Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab 6

“GIMANA, Mbak Diha? Ada apa-apa yang perlu saya jelasin?” Penuh sopan Miranda bertanya. Dia menantikan reaksi Diha. Sedari tadi gadis itu mendiamkan diri. Tidak bersuara walau sepatah pun.


Diha menggelengkan kepala. Pandangannya terus dihalakan ke skrin komputer 23 inci di hadapannya meskipun rakaman video Marsha telah lama tamat. Sejujurnya dia terkejut. Dia masih dalam kepayahan mengatur nafas yang dirasakan sesak. Segelas air yang dihulurkan oleh Miranda disambutnya. Air dingin itu diteguk perlahan. Dalam keadaaannya ketika itu, air yang sepatutnya menghilangkan dahaga ibarat kersik yang melalui rongga tekak. 


“Maaf saya nanya. Mbak sudah punya kata putus atau mbak perlu masa untuk mikirin hal ini?” soal Miranda lagi. Wajahnya dimaniskan. Meskipun kedengaran seakan mendesak, Miranda inginkan kepastian. Mudah bagi dia dan abangnya merangka tindakan yang selanjutnya. 


Diha diam sejenak. Lidah kelu untuk menutur bicara. Dia berkira-kira sendiri. Mindanya diajak berfikir tetapi tidak tahu hendak dimulakan di mana. Semuanya kabur. Berbalam-balam.


“Mbak Diha,..” panggil Miranda.


“Err,..Hal ini terlalu mengejut buat saya. Boleh beri saya masa beberapa hari untuk fikirkannya?” pinta Diha. Wajah bujur sirih peguam muda itu dipandang lama mengharapkan pengertian. Bagi Diha, tiada manusia dalam keadaan waras akal akan dapat memberi keputusan berhubung perkara itu tanpa berfikir panjang. Terlalu banyak yang perlu ditimbang tara. Terlalu banyak!


Miranda mengangguk. “Sudah tentu boleh, mbak. Kami akan uruskan penginapan Mbak Diha sepanjang berada di sini. Ambil sebanyak mana masa yang Mbak rasa wajar sebelum memberi sebarang kata putus. Usah bimbang. Kosnya semua ditanggung. Jika perlu apa-apa, Mbak Diha maklumkan saja pada kami.”


Diha cuma mengangguk lemah.



SUDAH tiga hari Diha berada di kota Jakarta. Dia ditempatkan di Hotel Pullman Jakarta. Gadis itu terjaga dari tidur tepat pada pukul tiga suku pagi. Dia segera ke bilik air untuk berwuduk. Dia ingin buat solat sunat sebelum masuk waktu Subuh. Di sini, waktu Subuhnya awal sekitar pukul empat pagi.


Selesai mengerjakan solat sunat. Diha memanjatkan doa panjang. Segala kemelut juga keresahan hatinya diadukan pada Allah. Hanya Allah tempat dia memohon ketenangan dan kedamaian. Usai berdoa, dia duduk diam di atas tikar sejadah. Sekadar melayani perasaan.


Dalam menungnya, rakaman video Marsha yang ditonton di bilik pejabat Miranda tempoh hari perlahan-lahan terlayar kembali di minda.


“Sahabatku Diha, jika kau tonton video ini, berarti kau sudahpun menjejakkan kaki ke Jakarta. Anggap saja angin malam Jakarta yang menyapamu adalah pelukanku yang mengucapkan ‘Selamat Datang,” Marsha memulakan bicara. Sebaris senyum terhias di wajahnya. Senyuman itu paling dirinduinya.


“Gimana keadaaanmu? Baik-baik aja kan? Apa pandanganmu mengenai bumi Jakarta? Indah nggak? Kamar yang kau inap sekarang ini, aku pilih khusus buat dirimu. Aku pernah menginap di sana bersama suamiku. Aku mahu kau nikmati pemandangan indah Jakarta pada waktu malam melalui balkoninya. Asyikkkk!”


“Diha.” Intonasi suara Marsha bertukar serius. “Aku perlu bantuanmu. Aku sangat bimbang akan suamiku. Jika kau mengenalinya kelak, kau akan tahu yang suamiku ini punya minat mendalam terhadap musik. Kasih dan cintanya pada musik terlalu kuat. Aku sendiri sebagai isteri nggak bisa menidakkan atau menyangkal kebenaran itu. Ayangku ini miliki kesungguhan yang jitu dalam menjalani kehidupannya setiap hari. Orangnya sabar bangat, optimis dan nggak mudah putus asa.” Bercahaya sepasang mata Marsha tatkala bercerita mengenai si bidadara hati.


“Tapi, aku pasti deh. Amat pasti. Semua itu akan hilang dari dirinya sebaik saja aku pergi. Aku yakin sekarang ini dia masih berperang dengan diri. Masih terus-terusan menangisi pemergianku.”


“Diha, aku mahu kau bantu suamiku agar bisa menjalani hidup seperti dulu. Tolong tuntun dia untuk terus mencari arti kehidupan, menghargai nikmat karuniaan Pencipta. Aku juga pingin dia kembali punya semangat dan kecintaan terhadap musik. Biar dia menjadi Ariyyan yang dahulu. Yang aku cintai dan kasihi sepenuh hati.”


“Kau harus muncul dalam hidupnya. Pujuk hatinya agar bisa menjalani dunianya. Aku kenal dirimu, Diha. Aku yakin bangat semangatmu akan bantu dia untuk pulih semula. Kau wanita paling tabah yang pernah aku kenal. Pinjamkan ketabahan dan kecekalan itu buat suamiku.” Bersungguh-sungguh Marsha cuba meyakinkannya.


“Tapi,..” Lama juga tutur Marsha terhenti sebelum dia menyambung percakapan. Nafas Diha serta-merta jadi sesak. Rasanya dia dapat mengagak apa yang bakal disampaikan oleh sahabatnya itu. 


“Untuk lakukan semua itu, kau perlu jadi sosok yang halal buatnya. Mengahwinimu adalah amanat terakhirku pada suami. Aku mohon kau terima pinangannya, Diha. Jadi isterinya. Bantu dia bangkit semula. Nikmati kebahagiaan dan kegembiraan baru bersamamu.” 


“Jangan bilang aku gila, sahabat. Aku benar-benar mengharapkan pertolonganmu. Maaf seandainya kau anggap permintaanku ini melampaui batas. Tapi, percayalah, Diha. Hanya kau seorang yang mampu menunaikannya.”


Diha melepaskan keluhan kecil. ‘Permintaan kau memang permintaan gila, Marsha. Tidak semudah itu aku boleh jentik hati insan lain untuk berubah,’ monolognya dalam hati. Bagaimana mahu diajak seseorang itu meninggalkan kisah dukanya jika tuan punya diri tetap memilih untuk menghuni daerah kekecewaan? Lebih berat lagi, demi merealisasikan amanat Marsha, dia kena berkahwin dengan Ariyyan. Menjadi isteri Ariyyan. Semua itu tidak munasabah sama sekali.


Kalau diikutkan hati, Diha akan menolak tanpa perlu berfikir panjang. Walau bagaimanapun, pertemuan singkat dan tegang bersama Ariyyan kelmarin memaksa mindanya mempertimbangkan permintaan Marsha. Benar ramalan Marsha. Lelaki itu bukan sahaja kehilangan cinta, malah turut kehilangan semangat meneruskan hidup, minat untuk berkarya. Pandangan matanya kosong. Ibarat terjemahan terus hati dan jiwa yang lara. Menurut Armand, semenjak pemergian Marsha, Ariyyan tidak lagi menggubah lagu baik untuk kumpulannya mahupun untuk artis-artis lain.


Kerjaya seni Ariyyan seolah-olah terhenti. Album baru ARJUNA yang sepatutnya dilancarkan hujung tahun lepas hanya 75% siap, terperam begitu sahaja. Ariyyan dan anggota kumpulannya kini berdepan dengan beberapa tuntutan undang-undang ekoran kegagalan Ariyyan menyempurnakan beberapa kontrak membuat persembahan.


Diha mengenangkan persahabatannya dengan Marsha. Kemudian, dia memikirkan pula situasi Ariyyan. Dalam diam, hatinya terkesan apabila melihat keadaan Ariyyan sebegitu. Ariyyan hilang arah meratapi pemergian belahan jiwanya.


Diha bulat hati. Perkara itu sudah dipertimbangkan semasak-masaknya. Apa yang dirasakan sekarang tidak wajar diragukan. Sudah beberapa hari dia melakukan solat istikharah, memohon petunjuk daripada Sang Pencipta agar dilorongkan hati membuat keputusan yang betul. 


Tetapi mampukah dia? Sesekali hati kecil melontarkan keraguan. Hidupnya sekarang jauh berbeza dengan hidup yang bakal ditempuh jika dia memilih untuk bersama dengan Ariyyan. Mereka berdua datang dari dua latar belakang yang terlalu asing. Dua dunia lain. Bezanya bukan calang-calang. Ibarat langit dengan bumi. Dapatkah dia menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan pada masa yang sama cuba menuntun Ariyyan agar ‘hidup’ semula?


Dia berserah kerana hakikatnya dia sendiri tidak pasti.



Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.