Nokia N73nya.

“Siapa?” tanya Puan Adila pula. 

“Azzah,” jawab Tengku Azri pendek. 

“Girlfriend?” 

“Mana ada?” 

Lily Athira yang mendengar perbualan antara dua beranak tu macam digeletek saja rasanya. Kenapa dia tidak mahu berterus terang dengan mamanya? 

“Kenapa tak call balik?” 

Sibuk aje mama ni. “Biarlah...” 

Baru Tengku Azri hendak menjawab soalan Puan Adila, Nickelback menyanyi lagi. Tengku Azri memandang nama pemanggil di skrin. Puan Adila pun merenung sama. 

Azzahani calling. 

Tengku Azri menekan butang hijau dan melekapkan telefon bimbit ke telinga sambil menolak kerusi ke belakang. Dia berjalan menuju ke ruang tamu. Entah apa yang dibualkan, mereka berdua di ruang makan itu tidak berapa dapat menangkap.Tengku Azri kembali menarik kerusi dan melabuhkan duduk dalam keadaan sedikit merengus. 

“Ada masalah ke? Kalau Ayie ada hal, biar mama pergi sendiri.” 

“Tak apa ke kalau Ayie lambat sikit?” 

“Nanti mama beritahu pak su.” 

“Thanks, ma. Ayie kena gerak dulu.” 

Tengku Azri bersalaman dengan Puan Adila. Pipi Puan Adila dicium kiri dan kanan. Bila dia terpandang Lily Athira, baru teringat gadis itu selalu mengingatkan agar dia memberi salam. 

“Assalamualaikum,” ucap Tengku Azri kemudian menapak ke pintu. 

Berkerut dahi Puan Adila mendengarnya. Sedikit pelik. Anak terunanya itu selama ini selalu mengucapkan good morning, good night dan bye-bye sahaja. Hari ini pertama kali dia keluar dengan memberi salam. Empat biji mata yang memandang kelibat Tengku Azri ke muka pintu itu menyahut serentak.

“Waalaikumussalam.” 

Hisy! Kenapa dia masih belum mahu berterus terang dengan mamanya tentang teman wanitanya tu? Kenapa dia masih nak berselindung sedangkan mamanya dah mengharap sangat seorang menantu? Getus Lily Athira. 

Kalau Lily Athira ada kuasa psikik, sudah tentu dia akan memancarkan gelombang terus ke kepala otak lelaki itu untuk mengetahui apa agenda dia yang sebenar. 



Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Junie Octovian