+ Esok datang pukul 7 pagi. Kalau boleh, awal sikit.
Mesej Wafiq yang baru diterimanya itu terasa menggerunkan. Dalam fikirannya sudah berfikir macam-macam perkara. Antaranya, pastilah ada adegan dimarahi atau ditengking. Awal-awal lagi dia sudah berpesan dalam dirinya, jangan sesekali sentuh barang-barang hiasan yang mahal dalam rumah si majikan. Jangan juga sibuk nak explore satu rumah ketika majikan tiada.
Jangan itu dan jangan ini. Stick to your work! Ingat tu, Rose!
Ligat dia menyelongkar almari baju bagi mencari baju-baju kurung lamanya. Dia rasa lebih sopan untuk dia memakai sahaja pakaian tradisional Malaysia ini. Lagipun bukankah perkara ini tipikal dalam kalangan orang gaji dan bakal orang gaji sepertinya?
"Kemas pun!" Rose Adelia menghenyakkan punggungnya di atas birai katil. Kemas baju sendiri pun dah penat, macam mana nak kemas rumah orang esok?
Terasa tekaknya kering, Rose Adelia melangkah ke tingkat bawah. Namun dia terhenti di pertengahan anak tangga apabila telinganya sayup-sayup mendengar tangisan halus dari arah ruang makan. Dia mengagak sekarang sudah pun pukul 11 malam. Balqis awal-awal lagi sudah tidur kerana esok adalah hari persekolahan.
"Mama?" sebutnya. Perlahan-lahan dia berjalan ke ruang makan. Tepatlah tekaannya, matanya jelas melihat mamanya, Puan Wardah sedang menyeka airmata sambil merenung sekeping gambar. Gambar arwah papanya, Encik Adnan.
Rose Adelia baru sahaja mahu memujuk si ibu, namun otaknya mengatakan tidak. Dia teringat akan hal petang tadi. Di mana Puan Wardah masih belum beri kata setuju untuk dia bekerja sebagai pembantu rumah.
"PEMBANTU rumah?!" terbeliak mata Puan Wardah saat anak sulungnya mula berterus-terang.
"Ya, mama."
"Hari tu Rose kata dengan mama, kerja kosong tu untuk cari PA. Kenapa tiba-tiba pembantu rumah pulak? Dan kenapa Rose dengan lajunya beri kata putus tanpa tanya pendapat mama?" pelbagai soalan dimuntahkan pada Rose Adelia yang mula cuak. Dia takut dia membelakangkan mamanya sendiri.
"Rose tahu kerja pembantu rumah ni rendah pangkatnya..."
"Bukan itu, Rose!" kata-kata Rose Adelia terus dipotong Puan Wardah.
"Mama tak pernah memandang hina pada sesuatu pekerjaan. Rose kerjalah apa pun, sekurang-kurangnya mintalah pendapat mama. Mama risaukan Rose. Rose dah cukup kenal ke latarbelakang majikan Rose tu? Buatnya dia cuma nak mempergunakan Rose?" Puan Wardah mula memuntahkan rasa risaunya. Mana mungkin dengan semudah itu sahaja dia meletakkan kepercayaan seratus peratus pada orang. Sekarang sudah banyak kes-kes dera orang gaji. Dia tidak mahu semua itu terkena pada anaknya.
Rose Adelia kelu lidah. Apa yang dia boleh buat sekarang? Otaknya buntu. Takkanlah dia mahu datang semula ke bangunan Sinar Holdings dan berhadapan dengan Wafiq semata-mata untuk menolak tawaran kerjanya itu?
Rose Adelia merenung anak mata adiknya, Balqis. Cuba memohon pertolongan melalui eye-contact. Cepat sahaja Balqis menangkapnya. Dia terus bersuara.
"Mama... Mama janganlah risau. Bal percaya akak boleh jaga diri dan majikan akak tu datangnya dari orang yang baik-baik." Balqis cuba memberi kata positif.
"Mana Bal tahu? Zaman sekarang kita tak boleh terus percaya dan label orang tu baik." kata Puan Wardah. Sebagai seorang ibu, dia lebih berpengalaman. Dan pengalaman yang pernah dia lalui tidak mahu berulang kembali sama sekali. Biarlah mengelak daripada terkena sekali lagi.
"Okey, macam ni. Rose akan kerja jugak. Dalam beberapa hari, kalau Rose rasa curiga atau tak selesa, Rose akan berhenti dan cari kerja lain." lengan Puan Wardah dipaut lembut.
Puan Wardah tidak dapat kata apa lagi. Jika itu kata anaknya, dia tetap akan melakukannya. Dia hanya berserah dan memanjatkan doa pada Ilahi agar anaknya sentiasa dilindungi-Nya.
Rose Adelia mula serba salah. Dia tiada niat sama sekali untuk membuat mamanya kecil hati. Situasinya, dia terdesak. Dia perlukan kerja juga.
ROSE ADELIA tersedar dari lamunannya apabila suara Puan Wardah menjengah telinga. Terus sahaja dia tersenyum kelat pada si ibu.
"Rose tak tidur lagi? Esokkan nak bangun pagi." jelas kelihatan lebam di bawah kedua-dua belah mata Puan Wardah.
"Mama..." seraya tubuh Puan Wardah dipeluk kemas.
"Rose minta maaf kalau buat mama kecil hati. Rose minta maaf sangat-sangat. Rose tak nak jadi anak derhaka tapi mama fahamkan Rose? Semua ni demi kebaikan juga." akhirnya tumpah juga airmatanya. Sedari tadi hanya bergenang di tubir mata melihat ibu sendiri menangis.
"Mama jugak minta maaf dengan Rose." tubuh anaknya turut didakap.
"Mama janganlah nangis lagi. Bila mama nangis, Rose pun rasa nak nangis." airmata si ibu yang tumpah lagi diseka dengan hujung jarinya.
"Mama cuma rindukan arwah papa."
"Rose pun rindu sangat dengan arwah papa."
"Mama masih terasa papa ada dekat sini. Mama masih dapat rasa hangatnya tangan papa. Memori kami..." makin lebat airmata yang tumpah. Lapan tahun bukan masa yang lama untuk dia move on. Susah.
"Mama jangan nangis dah. Papa pun sedih kalau dia tahu isteri dia sedih."
Siapa aje yang tidak bersedih? Pemergian arwah Encik Adnan tiada siapa jangka. Sekelip mata. Ya, ajal dan maut itu memang tidak kira masa. Akan tetapi peristiwa hitam yang menimpa mereka sekeluarga, tak mungkin sekelip mata ianya dilupakan. Peristiwa yang akan terus tertanam dalam kepala masing-masing.