Home Novel Cinta pilihan terakhir
pilihan terakhir
sipencintapena
5/10/2018 09:16:50
14,050
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Part 5

Bienda memeluk erat tubuh Afiyah. Gadis yang telah dianggapnya seperti anak sendiri itu akan pergi meninggalkannya. Kehilangan sahabat baik memberi kesan yang mendalam dalam dirinya. Kini gadis itu pula yang ingin meninggalkannya. Bienda mengeluh perlahan.

Afiyah tersenyum hambar. Faham akan perasaan wanita itu.

"Ingat, Fiyah kena dengar cakap papa. Jangan nakal lagi macam dulu. Fiyah sekarang dah pun 20 tahun. Kalau kahwin pun dah elok sangat. Aunty tahu Fiyah masih tak boleh terima papa. Fiyah boleh mencuba sayang. Fiyah kena cuba untuk terima papa. Aunty tahu payah untuk Fiyah. Tapi Fiyah tak boleh nafikan kenyataan itu. Walau siapa pun papa Fiyah, dia tetap papa Fiyah. Papa kandung Fiyah," nasihat Bienda panjang lebar. Dia melepaskan pelukannya. Wajah gadis itu sudah hilang serinya.

"Kalau Fiyah nak balik semula kat sini, aunty ada. Fiyah jangan lupa jenguk aunty pula. Aunty akan rindukan anak dara aunty ini. Jaga diri baik-baik Fiyah," sambung Bienda sambil mengucup perlahan dahi Afiyah.

Afiyah tersenyum hambar sambil menggangguk perlahan. Dia sengaja tidak mahu membalas kata-kata wanita itu kerana takut air matanya tumpah lagi. Dia tidak mahu wanita itu turut bersedih dengan pemergiannya. Aunty Biendanya itu sangat baik hati. Wanita yang dianggap seperti mamanya sendiri itu telah bersama dengannya sudah hampir 7 tahun. Dia..., berpisah lagi dengan orang yang disayanginya.

Afiyah mengigit bibirnya kuat.

Terima kasih aunty.

Selepas mengucup telapak tangan wanita itu, dia terus berlalu tanpa menoleh lagi.

Bienda hanya memandang sayu satu persatu langkah gadis itu.

"Terima kasih banyak Bie sebab dah tolong jaga Fiyah. Kalau Bie perlukan apa-apa jangan segan untuk hubungi abang. Abang pergi dulu, jangan risau abang akan jaga Fiyah dengan baik," celah Datuk Hashim yang memerhati sedari tadi.

"Abang jangan biarkan Fiyah menangis lagi. Kasihan Fiyah, bang. Arwah tak pernah benarkan setitik pun air mata Fiyah menitis selama ini. Bie harap abang faham," balas Bienda dengan tegas.

Kalau ikutkan hatinya, dia memang tidak akan benarkan lelaki itu membawa Afiyah pergi. Tapi bila difikirkan dirinya yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan keluarga itu, dia akur.

Datuk Hashim mengangguk faham. Dia berlalu namun sempat memandang sekilas banglo yang telah banyak menyimpan cerita suka duka hidupnya suatu ketika dahulu.

Selamat tinggal Ain. Abang pergi dulu.

Bienda mengesat air matanya yang mula menitis perlahan. Tujuh tahun bersama dengan Afiyah sudah cukup membuatnya tidak ingin berpisah dengan gadis itu. Kelibat teksi yang membawa Datuk Hashim dan Afiyah telah lama menghilang namun Bienda masih tegak berdiri di tempatnya.

Masih adakah lagi pertemuan untuk hari esok...?

*****

Aliya merenung lama seraut wajah yang sedang tidur lena itu. Cantik! Perlahan senyuman terukir di bibirnya.

Dia mimpi ke? Tiba-tiba aje dia mempunyai seorang kakak. Kakak yang seumur dengannya pula itu. Memang sukar untuk dia percaya. Tapi itulah kenyataanya. Papa memang hebat!

Aliya tergelak kecil. Geli hati dengan kata hatinya sendiri. Namun tiba-tiba gelaknya terhenti apabila Afiyah membuka matanya.

Afiyah terkedu, Aliya terpana. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa sepatah kata. Lidah kelu tanpa bicara. Afiyah mendengus perlahan. Aliya serba salah apabila Afiyah memalingkan wajahnya ke arah lain.

"Err..., saya Aliya tapi boleh panggil Liya aje " Aliya bersuara takut-takut. Melihat tiada reaksi daripada Afiyah, Aliya memberanikan diri menyentuh jemari gadis itu. Sekali lagi Afiyah terkedu dengan tindakan berani Aliya. Dia menepis pantas tangan gadis itu. Giliran Aliya pula yang terkedu. Dia tidak menyangka reaksi kasar daripada gadis itu.

"Don't touch me! Kau jangan nak tunjuk baik kat sini. Aku tak suka!!"

"Fiyah,"

"Tak faham lagi??!!" pintas Afiyah bengis memandang Aliya.

"Berambuslah!!" jerit Afiyah kuat. Aliya yang terkejut pantas berlalu. Dia menutup pintu bilik Afiyah dengan perasaan yang berbaur.

"Liya, kenapa ni? Fiyah dah bangun?" tegur Datuk Hashim yang baru sahaja keluar dari biliknya.

"Belum papa. Letih agaknya. Takpelah pa, kita tak payahlah kejutkan Fiyah dulu. Biarkan Fiyah berehat," balas Aliya tersenyum manis sebelum menarik lengan Datuk Hashim untuk turun ke tingkat bawah. Datuk Hashim hanya mengangguk setuju. Aliya mengeluh dalam diam.

What next?


Previous: Bab 2
Next: Part 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh sipencintapena