Home Novel Islamik 7 Masjid Eropah
7 Masjid Eropah
fiona izy
10/6/2018 13:28:13
7,566
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 3

Luka akibat kehilangan 15 tahun lalu walaupun sudah hampir hilang tetapi hatinya tetap pedih.

Umar dapat mengingati rentetan peristiwa itu...

Seminggu di rumah sakit, ibu, nenek dan datuk bergantian menemani. Sedar, tidur dan makan selama beberapa hari hanya ditemani ibu, nenek atau datuk membuatkan dirinya tertanya-tanya, ke mana baba?

Saban hari, sejak mula Umar asyik bertanya di mana baba. Sudahlah dia jarang bertemu baba. Entah kenapa hari ini dia benar-benar kecewa mengapa baba tidak datang melawatnya. Umar juga tidak ingat ketika itu, mengapa dia berada di katil hospital.

Jawapan dari ibu, nenek dan datuk apabila diajukan soalan di mana baba rupanya hanya keindahan untuk Umar sembuh. Supaya semangat Umar tidak luntur untuk cepat sihat. Di sebalik riak wajah ibu, datuk dan nenek yang menunjukkan tiada apa-apa yang berlaku rupanya ada sesuatu yang mereka sembunyikan daripada pengetahuan Umar yang masih kecil.

Berhari-hari Umar hanya melihat ibu, datuk, nenek serta beberapa orang yang datang melawat dirinya di rumah sakit tetapi Umar tidak melihat baba. Mengapa baba tidak datang melawat Umar? Sedangkan Umar rindu bermain dengan baba.

Akhirnya, Umar faham sendiri. Bagaimana dia mengetahuinya?

Kerana Umar melihat sendiri berita tentang kehilangan baba di kaca televisyen. Ibu, nenek dan datuk lupa memang sejak kecil lagi baba kerap muncul di kaca televisyen. Ketika kecil Umar selalu berdiri di hadapan kaca televisyen untuk melihat wajah baba. Umar suka apabila melihat baba ditemuramah stesen televisyen dan apabila pulang kerja ketika petang, Umar mendapatkan baba lalu mereka berpelukan. Baba melayani karenahnya untuk didukung, dilambung, dipeluk dan sebagainya.

Akhirnya apabila kematian menjemput baba, siaran berita ketika itu membicarakan tentang perjuangan dan pengorbanan baba. Baba diangkat sebagai wira negara.

Apabila jawapan tentang baba dapat diketahui sendiri oleh Umar yang kecil, ibu, nenek juga datuk menunjukkan riak wajah bersalah apabila Umar sendiri mengetahuinya.

Mendengar khabar berita itu membuatkan telinga Umar seperti terkena halilintar. Itu pun setelah lima hari dia berada di hospital.

“Baba!!” Umar menjerit di katil sambil dipeluk oleh nenek. Berkali-kali jeritannya kedengaran memenuhi ruangan bilik tersebut.

Tuhan.

Dia memandang datuk dengan air mata yang deras mengalir.

“Datuk, pergilah solat, minta Tuhan pulangkan kembali baba” Umar yang kecil berpaut pada lengan datuknya. Kepalanya digeleng-geleng tanda si kecil ini tidak mampu menerima khabar buruk tentang baba. Umar hanya berharap datuk boleh bersembahyang untuk mengembalikan baba yang dikasihi.

Datuk sebak melihat keadaan cucunya.

Sementara suara tangisan Umar tenggelam timbul. Umar menaruh harapan tinggi, mengharap Tuhan memakbulkan doa datuknya untuk baba. Datuk bukan calang-calang orang di tanah kelahirannya. Doanya selalu makbul.

Datuk menekup wajah dengan kedua belah tangannya. Anak sekecil Umar tak faham, Tuhan tidak menjadikan setiap peristiwa ini tanpa ada sebabnya. Dia belum pernah melihat cucunya yang selalu ketawa itu seperti keadaan sekarang.

Datuk tidak mampu tunaikan permintaan Umar lalu menjadikan Umar yang kecil itu marah.

Nenek juga tak mampu tunaikan permintaan Umar, juga menjadikan Umar yang kecil itu kecewa.

Ibu, sudah lama wanita itu terdiam seribu bahasa, tak kedengaran suara walau sepatah. Hanya mata yang membengkak.

Jadi, kepada siapa dia mahu menagih simpati?

Ibu tetap dengan esak tangisnya, sedangkan Umar memandang nenek dan datuk dengan raut wajah marah. Kecewa kerana dia tidak faham mengapa kejadian ini berlaku kepada baba yang dicintainya. Mana pergi doa datuk dan nenek yang selalu dipuja puja masyarakat di sini sebagai doa orang alim-alim?

Semenjak peristiwa itu, Umar berubah menjadi pendiam. Paling ketara apabila Umar dibenarkan keluar dari rumah sakit. Terutamanya ibu yang dapat melihat Umar berubah. Hari-hari anak kecil itu hanyalah menangis meminta baba yang dicintai pulang semula.

Umar tahu ibu, datuk dan nenek tidak memahami perasaannya kini. Maka, dia membenci orang -orang kampung yang hadir menziarahinya di rumah datuk dan nenek atas dasar simpati. Walaupun kecil, Umar sendiri mendengar orang-orang yang menziarahinya melahirkan rasa simpati atas kehilangan baba di hadapannya. Sedangkan Umar sehingga hari ini, sudah genap dua minggu masih lagi tidak mampu menerima berita itu.

Sejak baba tidak muncul di hadapan matanya, sejak itu setiap kali sedar dari tidur, Umar berimpian mahu baba ada. Dia mahu memeluk baba seperti selalu. Umar rindu dipeluk baba. Tetapi itu semua hanya mimpi. Tiada upaya Umar menahan air mata dari merembes keluar sebagai tanda jiwanya kecewa.

Mata Umar membengkak.

Sejak Umar dibenarkan pulang ke rumah, cahaya mata anak muda itu tidak bersinar. Sinarannya yang ada seperti dilitupi sesuatu yang namanya kesedihan. Umar kehilangan hari-hari penuh warna dalam kehidupannya.

***********************

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy