KERETA bergerak pulang ke rumah yang dijangka mengambil masa beberapa jam dari KLIA. Maklumlah, tinggal di luar bandar yang penuh dengan pokok-pokok getah dan sawit. Huna yang teruja untuk pulang, penat malah tertidur dalam perjalanan. Mungkin sebab jet lag lah ni, hati Luthfi menuturkan anggapan spontan.
Setibanya di kampung, Huna terjaga dan menoleh keluar tingkap kereta. Hatinya sebak melihat tanah tempat membesarnya selepas empat tahun tidak pulang. Kebetulan pula, kereta yang dinaiki Huna dan Luthfi merentasi ladang getah — ladang yang terletaknya kubu rahsia mereka sewaktu kecil dahulu. Terkenang Huna akan permainan lastik biji getah yang selalu dimainkannya seperti paintball.
Duuushhhhh...
Buah getah terkena dada Luthfi menyebabkan dia terpaksa berhenti bergerak (peraturan permainan). Luthfi dengan laju mengira dari satu hingga lima puluh sebelum kumpulan Adam datang merampas lastiknya supaya ‘sumpahan tidak boleh bergerak’ boleh dibebaskan.
Adam, ketua kumpulan lawan, dengan pantas berlari ke arah Luthfi sambil mengelak biji getah yang dilastik kumpulan Luthfi.
“Julia! Zulaika! Tembak Adam cepat! Kalau tak, nanti kita kalah!”
Teriak Luthfi nyaring dengan harapan Julia dan Zulaika yang sedang menyorok di sebalik pokok getah mendengar.
Julia dan Zulaika tahu Luthfi memegang batang lastik bertanda. Jika lastik itu dirampas, kumpulan mereka akan kalah serta-merta. Namun, tembakan mereka mudah dielak oleh Adam. Dengan gaya ahli perisikan terhebat, Adam mengangkat bibir ke kanan, tersenyum licik — sedar akan kemenangannya.
“Yay!!! Kita menang, Melin, Huna. Kita menang!!!”
Jerit Adam sambil memegang lastik yang bercat biru di tapaknya.
“Tak tahu lah nak raikan ke tidak. Kalau geng dengan Adam, mesti dia saja yang main,”
balas Amalina kecewa, memandang Huna yang masih lagi mencuba menarik tali lastik yang tidak menjadi. Tanpa sedar, dia merengus nafas perlahan — tanda sabar.
“Eh tak mengapalah. Asalkan kita menang,”
kata Adam, kemudian ketawa berdekah-dekah kepada kumpulan Luthfi yang kalah.
Luthfi melihat semua sahabatnya mula bosan, berpaling ke arah pondok, dan terfikir idea untuk menambah keseronokan. Dia memandang rakan-rakannya sekali imbas dan langsung mengungkapkan cabaran yang menarik perhatian semua:
“Siapa yang sampai dulu dan sentuh pokok getah tu, dia menang,”
ujar Luthfi sambil mengangkat jari telunjuk ke arah pokok getah berhampiran pondok kecil — kubu rahsia mereka.
Semua bersemangat merebut kemenangan apabila mendengar cabaran Luthfi Dil.
“Satu, dua, tiga!!!”
Gesanya pantas, tidak sempat rakan lain bangun dan peka dengan kiraannya.
Lantas Zulaika, Amalina, Julia serta Adam berlari dengan kelajuan maksimum selepas melihat Luthfi mendahului. Huna yang masih bermain lastik tersentak, menyampak lastik ke tanah dan menghayun kakinya laju kerana sudah ketinggalan. Mereka melepasi beberapa pokok getah, seorang satu lorong.
Adam dari belakang, sekali lagi mengangkat bibir ke kanan dan kening bangganya — memintas Julia, Amalina, Zulaika dan Luthfi sekaligus merampas kedudukan pertama. Dia menyentuh pokok getah yang ditunjukkan Luthfi di awal perlumbaan dan melompat gembira.
“Yahuu! Aku menang lagi!”
Riaknya penuh bangga, namun bila menoleh ke belakang — tiada sesiapa.
Mana semua orang? desis hatinya.
Tiba-tiba, terdengar dekahan Zulaika kuat di sebelah kiri. Dia menoleh — semua orang sedang menyentuh pokok getah lain sambil menahan gelak.
“Hahaha...” perlahan Adam ketawa cuba membentak,
“Tadi kau cakap pokok ni kan? Kenapa pula nak pokok tu?”
“Rileks-lah Dam. Kita main-main je. Janganlah marah. Lagipun memang Luthfi tunjuk pokok ni tadi. Kau yang salah tengok.”
Pujuk Zulaika pada Adam yang mula berasap.
“Entah! Dah kalah tu kalah lah. Jangan nak salahkan orang lain pula. Haha.”
Sindir Luthfi — awalnya bergurau, tapi tak sedar dia mencurah minyak ke api marah Adam.
Adam mendekati Luthfi, meramas kolar bajunya dan mengagah mata. Luthfi pula menggenggam lengan Adam cuba melawan.
Budak-budak perempuan serentak menjauh, takut. Mereka cuba halang pergaduhan dengan kata-kata.
Tiba-tiba, suara manis si kecil mencuit hati semua.
“Abang!!!”
(Kemudian perlahan...)
“Huna nak... kencing...”
Ujar Huna, pipi merah.
Adam dan Luthfi menoleh, saling berpandangan. Terkejut. Kemudian serentak meletus ketawa. Julia, Amalina dan Zulaika turut terhibur dengan spontan Huna.
“Kita kan brothers. Tak gaduh tak faham lah sifat sebenar kita. Dari umur empat tahun sampai sekarang; darjah satu aku kenal kau. Gaduh-gaduh, nanti baik semula.”
Jelas Luthfi.
“Cis, geram pula aku tengok kau ni. Rasa nak peluk kau rapat-rapat biar muka kau hodoh.”
Adam mendakap Luthfi, dan mengemaskan pelukannya hingga Luthfi tercungap.
Huna yang menahan kencing kini sudah membongkok, tergesel-gesel — dilihat Zulaika.
“Wei, Huna nak buang air tu. Jom lah balik rumah sekarang. Jangan bermanja sangat lah. Dah nak senja dah pun. Cepat!”
Adam dan Luthfi terus pucat. Zulaika marah. Mereka berhenti bergurau.
Luthfi pegang tangan Huna. Semua pulang ke rumah masing-masing dalam kelompok kejiranan — kecuali Julia dan Zulaika yang tinggal lebih jauh. Jadi mereka selalu berkumpul dan bermain bersama. Pulang pun melalui jalan yang sama.
Dalam perjalanan, Amalina dan Zulaika bergilir mengunci leher Adam sambil melompat-lompat sebagai hukuman bergaduh. Adam memang kalah dengan Amalina, lagi-lagi Zulaika yang perangai macam lelaki. Huna dan Julia hanya ketawa kecil dari belakang.
Azan maghrib berkumandang. Huna dan Luthfi tiba di rumah Mak Long dan Pak Long mereka.
“Dah, pergi lah tandas tu.”
Cakap Luthfi, melihat Huna menggeliat tahan kencing.
Huna melambai pada Julia dan lain-lain, berlari ke rumah sehingga terpelanting selipar ke muka Luthfi.
“Hu....naaaa!!!”
Jerit Luthfi.
“Ya... ya... aa... abang!”
Terperanjat Huna — di dalam kereta. Suara abang itu memecah bayangan silamnya.
Luthfi ketawa, menggeleng kepala. Senyum.
“Jom, alang-alang dah lalu sini, kita melawatlah sekejap.”
Ajaknya sambil keluar dari kereta.
Huna pusing kepala epalnya ke tingkap. Terharu. Ladang getah penuh memori pahit dan manis kini betul-betul di depan mata.
Luthfi keliling kereta ke pintu Huna, buka dan berkata:
“Dah... sudah sudahlah mengelamun. Jom! Abang dah tolong buka pintu dah.”
“Baik... baik. Eh, jap abang!”
Huna capai beg tangan, keluarkan sesuatu berbulu ayam merah, masukkan ke poket seluar.
Sebaik keluar berdiri menghadap ladang, angin sejuk sepoi-sepoi meniup tudungnya. Kolam air mata menunggu masa jatuh.
Luthfi diam, mengerling dari belakang. Senyumnya bangga.
Huna tiba-tiba toleh ke belakang. Luthfi tersentak.
“Abang, Pak Long dah upah orang ke?”
“Lama dah upah, sebelum kau pergi Australia lagi dah upah. Nyanyuk lah tu.”
“.....”
“Yelah, yelah.”
Luthfi cuba tukar topik.
“Ni nak tengok je ke atau nak jalan-jalan dalam tu dulu?”
“Hmm... Sebenarnya Huna ada satu benda nak dibereskan. Huna nak abang jangan ikut walau apa pun berlaku. Boleh?”
Huna renung tajam. Luthfi angguk — tak kisah.
Huna masuk ke ladang. Luthfi ikut dari jauh dan menyampuk:
“Kalau Magus kejar, abang tak kisah tau, Huna.”
“Beres bos!”
Jawab Huna pantas sambil angkat tangan — tak toleh pun.
Dalam hati, Huna berbisik:
“Magus. Aku masih ingat nama yang aku beri kepada anjing liar yang kejar aku dan Julia."
“Magus? Apa benda Magus tu, Huna?” tanya Zulaika dengan nada iras-iras lelaki.
Huna yang sedang melukis gambar seekor anjing bertulisan ‘MAGUS’ di atas kertas di pondok tidak mendengar soalan tersebut kerana terlalu ralit melukis. Namun, Julia yang peka dengan pertanyaan Zulaika segera menyahut.
“Oh, nama tu nama anjing liar yang kejar kami hari tu. Huna bagi nama tu sebab dia suka nama tu. Kan? Huna?!”
Huna memandang Julia, kemudian menjawab perlahan:
“Betul, betul. Huna rasa Magus tu ada masalah kesihatan. Jadi, bukan salah dia juga kejar kita. Huna rasa Magus tu haiwan yang baik. Walaupun kita haram memegangnya, kita mestilah hormat akan kewujudannya.”
“Merepek saja kau ni, Huna. Baik kau jangan dekat dengan haiwan tu. Bahaya, kau tahu? Jangan bagi makan dan jangan sesekali layan dia. Faham tak?”
“Faham...” jawab Huna perlahan — tapi ketika itu dia bersendirian dalam ladang getah.
“Oiii... Cik gila ke? Cakap dengan siapa tu?” sindir Luthfi yang terdengar suara Huna dari belakang, lalu ketawa sendiri dengan sindirannya.
Huna mengabaikan kata-kata Luthfi dan terus berjalan ke dalam ladang tersebut, semakin dalam — lebih kurang enam meter dari tempat abangnya berdiri. Luthfi mula risau dan memanggil:
“Oit, Huna. Jauh dah tu. Nak pergi mana?”
Huna tidak menjawab. Dia terus berjalan hingga sejauh hampir sepuluh meter dari Luthfi, lalu tiba-tiba menghentikan langkah. Matanya tertumpu ke arah semak-semak lebih kurang lima meter di hadapannya. Ada sinar bulat sedang memancar perlahan ke arahnya — berkilau samar dalam redup ladang getah.
Namun, Huna tidak gentar. Malah, senyum yang terukir di bibirnya persis gaya Adam ketika menyindir — seakan-akan menyambut sesuatu yang sudah lama dia tunggu.
“Lama juga kau hidup. Terakhir aku jumpa kau... ooh... dah lebih tiga belas tahun aku tinggalkan kau. Kau makin besar ya...”
ucap Huna sendirian, perlahan, seolah-olah menegur seorang teman lama.
Tiba-tiba, jeritan Luthfi bergema di seluruh ladang:
“Lari!!! Huna!!!”
Jeritan itu menyentak seluruh tubuh Huna. Tapi bukan sekadar jeritan — ia seperti déjà vu. Bunyi yang sama. Nada yang serupa. Tapi suara itu bukan suara Luthfi dewasa. Ia... suara budak darjah enam.