Home Novel Cinta NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
Ruby Hazri
21/6/2015 08:06:36
49,757
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

BAB 5

     “Pandai menggunakan SPSS?” Saera menggelengkan kepala. Program penganalisisan data komputer itu, inilah kali pertama dia dengar. Bagaimana mampu dia katakan mahir mengendalikannya? Entah macam rupa pun dia tidak tahu. Bibir penemu duga itu sedikit tersenyum melihatkan reaksinya. Saera tahu ia lebih berupa sebuah senyuman sinis.

     Saera baru sahaja mencuba nasib dengan jawatan pegawai pembanci sementara yang diiklankan di surat khabar dua minggu lalu. Selesai meneliti dan memahami syarat-syarat, lalu keesokannya dia dengan bersungguh-sungguh pergi untuk mencuba nasib. Apa lagi kelayakan yang diperlukan hanyalah kelayakan minimum SPM. Akhirnya dia pasrah bahawasanya jawatan dengan kelayakan minimum itu terlalu sukar untuk dia gapai memandangkan pengalaman dalam sistem penganalisisan data itu tidak pernah ada pada dirinya. Apalah nasib aku! Keluh hatinya.

     Saera mendudukkan tubuhnya di sebuah bangku batu di bawah sepohon pokok rendang berhampiran sebuah bangunan pejabat dua tingkat. Folder hitam diletakkan di sisinya. Folder yang mengandungi biodata dan segala macam sijil persekolahan, aktiviti ko-kurikulum serta pengalaman kerjanya selama lebih dua tahun di Tadika Cahaya Hati dan sebelum itu di kedai 24 jam sebagai jurujual. Ternyata semuanya tidak dapat membantunya mendapatkan satu kerja pun semenjak sebulan lalu. Minggu lepas juga sama apabila dia mentah-mentah ditolak untuk menghadiri temu duga sebagai kerani.

     “Boleh cakap Mandarin?” Soalan pertama seorang lelaki berbangsa Cina ketika dia memohon borang jawatan Kerani di salah satu syarikat percetakan minggu lepas. Seperti sebelum itu juga, dia menggeleng dengan kemampuan yang tidak dimiliki.

     “Kami cari Kerani yang boleh berbahasa Mandarin,” terang lelaki itu. Saera terus membatalkan hasrat untuk mengambil borang di depan mata.

     Sejak di bangku sekolah rendah lagi, dia hanya belajar di sekolah kebangsaan dan bukannya di sekolah jenis kebangsaan Cina. Jadi bagaimanakah dia mampu punyai kebolehan berbahasa Mandarin. Berbahasa Inggeris pun cuma sedikit-sedikit sahaja.

     Saera memejamkan matanya seketika melawan panas terik yang mula membahang kulit mukanya. Kenderaan bersimpang siur di jalan raya hadapannya tidak putus-putus sejak sepuluh minit tadi dia berteduh di sini. Bunyi hon kereta, motosikal dan bas juga telah berkali-kali menendang gegendang telinganya. Asap kenderaan yang dihidunya sudah sama banyak dengan asap kereta api antik guna arang batu masuk ke paru-parunya. Malang, satu benda pun tidak berjaya difikirkan Saera dalam masa sekarang.

     Saera membelek surat khabar yang dibeli minggu lepas. Ruangan Iklan diselaknya.

KERANI AM DIPERLUKAN

· Terbuka kepada semua warganegara Malaysia

· Keutamaan kepada calon wanita

· Umur tidak melebihi 30 tahun pada tarikh iklan ditutup

· Gaji permulaan RM1,000 selama 6 bulan (tempoh percubaan) tidak termasuk elaun

· Minimum SPM

· Latihan akan diberikan

Tugasan:

· Mengendalikan urusan pentadbiran syarikat termasuk gaji pekerja, SOCSO dan EPF.

· Kebolehan bekerja di bawah pengawasan minimum

     Bulatan pen merah yang dibuatnya dipangkah. Hatinya kecewa. Sangkanya hanya jawatan itu sajalah yang layak dengan kelulusannya. Rupa-rupanya tidak. Berpuluh-puluh calon berkelulusan Ijazah Sarjana Muda datang mencuba nasib di temu duga tadi. Saera sempat berbual dengan beberapa calon yang ramah berbual di luar bilik temu duga. Ada sebelum itu bekerja di kilang menjaga mesin sejak tamat pengajian setahun lalu. Ada yang menjadi pembanci sambilan dengan bayaran RM800 sahaja beberapa bulan lalu. Dan tidak kurang juga yang masih menganggur adapun telah tamat belajar dua tiga tahun dulu. Aduhai, sukarnya sekarang hendak mendapat pekerjaan di negara sendiri. Sedangkan pekerja-pekerja asing dari luar negara senang-lenang mengaut kekayaan di sini. Sehinggakan ada yang mampu memiliki kedai, menjalankan aktiviti perniagaan sama naik dengan perniagaan rakyat tempatan. Hidup bermewah-mewah pula tu. Tapi anak bangsa sendiri terpinggir. Lepasan universiti sekarang memilih pekerjaan kah? Jika kenyataan itu benar, kenapa jawatan bergaji seribu ringgit tadi, berlumba-lumba mereka datang mencuba nasib? Cukup kah dengan pendapatan seribu ringgit hendak menjalani kehidupan serba memerlukan wang hari ini? Sedih!

     Saera bangun, dia berjalan ke arah sebuah tong sampah kitar semula. Gulungan akhbar seminggu lalu di tangannya di buang ke dalam tong. Berhampiran tong kitar semula itu selonggok akhbar diletakkan bersusun tinggi. Akhbar-akhbar lama yang barangkali tidak muat hendak dimasukkan ke dalam tong tersebut.

     Hatinya mula rasa tertarik tatkala membaca salah satu halaman dalam, yang tiba-tiba terpapar di muka paling hadapan. Adapun ia pasti ini iklan lama tetapi, hatinya masih mahu mengetahuinya.


Jururawat Peribadi Wanita Diperlukan di Rumah

· Tugas menjaga seorang wanita yang sedang koma berusia 57 tahun.

· Keutamaan kepada wanita belum berumah tangga.

· Waktu bekerja lima hari seminggu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

· Tidak perlu memasak dan membuat kerja rumah.


Tugasan:

~ Membersihkan badan ( tukar lampin pakai buang, lap badan, syampu rambut,

potong kuku dan beberapa lagi)

~ Membantu melakukan latihan pergerakan secara berskala setiap hari

~ Mengawasi keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

· Gaji : RM900.00 (sebulan)

· Pengangkutan : RM10 (sehari)

· Kerja lebih masa hujung minggu (Sabtu dan Ahad) : RM7 (sejam)

· Makan minum disediakan

     Saera mula menekuni halaman itu. Menatap helaian bertarikh pada penjuru atas akhbar dua bulan lalu, hatinya tawar. Agaknya sudah ada yang mengisinya. Hatinya kecewa sekalipun ada tercatat nombor telefon bimbit dan alamat e-mel untuk dihubungi. Mahu kah dia cuba bertanya? Hatinya menjadi dua pula. Jika dia tidak mencuba, bermakna dia harus pulang ke kampung halaman. Sedangkan hakikatnya kembali ke kampung halaman sudah tidak ada dalam kamus rujukan hidupnya. Dia telah berpatah arang berkerat rotan tidak akan kembali ke sana seperti mana kebanyakan orang yang berputus harap. Pada Saera, kampung sendiri adalah seperti satu igauan ngeri. Ada sejarah hitam yang mahu dipadamkan dalam dirinya.

+++++

     “Jam 2.30 nanti, saya keluar ke bank,” pesan Faris kepada pembantu peribadinya melalui panggilan telefon.

     “Baik Encik Faris,” akur pembantu peribadi di pejabat.

     Faris meletakkan gagang. Dia mula mengemas beberapa helai kertas di atas meja. Dalam sebuah folder hitam dimasukkan beberapa dokumen penting. Semuanya dikepilkan sekali secara teratur. Di bahagian teratas, dikelipkan sekeping cek berjumlah enam angka. Jumlah pembayaran pendahuluan yang diterimanya untuk projek yang dijalankan syarikat in-dienya. Apabila selesai projek nanti barulah, syarikatnya menerima baki penuh pembayaran. Dengan wang itulah dia gunakan untuk membangunkan syarikat kecil yang telah beroperasi beberapa tahun dulu. Pekerjanya juga tidak ramai sekadar seorang pembantu peribadi cum kerani. Seorang rakan kongsi merangkap Pengarah Teknikal. Para Juruteknik yang berjumlah hampir lima belas orang termasuk Jurutera Aplikasi, Programmer dan beberapa lagi. Kadangkala syarikatnya juga memerlukan bantuan konsultan luar. Sekiranya projek yang diterima memerlukan kepakaran luar bidang syarikatnya. Itu juga memerlukan pembayaran setiap kali mempelawa kerjasama konsultan luar. Pendek kata nilai enam angka itu bukanlah mempunyai apa-apa nilai pun kepada diri Faris andai kos-kos tersebut ditolak satu demi satu. Itu pun belum termasuk kos alatan atau perisian yang bakal digunakannya.

     Kring! Kring! Kring!

     Faris separuh terperanjat. Ada panggilan masuk di telefon biliknya. Dia segera menyambut sebaik menyiapkan folder mengandungi segala dokumen bakal dibawa ke bank nanti.

     “Panggilan daripada Mami June, Encik Faris.” Suara pembantu peribadi memaklumkannya.

     “Ye,” balasnya singkat. Faris terus menerkap gagang telefonnya ke telinga.

     “Dah tak pakai ke Samsung tu?” Satu pertanyaan berbau perlian dilepaskan Mami June lebih awal. Faris hampir tersedak. Samsung Galaxy S6 di poket belakang seluarnya dicari. Seluruh skrinnya gelap.

     “Kalau dah rasa tak guna, sedekah je kat Mami ni.” Satu lagi ayat bernada sindir terpacul daripada patah perkataan ibu saudaranya.

     Faris ketawa dalam hati. Ini pastinya perihal beberapa panggilan ibu saudaranya tidak bersambut. Manalah ibu saudaranya pernah menelefon hingga ke pejabat kecuali jika benar-benar terdesak. Tahulah dia, rupa-rupanya bateri telefonnya sudah flat. Dia sendiri tidak sedar.

     “Boleh. Tapi kena tunggu model ni obsolete dulu lah,” canda Faris sambil mencari charger dari dalam laci meja berhampiran.

     “Amboi, mentang-mentang balik rumah mertua... sampai tak ingat-ingat nak tanya khabar orang kat sini,” seloroh Mami June.

     “Mami June, sihat-sihat je saya dengar,” canda Faris. Tidak termakan dengan perlian-perlian tajam Mami June. Nada perbualan mereka lebih kepada ejek-mengejek yang sesiapa pun tidak sedar bahawasanya ia sebenarnya adalah gurau-senda antara anak dan ibu saudara sahaja.

     “Mami June memanglah sihat afiat sekarang Encik Faris oi! Kalau sakit tenat, taknya Mami terdaya nak menelefon anak buahnya,” syarah Mami June. Faris mula memasukkan pengecas ke soket dalam jangkauan tangannya.

     “Petang nanti saya balik sana, Mami.” Faris kembali duduk di kerusi.

     “Mia macam mana? Dah baik demamnya?” usul Mami June.

     “Dah baik... pagi tadi saya yang hantarnya ke sekolah,” jelas Faris tentang Mia Sara.

     “Hujung minggu ni bawalah dia balik ke sini.”

     “Tengoklah dulu.”

     “Ibu macam mana dua tiga hari ni, Mami?” Faris menyandarkan tubuhnya ke kerusi.

     “Alhamdulillah, sihat... macam selalu,” terang Mami June perihal kakak sulungnya kepada Faris.

     “Itulah... mujur ada Mami kan! Ibu sihat.” Satu perangkap dimulai Faris.

     “Oi, ini mestilah nak mengampu.” Separuh menyergah, Mami June cuba menyangkal. Bercakap dengan anak saudaranya yang seorang ini memang banyak taktik digunakannya. Barulah terdengar ketawa Faris dalam lama-lama mereka berbual.

     “Cukup, Faris! Ini ada hal lain Mami nak bincang.” Mami June tidak mahu melengahkan peluang.

     Semalam dia mendapat panggilan daripada seseorang bertanyakan tentang jawatan Jururawat Peribadi yang diiklankan dua bulan lepas. Mendengarkan daripada percakapannya, budak perempuan itu benar-benar memerlukan kerja. Lalu sejak malam tadi, Mami June cuba untuk berbincang dengan Faris.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Hazri