Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
81,745
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

Bab 12

Pandangan Sufi jatuh ke bawah. Untuk beberapa saat, pandangannya hanya terpaku di situ, di hujung sejadah. Alangkah indahnya rasa itu, diimamkan oleh seorang lelaki yang disayanginya. Dia dapat melihat masa depannya bersama Izam. Lelaki itu akan menjadi imamnya, pembimbingnya menuju impian ke Raudhah. Sufi merasakan dia telah membuat keputusan yang cukup tepat.

“Sufi,” panggil Rahmah.

Sufi bersalaman dengan Rahmah yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya dan Rahmah pula menghadiahkan dahinya dengan satu kucupan.

“Cantik bakal menantu mama ni,” puji Rahmah. Tapak tangannya dilabuhkan di bucu dagu Sufi. Manis sungguh gadis itu. Sederhana sifatnya.

Izam yang sedang duduk di saf depan, mengimamkan solat mereka tadi, menoleh ke belakang. Pandangan itu cukup indah, melihat dua wanita yang dikasihinya dalam telekung yang putih bersih, bersalaman dan tersenyum mesra. Dia merasakan seperti dia adalah orang yang paling bertuah di dalam dunia ini. Izam mahu Sufi berada di situ untuk selama-lamanya, hidup bersama dia dan mamanya.

“Mama, Izam nak minta izin mama,” luah Izam.

Rahmah memandang Izam. Dari air muka anaknya, dia sudah dapat membaca. Ada cerita gembira yang bakal terlucut dari bibir kering itu.

“Izinkan Izam nikahi Sufi, ma,” pohon Izam.

Sufi menguntum senyuman, malu yang teramat. Mengapa Izam perlu bertanya Rahmah ketika dia masih berada di situ?

Rahmah menggenggam tangan Sufi.

“Sufi sudi, nak?” soal Rahmah.

Nada dering handphone bersuara, memutus suasana meriah itu. Sufi mengengsot ke arah beg tangannya yang sedang ternganga, tidak dizipkan. Nama yang tertera pada skrin telefon membuatkan dia diserang rasa bersalah. Hatinya berdetik untuk menjawab panggilan telefon itu.

“Assalammualaikum,” ucap Sufi dalam nada lemah.

“Waalaikummussalam. Fi, mama ni. Tolonglah Fi, datang kejap. Hash dah teruk dah ni, Fi. Dia tak nak pergi hospital,” luah Amira, kedengaran terdesak.

Sufi tersentak. Pantang benar dia mendengar wanita bergelar ibu menitiskan air mata untuk anaknya. Sufi sendiri bertukar sebak meskipun dia masih marahkan Hashir. Dia perlu ke sana.

“Sufi datang sekarang,” luah Sufi sebelum menamatkan talian. Dia memandang Rahmah yang nampak mengharap.

“Mak cik, saya... saya kena pergi sekarang. Ada kecemasan,” luah Sufi.

“Tapi...”

“Fi minta maaf,” ucap Sufi sambil menyalami tangan Rahmah. Dia hanya memandang Izam sekali sebelum melangkah bangun dengan beg tangannya.

“Fi!” panggil Izam sambil melarikan langkah, mengejar Sufi. “Fi nak ke mana? Fi belum jawab soalan mama kan,” ungkitnya.

“Kawan Fi sakit,” jelas Sufi.

“Habis, Zam tak sakit?” duga Izam.

Sufi mengeluh. Bukan niatnya untuk melebihkan Hashir. Kalau tidak, sejak awal lagi dia sudah berada di rumah Hashir, bukan di sana. Dia sayangkan Izam. Dia melebihkan Izam dan Rahmah dari Hashir dan Amira. Tetapi, dalam situasi itu, dia perlu bertimbang-rasa. Ia lahir dari rasa kemanusiaan. Izam sudah semakin pulih, demamnya sudah kebah. Hashir pula semakin teruk keadaannya.

“Kenapa Fi nak lebihkan kawan Fi macam ni? Mama tanya Fi tau tak? Kurang ajar Fi tinggalkan mama macam tu, tak jawab soalan mama. Perempuan macam ni ke mama nak jadikan menantu?!” ungkit Izam yang marah secara tiba-tiba. Dia terkilan kerana Sufi tidak menjawab soalan mamanya.

Bagi Izam, mama adalah segala-galanya dalam hidupnya. Mama yang membesarkan dia seorang diri, menatang dia bagaikan minyak yang penuh dari kecil sejak abahnya meninggalkan mereka.

“Kenapa Zam buat Fi macam ni? Zam cakap macam Fi dah bunuh orang,” luah Sufi, sebak.

“Keluarga Zam nanti, keluarga Fi. Kalau Fi tak boleh tolak kawan-kawan Fi ke tepi, macam mana Fi nak hidup dalam keluarga Zam. Keluarga lagi penting dari kawan-kawan, Fi,” luah Izam.

Buat seketika, Sufi merasakan Izam tidak mengerti perasaannya. Baru tadi, dia merasakan Izam mampu membimbing dan menjaganya. Baru tadi dia merasakan yang dia telah membuat keputusan yang tepat. Tetapi sekarang dia menjadi keliru. Adakah salah untuk dia mengharapkan Izam untuk mengerti perasaannya, bertolak ansur seketika. Mereka belum bergelar suami isteri. Izam tidak berhak membataskan pergerakannya, keputusannya.

“Kalau Fi pergi, Zam rasa kita tak payah kahwinlah,” luah Izam, merajuk.

Air mata Sufi tertumpah. Benar, dia mengaku yang dia berdosa kerana menipu Amira. Tetapi, dia terpaksa menipu kerana dia tahu Hashir sanggup melakukan apa saja untuk memusnahkan hubungan dia dengan Izam kalau kehendaknya tidak dipenuhi. Sekarang, dia pergi atas dasar kemanusiaan, bukan kerana sayangnya pada Hashir. Sayangnya sudah tertumpah buat Izam. Mengapa Izam menyukarkan keadaan yang sudah cukup sukar baginya? Mengapa dia perlu memilih dalam keadaan segenting sekarang? Bagaikan ditelan mati bapak, diluah mati emak.

“Okay, kalau itu keputusan Zam. Sufi terima,” jawab Sufi sambil menahan sebak. Dia melangkah masuk ke dalam kereta lalu menekan lock kereta secara automatik apabila dia menekan pedal brek. Izam tak lagi mampu menghalangnya.

Keretanya diundur masuk ke jalan utama semula.

“Apa ni, Zam?” soal Rahmah.

“Entah. Izam tak sedap hati,” balas Izam.

“Zam, betul ke si Sufi gadis yang baik-baik. Kalau dia tu memang gadis yang elok dari keturunan yang elok, esok pun mama boleh nikahkan kau dengan dia. Kau pilih calon isteri jangan setakat pilih macam pilih kasut, Zam. Yang malu nanti keluarga kita. Mana mama nak letak muka nanti,” ungkit Rahmah.

“Dia baik, ma. Cuma kekadang Zam rasa dia tak sure apa dia nak,” luah Izam setelah beberapa saat menyepi.

“Kamu tu? Sure ke tidak?” soal Rahmah.

Izam diam membisu.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.