Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
50,037
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

Bab 3

Daun pintu rumah terkuak. Seorang gadis yang masih lengkap berpakaian kerja melangkah masuk. Jam dinding sudah menunjukkan angka sembilan malam. Tetapi, si gadis baru pulang ke rumah meskipun waktu pejabat berakhir jam lima setengah. Ia sesuatu yang normal di dalam dunia serba abnormal ini. Dengan ekonomi yang gawat seperti sekarang, ramai persaing-pesaing yang menunggu untuk menerkam, merebut lompong-lompong peluang kerja yang ada.

Unemployment rate terus meningkat. Kalau pun menurun sedikit, bukannya disebabkan lebih ramai orang mendapat kerja tetapi disebabkan semakin galak orang keluar dari labor force. Had umur persaraan yang dilanjutkan barangkali menyukarkan labor force yang baru lepas graduate dan belum memiliki pengalaman kerja. Majikan lebih suka menggajikan pekerja yang sudah mahir untuk mengurangkan kos latihan. Jadi, tenaga kerja muda seperti Sufi perlu berusaha keras dan bersedia untuk bersaing secara sihat untuk mengekalkan kerja yang ada.

Sufi bukan datang dari keluarga yang kaya. Dia juga tak punya suami untuk menanggung atau setidak-tidaknya meringankan sedikit kos perbelanjaan hariannya. Jadi, berhenti kerja atau diberhentikan kerja bukan opsyen. Tak kerja maknanya tak ada duit dan tak ada duit maknanya tak ada makanan.

“Assalammualaikum,” ucapnya dengan muka yang tak punya perasaan.

Dahi Akma berkerut-kerut sewaktu memandang Sufi.

“Waalaikummussalam.”

Sufi mendongak sedikit, sebagai isyarat untuk bertanya ada apa yang sedang berlaku sehinggakan Akma sedih.

“Kau tau tak Wawa Zainal dengan Aeril Zafril dah kahwin?” soal Akma dengan riak wajah yang sedih, seakan seperti mahu menangis.

Sufi memandang lagi. Tetapi kali ini dengan air muka pelik.

“Sufi, mereka dah kahwin,” cetus Akma sekali lagi sebelum mengeluh. Gesture Akma adalah riak normalnya tiap kali ada artis lelaki yang di bawah usia tiga puluh tahun dan mempunyai wajah yang dalam kategori tampan mendirikan rumahtangga. Ya, ia sesuatu yang menjengkelkan. Tetapi, itulah kenyataannya.

“Siapa tu?” soal Sufi kembali.

“Artis,” jawab Akma. Dia menumbuk bantal, melepaskan geram meskipun dia tahu dia takkan menikah dengan Aeril kalaupun lelaki itu belum menikah dengan Wawa Zainal. Jangan katakan kenal, pernah bersua-muka pun tidak.

“Oh.”

“Aku baru aje nak berangan nak mengorat si Aeril. Kau tau tak dia comel? Aku suka sangat lelaki muka macam tu.”

“Oh,” balas Sufi dengan sepatah perkataan yang sama.

Sejujurnya, Sufi tidak faham. Mungkin kerna dia tidak punya masa untuk membaca majalah gosip mahupun menonton televisyen. Tetapi, setidak-tidaknya dia ada kerja untuk menyediakan makanan yang cukup di atas meja rumah sewanya dan mengirimkan sejumlah dari wang gajinya kepada ibunya di kampung halaman. Jangan bersungut, Fi, cetus hatinya. Ucapkanlah Alhamdulillah.

“Tahu?” soal Akma.

Sufi menggeleng.

“You don’t have a life, Sufi. Kerja! Kerja! Tu aje kau tau!” bebel Akma dengan tidak semena-menanya.

Suara Akma bagai halilintar yang menyucuk ke lubang telinga Sufi walaupun ketika saat itu dia berangan untuk menjadi seorang positif. Keyakinannya punah. Musnah bagaikan cili yang terlumat menjadi sambal. Musnah bagaikan kapal terbang MAS yang terhempas di Kudat baru-baru ini.

Tuduhan Akma dirasakan kejam. Mungkin bukan hanya tuduhan. Cara hidup Akma dan perbualan Akma selama ini sering membuatkan dia rasa hidupnya membosankan. Semua tentang Sufi tidak kena. Semua tentang Akma menarik dan bombastik.

You don’t have a life. Dalam bahasa ibundanya, ia bermaksud dia tidak mempunyai hidup. Kalau dia tidak mempunyai hidup, bagaimanakah dia boleh bernafas? Dia sedang menyedut udara yang sama seperti Akma. Adakah Akma tak nampak yang dia boleh menggerakkan tubuhnya? Dia bukan objek statik.

Tetapi, ia hanya direct translation. Dia tahu apa yang Akma maksudkan. Akma cuba memberitahunya, yang dia perlukan lebih banyak waktu senggang untuk bersosial. Barangkali Akma mengharapkan dia mendapat teman serumah yang persis dirinya sendiri. Bukan Sufi. Sufi hanya gadis membosankan yang selalu cuba menjadi rasional.

Akmarina Lydia Hamzah. Gadis itu tampak menyeronokkan. Akma memperlihatkan dunia yang indah dan berwarna-warni. Dia punya masa untuk segala-galanya. Katalah apa saja. Senam aerobik dan jogging di hujung minggu. Melepak dengan kawan-kawan sehingga ke lewat malam. Membaca majalah hiburan semasa waktu kerja. Shopping tanpa menanti musim sales. Duit poketnya tak pernah kering meskipun dia keluar kerja jam sembilan dan pulang tepat pukul lima setengah. Sufi sungguh cemburu. Akma adalah salah seorang pekerja bertuah yang mendapat kerja di syarikat bapa saudaranya sendiri.

Kerja. Oh, kerja! Bagaikan masih ada nombor-nombor dalam stock valuation model yang sedang menari-nari di depan Sufi sekarang. Sungguh traumatik. Dalam masa dua puluh empat jam sehari, Sufi menghabiskan sekurang-kurangnya lima belas jam sehari untuk bekerja dari hari Isnin ke Jumaat. Kalau dia beriadah seperti Akma, maksudnya dia terpaksa mengorbankan masa tidurnya.

“Apa kau lukis kat muka kau ni Akma? Nombor-nombor ni?” keluh Sufi. Dia menggosok mata sekejap. Nombor-nombor itu menghilang. Yang ada hanyalah Akma yang sedang terkebil-kebil memandangnya.

“Nombor apa pula ni? Macam tak betul aje kau ni. Baik kau pergi naik mandi dulu. Rimas aku tengok kau ni tau tak,” suruh Akma.

Sufi menganggukkan kepala. Dia berlari naik ke atas, ke biliknya. Beg kerja dilemparkan atas katil. Dia menarik tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Bunyi shower kedengaran beberapa minit kemudian.

Mandi. Itu perkataan yang indah sebaik saja dia menanggalkan heels pejabat yang mendera tumit. Merasai air suam dari heater yang kekadang sihat kekadang tidak itu cukup menenangkan. Atau setidak-tidaknya sketario itu lebih indah dari mengadap valuation model excel yang mengeluarkan status error di sana sini.

Selepas mengeringkan rambut, Sufi melangkah keluar. Tualanya dilemparkan ke atas rak. Dia terus terjun di atas katil. Cukuplah bekerja untuk hari itu. Sufi tidak bercadang untuk mencari alunan lirik untuk melodi kemas yang baru diberikan kepadanya tadi. Datelinenya minggu depan. Sufi akan memulakan tugasan barunya itu esok. Ia bukan sesuatu yang menyukarkan baginya.

Tidur adalah perkataan yang lebih indah dari mandi bagi Sufi. Tidur membuatkan manusia hidup diawangan-awangan, mengecap mimpi yang tak dapat dijejak di dunia realiti. Tetapi tidur tak semestinya boleh dikecepi selepas mandi. Terutama kalau ada housemate yang hanya perlu menjerit lantang dengan suara yang berfrekuensi tinggi untuk memaksa anda meninggalkan katil dan tilam empuk.

“Sufi, turun! Ada orang telefon kau!” jerit Akma dari tingkat bawah, membantutkan hasrat Sufi untuk menutup mata.

Daun pintu bilik Sufi terkuak. Dia melangkah keluar dalam dress tidur berwarna ungu dialasi dengan bathrobe. Kakinya melangkah laju, menuruni akan tangga dari tingkat atas. Dia menggagahkan diri menghadiahkan senyuman buat Akma sewaktu mengambil ganggang telefon.

“Ya,” ucap Sufi sepatah.

“Assalammualaikum,” ucap Izam.

“Waalaikummussalam,” jawabnya.

“Sufi dah makan?”

Sufi tersenyum. Dia kenal suara itu. Hah, sesuatu yang juga indah selain mandi dan tidur adalah mengetahui ada orang yang tulus menyayangi dirinya. Setidak-tidaknya, kalaupun fakta itu tidak sahih, berangan sekejap pun jadilah. Setelah penat bekerja saban hari, merasakan seseorang menghargai anda menimbulkan perasaan aneh yang membahagiakan sekejap. Diulangi, perasaan itu hanya datang sekejap baginya.

Selepas bekerja dengan mesin rekaan manusia seperti bloomberg terminal dan double monitor desktop setiap hari, pemikiran Sufi semakin menyerupai mesin. Datum diproses menjadi data dan dicerna menjadi informasi yang boleh melipat gandakan duit pelabur. Dimarahi fund manager apabila pelaburan mereka merugikan adalah perkara normal dengan pergerakan rambang harga saham disebabkan gangguan speculators. Barangkali disebabkan tekanan kerja seperti mesin itulah yang memaksa Sufi menjadi penulis lirik lagu sambilan. Ia mengembalikan naluri manusia dalam diri Sufi.

“Er, Sufi... Zam tanya Fi dah makan?” ulang Izam apabila Sufi tidak menjawab.

Lamunan Sufi mati.

“Dah. Izam?”

“Dah juga. Izam call ni sebab Izam nak tanya kalau Sufi free esok. Izam nak ajak Sufi tengok movie, cerita The Perks of Being a Wallflower,” ajak Izam yang masih malu-malu. Ini kali pertama dia mengajak seorang perempuan keluar setelah kehilangan cintanya lima tahun yang lepas.

Sufi tertawa.

“Macam mana Izam tau Sufi nak tengok cerita tu?”

“Lucky guess. Zam dengar dari kawan-kawan yang ceritanya unik. Jadi, teringin pula nak tengok. Lagipun, Zam tau Sufi sukakan sesuatu kelainan, cerita yang tidak tipikal dan mengajak kita berfikir,” balas Izam. Dia sudah mampu melakarkan senyuman lebar. Harapannya cerah.

“Mana ada.. Sufi tengok aje semua cerita. Kalau tak tengok lagi, bukannya tahu cerita tu unik. Mengarut aje Zam ni,” dalih Sufi.

Izam tertawa.

“Tapi, cerita tu dah lama kan? Tak sangka pawagam main lagi. Zam dah beli tiket?” soal Sufi.

“Eh, tak. Cerita tu dah tak ada kat pawagam lagi. Zam beli dvd. Nak tengok dengan Sufi dan mama kat rumah kami.”

“Err... kat rumah mama Zam? Serius? Tak naklah, Zam. Seganlah,” luah Sufi.

“Janganlah macam tu. Mama Zam suruh ajak. Dia teringin nak jumpa Sufi. Anggap macam biasa aje. Tak ada apa pun, Fi. Mama Zam tak makan orang. Lagipun, mama Zam pandai masak tau,” luah Izam, menjerat. Dia memang sudah lama mahu membawa Sufi berjumpa ibunya.

“Tak apalah,” tolak Sufi.

“Bolehlah. Zam janji kalau Sufi tak selesa, Zam akan hantar Sufi balik awal,” luah Izam, bersungguh.

“Tapi...”

“Please, Fi.”

“Okay,” jawab Sufi.

“Okay as a gesture atau okay sebab Sufi sudi temankan Zam tengok movie dengan mama?” soal Izam.

“Let’s see...” luah Sufi, nakal.

“Sufi!” panggil Izam, sedikit kuat nadanya. Dia jadi geram tiap kali Sufi cuba main-main begitu. Izam mahukan kepastian. Dia tak suka main tarik tali. Takut tali yang digenggamnya terputus.

“Fine.. Okay for both,” jawab Sufi.

“Great! I jemput you pukul 8.30 malam esok? Zam belikan dvd lain sekali tau sebab takut cerita tu tak sesuai dengan mama Zam. Kalau tengok jalan ceritanya tak elok, kita tukar cerita ya?” soal Izam.

“Okay, tak kisah pun. Jumpa esok.”

“Okay. Jangan lupa tau. Assalammualaikum. Selamat malam, Fi. Mimpi yang indah-indah, okay?” ucap Izam dalam suara keriangan.

“Waalaikummussalam. You too,” balas Sufi sebelum meletakkan ganggang telefon. Dia melabuhkan punggung di sebelah Akma yang sedang menonton siaran langsung pertandingan badminton.

“Izam Zainal? Pemain badminton negara yang handsome tu?” soal Akma.

Sufi tergelak.

“Nope. Izam Ashraf, seorang lelaki simple yang bekerja sebagai travel agent,” jawab Sufi, membetulkan tanggapan Akma yang sememangnya menggilai sukan badminton. Akma melekat poster Izam Zainal di segenap penjuru biliknya.

Akma menghela nafas lega.

“Nasib baik. Ada lagi harapan aku,” jawabnya.

Sufi tertawa lagi.

“Kau patut berhenti sukakan selebriti. Kejap Aeril. Kejap Izam. Cuba suka lelaki yang bukan selebriti yang selalu keluar TV,” luah Sufi sambil menepuk bahu Akma yang masih ralit menonton televisyen.

“Hello? Kau lagi bermasalah dari aku. Kau tu patut berhenti couple untuk beberapa bulan, lepas tu putus.”

Sufi resah sekejap.

“Apa kau cakap ni?” soalnya.

“Boyfriend pertama kau lelaki berlagak yang ended up sukakan awek Singapore yang cun. Boyfriend kedua kau grafik designer yang tak ada pegangan, jadi gelabah lepas ex-girlfriend dia datang serang dia bila dia cakap dia nak kahwin dengan kau. Boyfriend ketiga kau, chef yang kaki pukul. Boyfriend keempat, err... kenapa ya, kau break-up dengan dia?” ungkit Akma.

Sufi menjongket bahu.

“Entah. Masa tu aku baru break-up dengan boyfriend yang kaki pukul. Banyak sangat drama. Aku dah bersedia untuk hidup seorang tapi dia muncul. Dia terlalu pushy, self-centered dan ego. Aku tak boleh cope,” jelas Sufi.

“Apa nama dia?” soal Akma.

Sufi menjongket bahu lagi.

“Entah, aku dah lupa. Dah tiga tahun. Aku date dengan dia tak sampai tiga bulan pun,” jawabnya.

“Mamat Izam ni pulak?” soal Akma.

“Dia family guy, tinggal dengan mama dia. Baik dan tau bertolak-ansur. Lagipun, dah tiga tahun aku break-up dengan ex-keempat aku. Aku rasa aku dah bersedia untuk kenal orang baru dan settle down. Aku dah lebih matang sekarang, Akma. Aku dah boleh bezakan yang baik dan yang buruk.”

“Aku suspicious dengan ex-keempat kau tu, Fi,” ucap Akma secara tiba-tiba meskipun Sufi mengatakan dia tidak mengingati nama lelaki itu lagi.

“Kenapa?”

“Lima bulan lepas Fared tinggalkan kau sebab awek Singapore tu, kau couple dengan kawan baik kau, Hadi. Korang dah plan nak kahwin lepas tu, tapi lepas tu ex-girlfriend dia datang serang kau dan Hadi tak boleh buat keputusan nak pilih siapa. So, kau tinggalkan Hadi. Tujuh bulan lepas tu, kau couple dengan Chef Shahrin yang kononnya Mr. Nice Guy. Lepas tu, kau dapat tau dia tak pernah break-up dengan girlfriend dia, korang gaduh dan dia start pukul kau sampai mak dia report polis sebab nak protect kau...”

Sufi kelihatan bengang.

“Motif kau ungkit semua ni?” soal Sufi.

“Kau nampak tak pattern kau, Sufi? Walaupun mereka seksa perasaan kau, kau selalu bangkit semula dan cuba lagi. Tak sampai setahun, kau ambil keputusan untuk cuba lagi. Lepas ex-keempat kau, kau ambil masa tiga tahun. Tiga tahun untuk recover, Fi? Why? Sebab tu aku suspicious,” ungkit Akma.

“He’s my crazy ex, Akma. Dia buat hidup aku huru-hara. Dia buat aku rasa bersalah, berdosa sebab tinggalkan dia.”

“Jadi, mustahil kau tak ingat nama dia, kan?” duga Akma.

Sufi menjeling. Dia tahu Akma sedang menduga perasaannya.

Adakah dia masih menyukai, Hashir? Jawapannya, tentulah tidak! Lelaki itu sudah dilupakan. Dia tahu dia dan Hashir takkan bersama lagi. Mereka berdua ego, keras kepala. Mereka kontra dalam semua perkara. Kalau berbicara, asyik bergaduh. Kalau berjumpa, asyik memasamkan muka. Lebih baik mereka berpisah. Lima kali dia meminta perpisahan. Kali kelima, Hashir menerima dengan lafaz benci.

Tiga tahun berlalu. Dia sudah bersedia untuk bermula semula dengan Izam. Usianya kini sudah mencecah dua puluh sembilan tahun. Sufi bukan lagi gadis naif yang akan menangis kerana kehilangan cinta. Dia sedar cinta sesama manusia takkan berkekalan. Hanya satu cinta yang abadi, cinta buat Maha Pencipta.

“Sufi, kau ingat nama dia kan?” soal Akma, membunuh lamunan Sufi. Fikiran Sufi yang tadi terbang, turun menjijak bumi.

Sufi bangun dari sofa.

“Hashir,” ucapnya sepatah sebelum berlari naik ke tingkat atas rumahnya. Dia terus masuk ke biliknya.

Tubuhnya disandarkan ke belakang pintu. Kenangan lama mereka meresap ke dalam ruangan ingatan. Sayang, kenangan itu tidak datang dengan rasa bahagia, sebaliknya derita. Dia sungguh tidak bersedia untuk bercinta semula tika itu. Apatah lagi dengan Hashir yang cukup pentingkan diri dan suka memaksa.

Obsesi Hashir terhadap diri sendiri menyakitkan Sufi. Bagi Hashir, hanya dia yang betul. Orang lain dianggapnya bodoh. Sufi sendiri tidak tahu kenapa dia menyintai lelaki yang sejak awal lagi suka mengguris perasaannya itu. Mungkinkah kerana emosinya tidak stabil tika dia bertemu dengan Hashir?

Ya. Tika itu, dia baru dicederakan dengan tragis oleh cinta-cintanya yang terdahulu. Sufi hampir berputus-asa dalam cinta. Malahan dia merasakan yang dia tidak akan menempuh alam rumah tangga buat seumur hidupnya. Dia hanya mencari bahu untuk bersandar, untuk melepaskan lelahnya sekejap.

“Interesting, kan?” soal Sufi.

“Movie tadi? Teruk gila. Hash tak faham sepatah haram pun. Bayangkan diri sendiri macam swan? Gila?!” cetus Hashir.

“Black Swan cerita mainan psikologi. Cerita dia memang pasal kegilaan. So, memang gila,” balas Sufi.

“Orang yang suka movie macam tu pun gila sekali,” tuduh Hashir.

“Hash tuduh Sufi gila?”

Hashir ketawa. “Kau memang gila pun.”

Sufi menjeling.

“Motif?”

Hashir menjongket bahu.

“Jom minum buble milk tea, nak?” soal Hashir secara tiba-tiba, menukarkan topik perbualan mereka.

“Hash, nantilah!” jerit Sufi apabila Hashir berlari turun dari anak tangga yang menghubungkan tingkat bawah dengan pawagam di atas. Sufi cuba mengejar tetapi langkahnya lembab disebabkan heels yang dikenakannya.

“Slowlah! Jalan terkedek-kedek macam itik. Itik pun jalan lagi laju dari kau,” rungut Hashir.

“Fi pakai heels,” jelas Sufi.

“Siapa suruh Fi pakai heels?” soal Hashir, tampak bengang.

“Hash yang selalu ejek Fi pendek,” ungkit Sufi.

“Sebab kau memang pendek,” balas Hashir.

Sufi terdiam. Dia tunduk sekejap, menanggalkan heels yang dipakainya. Tanpa rasa segan, dia melangkah dalam keadaan berkaki ayam sambil memegang kedua-dua belah heelsnya. Ketinggiannya hanya separas bahu Hashir. Lelaki itu pula memiliki leher yang jinjang, membuatkan dia tampak jauh lebih pendek.

“Nak air apa?” soal Hashir setiba di booth bubble milk tea.

“Tak nak,” jawab Sufi, dingin.

“Bubble tea peach satu. Untuk girlfriend saya yang muka masam ni, bagi air asam boi,” order Hashir, menambahkan lagi kemarahan Sufi.

Hampir meleleh air mata Sufi sewaktu mendengar pesanannya. Malang sungguh rasa hati berpasangan dengan Hashir. Baru dua minggu dia menerima kehadiran lelaki itu, dia sudah terpaksa menerima layanan sedingin sekarang. Kalaulah dia berkahwin dengan Hashir, agaknya makin buruk layanan Hashir terhadapnya.

“Nah, ambik!” suruh Hashir selepas membayar minuman mereka, dia menghulurkan cup bubble tea tadi kepada Sufi.

“Kan Fi dah cakap Fi tak nak,” tegas Sufi tanpa menghiraukan air yang dihulurkan Hashir.

“Selalu ketagih sangat minum peach tea. Hari ni tak nak pulak,” rungut Hashir sambil memberikan pandangan pelik kepada Sufi.

Sufi tersentak sekejap. Dia melihat cup bubble milk tea perisa peach yang dihulurkan Hashir tadi. Air yang sedang diteguk Hashir bukannya peach tea seperti sangkaannya tetapi air asam boi yang kononnya dipesan untuk Sufi tadi.

“Ambiklah, orang dah beli!” suruh Hashir.

Sufi menyambutnya.

“Dahlah. Tak payah nak pakai heels. Buat sakit kaki aje. Kalau Hash tak suka Fi sebab Fi pendek, takkanlah Hash nak mengorat Fi, nak jadikan Fi girlfriend Hash,” luah Hashir dalam nada selamba tanpa memandang Sufi. Dia memasukkan hujung straw air asam boinya ke dalam mulut.

“Okay,” balas Sufi sepatah.

Hashir menoleh sekejap ke arahnya, melihat wajahnya yang malu-malu apabila orang di sekeliling mereka memberikan pandangan pelik kepadanya apabila menyedari dia sedang berkaki ayam.

“Pegang kejap,” suruh Hashir.

Kalang-kabut Sufi dibuatnya apabila terpaksa mengimbangi dua cup air dengan satu tangan. Satu tangan lagi terpaksa digunakan untuk memegang heelsnya.

Hashir tunduk sekejap, menanggalkan selipar mempunyai simbol gajah di atasnya dan meletakan ia ke depan Sufi. Dia merampas heels yang sedang dipegang Sufi.

“Pakailah,” suruh Hashir.

“Tak nak,” balas Sufi.

“Pakai!” suruh Hashir. Dia melangkah selamba meskipun kini dia pula yang terpaksa berkaki ayam. Sebelah tangannya memegang cup air asam boi dan sebelah lagi heels yang ditanggalkan Sufi tadi.

Buat seketika, Sufi rasa terharu. Tetapi, apabila dia menoleh ke sebelah, rasa terharunya mati sendiri. Kepala Hashir sedang tertala ke arah seorang gadis cantik yang sedang bergambar di sisi beberapa orang peminatnya.

“Nera!” jerit Hashir dengan excited apabila terpandang gadis pujaannya, seorang penyanyi yang popular melalui rancangan Akedemi Fantasia.

“Cantik gila kot dia. Suara pun sedap. Masa first video clip lagu dia keluar, Hash tak keluar bilik asyik replay video tu kat youtube aje kot,” luah Hashir dengan muka ceria tanpa menyedari pengakuannya membuat hati Sufi terguris. Kegilaannya terhadap wanita lain membuatkan Sufi mempersoalkan kedudukannya di hati Hashir.

Sufi hanya mendiamkan diri sambil memandang artis kesayangan Hashir itu dari kedudukannya yang sekarang. Ya, gadis itu seribu kali lebih cantik darinya. Padanlah Hashir gila bayang. Tetapi, perlukah Hashir membuat pengakuan itu secara terang-terangan? Tak boleh Hashir memikirkan perasaannya sekejap.

“Cantik sangat pergilah kat dia,” bebal Sufi.

“Eleh, terasa pula si itik pendek ni!” ejek Hashir.

Sufi menarik muka masam.

Tok! Tok!

Lamunan Sufi mati.

“Ya?” ucap Sufi.

Suara Akma kedengaran dari luar.

“Fi!”

“Kenapa, Akma?” soal Sufi.

“Ada orang kat luar.”

“Siapa?”

“Entah. Dia cakap nak jumpa kau.”

“Hah? Siapa pula? Aku tak ada janji nak jumpa sesiapa pun malam ni. Kau tak tanya siapa?” soal Sufi.

“Entah. Mana aku tau. Karang kena tuduh penyibuk pula. Kau turun ajelah. Tanya sendiri,” balas Akma.

Sufi berlari ke tingkap. Langsir lime green diselaknya, melihat kalau-kalau dia boleh melihat gerangan yang sedang menanti depan rumah. Ada seorang lelaki yang sedang menunggu di depan pagar. Namun, Sufi tak mampu melihat wajahnya di dalam gelap. Dia keluar dari bilik dan berlari ke tingkat bawah.

Daun pintu dikuak.

“Hai!” tegur Izam.

“Hai?” balas Sufi dalam nada terkejut.

“Terkejut?” soal Izam.

Sufi mengangguk.

“Saya ingat kita janji nak jumpa esok. Macam mana awak boleh ada kat sini malam ni?”

Izam tersenyum.

“Izam tak boleh tidur,” jelas Izam.

“Okay,” balas Sufi yang masih pelik dengan kehadiran Izam ke rumah sewanya secara tiba-tiba.

“Izam rindu Sufi,” tambah Izam.

Sufi terkedu.

“Izam tak pernah rasa macam ni walaupun baru tiga bulan kita kenal. So, Izam ada sesuatu nak tanya Sufi...”

“Ya?” luah Sufi. Dia masih tertegak depan pagar rumah, tidak mengizinkan Izam masuk ke rumah yang dikongsi dengan Akma. Tidak manis untuk membenarkan lelaki masuk ke rumah wanita bujang. Untuk membiarkan Izam di depan rumah begitu, sudah boleh menimbulkan fitnah. Sufi berharap Izam akan segera beredar sebelum dilihat oleh jiran-jirannya yang lain.

“Will you marry me, Sufi?” soal Izam.

Air mata Sufi tertumpah. Kali terakhir dia dilamar adalah ketika dia bersama Hadi. Namun, ia tidak kesampaian kerana kemunculan semula bekas teman wanita lelaki itu. Adakah dia mahu memperjudikan hidupnya untuk lelaki yang baru dikenalinya lebih sebulan? Sufi sudah tak sanggup menghadapi rasa sakit itu lagi. Dia fobia. Empat kali cintanya kecundang.

“Tolonglah terima, Fi. Zam memang ikhlas dengan Fi. Zam sayangkan Fi,” pujuk Izam.

“No, Izam. Not now. But I’m willing to give us a chance. Izam kenali Sufi dulu. Kalau betul Sufi yang Izam mahukan, InsyaALLAH, ada jodoh kita akan kahwin juga. Perkenalan kita terlalu singkat, Sufi tak nak Izam menyesal nanti...”

“Zam sayang Fi,” luah Izam.

“Sufi pun akui. Sufi dah mula sayangkan Izam. Tapi, Sufi perlukan masa untuk berfikir. Sufi tak nak kita menyesal nanti...”

“Zam dah tak sanggup nak bercinta sebelum kahwin, Fi. Teman wanita Zam dulu meninggal dunia sebab barah. Zam tau hidup ni singkat dan kita hargai apa yang ada depan kita. Zam dah tak sanggup lepaskan orang yang Zam sayang...”

“Kita berkawan saja, Zam. Fi pun dah tak sanggup nak bercinta sebelum kahwin. Kita kawan macam biasa. Kalau nanti, Zam dah betul-betul kenal Fi dan dapat terima diri Fi seadanya dan Fi juga macam tu, barulah kita kahwin,” pinta Sufi.

“Kita boleh kenal hati budi selepas bernikah nanti. Bukankah macam tu lebih elok, Fi?” saran Izam.

“Boleh Zam bagi Sufi sikit masa untuk fikirkan? Fi tak nak kita terlalu terburu-buru. Biar Fi fikir masak-masak dulu,” tambah Sufi.

“Fi tak percayakan Zam? Zam ikhlas, Fi. Sekarang ni pun, Zam tak ada berkawan dengan perempuan lain selain Fi. Maksud Zam, berkawan secara serius... Umur Zam sekarang ni bukan untuk main-main. Zam kawan sebab nak kahwin.”

“Bukan tak percaya. Cuma Fi tak nak kita berdua menyesal. Kahwin biarlah sekali, Zam. Takkan lari pun gunung dikejar,” balas Sufi, menidakkan.

Izam menganggukkan kepala.

“Berapa lama?” soal Izam.

“Beberapa bulan lagi. Sufi tak nak terburu-buru. Sufi pun bukan muda lagi. Sabar ya, Zam,” jawab Sufi.

“Kalau itu kata Fi, Zam terpaksa terima. Tapi, Zam harap sangat Fi tak hampakan Zam,” jawab Izam.

Dari riak wajah Izam, Sufi tahu dia kecewa. Tetapi, dia tak mahu terburu-buru seperti dulu. Dia mahu cinta yang kali ini berjaya sampai ke jinjang pelamin, dapat mengiringi dia sampai ke Raudhah. Dia tak mahu lagi persinggahan sementara. Sufi mahukan hubungan yang abadi.

Kalau memang Izam jodohnya, pasti mereka akan bersama jua nanti. Tak kiralah apa juga rintangan yang mendatang, tak siapa dapat melawan jodoh yang sudah ditentukan ALLAH Taala. Sufi tak mahu Izam menyesal kelak. Dia bukan seorang gadis yang sempurna. Dia sendiri ada kekurangannya. Sufi tahu Izam juga begitu. Meskipun dia tidak mencari suatu kesempurnaan, dia mahu mengenali Izam yang sebenar sebelum melangkah ke alam perkahwinan bersama lelaki itu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.