Home Novel Islamik 7 Masjid Eropah
7 Masjid Eropah
fiona izy
10/6/2018 13:28:13
7,559
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 2

Umar berhenti menaip ayat seterusnya. Dia tiada idea untuk menyambung penulisan yang baru sahaja mencecah tiga muka surat. Hasratnya mahu menulis kisah seorang pemuda yang meminati Islam terbantut. Mungkin dia terlalu serabut dengan khabar yang baru sahaja diberitahu oleh ibu kepadanya siang tadi. Di hadapan komputernya, Umar mengimbau kembali kisahnya yang lalu.

 

Umar yang kecil.

Indonesia.

“Kenapa Baba?” Umar yang kecil bertanya maksud bunyi rungutan baba itu. Baba risau apabila berbicara tentang budaya malas anak muda negara kelahirannya.

Baba risau apabila berbicara tentang kehendak dirinya yang terlalu tinggi.

Baba risau dengan impiannya sendiri.

Baba berfikiran seolah-olah dirinya pemimpin dunia.

Baba mahu menyelesaikan masalah semua orang, tetapi baba tidak sedar dirinya punya masalah.

Tentang jiwa.

“Lihat bagaimana Khaleed boleh menjadikan sebahagian pendapatannya untuk membantu Afghanistan. Kita ini? Mahu membantu apa, Umar?” tanya baba. Suaranya dilontarkan dengan penuh semangat.

“Babakan menyumbang juga untuk UNCHR?” tanya Umar. Dia melihat sahaja baba membetulkan tali pinggang yang baru disisip kemas.

“Tetapi tidak banyak, Umar. Baba tidak dapat membantu mereka yang hidup merempat. Jangan lihat di kampung, lihat di kota ini pun sudah lebih dari cukup.

Umar terdiam. Ada perkataan yang sudah direncanakan secara ringkas dan pantas. Dan perkataan itu sudah sebati dalam dirinya yang suka bertanya itu dan ini, tetapi tiada jawapan.

“Mereka miskin tapi hidup mereka bahagia, kan Baba?” soal Umar.

Baba kelihatan mengeluh. Umar tidak mengerti perasaan Baba. Umar, anak yang tersepit dengan pergolakan yang terjadi dalam keluarganya sejak kecil.

“Ya, pasti banyak kehendak anak-anak ini tersekat.” jawapan baba berbunyi kecewa.

Berkerut dahi Umar. Dia memandang ke satu sudut jalan sebelah kiri, melihat apa yang sedang diperhatikan oleh baba. “Maksud baba?”

“Impian. Ramai orang yang bercita-cita tinggi, tetapi ramai di antara mereka yang selalu bercita-cita tinggi seakan-akan hilang di dunia ini, mungkin wang puncanya.”

“Apa dengan wang semua boleh selesai, Baba?” Umar yang bertanya itu tidak sedar kejujuran pertanyaannya menjadikan hati Baba terusik.

Baba diam. Dia pula berfikir kata-kata anaknya ini sekadar bertanya atau sedang menyindir?

“Er, iya. Kebanyakan.”

Umar diam.

Baba tahu dan boleh membaca apa yang sedang Umar fikirkan. Usia Umar yang baru sahaja menginjak 5 tahun tidak setimpal dengan soalan yang dikeluarkan. Umar anak yang bijak dan hal itu sudah lama baba perhatikan. Jadi baba sudah bersedia sejak dahulu dengan pertanyaan Umar yang kadang kala tidak terjangkau oleh fikiran Baba.

“Banyak sebab kadang-kadang mengapa kita hilang manusia berkualiti di dunia ini. Contohnya, mungkin di dunia ini ada orang yang lebih pakar dalam menulis buku sehingga berpotensi menjadi jutawan, tetapi orang itu hilang mungkin kemiskinan menghapuskan impiannya.”

“JK Rowling.” pantas Umar menyebut nama penulis tersohor dunia itu.

Umar dan Baba saling berpandangan.

“Iya, Jk Rowling. Kamu suka karyanya?”

Umar mengangguk.

“Umi ada membelikan buku Harry Potter.”

“Semua edisi kamu sudah baca?”

“Iya Baba.

“Bagus, baba suka jika kamu mencintai bacaan. Jadikan bacaan itu sebagai hiburan untuk kamu. Bukan hiburan itu kamu jadikan sebagai hiburan kamu, faham?”

Umar tersenyum.

“Ibu kata, Umar mengikuti banyak sifat yang ada pada baba.”

“Iya, contoh?”

“Ibu kata cara Umar berjalan, bercakap dan tabiat Umar sama seperti baba.” jawab Umar.

Baba ketawa.

“Kamu ambil yang baik-baik sahaja dari baba. Yang buruk kamu tinggalkan ya Umar.” pesan baba sebelum menekan pedal minyak. Kereta yang dipandu baba membelok ke kiri menukar haluan untuk melalui lebuh raya.

Umar diam. Setiap kata-kata baba ada maksud tersirat untuk dia fikirkan sendiri. Sayangnya Umar tidak mengerti lantas maksud tersembunyi yang ada pada tutur kata baba itu tidak diendahkan.

Dia membuang pandangan ke luar tingkap, pura-pura melihat langit sedangkan dia mahu melihat hati dan perasaan baba. Baba penuh rahsia, tidak semua faham dia.

Hari itu, hari yang malang untuk Umar.

Baba... baba tinggalkan Umar selama-lamanya.

Baba tinggalkan Umar menjalani hidup yang penuh dengan ilusi dan impian yang tiada jawapan.

Umar takkan lupa impian Baba yang satu itu. Tapi bagaimana?

Previous: Malam
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy