"ESOK Rose datang awal macam biasa, ya?" pesan Datin Yusra. Kalau boleh dia tidak mahu terlambat ke pejabat walaupun beberapa minit. Tentang pagi tadi, Rose Adelia dimaafkan sementelah hari ini merupakan hari pertamanya mula bekerja.
"Ya, datin. Tadi saya ada tersesat masa nak datang sini." jujurnya. Esok dia tekad untuk datang ke sini dengan kereta, tak adalah dia termengah-mengah nak jalan kaki dari stesen LRT hingga ke kawasan perumahan ini. Sudahlah kawasannya agak jauh ke dalam memandangkan ini adalah kawasan privasi.
"Saya balik dululah." dia mahu pulang selepas maghrib namun Datin Yusra pula mengajaknya makan malam bersama. Dia pun tidak mahu menolak mentah-mentah. Puas dia jelaskan pada mamanya melalui mesej. Risau benar Puan Wardah. Tote bagnya dicapai lalu disangkut pada bahu kanan.
"Awak balik naik apa? Teksi?" soal Wafiq. Dia ingat nak suruh sahaja pembantu rumahnya tinggal di sini jadi dia tak perlu berulang-alik dari rumah ke rumahnya. Namun bila sedar balik, pembantu rumah yang diambilnya bukanlah berasal dari negara seberang atau dari mana-mana agensi pembantu rumah malah seorang gadis muda. Rasanya tidak manis sangatlah tu. Mahu juga dia bertanya, tak mengapakah menjadi seorang pembantu rumah di awal usia dewasa? Namun pertanyaan tersebut hanya dikuburkan dalam hati.
"LRT." jawabnya polos.
"Kalau macam tu, Wafiq tolong hantar pulang Rose la. Sekarang waktu orang pulang dari tempat kerja, takut sesak dekat stesen tu." Wafiq sudah bersiap sedia dengan kunci keretanya dalam pegangan. Pantas sahaja Rose Adelia menghalang.
"Tak apa! Rumah saya jauh, nanti susah-susah aje Encik Wafiq tempuh jammed." dia memberi alasan yang cukup logik sekali walhal ianya akan menjadi seribu kali ganda janggal dan akan mengundang pelbagai soal jawab daripada mamanya, Puan Wardah. Lelah dia nak menjawab nanti.
"Lagipun saya nak jumpa kawan saya." tambahnya.
"Saya hantar awak sampai stesen?" Rose Adelia mengeluh dalam hati. Lupa yang jarak stesen LRT dari rumah ini agak jauh. Otak terus merangka alasan.
"Okey, kalau awak tak nak... Jalan ikut lorong yang banyak lampu." pelawaannya tadi ditarik semula. Tahu gadis itu akan berasa janggal. Dia pun tidak akan memaksa.
"Jalan elok-elok ya, Rose. Jalan dekat kawasan yang ramai orang." pesan Datin Yusra buat kali keduanya. Dia sudah biasa dengan sifat penyayangnya dengan semua bekas-bekas pembantu rumahnya akan tetapi mereka tetap berhenti. Hati berharap Rose Adelia tidak begitu.
Sewaktu menyalam tangan Datin Yusra, mata sengaja dililau-lilaukan. Perasan akan hal itu, terus Datin Yusra menegur.
"Adam selalunya duduk dekat bilik dia waktu-waktu macam ni. Main game, itu ajelah hobi dia." beritahu Datin Yusra tanpa dipinta. Rose Adelia hanya sekadar mengangguk lalu membentukkan bibirnya dengan huruf 'o'.
Senyuman dan salam dihadiahkan sebelum dia terus berjalan kaki ke stesen LRT.
"AWAK macam mana, Rose? Dari pagi lagi saya nak tahu keadaan awak dekat sana. Selesa ke? Suka ke tidak?" Yasmin terus memuntahkan soalan-soalannya kepada Rose Adelia melalui talian. Dia rasa bertanggungjawab sementelah dia yang merekomen pekerjaan tersebut pada kawannya itu.
"Okey aje." jawabnya sambil memintal-mintal hujung rambut.
"Serius? Bunyi macam tak aje. Mesti ada apa-apa ni..." melalui nada suara sahaja, Yasmin dapat menebak yang kawannya itu cuba untuk tidak memberitahunya sesuatu.
"Saya okey aje... Tapi..." dia menghentikan kata. Patut atau tidak dia menceritakan insiden tadi pada Yasmin? Dengan Puan Wardah memang tidaklah, sudah tentu sahaja wanita itu menyuruhnya berhenti dan cari pekerjaan lain. Ataupun duduk di rumah dan menemani dia sahaja.
"Tapi apa, Rose? Awak buat saya suspense!"
Rose Adelia mengeluh di hujung talian. Dia mengintai ke arah pintu blik, kut-kut ternampak bayangan adik atau mamanya.
"Entahlah... Tuan rumah tu macam pelik." Yasmin mengerutkan dahinya. Pulak? Fikirnya apalah...
"Apa yang Wafiq dah buat pada awak?"
"Bukan Wafiq... Ni adik dia, Adam." lalu Rose Adelia menceritakan segala yang dilaluinya siang tadi. Diceritakan juga sikap dingin Adam dan sikap manjanya bersama Datin Yusra yang dirasakan comel.
"Dia sakit ke?" itu soalan yang terpacul keluar dari mulut Yasmin saat mendengar cerita pendek Rose Adelia.
"Saya tak tahu. Saya nak tanya lebih-lebih, tak berani pulak. Nanti kata saya menyibuk."
"Entah-entah dia gila tak?" tebak Yasmin.
"Hisy, dah kenapa pulak awak fikir macam tu?" soalan dibalas dengan soalan.
"Tak adalah, saya agak aje. Dah awak kata dia kena makan ubat pelik-pelik. Orang gilakan selalunya kena telan ubat yang kita tak pernah dengar." andaian Yasmin mengundang tawa kecil Rose Adelia.
"Entahlah... Biar ajelah. Asal dia tak ganggu kerja saya sudah."
"Betul sangatlah tu. Tapi kalau dia ganggu awak, adalah lebih baik awak tak payah teruskan. Saya boleh tolong awak cari kerja lain. Haih... Mati-mati saya ingat Wafiq betul-betul nak cari sorang PA rupa-rupanya pembantu rumah. Tak pasal-pasal aje." Yasmin memuntahkan rasa serba salahnya.
"Saya okey aje. Lagipun kalau saya tolak rezeki depan mata nanti lagi susah nak cari."
"Lega saya dengar."
ESOK pagi, awal-awal lagi Rose Adelia keluar dari rumah untuk menghantar Balqis ke sekolah. Mengada-ngada! Omelnya dalam hati.
"Rose... Mama ada masakkan nasi goreng belacan ni. Bolehlah Rose makan dekat sana nanti." sungguhpun Puan Wardah tahu yang Rose Adelia akan makan juadah di sana, biarlah anaknya itu bawa bekal sendiri.
Beg kertas berisi bekas nasi goreng belacan itu disambut dengan rasa terharu yang menggunung tinggi. Pukul berapalah agaknya Puan Wardah berjaga semata-mata mahu menyediakan bekalan untuknya. Jelas lagi nyata pengorbanan seorang ibu di situ.
"Drive elok-elok." pesan Puan Wardah.
Sampai sahaja di hadapan pintu pagar sekolah, Balqis terus menyalam kakaknya. Ciuman hinggap di pipi Rose Adelia. Memang dua-beradik ini sangat manja!
"Bye, kak!" Rose Adelia membalas lambaian adiknya dari dalam tingkap kereta. Seketika dia menoleh ke tempat duduk penumpang dan kelihatan sebuah fail berwarna kuning di atasnya. Tertera nama adiknya di situ. Terus dicapai lalu tubuh keluar dari dalam perut kereta. Nama Balqis dilaung.
"Macam nenek tua! Belum 18 tahun lagi." Balqis menjelir lidahnya lalu masuk ke dalam kawasan sekolah.
Baru sahaja Rose Adelia mahu masuk semula ke dalam kereta, telinganya terdengar seseorang memanggil namanya. Ditoleh kepalanya.
"Fayyadh." sebutnya.
"Ingat jugak kau dekat aku. Ingatkan dah lupa." masih ingat tempoh hari dia datang ke rumah gadis ini hanya diam membisu bagaikan ada berlian mahal di dalam mulutnya.
Rose Adelia ketawa janggal. Aduh, janganlah dia ajak berbual lama-lama. Dia betul-betul nak kejar masa ni.
"Kau buat apa kat sini?" soalnya pada Fayyadh.
"Nak hantar barang dekat umi aku." beg kertas dalam pegangan ditunjukkan pada Rose Adelia.
"Oh! Ermmm... Okeylah Yad, aku dah lambat ni." Fayyadh kerutkan dahinya.
"Kau nak ke mana?" soal Fayyadh alang-alang.
"Ermmm... Aku dah mula kerja dari semalam. So, before tujuh setengah pagi aku nak kena sampai sana dah. Okeylah, nanti ada masa free, kita jumpa." tanpa melengahkan masa, dia terus masuk ke dalam kereta dan memandunya. Sebelum itu dilambai tangannya pada Fayyadh yang kelihatan terpinga-pinga.
"HARI ni menu apa pulak yang abang aku letak? Sandwich tuna?" soal Adam Zayan. Kalau ya, dia tidak akan makan. Bila tak makan, tak perlulah dia makan ubat. Hihi!
"Nampak gaya macam ya." dibelek kertas menu untuk hari Selasa. Kedengaran dengusan kasar Adam Zayan.
"Dah, malas aku nak makan!" Adam Zayan mula menapak untuk meninggalkan dapur. Sengaja menunjukkan rasa protesnya untuk tidak makan sandwich.
"Eh, awak nak ke mana tu? Awak kena makan, kalau tak awak tak boleh makan ubat." pujuk Rose Adelia. Mungkin ada sebab mengapa Wafiq meletakkan menu sandwich untuk Adam Zayan bersarapan. Positifnya. Melihat perangai mengada-ngada Adam Zayan, Rose Adelia tahu yang lelaki itu setiap hari disajikan dengan hidangan sandwich pada setiap pagi. Mungkin ada dua atau tiga kali sahaja dia merasa hidangan lain.
"Kalau kau jadi aku... Mak kau bagi makan makanan sama macam bagi kucing makan, kau jemu tak? Mcam itulah aku! Setiap hari kena telan sandwich dengan ubat yang sama!" bukan Adam Zayan tidak bersyukur, dia cuma jemu. Sampai satu tahap, tekaknya sendiri tidak boleh menelan makanan yang sama lagi.
Rose Adelia buntu. Kalau tak nak makan, dia tidak kesah. Yang menjadi masalahnya, Adam Zayan mesti makan ubat. Tapi apa-apa pun lelaki itu kena makan juga! Ubat tersebut hanya boleh ditelan jika perut tidak kosong. Kalau lelaki itu tidak mahu makan ubat, pasti sahaja dirinya akan dipersoalkan dan seboleh-bolehnya dia mahu mengelak perkara itu daripada terjadi.
Mata terus menangkap beg kertas yang diletakkan di hujung atas kabinet. Banyak kali juga dia berfikir akhirnya dapat juga sebuah idea bernas mahu memujuk Adam Zayan untuk makan.
"Nah la... Saya ada bawak nasi goreng belacan. Awak makanlah." bekas berwarna merah itu dikeluarkan dari dalam beg kertas. Terus bersinar mata Adam Zayan.
Terus dia duduk semula di kerusi kitchen island. Bila sahaja penutup bekas dibuka, aroma nasi goreng belacan terus menusuk masuk ke dalam rongga hidung mereka.
"Kau tak kesah ke aku makan makanan kau?" apa yang boleh Rose Adelia jawab? Itu sahaja cara yang dia ada.
"Tak apa... Saya makan sandwich ni aje."
Sesekali mata Rose Adelia tertancap pada mulut Adam Zayan yang sedang leka mengunyah nasi gorengnya. Dia pula terliur tengok orang lain makan. Nasi goreng belacan yang dimasak khas untuknya akhirnya terus selamat 'dikembumikan' ke dalam perut Adam Zayan. Sikit pun tak pelawa aku!
Adam Zayan berdehem. Bekas yang masih berbaki setengah nasi goreng belacan itu dia tolak perlahan pada Rose Adelia. Mujur dia makan di pinggan lain.
"Nah, aku tak adalah kejam sangat nak habiskan makanan orang."
"Thanks." mujurlah masih ada rasa simpati dalam hati lelaki ini, dapatlah jugak dia merasa airtangan mamanya.
"Kau tahu tak... Aku tak pernah lagi dapat orang gaji muda macam kau." terhenti suapan Rose Adelia. Mengapa bunyi ayat Adam Zayan itu kedengaran lain?
"Maksud awak?" soalnya polos.
"Iyalah, dapat orang gaji cantik dan muda macam kau. Selalu sinonimnya orang gaji mesti asal dari negara seberang atau dalam kalangan makcik-makcik." terang Adam Zayan.
Cantik? Adakah lelaki ini baru sahaja memujinya cantik?