Home Novel Cinta NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
Ruby Hazri
21/6/2015 08:06:36
49,818
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG
PROLOG

Lima tahun lalu...

     BARU beberapa jam tadi mereka berpamitan salam, berkongsi gelak ketawa dalam kereta. Malahan pesanan isterinya itu pun masih kukuh terlekat dalam mindanya.
     “Jangan lupa pula hadiah hari jadi tu.” Pandangan Aina Sophia sekilas mengerling tempat duduk belakang terutama kepada sebuah kotak berbalut kertas comel. Faris angguk, patuh.
     “Hmm... Pandu kereta hati-hati, ye bang,” pesan isterinya. 
      Dia yang gemar berjenaka terus membuat aksi tabik hormat. Masih terngiang-ngiang ilai ketawa wanita yang telah berkongsi kasih dengannya sejak lebih dua tahun lalu melihatkan aksinya. Belakang tangannya masih terasa hangat ciuman isterinya. Namun dalam sekelip mata, panggilan dari Ibu Pejabat Polis tiba-tiba meranapkan seluruh sejarah beberapa jam lalu. Aina Sophia sudah arwah.
     Telefon bimbit dalam genggaman menggelongsor jatuh ke lantai. Sampul coklat di genggaman terjatuh dari tangan. Dirinya bagaikan hilang ampu untuk berdiri serta merta. Kepala lututnya terasa longgar. Jari jemarinya menggigil tanpa sebab. Hanya sesekali telinganya mendengar sayup-sayup suara pegawai polis menyebut ‘helo’ berkali-kali dari telefon bimbitnya yang terdampar di atas lantai. Tapi bibirnya tidak berupaya lagi mengeluarkan sepatah perkataan pun kini.
     “Faris!” Satu suara memanggil namanya, nyaring. Zikri, rakan setugasnya berlari laju ke arahnya. Tubuhnya yang tadi kehilangan daya terasa dipaut untuk bangkit semula.
     “Kenapa ni, Faris?” Tiada jawapan.
      Zikri membantunya untuk bangun dan berjalan menuju ke arah biliknya. Seluruh beban badan bagaikan dilepaskan semuanya ke dalam pautan tangan rakan setugasnya.
     “Telefon aku.” Hanya dua patah itu sahaja mampu dikeluarkan. Itu pun kerana terpaksa demi melihatkan telefon bimbitnya tersadai di lantai.
     Zikri berpusing ke belakang. Matanya berjaya menemui telefon bimbit temannya itu sedikit terlindung di bawah sehelai sampul surat coklat. Zikri mengambil lantas menerkap telefon itu ke telinga. Senyap. Taliannya telah terputus.
     “Aina, Zikri!” Faris cuba menjelaskan beberapa minit kemudian.
     “Okey-okey, kita masuk ke bilik dulu,” arah Zikri tidak mahu berbual di luar bilik ini. Menyaksikan keadaan Faris tadi yang hampir jatuh, Zikri tahu ada masalah besar telah menimpa sahabatnya ini. 
     Sebaik pintu bilik Zikri ditutup rapat, Faris terus memegang kedua-dua belah bahu teman sekerjanya. Kolam matanya rasa teramat berat kini.
     “Aina meninggal dunia, Zikri,” terketar-ketar suara Faris memaklumkan.
     “Meninggal dunia?” Zikri terpinga-pinga. Bibirnya jadi tidak sanggup untuk mengucapkan innalillah... Fikirannya sendiri seperti tidak boleh menerima.
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Hazri